Monday, July 12, 2010

Menghayati Kasta Budaya Melalui Uda dan Dara di Istana Budaya






Nisan condong tegak bertaburan
Gadis menangis kehibaan
Tidak ada padang perjuangan
Pahlawan gugur tergelimpangan.

Lari gadis menyembam ke tanah
Diiringi sedu menggoncang bahu
Tenang pahlawan dipeluk bumi
Senyum terakhir tenang
bersembunyi.

Kenangan lama bermain di hati
Pelukan dan kucupan kasih
Tidak ada garisan tepi
Kata dipadu janji dikunci.

"Sungguhkah dinda?" tanya pemuda
"Benar kanda," sahutnya manja
Ke jenjang pelamin setahun lagi
Hilir berbiduk ke laut hidup.

Datanglah lamaran ke ayah bonda
Penuh khidmat junjung berduli
Tapi pemuda emas sesaga
Tertolak lamaran, terurailah janji.

Matahari bersembunyi di balik awan
Pulanglah orang membawa usungan
Air di kendi kekeringan
Terkejut gadis dari renungan.

Melangkah gadis menahan denyutan
Pandangan terakhir terlempar ke nisan
Setangkai kemboja gugur perlahan
merangkak senja menutup pandangan.

'Absurd' sebagaimana yang difahami oleh The Shorter Oxford Dictionary (2005) mentakrifkan perkataan tersebut sebagai (1) sumbang; (2) tidak harmoni dengan taakulan atau kesopanan; dalam penggunaan moden, jelas bertentangan dengan taakulan, dan yang demikian, tidak masuk akal, tolol.

Atau dalam kamus The Penguin Dictionary of Theater John Russle Taylor menulis istilah Teater Absurd digunakan untuk sekumpulan dramatis sekitar 1950-an yang tidak menganggap diri mereka sebagai 'mazhab' tetapi yang nampaknya berkongsi mengambil sikap tertentu terhadap nasib malang manusia di alam semesta ini.

Albert Camus dalam eseinya The Myth of Sisyphus (1942) merumuskan nasib malang manusia sebagai sesuatu yang sia-sia, dengan kebimbangan idea dibenarkan untuk menentukan bentuk dan juga kandungannya; semua pembinaan logik, perkaitan idea dengan idea secara rasional yang dibahaskan secara intelektual yang bermanfaat telah diketepikan dan sebaliknya ketakrasionalan pengalaman itulah yang dipentaskan ke atas pentas.  

Di atas adalah naskhah asal Gadis di Kuburan yang ditulis oleh Allahyarham Usman Awang pada September 1953, kemudiannya diadaptasi menjadi cerpen pada 1956, naskhah teater muzikal pada 1972 dipentaskan oleh kumpulan Gemaseni di Panggung Eksperimen Universiti Malaya dan drama televisyen RTM pada 1980.

Datuk Rahim Razali yang mengarah Uda dan Dara edisi 2010 kali ini pernah mengarah sebanyak dua kali Muzikal Uda dan Dara iaitu pada tahun 1972 (di UM) dan juga sekali lagi pada tahun 1985 di Auditorium DBKL. Maknanya pementasan kali ini adalah kali ketiga di bawah arahan Datuk Rahim Razali.

Perlu diingat, teater bukan hanya seni yang memerangkap etika dan estetika dalam sebuah ruang, lebih besar dari itu ia adalah apresiasi ilmu yang menganjur sebermula dari menukang konsep yang perlu dicanai dari puisi kepada kepercayaan fizikal ditambah oleh kemahiran mengorganisasi pakej panggung.

Kerana itu, apabila teks sebesar Gadis di Kuburan ilham Sasterawan Negara dipugar oleh khalayak seni menjadi sebuah 'realiti', penonton sebenarnya mengharapkan langgam bahasa kesusasteraan yang melatari subjektiviti peralihan teks kepada sesuatu yang fizikal sifatnya haruslah berupaya mengimpresikan.

Dalam kewujudan impresi tersebut, dua pemikiran signifikan yang perlu ditanggapi oleh khalayak penonton adalah sinkretisasi di antara kewujudan mesej atau falsafah puitis yang dibawa oleh pengarang dengan kesan terjemahan fizikal yang dilakukan oleh warga kerja produksi beserta bantuan teknikal mega yang dihasilkan oleh sebuah panggung bertaraf antarabangsa.

Dua sisi fokal yang perlu dicam oleh penonton secara linear ialah kewujudan mesej massa menentang imperialisme yang sinikal dengan kehebatan dan keberadaan Istana Budaya itu sendiri.


Pertembungan ini, jika boleh dipanggil kontak budaya yang mencerun ke arah konflik peradaban yang mana; secara absurd dan sinis melaung-laung kezaliman wang ringgit dan kuasa di dalam produk budaya zalim dan kuasa itu sendiri!

Ianya seolah-oleh sang bapa memarahi anak kecilnya jangan merokok sedangkan bapanya sendiri sedang merokok ketika itu!

Mesej utama yang dimainkan oleh Uda dan Dara sepanjang pementasannya menurut saya jelas; Ringgit dan Kuasa yang membelenggu warga kampung dek kerana kezaliman Alang Bakhil. Sebuah mesej 'evergreen' yang dilontarkan lama oleh pengarangnya  57 tahun yang lalu. Demokrasi melawan oligarki. Massa melawan neoliberalisasi. Semangat melawan oleh kaum tertindas. Sebagaimana tulis Coen Hussein Pontoh (2005) neoliberalisasi sesungguhnya adalah projek politik dari kelas berkuasa (bank internasional, lembaga, organisasi luar dan kolaborator dalaman) dalam mengakumulasikan kekuasaan dalam tangannya agar dengan sesuka hati mengatur hajat hidup orang kebanyakan.

