Saturday, September 26, 2009

Universiti Apex dah jadi Saiful Apek


PENJELASAN kepada komen Dato' Salleh Majid oleh Datuk Radin Omar (Utusan Malaysia, 23 Oktober 2009) adalah amat menarik. Isu ini boleh dijadikan satu pelantar positif untuk umum membincangkan tentang perubahan kepada pengajian tinggi secara ilmiah demi kebaikan bersama.

Pada saya yang paling menarik sekali adalah istilah overhaul yang digunakan oleh kedua-dua penulis tersebut. Di satu tahap, istilah ini memang tepat untuk menggambarkan satu "pembaharuan" melalui proses pembersihan yang rapi, termasuk mengganti bahagian-bahagian yang tidak lagi berfungsi dan sebagainya seperti mana yang dilakukan kepada enjin kenderaan.

Inilah yang lazim berlaku apabila dioverhaul dengan tujuan membaik pulih sesuatu secara mekanikal. Ia membawa kefahaman bahawa "benda yang lama" diperbaiki/ditambah baik/diperbetulkan supaya prestasi sedia ada ditingkatkan semula.

Pokoknya, sejauh mana sekalipun prestasinya ditingkatkan "benda" tersebut masih yang lama pada asasnya. "Pembaharuan" yang dilakukan hanya secara relatif.

Pada pendapat saya, dalam membincangkan tentang masa hadapan pengajian tinggi amnya, dan universiti khususnya, apa yang utama adalah soal-soal "asas" dari mana terbit segala-galanya. "Asas" tersebut mesti sesuai dengan masa dan ketikanya, lantas prestasi yang dihasilkan turut mendatangkan manfaat sepenuhnya. Dan berkesan pula dari segi kos yang dibelanjakan.

Misalnya, selepas overhaul dilakukan, hasilnya perlu meningkat berlipat-lipat kali ganda ekoran kecekapan
telah ditingkatkan. Namun demikian jika tidak sesuai atau sepadan seperti yang dibangkitkan oleh Dato' Salleh, maka ia akan terus menghantui.

Datuk Radin ada membayangkan cara penyelesaiannya dengan memperkenalkan konsep profil graduan, bermaksud jika profil graduan yang dihasilkan sesuai, maka soal sepadan tidak timbul.

Ini membuka satu persoalan lain: siapa yang menentukan apa yang sepadan atau tidak? Sudah tentu pihak majikan kerana akhirnya perkiraan kita adalah untuk memenuhi sektor pekerjaan. Ini semacam Indeks Prestasi Utama (KPI) sesebuah universiti. Jika semua keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pekerjaan yang sepadan dan cepat, maka dianggap "berjayalah" IPT tersebut. Begitu pula jika di sebaliknya.

Pendek kata, tidak banyak bezanya di antara sebuah "kilang" yang mengilang barangan buatan yang sepadan dengan pasaran, dengan sebuah universiti yang mengeluarkan (mengilang?) "graduan" - asalkan prinsip "keterpasaran" (marketability) dipatuhi.

Seperti barangan perkilangan, selagi ada permintaan, selagi itulah mesti ada pembekalan. Namun kerisauan yang "kita sudah sampai tahap terlalu banyak universiti" menggambarkan pula sumber bekalan sudah terlalu banyak, dan dikhuatiri melebihi permintaan, biar sepadan mana sekalipun!

Mujurlah yang dikatakan universiti khusus seperti - Multimedia, Telekom, Petronas - juga menentukan "permintaan" pasaran (sekali gus merupakan majikan utama kepada industri-industri utama negara). Oleh itu cerita kesepadanan tidak timbul bagi mereka.

Halnya amat berbeza dengan IPT yang lebih umum di mana mencari kesepadanan agak lebih rumit. Ini memandangkan IPT umum juga menyasarkan industri yang sama. Di sini timbul isu keterpasaran, apa lagi sekiranya pasar telah ditepukan oleh graduan universiti khusus tersebut, yang pada adatnya lebih cenderung ditempatkan di industri yang berkaitan.

