Tuesday, October 25, 2011
‘Gnothi seauton’, Hantu Bonceng dan Universiti
‘Gnothi seauton’; ‘Know yourself’ – atau ‘kenali diri sendiri’, diukir di kuil Apollo di Delphi. Dikatakan sebagai amaran keras, sebuah cabaran mungkin, sebelum seseorang meminta-minta di hadapan Tuhan. Dilatinkan sebagai tecum nosce, juga kelihatan di dalam filem The Matrix, tertulis di bawah pintu dapur Oracle’s.
Saya fikir 54 tahun adalah sebuah angka yang kecil. Untuk jangka hayat manusia, ya, ianya mungkin berbeza. Tetapi untuk mengukur tamadun, komponen seperti bahasa, budaya atau jati diri memerlukan angka yang lebih besar. Sebab itu saya lebih gemar nyatakan bahawa bangsa kita masih belum kenal dengan dirinya sendiri.
Contoh paling mudah saya mampu berikan adalah soalan klasik seperti; bangsa. Ya, bangsa apakah sebenarnya kita di semenanjung emas Tanah Melayu yang akhirnya dipopularkan dengan nama Malaysia ini? Seseorang boleh menjawab Melayu. Yang lain akan menjawab Cina, India. Kini saya dengar ada jawapan baharu; bangsa 1Malaysia.
Ini adalah contoh paling klasik menggambarkan betapa rancunya tamadun kita. Sehingga kini, kita masih belum dapat berjujur dengan diri kita sendiri soal paling asas, iaitu bangsa. Masih ada sebahagian dari diri kita, yang akan meracau-racau mempersoal hak itu dan ini, keistimewaan itu dan ini, jika berbangkit soal ini.
Sebab itu, sehingga 54 tahun, kita masih tidak dapat menyelesaikan isu pendidikan misalnya. Sekolah-sekolah dari peringkat paling bawah, masih terbahagi menurut bangsa masing-masing. Nah, kita senantiasa bicara soal perpaduan, tetapi berkait hal paling basis seperti pendidikan pun kita masih tidak dapat mewujudkan kesepakatan.
Begitu juga soal bahasa. Malang sekali buat Malaysia, kerana bahasa kebangsaannya terpuruk dan terendam di dalam perigi sejarah yang menggelapkan. Sehingga warga negara tidak lagi percaya kepada kebolehan bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, Sains dan Matematik misalnya. Kaum lain bebas mengamalkan bahasa masing-masing, Universiti awam bebas menggunakan bahasa lain sebagai bahasa penghantar utama.
Kerana itu, ketika Abdul Aziz Bari dihukum gantung oleh sebuah gedung ilmu yang berwajahkan Islam, ramai yang tidak terkejut. Malah sebenarnya, ramai yang ternanti-nanti, hukuman keatasnya.
Robert Filmer (1588-1653) yang menulis di dalam Patriarcha, menggambarkan raja sebagai mempunyai kuasa mutlak yang dianugerahkan oleh Tuhan, kemudiannya disanggah oleh John Locke (1632-1704) melalui dua karya destruktif dan dekonstruksinya iaitu ‘Prinsip-prinsip dan Asas Palsu Sir Robert Filmer serta Pengikutnya Dikesan dan Ditumpaskan’ serta ‘Suatu Karangan berkenaan Bidang Asal & Sebenar Serta Matlamat Kerajaan Madani’. Hujah Filmer, yang boleh dibaca sebagai ‘batang tubuh yang diamanahkan Ilahi’ tidak terhenti di situ apabila disanggah oleh Locke, namun tetap menjadi anutan rasmi penduduk dunia 400 tahun kemudiannya.
Kritikan Locke, rupanya adalah kritikan sepanjang zaman! Nyaris, 400 tahun kemudian, Abdul Aziz Bari dituduh menderhaka kepada Tuhan kerna menderhaka kepada raja. Yang paling kelakar, dituduh kurang ajar pula kerana keenganannya memohon maaf.
30 tahun yang lalu, mahasiswa ditekup mulutnya, diikat tangan dan kaki ke belakang dalam satu cubaan ‘anti-clockwise’ untuk memandulkan aktivisme, idealisme dan sensitivisme mereka. Tahniah, cubaan ini berjaya kemudiannya. Mahasiswa, tidak lagi punyai suara dan kekuatan. Tenaga anak muda ini diperah hanya untuk memuaskan nafsu administrasi; bukan untuk mengecas tenaga dan akal fikiran mereka ke arah membangunkan budaya dan tamadun bangsa. Yang lebih bangsat saya kira, anak muda dilacurkan dalam pelbagai program pseudo-Barat bertema nyanyian, tarian mahupun lakonan.
