Saturday, February 23, 2008

MAHASISWA DUNIA BARU

MAHASISWA DUNIA BARU


Ramai rakan menempelak kenyataan pembangkang beberapa hari lepas iaitu memberi jaminan kebebasan demonstrasi aman sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan.

Dan yang lebih menarik, rakan yang menjuihkan bibir dengan kenyataan pemimpin pembangkang tersebut belum lagi mendaftar sebagai pengundi, walau sudah melepasi takat umur yang dibenarkan untuk mengundi.

Yang menarik untuk diperbahaskan bukan mengenai kenyataan pemimpin pembangkang tersebut, namun reaksi reaktif golongan pelajar aka mahasiswa kita.

Retorik akan tetap kekal sebagai retorik, namun kesedaran adalah sebuah sisi lain yang perlu diberi perhatian.

Samada janji-janji pihak pembangkang untuk menurunkan harga petrol, membeli konsesi tol di seluruh negara mahupun kebenaran mengadakan perarakan aman dianggap sebagai retorik politik semata, bagaimana pula sepatutnya kacamata para pelajar aka mahasiswa melihat janji-janji kerajaan dalam memelihara bahasa, memulihara masalah sosial dan jenayah serta pulangan faedah yang efektif kepada rakyat di atas penghantaran seorang rakyat negara ke stesen angkasa lepas selama beberapa hari?

Bagaimana pula dengan kegagalan kempen cintai sungai yang secara terang-terangan tidak efektif, kegagalan kempen tak nak merokok serta kenaikan kos sara hidup yang sekian lama semakin mencengkam kehidupan rakyat kelas bawahan?

Tidak sedikit rakan saya yang tidak ambil peduli dengan soal undi dan politik ini. Tetapi tidak sedikit juga rakan saya yang berbuih mulut bersembang itu dan ini mengenai senario politik negara.

Dan yang berbuih mulut itulah juga, salah seorang daripada segelintir rakyat Malaysia yang tidak ambil pusing dengan hal mengundi ini.

Dan yang lebih menyedihkan, mereka adalah mahasiswa.Di mana mahasiswa yang menggugat negara pada suatu masa dahulu?

Inilah senario stamina mahasiswa kita pada masa kini.

Di mana mahasiswa kita? Jom heboh? Panggung wayang? Program realiti tv? Dunia baru?

Kalau beginilah keadaannya, nantikan sajalah balasan yang bakal Tuhan timpakan kepada kita.

Memupuk kesedaran adalah keperluan terpenting dalam menyemat kemandirian mentaliti yang sihat terutama keperluan stamina golongan muda mempersembah dan menterjemah kehendak, pemikiran dan sisi-sisi anjakan paradigma dogma tindakan yang selama ini dikongkong.

Kerna sisi rangka fikiran logis adalah hak mutlak si pemikir, maka stamina kausaliti yakni sebab dan kesan haruslah dipelajari dan dikembangkan terutama dalam menilai kelemahan dan sisi kelebihan dan faedah efektif yang perlu diberikan kepada rakyat, terutama semasa pemilihan calon pilihanraya umum kali ini.

Kerna kesalahan mamilih akan mengundang padah. Sebagaimana maruah dan budaya kita yang tercabar selama ini.

Kerna sebarang ketidakpekaan kita pada masa kini, akan mengundang masalah kepada anak cucu kita pada masa hadapan. Sebagaimana apa yang perlu kita tanggung dengan Singapura kini, masalah pambayaran air mentah dengan harga yang terendah di dunia!!

Sunday, February 17, 2008

KEMPEN!! KEMPEN!! KEMPEN!!

KEMPEN!! KEMPEN!! KEMPEN!!



Benar kata Lenin, politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa (Who could do what to whom).

Apakah mahu kita menjadi mangsa ideologi autoritarianisme? Fahaman yang menyokong campurtangan pihak berkuasa pemimpinnya untuk mempunyai kuasa penuh eksekutif dalam mengawal pihak berkuasa seperti polis?

Dan menjadi sebuah masyarakat autoritarian yang setia kepada pihak berkuasa dan percaya kepada mereka dan kurang memberi keutamaan kepada hak individu, sehinggakan rakyat sanggup menjadi hamba kepada kerajaan?

