Saturday, June 12, 2010

Analisis ringkas pembentukan kumpulan 'teater-eksperimental' di IPG





Ketika mula mengumpulkan rakan-rakan untuk sebuah persembahan ringkas di maktab beberapa tahun dahulu, saya tidak sangka mereka tegar dan sedegil ini untuk terus kekal sehingga kini.

Tidak terlintas di fikiran saya bahawa kumpulan kecil tersebut akan bertahan dan meneruskan kerja-kerja yang pada mulanya dianggap remeh.

Kumpulan itu (kalau boleh dipanggil kumpulan) tidak didaftarkan, tidak diberi nama, tidak mempunyai pusat untuk beroperasi, malah tidak tetap pula anggotanya.

Memang salah saya kerana segala perancangan untuk membuatkannya menjadi sebuah organisasi independen yang bergerak secara sah, tidak pernah menjadi kenyataan.

Dan salah saya juga kerana meninggalkan mereka terkontang-kanting tanpa wasiat - yang akhirnya menyebabkan kumpulan ini terbiar akhirnya.

Namun itu semua tidak membunuh minat mereka. Siapakah mereka yang menganggotai kumpulan kecil saya sekitar 2007 dahulu?

Saya masih ingat di awal penubuhan keanggotaan kumpulan tersebut, kami hanya berlatih di kawasan lapang. Jarang sekali kami mempunyai set sendiri. Jangan sebut tentang kostum atau props. Semua itu jauh dari jangkauan kami.

Setiap persembahan yang kami jayakan selalunya dimulai dengan regangan ringkas dan sedikit 'idea-project'. Tiada 'skill-drill', tiada monolog, tiada latihan 'gestures'. Kami benar-benar naif. Ilmu teater saya di sekolah tidak memungkinkan saya untuk melatih mereka menurut disiplin lakonan yang 'hidup'. Dan saya pergunakan kenaifan kami itu sepenuhnya untuk membuka topeng watak yang setiap seorang dari kami pakai untuk memakain topeng yang lain pula. Latihan hanya untuk mengisi roh watak - penceritaan kami biarkan berlaku spontan di setiap persembahan.

Dan percubaan tersebut berjaya!

Kami benar-benar berasa hidup ketika memakai 'topeng' lain tersebut.

Apa yang saya lakukan adalah semata mendalami dan menyelami hati dan nurani mereka sendiri. Saya bawa mereka untuk menjadi diri sendiri. Saya pohon mereka untuk memerhatikan dunia ini, langit dan segala yang ada di muka bumi sehingga ia masuk tepat ke dalam sanubari mereka.

Dan hasilnya, saya dapatkan watak yang berbeza setiap seorang dari mereka.

Watak yang berbeza inilah saya gunakan sepenuhnya untuk menjiwai hidup manusia lain. Hasilnya, lakonan yang mereka hasilkan kelihatan begitu bersahaja- natural.

Maka kami dilihat sebagai kumpulan yang mempraktik 'teater'secara harafiahnya, tetapi sebaliknya yang berlaku, kami mengimprovisasi ruang visual 'teater' tersebut daripada sebuah pergerakan absurd yang penuh abstrak kepada sebuah lakuan fizikal yang dipenuhi roh.

Saya kenalkan kepada mereka teknik-teknik tertentu yang digunakan dalam teater tetapi mereka ubah sebahagiannya menjadi 'super-real' yang mana sangat bertentangan dalam prinsip lakonan mana-mana teater sekalipun. Pertentangan ini yang sebenarnya membuatkan kami unik - kami berlakon tetapi kami membelakangkan prinsip-prinsip yang perlu wujud dalam sisi lakonan amatur.

Saya gembira mereka gembira melakukannya. Setiap seorang dari kami berasa puas jika dapat menghayati watak dan memberikan yang terbaik di setiap persembahan. Namun yang lebih besar daripada itu adalah impaknya.

Dan hampir setengah tahun saya meninggalkan mereka, kesemua daripada mereka kembali ketagih untuk memakai 'topeng-topeng' yang dahulu mereka peragakan.

Saya gembira mereka ketagih. Memang sepatutnya mereka ketagih kerana mereka memerlukan ruang untuk melihat kembali dunia dan membebaskan diri mereka dari kehidupan yang super-normal.

Saya cadangkan kepada mereka untuk pantas merekrut adik junior yang lain untuk belajar meneroka sisi-sisi lain eksperimental sebuah produk pseudo-teater sebagaimana yang mereka anuti selama ini.

Berlakon, memakai topeng dan melepaskan diri sendiri sangatlah berlainan dengan mengkareografkan sebuah persembahan.

Dan jika mereka sayangkan sebuah legasi pertubuhan (kumpulan) persembahan teater-eksperimental independan yang jujur dan 'berniat' sifatnya, mahu atau tidak mereka harus segera mempelbagaikan persembahan.

Serta menurunkan pengalaman yang ada kepada adik-adik kerana kerja kalian belum selesai. Biarkan adik-adik meneruskan legasi yang telah kalian bina.

Pesan saya yang utama - niat. Tema biar sensasi (biasanya anti-establishment @ anarkis). Dan yang terakhir; bersikap. Persembahan apa pun jika tidak bersikap - akan mudah dilupakan orang.

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]