Selainnya, IPT umum masih memikul amanah menawar dan membangunkan kursus-kursus yang dianggap kurang mendapat pasaran. Misal bidang falsafah, kesusasteraan tempatan, bidang agama, seni, budaya dan warisan. Industri mana agaknya yang memerlukan bidang ilmu ini secara berterusan, kalaupun ada?

Wajarkah oleh kerana tidak ada pasaran bidang-bidang ini dicicirkan dengan sengaja seperti menutup kilang yang rugi? Sudah tentu tidak, kerana apa yang dipentingkan oleh universiti adalah nilai ilmu tersebut berbeza dengan industri. Ternyata terdapat percanggahan nilai ilmu di sini.

Diandaikan sebuah universiti itu adalah "kilang," perhitungannya teramat mudah sekali; lantas IPT swasta lebih berkecenderungan tidak menawar kursus yang tidak laku di pasaran, tidak kira setinggi mana sekali nilai ilmunya! Maka tidak hairan, hampir tidak ada IPT swasta yang menawarkan bidang-bidang tersebut. Kalau ada pun umpama seni, kerana ia boleh dipasarkan! Anehnya IPT swasta rata-rata dianggap lebih berjaya dan kos-berkesan berbanding dengan IPT umum kerana mereka pandai memilih-milih kursus untuk diperagakan.

Ringkasnya, kekusutan ini timbul kerana kita masih tidak jelas tentang apa yang dikatakan "universiti"? Adakah untuk tujuan pasaran semata-mata, seperti yang sering dipolemikkan? Jika ya, apakah akibatnya nanti jika universiti menjadi Pak Turut kepada telunjuk pasaran dengan anggapan ia juga adalah tuntutan negara?

Untuk menjawabnya lihat sahaja apa yang berlaku hari ini di mana Malaysia dikatakan terperangkap dalam tingkat ekonomi sederhana. Antaranya ia disebabkan bahawa universiti atau IPT kita, baik awam mahupun swasta gagal menyediakan graduan untuk tingkat ekonomi yang lebih tinggi gara-gara memenuhi permintaan pasaran yang agak ketinggalan dalam usaha ini.

Dengan kata lain pasaran yang ada tidak langsung berupaya/berminat menjangkau masa hadapan, malah terus ketinggalan agak jauh ke belakang.

Ambil contoh, bidang bioteknologi. Pasaran untuk graduan berkemahiran dalam bidang ini amat terhad, malah tiada langsung beberapa tahun yang lalu.

Jadi apa yang hendak disepadankan jika tiada pasaran, atau terlalu kecil untuk menjadi penentunya. Lantas kita terus tercicir dalam bidang bioteknologi kerana "universiti" kita hanya dikehendaki "mengisi" pekerjaan yang ada dan bukan mengambil risiko membina pekerjaan hari esok.

Jadi tidak hairanlah jika ekonomi kita "terperangkap" dan sukar berkembang maju berlandaskan kepesatan bidang-bidang baru, kerana tiada permintaan pasaran! Hal ini berlaku lagi apabila jika berbincang tentang bidang nanoteknologi sedangkan negara saingan kita telah mencurahkan ribuan juta membangunkan bidang-bidang baru melalui "universiti" mereka.

Di negara maju, universiti menjadi penyuluh masa hadapan untuk membuka pasaran baru dan membina kekayaan negara agar ekonomi mereka terus meningkat maju. Malangnya di Malaysia sebaliknya. Malah "universiti" didesak mengikut telunjuk pasaran bersuluhkan industri yang ada - tidak kira sejauh mana ia tercicir ke belakang, ataupun industri matahari terbenam asalkan sahaja mereka menawarkan pekerjaan.

Oleh itu, apa yang diperlukan bukannya overhaul, tetapi lebih hebat daripada itu. Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengesyorkan tidak kurang daripada "revolusi pendidikan" untuk menangani masa hadapan Malaysia. Ini juga bermasuk "asas" pendidikan yang ada perlu di pugar semula melibatkan semua pihak, peringkat dan dasar.