Atau kita memang mahukan totalitarianisme yang secara luarannya mempunyai persamaan dengan autoritarianisme? Kerajaan yang berkuasa menyekat hak asasi dan menindas rakyatnya secara kejam?

Pilihan raya hanya sebuah mekanisme. Kita yang menentukan kehendak dan siapa kita. (Itupun kalau pilihan raya tersebut tinggi tahap kebolehpercayaannya)

Terus terang, saya lebih rela hidup sebagai pejuang Palestin daripada bersenang lenang di sebuah negara beragama Islam Hadhari ini.

Adalah lebih bermaruah untuk berjuang menegakkan agama daripada kemaluan membayar saman remeh temeh seperti kesalahan parkir ataupun tidak mengikat tali topi keledar, walau hidup dalam aman dan damai.

Hakikatnya aman dan damai tersebut, kebajikan sebagai penduduk tidak pernah saya kecapi (tuduhlah saya tidak bersyukur sekalipun) kerana kekejian dan kejijikan hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai sistem kehakiman yang lansung tidak boleh dipercayai.

Lebih dari itu, keamanan dan kedamaian yang kita kecapi sebenarnya adalah sebuah pencabulan hak dan maruah kerana dalam masa yang sama, sistem tulisan dan bahasa yang kita miliki telah dijual dan dibunuh secara terang-terangan.

Mereka tukar sistem tulisan Jawi. Mereka hilangkan bahasa Melayu dari sistem pendidikan. Mereka jual sastera kita dengan harga yang murah.

Sistem tulisan dan bahasa kita, dijual dan dibunuh secara terang-terangan.

Di mana maruah kita?

Berapa harga muka bangsa kita?

Dan anda masih mahu mengundi mereka?


MEMASYARAKATKAN FUNDAMENTALISME

MEMASYARAKATKAN FUNDAMENTALISME

Bukankah Islam sebagai ideologi telah membuktikan dirinya dapat bertahan sehingga kini? Islam bukan gerakan kekirian, walaupun kelihatan sebegitu di Turki, Lebanon, Indonesia mahupun Malaysia sendiri.


Mengenai isu perselisihan pendapat antara Ahli Sunah Wal Jamaah dan Syiah, beliau berkata, selagi semua pihak berpegang kepada akidah yang sama, mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan semua nabi serta mengiktiraf sahabat-sahabat Rasulullah, perbezaan yang berlaku itu tidak harus menjadi punca perpecahan.

‘‘Bagi saya tiada bezanya antara Ahli Sunah dan Syiah kerana kedua-duanya masih berpegang kepada akidah yang satu dan kita semua tetap bersaudara,” katanya lagi.

Ditanya mengenai langkah kerajaan Iran membina teknologi nuklear bagi tujuan menjana tenaga elektrik, Tantawi berpendapat setiap program yang memberi manfaat kepada rakyat hendaklah disokong.

‘‘Apa jua projek yang tidak memudaratkan rakyat, hendaklah disokong sepenuhnya,” ujarnya lagi.



p/s: baca penuh disini.


Saturday, February 16, 2008

NEGARA POLIS

NEGARA POLIS


Kali terakhir saya disaman adalah kerana membawa motor pada kelajuan 83 km/j di kawasan 60 km/j.

Dan baru sebentar tadi, saya disaman lagi, dengan motor Suzuki RC80 keluaran tahun 1980 kerana tidak mengikat tali topi keledar.

Saya adalah pengguna jalan raya di Malaysia yang mempunyai segala keperluan utama seperti lesen dan cukai jalan yang sah. Malah motor saya juga menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan umNO aka Islam Hadhari versi Pak Lah.

Benar, bunyinya terlalu emosi dan peribadi. Namun saya bukanlah pemegang jawatan kerajaan yang mendapat gaji setiap bulan. Saya adalah seorang pelajar tanpa pinjaman PTPTN yang memerlukan wang untuk pelbagai keperluan lain. Bukan untuk membayar saman semata.

Malah kalau ditinjau dari sisi yang lain, apakah cara yang digunapakai oleh polis umNO di Malaysia adalah cara yang terbaik dalam menangani masalah di jalan raya dalam masa yang sama menurunkan kadar kemalangan?

