Tuesday, December 13, 2011
‘Day Zero To Save Euro’ dan Sikap Kita
Dua minggu yang lalu, ketika sedang menunggu bas X5 untuk ke bandar Oxford di perhentian Milton Keynes, saya tertarik dengan tajuk akhbar Metro UK, sebuah surat khabar versi percuma yang diedar kepada rakyat Britain melalui bas dan rangkaian kedai buku di sana. ‘Ten days to save the Euro’ - tajuk hadapannya menakutkan, saya kira. Mengingatkan saya ketika berada di Paris beberapa hari sebelumnya, bagaimana agaknya negara yang menggunapakai matawang Euro, jika Euro tidak dapat diselamatkan?
Jumaat lalu, 9 Disember 2011 akan diingati dunia sebagai percubaan untuk menyelamatkan Eropah. Perjumpaan 27 ketua negara Eropah di Brussel, adalah yang kelapan pada tahun ini, kebanyakannya menumpu kepada krisis hutang yang sejak dua tahun lalu yang telah memusnahkan Greece, merebak kemudiannya ke Ireland, Portugal, Sepanyol, kini malah membimbangkan Perancis serta Jerman.
Ketakutan pembuat polisi Eropah semakin hampir, kemusnahan mata wang Euro dikatakan akan menyebabkan kemusnahan global yang lebih besar dari krisis ekonomi 2008/09. Sebagai sebuah kumpulan ekonomi bersepadu, kemusnahan Euro akan menyebabkannya jatuh diakibatkan kegagalan bank dan ketidakmampuan ‘capital control’.
Zon Euro akan terpecah kepada beberapa kepingan berbeza, blok besar di bahagian utara dengan kepingan kecil di selatan. Selain ‘counter accusation’ dan ‘broken treaties’, kegagalan projek terbesar ekonomi Eropah ini akan menyebabkan matawang asing berlegar mengelilingi mereka seterusnya menyebabkan matawang Euro tidak mampu bersaing. Tiada siapa yang dapat meramal samada Euro boleh ‘survive’ atau tidak. Suasana panik, kelemahan luaran ekonomi dan ketidaktentuan ‘market’; semuanya membantu kejatuhan Euro.
Ketakutan pelabur terhadap kejatuhan Euro telah menyebabkan pelarian aset, tindakan yang mana mana-mana kerajaan sekalipun gagal untuk menghalangnya. Contoh terbaru di Sepanyol, di samping kejayaan People’s Party menang besar di awal November, komitmen untuk memperbaharui kos pinjaman juga meningkat. Kerajaannya harus membayar hutang sebanyak 5.1%, lebih tiga kali ganda dari bulan lepas akibat dari kejatuhan ‘bond’ di pasaran. Itali, di bawah pengaruh teknokrat baharunya, Mario Monti juga tidak melihat kesan pembaikan. Belgium dan Perancis juga sama, selain German yang juga mengalami kejatuhan ‘bond’ secara mendadak.
Selain para pelabur, bank juga mengalami sindorm panik sesama mereka. Akses kepada pasaran pembiayaan borong dilaporkan ditutup. Pasaran ‘interbank’ juga semakin mendesak, akibat ketidakupayaan pembiayaan sesama mereka. Firma tempatan dilaporkan mengeluarkan deposit, menyebabkan sesetengah bank terpaksa menjual aset dan mengecilkan jumlah pembiayaan. Ketiadaan kredit akan menyebabkan bank di Eropah diramalkan mengalami masalah yang lebih teruk daripada Lehman Brothers.
Krisis kewangan yang lalu menunjukkan bahawa situasi putaran kebawah ini hanya dapat diatasi melalui polisi yang berani untuk meningkatkan kepercayaan pelabur. Ini yang terjadi pada Jumaat, 9 Disember 2011. Selepas 10 jam perbincangan, pertama kali dalam 39 tahun, Britain menggunakan kuasa vetonya untuk menolak perjanjian 26 ahli Eropah yang lain. Selain pagi yang kurang menyenangkan akibat dari keputusan European Central Bank (ECB) untuk tidak menaikkan jumlah pembelian ‘bond’, drama ‘Day Zero to Save Euro’ berakhir dengan beberapa keputusan seperti ‘new compact fiscal’, ‘European Stability Mechanism’ (ESM) pada Julai 2012 serta jumlah waktu 10 hari untuk menentukan keperluan pinjaman sehingga 200 bilion Euro daripada IMF.
Tiada siapa yang dapat memberi jawapan bagaimana Euro akan memberi reaksi terhadap keputusan-keputusan baharu sebegini. Namun pencairan wang yang besar boleh mengurangkan kesan ketidakstabilan di samping membeli lebih banyak waktu. Kepercayaan pelabur selain menarik semula kepercayaan pasaran, penstrukturan semula hutang Greece serta pembaharuan sistem di Itali dan Sepanyol akan membantu. Ini bermakna membina semula instrumen hutang yang dipercayai pelabur.
Terdapat juga idea oleh ahli ‘Germany’s Council of Economy Expert’ yang membayangkan untuk membahagikan kesemua hutang negara di dalam zon Euro kepada bawah 60% terhadap setiap GDP negara, di samping memanjangkan masa pembayaran kepada 25 tahun kedepan. Ini bermakna kesatuan kewangan seperti Euro dijadikan sebagai badan untuk membantu ahli yang lemah, selamanya.