Malangnya buat Istana Budaya, mesej semega ini dipertontonkan kepada khalayak secara berkasta. Tiga tingkat disediakan dengan pelbagai jenis harga tempat duduk, sang manusia yang pandai berkata-kata (bak kata Uteh – mewakili golongan ‘borjuis’) sudah semestinya mendapat layanan istimewa, dibenarkan duduk berhampiran dan menikmati persembahan secara dekat sedangkan kaum tertindas (menurut Uteh lagi – sang petani) yang hanya mampu mengeluarkan sebanyak tiga puluh ringgit dihalau untuk duduk jauh ke tingkat tiga!

Bukankah ianya suatu persamaan linear; mengungkap kata mengenai Ringgit dan Kuasa di tempat yang mengkastakan bangsanya sendiri menurut Ringgit dan Kuasa?

Alangkah nihilnya produksi sehebat Uda dan Dara pabila mementaskan lenggok hati dan perasaan seorang pujangga menjadi sebuah produk imperialisme yang mengganyang masyarakat seni menjadi sekumpulan manusia berbudaya super-niaga!

Dan yang lebih sadis, tayangan utama di malam pembukaan menyaksikan tempat duduk yang disediakan untuk ‘kaum tertindas’ tidak mendapat sambutan, tetapi untuk mengekalkan status-quo Istana Budaya yang kononnya bertaraf antarabangsa (kemudiannya menjadi ‘antara-bangsat’ kerana masalah teknikal yang melengahkan persembahan sehingga 45 minit!) menidakkan ‘kaum tertindas’ tersebut untuk berganjak sedikit ke hadapan agar dapat menikmati dengan lebih baik panoramanya walaupun tempat duduk tersebut kosong tidak berisi!

Seni dan budaya adalah makanan ruji masyarakat bertamadun. Tidak wujud dalam dunia ini suatu keadaan di mana masyarakat yang cakna produk budayanya dihalang untuk mengambil bahagian hanya kerana perbezaan Ringgit tetapi inilah yang berlaku di dalam Istana Budaya – satu ruang di mana sang Uda berteriak-teriak mengenai kehampaan dan kedukaannya mengenai Ringgit dan Kuasa.

Maka secara mudahnya kami mengambil pendirian bahawa adalah sesuatu yang sangat ekstrem mengunjurkan gerakan menentang penindasan di dalam sebuah istana penindas – hanya sebuah keadaan di mana ruang ekstrem ini boleh wujud iaitu; teater absurd.


Ini diburukkan lagi dengan kerancuan naratif yang tidak bersikap; khalayak bingung memikirkan apa sikap sebenar pembela sang Uda terhadap Alang Bakhil? Benarkah naskhah agung Sasterawan Negara sampai tidak bersikap sebegini?

Gadis di Kuburan ditulis Usman Awang pada September 1953, menganjurkan penentangan terhadap sang penindas. Dan Datuk Rahim Razali perlu bertanggungjawab terhadap kesalah-fahaman dalam pentafsiran mesej yang sangat jelas ini.

Di antara memasyarakatkan budaya atau pemasaran komersil produk budaya, Istana Budaya perlu segera mengambil sikap atau jika tidak, panggung yang kononnya bertaraf antarabangsa ini akan dikenang sebagai alat sang penindas menindas masyarakat melalui seni!

Jangan merungut soal sukarnya mendapat ‘sponsor’ atau kurang mendapat sambutan jika pokok persoalan naratif atau pemahaman teks dibakul-sampahkan. Hebat memang hebat, jika menilai secara fizikal.

Tetapi kehebatan spiritual lebih diingati. Jika masih hidup, saya tidak fikir Allahyarham Usman Awang akan berbangga jika melihat anak bangsanya dipinggirkan ke hujung tingkat dua atau tiga hanya semata tidak mempunyai cukup Ringgit atau Kuasa, sedangkan bangku kosong masih beratus di hadapan!




p/s: lagi review negatif mengenai Uda dan Dara di sini

Comments:
saya selalu rasa lebih pandai selepas membaca kritikan-kritikan anda!

alangkah bagus kalau saya juga punya kosa kata yang banyak seperti oligarki, absurd, dsb. :)

Uda mencintai Dara, tetapi cinta tidak membawa Uda kemana-mana.

Cinta adalah punca Uda punya Ringgit, tetapi Ringgit tidak memungkinkan Uda memiliki darah bangsawan.

Kita mencintai seni dan budaya. Cinta seperti mana manifestasi dalam naskah Uda dan Dara, tidak akan membawa ke mana-mana.
 
dahsyat, persamaan serentak itu menyentak hati saya..

demikian menyintai seni dan budaya tidak akan membawa kita kemana?

begitukah?
 
tu kena tanya zeti, dia yang jatuh cinta pada seni dan budaya.

cinta adalah wadah. Mahu jadikannya sebagai ruang untuk tapungan sahaja, atau melonjakkan fungsinya sebagai wadah yang menampung makna.

waktu itu, kemana atau dimana kita tidak lagi menjadi soal.
 
Cinta seperti mana manifestasi dalam naskah Uda dan Dara, tidak akan membawa ke mana-mana.

nah!

kan saya dah kata, ini teater absurd!
 
This comment has been removed by the author.
 
terima kasih kerana sependapat dengan kami..

sedihnya kerana ramai yang tidak sedar.
 
KAJIAN SEMASA MENGENAI PERKEMBANGAN WAHABBI DI MALAYSIA, SILA GOOGLE TAJUK-TAJUK SEPERTI DI BAWAH INI:-

(a) SIFAT 20 - http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah
(h) TAJUK KHAS - BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA ASWJ

FAKEH KHALIFAH SAKA
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]