Cara terbaik adalah mendidik. Bukan menghukum semata. Perlu diingatkan mengapa sekian banyak kempen yang dijalankan gagal menurunkan kadar kemalangan di negara ini.

Benar, memakai topi keledar tanpa mengikatnya dengan betul adalah satu kesalahan. Namun menghukum seorang pelajar yang mempunyai keperluan lain untuk kegunaan wangnya dengan saman berharga RM100 adalah tindakan paling bijak yang boleh dilaksanakan oleh pegawai bawahan polis-polis umNO ini.

Tidakkah menegur dengan cara baik lebih berkesan daripada menghisap secara zalim sebegini. Sudahlah kos sara hidup menyesakkan. Harga minyak yang tidak rasional dengan sebuah negara pengeluar minyak. Tol-tol menaikkan tarif sesuka hati. Harga makanan naik berkadar terus dengan kenaikan harga tepung dan roti, gula dan minyak.

Apa lagi cara yang paling berkesan boleh dilakukan oleh pihak polis dalam menangani masalah jenayah dan kesalahan lalu lintas di negara ini?

Dengan meningkatnya bilangan 'abang kucing' dan kehilangan kanak-kanak di merata tempat. Masalah sosial semakin meningkat. Korupsi bukan setakat di bangunan parlimen mahupun kabinet kerajaan, malah meresap jauh dalam institusi kehakiman. Sehingga teks penghakiman ditaip oleh seorang peguam kerna hubungan baiknya dengan seorang jutawan judi.

Dan kalau kebenaran adalah hak, saya dengan rendah diri akan mambayar saman tersebut. Namun bagaima dengan pesalah dalam kes Lingam? Altantuya? Dan seribu satu kes lagi yang melanda negara Islam Hadhari versi umNO ini?

Malaysia apa yang kita bina atas nama kerajaan polis ini?

Kerna sibuk menyaman, memang patutlah kes Nurin dan adik Sharlinie masih terkial-kial tidak dapat diselesaikan.

Kerna polis bukan lagi jentera kerajaan.

Kerna polis adalah jentera umNO.

Inilah negara berkebajikan yang paling layak yang akan saya undi pada 8 Mac nanti.


Saturday, February 09, 2008

Apa Reaksi Pelajar Kita Yang Tidak Bertudung?

Apa Reaksi Pelajar Kita Yang Tidak Bertudung?


Khamis lepas sidang Parlimen Turki meluluskan Rang Undang-Undang baru yang mengizinkan pelajarnya bertudung ke Universiti.

Kebenaran adalah tunggal.

Yang hak akan kekal walau diasak zaman.

Kecuali untuk masyarakat cetak rompak, bangsa kartun ataupun kerajaan pop. Yang masih terkial-kial menangani kebenaran.

Dan beberapa jam yang lalu, kesemuanya bersinar kembali.


Turkey's parliament on Saturday approved two constitutional amendments that would lift a decades-old ban on Islamic head scarves in universities, despite the fierce opposition of the secular establishment.

Parliament voted 403-107 in favor of the amendment that would insert a paragraph into the Constitution stating that everyone has the right to equal treatment from state institutions. The lawmakers voted 403-108 to approve the second and final amendment that says "no one can be deprived of (his or her) right to higher education," Parliament Speaker Koksal Toptan said.


In predominantly Muslim Turkey, which seeks European Union membership, Prime Minister Recep Tayyip Erdogan's Justice and Development Party has channeled the frustration of devout masses, who feel excluded from the establishment, into political action.

"We will end the sufferings of our girls at university gates," Erdogan said Thursday in reference to pious female students who have been forced to remove their head scarves at the entrance to campuses. Some have attended classes wearing wigs.


"This is a Black Revolution! The head scarf is a political symbol," charged Canan Aritman, a lawmaker from the Republican People's Party. "We will never allow our country to be dragged back into the dark ages." Kamer Genc, an independent lawmaker, said the approval of the law would amount to "the death of the secular republic."

"This law will create chaos in universities and will lead to the disintegration of the nation," Genc said.


p/s: baca penuh disini

Friday, February 08, 2008

binatang prasejarah?