Namun secara lateralnya, tidak banyak respon yang dapat saya perhatikan di London dan Paris, selain tajuk-tajuk akhbar yang cemas dengan situasi ekonomi mereka. Rakyat Britain dan Perancis secara amnya masih seperti biasa. Pelancong juga berada di mana-mana, walaupun berdepan cuaca sejuk ‘pre-winter’. Untuk masyarakat Muslim dan negara Islam khasnya, saya fikir banyak yang boleh kita pelajari dari krisis kewangan mereka ini.
Kita perlu bergerak jauh kedepan mengatasi struktur kapitalis ala Barat-sentrik yang terhasil akibat kolonialisasi kuasa ekonomi secara global. Tiada sebab untuk kita bergantung kepada mereka lagi, sementelahan kuasa ekonomi yang mereka agungkan sendiri tidak mampu bertahan dalam dunia persaingan yang mereka sendiri cipta.
Dunia yang kita huni kini adalah dunia dengan dominasi imperial, eksploitasi, ‘genocides’, ‘epistemicides’ (destruction of non-Western epistemologies), kehancuran ekologi, krisis kewangan dan kehancuran kehidupan secara amnya. Kejatuhan Andalus pada 1492 dan kebangkitan ‘Capitalist/ Patriarchal Modern/ Colonial Westernized/ Christianized World System’ telah menyebabkan kosmologi dunia Islam tidak lagi diiktiraf selain ditakuti; ini semua adalah sebahagian dari rekacipta kolonialisasi Barat.
Kita kini hidup dengan sistem yang mengiktiraf kematian sebagai kesan keuntungan, dominasi yang tidak mengiktiraf kepelbagaian jenis kehidupan dan cara berfikir semata-mata untuk mewujudkan dunia mono-budaya dan mono-epistemologi. Kolonial Eropah merebak dengan cepat pada waktu post-Andalusia, sebagai projek utama mereka untuk menghakis dunia Islam dan menjadikan Islam sebagai subjek kolonial kepada empayar Barat. Asas Euro-sentrik sebegini sebenarnya adalah rasis, dimana Barat diisytihar lebih agung dari segi epistemologi berbanding yang lain. Pensejarahan secara Euro-sentrik dengan ‘Western’-linear mendapat tempat yang utama dalam menawarkan naratif sejarah dunia yang mengandungi falsafah, ekonomi dan saintifik yang pada dasarnya, hutang mereka terhadap Islam.
Mereka terus menyalurkan mono-logik, respon berbaur imperial serta mimpi buruk utopia global kepada kita tanpa sedikitpun memikirkan bagaimana epistemologi lain serta kosmologi selain Barat memberi respon terhadap cabaran global. Kesombongan Euro-sentrik dapat dilihat melalui jawapannya terhadap masalah global seharusnya datang daripada tradisi berfikir serta dominasi dan eksploitasi Barat yang moden
Sudah tiba masanya dunia diperkenalkan dengan perspektif yang melihat Islam sebagai sebuah cara berfikir dan hidup dianggap alternatif kepada hegemoni gaya berfikir dan hidup ‘kapitalis-Barat/ Kristian-sentrik’. Negara Islam harus belajar bagaimana Eropah belajar untuk bekerjasama membina hegemoni dari segi ekonomi, kemusnahan massa yang dihadapi mereka serta segera menawarkan alternatif terhadap krisis kewangan yang sedang dunia hadapi.
Saya percaya, ekonomi adalah kunci pertama untuk kita bergerak. Wujudkan blok ekonomi baharu terhadap blok ekonomi sedia ada. Dengan lebih 50 negara majoriti Muslim, 23% populasi Muslim di dunia dengan jumlah 1.57 bilion, tiada sebab mengapa kita tidak mampu menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah blok ekonomi sendiri melibatkan kerjasama sesama negara Islam. OIC misalnya, boleh mengusulkan sebuah rancangan blok ekonomi berasaskan kewangan Islam, sekurang-kurangnya untuk melawan semula imperialisasi secara fizikal dan mental yang telah mengurung kita selama lebih dari 500 tahun. Inilah waktu paling sesuai untuk kita perangi mereka, ketika mereka sedang sakit tenat akibat sistem yang mereka sendiri cipta.
Ketika melihat Mona Lisa di The Louvre, saya sempat terfikir bahawa Eropah boleh berbangga dengan segala macam bentuk sejarah, seni dan budaya yang mereka pelihara beratus tahun dahulu, diyakini melalui ribuan blok bangunan ‘Gothic’ mega yang mengelilingi persekitaran mereka. Namun sejarah tidak mencukupi untuk menghadapi masa hadapan berseorangan, gereja ‘Gothic’ yang berusia 1000 tahun sahaja tidak cukup kuat untuk berdepan dengan sistem persaingan global yang semakin hebat. Tradisi berfikir dan gaya hidup, akan menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Kini sudah tiba masanya untuk kita keluar dari tradisi berfikir dan gaya hidup yang sudah tidak lagi mampu menawarkan apa-apa buat kita dan ummah khasnya.
Subscribe to Posts [Atom]