Perubahan tempelan di sana-sini umpama proses overhaul pada "benda yang lama" lagi usang tidak lagi memadai; dan akan hanya membuang masa dan tenaga sahaja kerana keadaan sudah terlalu banyak berubah, dan tidak lagi sesuai, termasuk konsep sebuah "kilang." Apa lagi jika dihitung hari muka.

Inilah penyelesaian pokok yang perlu segera dilaksanakan. Soalnya bila, kerana ia menuntut satu bentuk keberanian untuk meroboh dan merubah dari segenap lapisan politik, ekonomi dan sosial?


p/s: entri ini disalin dari blog ini. apa yang UMNO buat selama ni sampai nak kena 'overhaul' pula universiti kita ni? entri berikutnya akan mengulas mengenai penjenamaan semula maktab perguruan yang indah kata dari prasarana (IPGM?apa tu?) -->gambar di atas walaubagaimanapun tiada kena mengena dengan entri ini.

Tuesday, September 22, 2009

Vladivostok

di Mitos Pawana.

Sunday, September 20, 2009

Tetapi adalah tetapi.

Apakah rasanya menjadi manusia yang tidak Merdeka pada tahun ini, berhari Raya ataupun menyambut hari lahirnya sendiri?

Masih saya ingat, Sarjan Fadhil, ketua unit semboyan PBSM SMK Khir Johari, agak gelap tetapi bergigi putih. Bersama-sama mereka adalah sekumpulan anak muda yang tabah, Koperal Rizal, Koperal Faiz dan Koperal Hazwan.

Bukan apa, saya akan sentiasa mengenang betapa remaja boleh berubah menjadi sangat tabah ketika berada di dalam disiplin.

Faridah, kenalan rapat, kini telahpun menjadi seorang doktor. Khabar terakhir yang sempat saya terima, mungkin sudah bertugas di sekitar kawasan Tanjung Malim atau Slim River.

Haniza, graduan UPM, juga kenalan rapat saya sewaktu di tingkatan satu hingga tiga. Selain beliau, Huda, Ipin, Bean, Napi dan ramai lagi rakan sekelas adalah murid rancangan khas yang dibawa dari sekitar daerah Batang Padang, kebanyakannya dari Felda Trolak dan Besout. Sekolah di Tanjung Malim ini ada menyediakan asrama buat murid rancangan khas yang jarak rumahnya jauh.

Wan, rakan comel yang agak rendah dari Kuantan, juga adalah rakan sekelas yang banyak bersama saya sewaktu saya bersekolah di Cheras. Batch saya, SMSS 02 adalah batch terakhir pihak kementerian membawa masuk para pelajar yang prestasinya menjanjikan dari tanah rancangan Felda di seluruh negara. Maka memang ramai rakan saya se-batch berasal dari Felda.

Ah, terbaru saya baru sahaja menghadiri majlis perkahwinan seorang anak murid abah, seorang pensyarah muda di UPSI. Khabarnya sudah mempunyai sehingga 4 rumah, dengan tanggungjawab sebagai pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta terkemuka. Beliau menjalankan majlis persandingan santai yang ringkas di rumah ibunya, Felda Sungai Behrang.

Fadhil, Rizal, Faiz, Hazwan dan Faridah adalah dari Felda Sungai Behrang. Haniza dan Bean (kini masih di luar negara melanjutkan pelajaran) dari Felda Besout. Napi dan Ipin dari Felda Trolak. Wan juga dari Felda di Pahang.

Siapakah yang dapat menafikan kehebatan generasi kedua dan ketiga para peneroka Felda di negara ini kini?

Diri saya sendiri sangat rapat dengan warga Felda sejak dari dulu lagi. Mana mungkin saya mampu untuk memandang rendah kepada rakan-rakan yang kini jauh lebih advance dari saya dari pelbagai aspek kehidupan.