BINATANG PRASEJARAH?


Mengakulah kita bahawa atas dasar kapitalisme, liberalisme dan globalisasi, harus kita korbankan bahasa dan sastera kita sebagai perjanjian timbal balik dengan kemajuan yang akan diperolehi kemudian. Dan sebagai kos lepasnya, akan ada sedikit masalah pencemaran budaya serta peningkatan masalah sosial.

Kerna tiada kayu ukur yang konsisten mengenai keupayaan bahasa dan sastera dalam pembinaan peradaban dan tamadun bangsa, maka atas alasan apa pula harus kita pelihara dua objek prasejarah tersebut? Atau yang lebih tepat, binatang prasejarah?

Kan tiada siapa lagi yang mahu peduli.


Hakikat Kepupusan?

Terus terang saya katakan, bahasa Melayu harus direvolusikan dan diluaskan penggunaannya. Kalau setakat membesarkan saiz tulisannya di lapangan terbang sahaja tidak mencukupi. Ramai di antara kita sekadar menganggap bahawa bahasa Melayu kurang nilai komersialnya berbanding dengan bahasa Inggeris dan saya juga berpendapat bahawa ada benarnya anggapan tersebut.

Ramai yang berfikir, lebih baik menguasai bahasa Inggeris manakala bahasa Melayu sekadar boleh cakap dan faham, cukuplah.

Realitinya bahasa Melayu semakin pupus. Sesuatu harus dilakukan.


p/s: baca penuh disini


Saya Juga Mahu!

“BERMULA sekarang saya akan menghasilkan karya-karya popular dan picisan. Mudah-mudahan satu masa kelak ia dapat dijadikan teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas)”.

Demikian ungkapan penyair dan penerima SEA Write Award, Dr. Lim Swee Tin kerana beliau melihat karya-karya popular dan picisan lebih mendapat tempat dalam berbanding dengan teks serius dalam Komsas.

Oleh itu, beliau berpendapat wajar sahaja untuknya beralih arah melahirkan karya-karya popular dan picisan kerana seolah-olah kehendak khalayak sastera Malaysia seperti itu.

Baginya untuk apa beliau terus berkarya dengan melahirkan karya-karya serius, ‘berat’ dan memuatkan pelbagai pemikiran serta idealisme, sedangkan ia tidak diterima oleh masyarakat.

Apa lagi Pusat Pengembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran dalam senarai teks untuk Komsas 2010 meletakkan karya-karya popular dan picisan. Kononnya teks serius tidak sesuai kerana ia membebankan pelajar.

“Ada rasa dukacita yang mendalam secara peribadi apabila karya saya tidak boleh diajar kepada anak-anak bangsa. Padahal sekolah adalah permulaan untuk mereka mengenali serta membina peradaban.

“Jika di sini sahaja mereka telah didedahkan dengan karya-karya popular dan picisan selama 10 tahun (pengunaan teks biasanya diganti setiap satu dekad) hingga 2020 kita telah memberi satu imej buruk kepada sastera tanah air,’’ katanya.

Dalam pengertian lain, Swee Tin berpendapat, generasi muda Malaysia diberi pendedahan bahawa sastera popular dan picisan merupakan imej sebenar dunia kreatif negara ini.

Di satu sisi, Sasterawan Negara dan seluruh pengarang serius terpaksa memikul beban ‘dosa’ intelektual kerana membiarkan generasi muda diajar dengan karya popular dan picisan.

Sememangnya tidak ada mana-mana negara di dunia yang menggunakan karya-karya popular dan picisan sebagai teks dalam pendidikan. Perkara inilah yang mengecewakan Swee Tin dan para Sasterawan Negara termasuk Datuk A. Samad Said.

Mengulas mengenai keputusan A. Samad untuk tidak lagi menggunakan gelar Sasterawan Negara, Swee Tin berkata, ia berkaitan dengan rasa kesal dan kecil hati beliau dengan cadangan (keputusan?) PPK tersebut.

A. Samad bukan merajuk. Cuma kecewa dengan cadangan PPK untuk menggunakan karya-karya popular dan picisan sebagai teks kajian Komsas yang akhirnya akan menjerumuskan generasi muda ke kancah krisis intelektual.

