Tuesday, January 27, 2009

MENELITI THE KITE RUNNER DARI SISI PHILEIN & SOPHOS

MENELITI THE KITE RUNNER DARI SISI PHILEIN & SOPHOS







Dalam falsafah, dua kerangka utama yang maha penting adalah philein yang bermaksud 'menyintai' dan sophos yang bermaksud 'hikmah'.

Tulisan ini akan berusaha mencari maksud falsafah yang berasal dari Greek itu iaitu 'kecintaan terhadap hikmah' yang boleh dimiliki setelah membaca karya bestseller pengarang Afghanistan, Khaled Hosseini, The Kite Runner.

Memang ada keresahan yang bertimpa sewaktu meregang selak halaman Riverhead Books karya Khaled Hosseini ini.


Karya ini malah telah mendapat anugerah dari UNHCR dalam Humanitarian Award 2006 . Dalam hutan kemanusiaan ciptaan Khaled Hosseini inilah saya terpenjara sendirian, tercari-cari makna kemanusiaan menurut fahaman dan mazhab definisi pengarangnya.

"Tonight I'm too much happy". "Tonight I'm drinking with my son".
Baba finished his beer in three gulps and order another.


I bow to the west. Then i remember I haven't prayed for over fifteen years.


Benar karya ini berjaya kerana tindanan konflik demi konflik yang menimbulkan kesan emosi dek mainan isu kemanusiaan lantaran konflik di Afghanistan.

Kita ketahui oleh sebab rasa bersalah yang amat sangat di dalam diri Amir terhadap Hassan, saudara sebapanya maka akibatnya telah menyebabkan dirinya sanggup kembali ke Afghanistan walaupun ketika itu Afghanistan digambarkan berada di dalam gengaman Taliban yang terlalu konservatif.

Walaubagaimana hebat sekali pengembangan plot serta sub plot-sub plot yang pada akhirnya hanya memberi kesan emosi kepada pembaca, tidak dapat memaafkan tautologi pengarang yang secara sedar dan sengaja mengisi watak Baba serta Amir sebagai seorang penganut agama Islam yang tidak mengamalkan ajaran yang sebenarnya.

Yang lebih menggunjingkan, mengapa pengarang sebagai anak kelahiran jati Afghanistan memaparkan kelemahan Afghanistan serta budayanya sebagai latar waktu malah secara sinis menggambarkan Amerika sebagai simbol harapan terutama selepas kejatuhan era Taliban pasca 11 September.

Sedar atau tidak, pengarang telah memaksa pembaca bersetuju dengannya bahawa premis perbandingan yang terbaik adalah mitos dunia baharu dengan utopianya (di dalam konteks ini; Amerika) serta keberadaan negaranya sendiri yang telah digambarkan secara berbeza sekali.

Hulmes sewaktu membincangkan Handbook of South American Indians telah menarik perhatian bahawa penggunaan kata emotif yang telah distereotaipkan dengan keganasan. Yang ganas itu tentulah di luar dunia peradaban (di dalam konteks ini tentulah; Afghanistan).

Penggambaran, imaginasi, paparan atau sudut pandang yang pengarang tonjolkan terhadap negara, bangsa serta budayanya malah menyentuh sisi agama Islam adalah sesuatu yang sangat mirip sebagaimana para orientalis melihat blok Asia.

Oleh kerana keasyikan pengarang mahu menonjolkan sisi gelap Afghanistan tanpa memerikan penyelesaian konkrit terhadap masalah tersebut, maka The Kite Runner mengitar seputar dunia selebriti novel-novel popular yang sebaris dengannya.

Oleh kerana kesesatan yang saya alami dalam mencari makna falsafah, hakikat kemanusaan itu sendiri serta seni sastera Islam yang membumbui novel ini telah merencatkan entusias yang saya alami sekitar ulas-ulas 'hebat' yang didendangkan kepada saya.

Sastera yang berjiwa Islam itu bagaimana? Abdul Hadi W. M. dalam kertas kerja Hari Sastera 1983 yang telah dibentangkan di Johor Bahru menyatakan tujuan seni dan sastera yang sejati, sastera yang memiliki tempat penting dalam revolusi kenabian, adalah ikut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan peribadi pembacanya. Beliau menambah lagi, seni yang baik terletak pada kemampuannya dalam ikut memperkuat individualiti, sebab kekekalan itu itu hanya dapat dicapai melalui ekspresi peribadi.

Sedangkan kesan spiritual, amukan semangat ataupun paling tidak, bujukan emosi gagal meresap masuk walaupun setelah dibelek helaiannya sehingga ke titik yang terakhir.

Mainan emosi sekitar penderitaan, konflik adik beradik, kesan peperangan dan hubungan anak-ayah hanya menyaluti hati dan pemikiran saya, tetapi gagal memberi makna dek lantaran kegagalan watak antagonis dan protagonisnya menimbulkan kesan spiritual yang diharapkan.

Saya mengharapkan sebuah karya yang membujuk agung kehebatan negaranya sendiri, mengangkat tradisi bangsa sebagai warisan dan bukan mainan serta yang paling penting, menitikberatkan aspek spiritual di samping pemboikotan terhadap segala macam entiti negara penjajah.

Pengarang secara sedar atau tidak telah meletakkan Amerika sebagai harapan baharu, lantas berjaya membina tembok yang besar mengenai persepsi buruk terhadap Taliban malah menyebarkan ideolognya lantaran kejyaaan karyanya tersebar luas di merata dunia serta membentuk khalayak pembacanya sendiri.

Pengikutnya yang tidak memahami agama Islam akan kekal meminggirkan Islam lantaran kegagalan pengarangnya menonjolkan jati dirinya serta gambaran kebusukan budaya konservatif milik dunia Islam oleh pelaku Taliban.

Etimologi falsafah yang bertolak dari philein dan sophos seperti yang telah dibicarakan di atas menawarkan dua jalan iaitu kemungkinan menyintai tanpa memiliki ataupun hikmah yang akan membawa kebahagiaan.

Khalayak kemungkinan besar terpesona dengan kebolehan pengarang memainkan emosi melalui kehebatan sebab-akibat, susun atur plot serta tindanan konflik demi konflik yang dihadapkan sewaktu pembacaan.

Namun yang demikian kepesonaan ini tidak membawa sebarang makna lantaran kegagalan pengarang menawarkan hikmah dari sudut ambiguiti moral terhadap agama.

The Kite Runner, tidak lebih dari sebuah novel supra-orientalistik yang melihat Asia dari kaca dan mata Barat, tanpa pertimbangan spiritual kerana pengarangnya gagal membuahkan pencerahan kepada pembacanya.


p/s: ulasan ini walaubagaimanapun tiada kena mengena dengan filem The Kite Runner yang telah ditayangkan pada tahun lalu.

Thursday, January 01, 2009

BICARA TUNAS - ZUL FIKRI ZAMIR BIN MOHD MUNIR - TUNAS CIPTA DISEMBER 2008

BICARA TUNAS - ZUL FIKRI ZAMIR BIN MOHD MUNIR, TUNAS CIPTA DISEMBER 2008



This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]