Kini, dalam salah satu usaha terbaharu, tenaga pengajar, ahli akademik, ilmuwan yang menganggotai gedung ilmu bernama universiti juga sedang dirantai tangan dan kaki mereka. Hukuman gantung terhadap Abdul Aziz Bari saya fikir adalah ‘rejuvenation’ kepada usaha mereka 30 tahun yang lalu. Ilmu yang mencerahkan, memang menakutkan!
Ali Syariati misalnya dalam makalah berjudul ‘Culture and Ideology’ pernah menyorot sejarah dengan merujuk kebudayaan dan peradaban yang dibangunkan Ibrahim, Musa, Zoroaster, Buddha, Confucius, Laotse dan Muhammad adalah individu yang bukannya ahli falsafah, seniman mahupun teknokrat. Menurutnya, satu-satunya fungsi mereka adalah dengan menciptakan masyarakat baharu dan gerakan baharu yang mampu menggerakkan para falsafah, ilmuwan, teknokrat mahupun seniman agar dapat cemerlang di dalam lapangannya masing-masing.
Secara ringkasnya, untuk membina sebuah bangsa dan tamadun yang agung, bukan hanya melalui pembinaan menara berkembar tertinggi, menaja pertandingan F1 mahupun membina metropolis sehebat Putrajaya; Piramid di Mesir, Persepolis di Greek mahupun candi agung seperti Delphi dan Parthenon semuanya pantas dilupakan sejarah.
Ideologilah yang membentuk masyarakat. Berbanding Alexandria di Mesir, mahupun Athena di Rom, Madinah di awal kemunculannya tidak lebih dari suatu desa tak terkenal di padang pasir Semenanjung Arab. Namun tanpa memerlukan ‘Menara Warisan 100 Tingkat’ mahupun ‘Sri Iskandar’ yang mega; Madinah 100 tahun kemudian, secara pantas menelan Ctesiphon, Alexandria, mahupun Hamadan di Persia dengan menaja kebangkitan Kufah, Basra dan Bukhara.
Peradaban dan kebudayaan, hanya akan tumbuh subur selepas kesedaran diri dibaja di dalam diri masyarakat. Kesedaran diri inilah, yang dipanggil ideologi, hanya boleh dibaja melalui ilmu. Gedung-gedung ilmu seluruh negara, yang kini dipanggil universiti harus memikul tanggungjawab besar ini. Kebebasan berhujah serta usaha-usaha mencari kebenaran harus senantiasa menjadi jatidiri gedung ilmu tersebut. Anak muda yang bernama mahasiswa, harus difahamkan bahawa dirinya punya tanggungjawab untuk sama-sama terlibat dalam membangunkan negara, bukan sekadar mencari pekerjaan untuk sesuap nasi buat tembolok perutnya sendiri.
Kerana itu saya berpendapat, kesediaan universiti berwajahkan Islam menggantung tugas profesornya baru-baru ini, bukanlah sesuatu yang pelik untuk kita amati. Di negara ini, yang bangsanya caca marba, budayanya rancu, kesedaran dirinya hanya menumpu kepada hiburan super-hedonis ala ‘Hantu Bonceng’; mudah untuk difahami bahawa upaya mem’bonsai’kan pemikiran masyarakat ini bermula seawal 30 tahun yang lalu melalui akta AUKU yang secara serius membisukan keupayaan mahasiswa untuk berhujah dan mencari kebenaran.
Rakyat, akan senantiasa dihidangkan dengan budaya ‘Hantu Bonceng’; upaca pem’bonsai’an pemikiran ini akan diteruskan sehingga masyarakat tidak lagi mampu berfikir serta tidak lagi mempunyai kesedaran diri. Abdul Aziz Bari bukan mangsa sebenar. Yang lebih sadis, gedung ilmu yang sepatutnya membaja ideologi dan pemikiran, menggalakkan proses kebenaran telahpun di’hijack’ untuk kepentingan penguasa. Mangsa sebenar kita adalah anak-anak kita. Mangsa sebenar adalah generasi kita yang kemudiannya akan leka dibuai budaya hedonis dek kalah perang budaya akibat keputusan sesetengah penguasa yang berkepentingan.
‘Hantu Bonceng’ saya kira adalah lambang paling ‘antic’ menonjol citra budaya baharu yang kita anuti. Tidak jauh beza antara Zizan dan Abdul Aziz Bari. Kalau kita mampu ketawa melihat jenaka Zizan, mengapa kita tidak boleh ketawa melihat gelagat Reaktor UIAM? ‘Hantu Bonceng’ dan UIAM saya kira menganut mazhab yang sama; tolak kebenaran dan pencerahan - tidak lain dan tidak bukan kerana kita masih tidak ‘kenal dengan diri kita sendiri’.
* Tulisan ini juga tersiar di The Malaysian Insider
Subscribe to Posts [Atom]