Di sisi lain, Swee Tin melihat keputusan PPK itu juga sangat aneh apabila tokoh-tokoh sastera yang diangkat serta diiktiraf oleh negara melalui proses pemilihan yang ketat tetapi karya-karya mereka dipinggirkan kerana dianggap berat untuk dipelajari di peringkat sekolah menengah dalam Komsas.

“Kita perlu ingat karya-karya Sasterawan Negara adalah batin, simbol peradaban dan falsafah bangsa. Tetapi dengan alasan sukar difahami kedudukan karya mereka dinafikan.

Di sebalik, persoalan ‘berat’ karya- karya oleh Sasterawan Negara tersebut, kenapa generasi terdahulu mampu menguasai sastera negara baik walaupun mereka mengkaji karya - karya Sasterawan Negara dan pengarang luar negara seperti Pramoedya Ananta Toer (Indonesia)?

Menurutnya kesulitan memahami karya-karya Sasterawan Negara atau apa juga karya serius bukan persoalan yang mesti dijadikan alasan oleh PPK.

Seperti yang dijelaskan oleh beliau, sesebuah karya sastera adalah wacana tentang estetika. Melakukan pembacaan terhadap teks bererti akan membawa khalayak kepada nilai-nilai keindahan.

Alangkah absurdnya mencari sesuatu yang baru dalam setiap teks sastera tersebut. Lebih-lebih lagi dalam konteks estetika, ketika sesuatu idea lama dan yang baru itu bersatu sebagai wacana, pemikiran dan pokok intelektual.


p/s: baca penuh disini


Kejutan

Atas nama perpaduan beberapa ketua pegawai eksekutif ini, tanpa mengira bangsa memberi ucapan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Cina berkaitan perayaan terbabit sehingga seolah-olah penulis berasa berada di negara luar dan bukannya di Malaysia!

Semuanya ini kerana bahasa yang digunakan dalam iklan terbabit tidak mencerminkan hakikat bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini dan perkara terbabit tidak akan menimbulkan kejutan sekiranya berlaku di Singapura.

Penulis boleh menerima iklan terbabit tanpa sebarang songeh, sekiranya berada di Singapura kerana negara jiran itu memperakukan bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi mereka, meskipun dari segi amalan penekanan lebih kepada bahasa Inggeris serta Mandarin.

Alangkah moleknya, sekiranya iklan terbabit turut menyertakan ketua pegawai eksekutif syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia biarpun hanya seorang, turut menghulurkan ucapan perayaan terbabit dalam bahasa Melayu sebagai tanda menghormati Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Tidak dapat dipastikan sama ada konglomerat yang menaja iklan terbabit sedar dengan ‘penghinaan’ secara terselindung ini atau agensi pengiklanan sengaja mengambil kesempatan melaksanakan agenda tersembunyi ini.

Berkemungkinan sikap tolak ansur orang Melayu pada semua peringkat kedudukan termasuk orang politik, mendorong kelompok tertentu cuba bersikap biadap dengan cara memperlecehkan bahasa rasmi negara ini melalui iklan yang memberi pulangan lumayan kepada stesen televisyen swasta itu.

Sebuah lagi iklan, juga pada waktu utama siaran bukan saja menidakkan kedudukan bahasa Melayu, tetapi juga melalui penampilan watak mewakili hanya dua kaum di negara ini dan melenyapkan kewujudan orang Melayu di bumi Malaysia.

Amat menyedihkan iklan sedemikian mendapat tajaan daripada syarikat gergasi negara yang sepatutnya lebih peka akan sumbangan kecil mereka terhadap memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia selain kepada pembangunan ekonomi.

Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan peraturan tertentu bagi memelihara kedaulatan bahasa Melayu di semua stesen televisyen negara ini dengan menyerahkan perkara terbabit kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Penerangan.

Malah, aspek penguatkuasaan berhubung perkara terbabit juga wajar diserahkan kepada kedua-dua kementerian terbabit yang pada masa ini hanya menyediakan garis panduan penyiaran dan kod kandungan.

Peraturan sedia ada, Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula, tidak merangkumi iklan di televisyen manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tiada hak penguatkuasaan.