Tetapi adalah tetapi. Pepatah berbunyi sebab mulut badan binasa.

Walau apa pun, saya akan biarkan Tuhan menghakimi saya. Tuhan lebih mengetahui apa yang saya maksudkan di dalam hati. Tuhan maha mengetahui segala sesuatu yang telah terjadi.

Kadangkala, nasi memang ditakdirkan untuk menjadi bubur kerana perancangan-Nya, hanya yang Hak mengetahuinya.

Selamat menyambut Eid Mubarak.

Maaf lahir dan batin.

Ingat saudara mara seagama kita di Palestin.

Wednesday, September 16, 2009

Bangganya menjadi anak 1 Malaysia!



Oh, bagusnya, nama Malaysia akan lebih gah begini!

Lebih-lebih lagi dengan warna-warni begitu, sungguh meriah rasanya. Akan lebih meriahlah dunia Formula 1 nampaknya tahun hadapan!

Lebih-lebih lagi, akan memanfaatkan tenaga kerja di Malaysia?

Wah wah wah..sungguh hebat YAB Perdana Menteri kita kali ini!

Sungguh bijak berbelanja ya!

p/s: dengar khabarnya, biasiswa KPM akan ditukarkan kepada PTPTN untuk mengurangkan kos tampungan yang pihak kerajaan sedang biayai..sungguh berhati mulia kerajaan YAB Perdana Menteri, potong duit biasiswa pendidikan anak 1 Malaysia untuk buat kereta Formula 1 ya..yalah, akan menguntungkan sektor pelancongan dan automotif negara kelak..anak-anak 1 Malaysia belajar sambil berhutang pun tak apalah..ekonomi negara didahulukan, pendidikan dikebelakangkan..

Saturday, September 05, 2009

Isu Kuil; Siapa nak jadi hero?

Jangan lupa kata-kata Lenin; politik adalah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa (who could do what to whom).

Secara prerogatif, keputusan kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 adalah dibawah pengaruh kepentingan runcit secara objektif atau dalam kata lain, kepentingan bersama secara kolektif.

Dalam suatu sudut yang lain, konflik di dalam politik merujuk kepada kuasa yakni 'zero-sum game'. Atau secara mudahnya, konflik  'diwujudkan' untuk membenarkan satu pihak yang 'kalah' dan satu pihak lagi yang 'menang'.

Sebab itu apabila melihat kes yang melibatkan isu merentas bangsa dan agama sebegini, paling tidak idea John Locke dalam Two Treaties of Government-nya tidak dapat dielakkan.

Idea tersebut yang telah disiarkan pada 1689 secara ringkas merangkumi 1; kebebasan ekonomi yang bermaksud kebebasan memiliki dan mempergunakannya dan 2; hak-hak semulajadi (natural rights) mengenai kehidupan, kebebasan dan harta yang mana telah menjadi asas kepada  pembentukan idea hak asasi asas kepada blok gelap dunia Eropah yang ketika itu belum terdedah kepada isu hak asasi.

Tetapi umum lupa, Locke bukan seorang ahli falsafah kudus yang suci. Isu berkenaan hak asasi telahpun dilaksanakan dengan jayanya melalui Piagam Madinah oleh Nabi Muhammad SAW jauh lebih awal dari idea Locke.

Diakui sebagai Perlembagaan pertama di dunia, Piagam Madinah mendahului Perlembagaan Amerika Syarikat dan Perancis hampir 12 abad sebelumnya, bahkan ia mendahului Magna Charta Inggeris, hampir 6 abad.

Al-Shaykh Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti menyatakan dalam bukunya yang bertajuk Fiqh al-Sirah Jilid 2, piagam ini menetapkan konsep persamaan antara orang perseorangan atau berkumpulan. Perlu diingat bahagian pertama Piagam Madinah ditulis bersempena menjamin peranan puak Yahudi di Madinah serta berfungsi sebagai perjanjian damai dengan mereka.