Mungkinkah paparan iklan ini boleh ditafsir sebagai masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang begitu malu jika berbahasa Melayu, meskipun hakikatnya mereka hidup aman dan meraih pulangan lumayan dalam bidang ekonomi di negara seribu rahmat ini.

Apakah dalam menterjemah perpaduan negara, kita sanggup melakukan apa saja meskipun bahasa ini sudah membuktikan ia mampu melahirkan graduan dalam pelbagai bidang dan seorang anak didik bahasa kebangsaan, sudah pun menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).



p/s: baca penuh disini




Thursday, February 07, 2008

KERAJAAN POP

KERAJAAN POP

Agaknya sebab apa si kapitalis Astro mampu menghedoniskan rakyat semenanjung emas ini dengan seribu satu macam program ala tom-tom bak, Afundi, Si Afi dengan abahnya itu serta pelbagai saluran kartun lain yang telah mengkartunkan pemikiran anak-anak hingga kepada ayahnya sekali.

Agaknya sebab apa Pusat Perkembangan Kurikulum tergamak mengenepikan wacana sastera daripada menjadi sebahagian daripada item perlu dipelajari oleh anak watan?

Kerna kerajaan pop fungsinya hanyalah untuk berhibur libur. Bukan berwacana.

Siapa lagi yang sensitif dengan isu bahasa? Sastera?

Indoktrinasi. Indoktrinasi. Selagi boleh.

Itulah kerajaan pop.

Wednesday, February 06, 2008

BANGSA KARTUN

BANGSA KARTUN


Bangsa kartun adalah bangsa yang menjual bahasanya sendiri. Bangsa yang tidak segan bermain wayang antara hakim dan peguamnya. Bangsa yang tidak malu bermain silap mata antara angka 6 dengan 22. Dan bangsa yang tidak malu menumpang teksi ke angkasa.

Kerna pejabat polis bahasa yang berhadapan dengan kedai keranda Kiet Loong. Kerna tiada bezanya antara 'looks like me, sounds like me'. Kerna 22 adalah 6. Kerna boleh menguja rakyat menghabis duit sehingga RM40 ke pameran berkaitan angkasa.

Kerna perbezaan pendapat dibolehkan.

Maka kebenaran adalah pelbagai.

Kebenaran adalah pelbagai.

Inilah falsafah bangsa kartun.

Saturday, February 02, 2008

Fragmen 'Gerabak Ketujuh'

FRAGMEN 'GERABAK KETUJUH'



Baginya, hidup mati itu, hak Allah SWT. Otaknya delik, penuh dengan segala macam katarsis, daripada kecelaruan yang memenuhi segenap ruang jantungnya itu. Fikirnya, tentang mitos. Mitos yang selama ini menyelaputi setiap inci pemikiran dirinya. Orang kampung, masyarakat serta dunia sekelilingnya. Gambaran tentang masyarakat peribumi, yang sengaja dipesongkan oleh masyarakat dan bangsa penjajah. Fikirnya, fahaman kepenjajahan menyematkan gagasan yang layu terhadap masyarakat peribumi, Melayu, dalam usaha mereka membenarkan amalan penindasan dan ketidak adilan terhadap masyarakat peribumi tersebut. Hasrat sikap berbentuk ‘malas’ disematkan agar membenarkan alasan penaklukan dan penguasaan mereka terhadap setiap inci Tanah Melayu ini. Otaknya ligat berfikir, padanya, idea ini kemudiannya berlarah-larahan dengan pelbagai bentuk pemesongan unsur-unsur kenyataan sosial yang seterusnya akan menjamin bentuk gagasan yang sesuai dan dikehendaki oleh mereka. Lantas timbul pula paluan dari pariwarta-pariwarta yang bertajuk untuk memburukkan daya pemikiran peribumi, serta sejarahnya yang buruk, berkisar hanya kepada khayalan, tidak senonoh, kebohongan semata malah kebodohan pula dalam segala macam jenis tingkah laku meraka. Dia ketawa sendirian.


p/s: cerpen ini memenangi hadiah Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka anjuran DBP yang disampaikan pada 29 Januari yang lepas.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]