Ini dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai menjaga keselamatan mereka dan secara tidak lansung mengelakkan pengkhianatan golongan tersebut. Namun yang paling utama dalam Piagam Madinah adalah berkenaan prinsip 'Ummah'-nya.

Fasal satu Piagam Madinah berkenaan 'Ummah' berbunyi; “Sesungguhnya mereka adalah satu bangsa negara yakni ummat, bebas dari pengaruh dan kekuasaan manusia lainnya’’; - tidak hanya terbatas kepada orang Islam tetapi juga meliputi orang bukan Islam di Madinah.

Bukankah ini selari dengan idea ringkas mengenai hak asasi oleh Locke? 

Apa yang tidak dapat difahami dan dihayati oleh masyarakat Malaysia dalam menempuh isu pembinaan kuil di Seksyen 23 adalah mengenai isu hak asasi yang telahpun dihuraikan dengan contoh oleh Rasullullah SAW - 1400 tahun dahulu, ataupun menurut sesetengah pemikir pasca-revolusi yang menurut mereka dibangkitkan oleh John Locke kira-kira 400 tahun yang lalu.

Saya berpendapat, kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Khalid Ibrahim telah gagal menurut skala makronya kerana tidak berupaya menangani isu ini dengan bijak berdasarkan semangat Satu Malaysia.

Petunjuk awalnya mudah, apabila wujud ketegangan, walau didalangi pihak tertentu, bermakna sesebuah kerajaan tersebut telah gagal 'melakukan sesuatu kepada siapa' sebagaimana yang Lenin ujarkan di atas.

Dalam polisi permainan politik gengsi sebegini, Barisan Nasional aka UMNO bijak memanipulasi keadaan sehingga menimbulkan huru-hara dalam bidang pentadbiran kerajaan sekaligus menimbulkan kesan 'zero-sum game' di mana pihak kerajaan pula yang dilihat bersalah dalam isu ini.

Walaubagaimanapun, pelakuan delinkuen supra-ekstremis juga tidak boleh dibenarkan. Mengarak kepala lembu - binatang suci agama Hindu bukanlah pelakuan yang digemari oleh Rasullullah SAW jika baginda masih hidup.

Pun, toleransi sesama bangsa dan agama menjadi begitu sukar dengan kewujudan puak fanatik dan ekstrem yang kononnya mahu menjaga agama di kawasan perumahan mereka sendiri.

Lebih ber'agama' rasanya, jika penduduk Seksyen 23 mengimarahkan dahulu surau atau masjid di sekitar qariah mereka sebelum tiba-tiba bertindak fanatik taklid yang membuta tuli.

Solat jemaah pun jarang-jarang, tiba-tiba nak jadi hero agama?


p/s: berikutan insiden siang hari tadi (dialog dengan mb), tiba-tiba Satu Malaysia hilang pahala puasa apabila sibuk bertempik memaki carut panel di hadapan sambil berlagak samseng konon-konon nak baling kerusi pula kat minoriti Hindu yang hadir. Rasulullah SAW kalau masih hidup pun tak akan redha pelakuan kenduri benci yang ekstrem sebegitu rupa, hilang pertimbangan rasional tetapi zero tolerancy. gagallah kempen satu malaysia PM nampaknya, selain golongan ini juga memijak-mijak saranan kerajaan iaitu 'budi bahasa budaya kita'. saya sendiri menjadi malu pabila mengenangkan betapa tidak bertamadunnya manusia apabila disentuh begitu sedikit dengan isu kuil, tetapi mereka sendiri terlalu malas untuk menegakkan agama sendiri. ke masjid untuk berjemaah pun tidak, tiba-tiba melenting tak tentu hala kaum lain nak buat ibadat jemaah. apa kes?




Tuesday, September 01, 2009

Pendidikan Negara - Menuju Sparta Moden



Sejarah pendidikan moden negara bermula sekitar tahun 1945 hingga ke 1957 dan dikenali sebagai 'zaman perubahan'. Beberapa penyata telah dikeluarkan, sebehagiannya untuk menyeragamkan polisi pendidikan di antara semenanjung Tanah Melayu dengan Singapura yang berbeza ketika itu, dan juga untuk  menukarkan sistem pendidikan penjajah kepada sebuah sistem pendidikan yang berteraskan kebangsaan. Penyata tersebut adalah Penyata  Barnes-Fenn Wu dan Penyata Razak.

Tiga tujuan utama Penyata Razak iaitu; a) bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, b) Sukatan pelajaran yang sama untuk setiap sekolah dan c) Dasar Pelajaran yang bermaksud menyatukan semua kanak-kanak dari pelbagai bangsa mealui satu peraturan telahpun dilaksanakan melalui Penyata Rahman-Talib kemudiannya, sekitar 1958 hingga ke 1964.

Kelihatan ketika itu, murni sungguh dasar pendidikan negara dari sisi falsafah, terutamanya melalui penggunaan bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu secara unilateral walaupun tidak mandatori (bahasa lain dibenarkan untuk diajar)

Pada tahun 1974, Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Berikutan dengan itu, Kaedah Tatatertib pelajar telah digubal pada 1975, khusus untuk mengawal kelantangan para pelajar dari menunjukkan sokongan terhadap proksi pembangkang.

Secara tepatnya, Akta Universiti Kolej Universiti yang dilaksanakan pada tahun 1971 (berikutan peritiwa 13 Mei 1969) diperkenalkan selaras dengan citarasa Dr Mahathir yang berfungsi sebagai Menteri Pendidikan ketika itu.

Sekitar 1990-an pula, setelah naik sebagai perdana Menteri pada 1982, Dr Mahathir secara 'soft approach' telah cuba mengubah landskap pendidikan negara dengan meminta beberapa Universiti menggunapakai bahasa Inggeris sebeagai bahasa penghantar.

Realitinya kini,  IPTA umum seperti UM & UKM, hanya Fakulti sastera & sains Sosial, Akademi Pengajian Melayu serta Akademi Pengajian Islam sahaja yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.Begitu juga di UTM, USM, UiTM dan UPM,  di anggarkan, tidak sampai 20% sahaja fakulti yang masih mengguanakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Lebih serius, rata-rata IPTS juga menggunakan hampir 100% bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di dalam setiap fakulti mereka.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan dan 'pencipta' Wawasan 2020, pada 2002 Dr Mahathir yang telah menerajui negara selama 22 tahun selaku Perdana Menteri telah mengusulkan sebuah dasar baharu iaitu Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tanpa merujuk kepada Sultan selaku ketua negara, kabinet mahupun ahli cendekiawan, dasar ala-hubris tersebut dilaksanakan setahun kemudiannya, super-mandatori kepada semua Sekolah Kebangsaan (majoriti Melayu) dan ala-fleksibel kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (dibolehkan diajar dalam dwi-bahasa).

Mudah untuk meneliti sisi pemikirannya selaku 'pencipta' Wawasan 2020, Dr Mahathir berpendapat bahawa rakyatnya masih belum bersedia untuk mencapai wawasan yang diimaginasikan oleh dirinya sejak dari dulu.

Maka, sebuah jalan pintas, 'short-cut' telah dibina untuk memudahkan rakyatnya menunaikan impian individualistiknya tersebut; yakni PPSMI, dengan harapan apabila dasar tersebut dilaksanakan, maka rakyatnya akan cepat pandai, mudah bersaing seantero dunia lantas membawa Malaysia lancar di atas platform Wawasan 2020 tanpa mempedulikan pengkhianatan yang dilakukan terhadap Falsafah Pendidikan Negara, Dasar Pendidikan Negara dan yang lebih penting, semangat Perlembagaan Negara.

Sifat ultra-kiasu ini, membakul-sampahkan Falsafah Pendidikan Negara yang tegas menyatakan perlunya kerajaan menyediakan suasana pembelajaran yang adil dan saksama serta capaian ilmu yang sama taraf terhadap setiap rakyat dengan perbezaan mazhab orientasi pedagogi di antara sekolah bandar dan sekolah pendalaman. Kesamarataan tidak mungkin wujud kerana pelbagai faktor seperti kebolehan guru dan aspek kemudahan prasarana sekolah yang berbeza.

Sifat super-hubris ini, menyepak terajang Dasar Pendidikan Negara yang jelas menyifatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar dalam pendidikan, sekaligus menjadi agen perpaduan. Perpaduan akan menjadi mimpi ngeri apabila masyarakat moden di bandar berbahasa Inggeris manakala masyarakat luar bandar masih kekal berbahasa mengikut kaum masing-masing, tanpa mempunyai sebuah bahasa tunggal sebagai pemangkin kesatuan sebuah bangsa berdaulat.

Sifat autokratik-penuh ini, mencaci lekeh Perlembagaan Negara yang terang menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memperlakukan bahasa kebangsaan itu sebagai lekeh, tidak sama taraf dengan bahasa Inggeris, tidak superior malah penyebab wujudnya inferior di dalam diri masyarakat!

Maka setelah 44 tahun Penyata Razak dibentangkan, semangat dan tujuan murni penyata tersebut bukan sahaja dipandang sepi oleh seorang ketua kerajaan, juga diperlakukan seumpama tidak wujud oleh sebahagian besar ahli kabinet yang pada waktu tersebut gagal untuk membantah.

Sistem pendidikan negara bukan sahaja terikat kepada isu 'seindah' dan 'sehebat' PPSMI, lebih agung dari isu bahasa, orientasi dan pelaksanaannya secara mudah dilihat terpesong jauh dari sikap dan sifat asalnya sebagai sebuah alat pendidikan.

Murid difragmen-fragmenkan kepada 'streaming' yang dianggap perlu, walhal pengasingan murid kepada sistem berdasarkan 'SAINS' dan 'SASTERA' ini dilihat cuba memandang rendah keupayaan murid untuk meneroka potensi diri yang lebih terbuka.

Pengsingan ini menyebabkan 'SAINS' menjadi terlalu eksklusif, terhad kepada murid yang pandai dan bijak sahaja, manakala 'SASTERA' dihuni oleh murid yang tidak mempunyai arah tuju yang lain atau secara sinisnya dipaksa belajar bukan berdasarkan minat.

Implikasinya, dua teres strata lapisan masyarakat wujud, dengan sikap ahli 'SAINS'  yang tidak pandai melihat secara seni atau estetik kerana tidak diberi peluang mengaji bahan 'SASTERA', manakala masyarakat 'SASTERA' pula kekal wujud sebahagi masyarakat kelas bawahan kerana tidak terlibat secara lansung dalam persaingan globalisasi dunia yang berteraskan teknologi.

Lapisan masyarakat seperti ini pada akhirnya, akan menyumbang kepada ketidakseimbangan sumber manusia dari sudut vektor kepada negara, lantas keputusan-keputusan yang dibuat oleh kelas atasan menjadi terlalu analitik, pragmatik serta tidak praktikal secara menyeluruh kerana ketiadaan unsur estetik seperti yang selalu dianjurkan oleh dunia 'SASTERA'.

Negara kita, setelah mencapai status kemerdekaanya yang ke-52 semalam, sedang menuju pantas melalui pendidikan untuk menjadi negara Sparta moden yang bercorak 'aristokratis'. Kanak-kanak dilahirkan untuk kuat fizikal, dilatih untuk berperang dan hidup semata untuk kekuatan. Bayi yang lemah akan dibunuh kerana akan memalukan negara.

Tiada bezanya di antara Sparta atau Malaysia, mana-mana murid yang lemah, tidak kira sekolah bandar atau pedalaman, sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan, akan dipilih untuk menghuni masyarakat kelas bawahan, dilatih sebagai pekerja suruhan, dalam kata yang lain, hidupnya dibunuh oleh masyarakat kelas atasan kerana tidak mampu bersaing!

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]