Thursday, November 29, 2007

CINTA, CINTA & CINTA

CINTA, CINTA & CINTA


Kami menangis tersedu-sedu,
sebab kami mendengar si miskin
yang mengerang, dan kaum
tertindas yang merintih

Akan tetapi kalian tertawa ria,
sebab mendengar suara gelas anggur
yang berdenting,
dan celoteh gadis-gadis remaja

Kahlil Gibran, Cinta Sepanjang Masa
Kami menangis tersedu-sedu,
memikir harga roti, minyak dan tol
yang mengerang naik
dan tak mau turun
Akan tetapi pemimpin tertawa ria,
sebab mendengar suara wang
yang berdenting,
dan celoteh harta yang dikaut

Friday, November 23, 2007

Semalam

Semalam



Dalam banyak jalan, apa kriteria yang membuatkan kita memilih jalan sekarang?

Adakah sebab pohon? Pohon keyakinan yang tumbuh segar yang semakin kuat menahan gelombang udara panas sejuk mahupun frekuensi taufan dan ribut yang mendatang? Sebab dibaja keikhlasan dan kejujuran?

Mahupun sebab godaan jalan yang berkilau menawan hati seraya menawarkan kemudahan dalam perjalanan?

Atau sebab semalam?

Sebab semalam mengajar kita erti prinsip dan keperluan?

Mungkin juga kita keliru sebenarnya? Sebab kita sendiri tidak pasti apa sebab kita memilih jalan ini?

Mahupun kerna kita terlalu gah ingin menuju lelangit kermizi yang bersahabat dengan sang suria?

Sedangkan kita tak pernah tahu bahawa kelak sang suria hanya akan membakar kita?

73 pintu...

yang mana satu pilihan kita?

Tuesday, November 20, 2007

EPISTEMOLOGI ISLAM vs WESTOKSIKASI

EPISTEMOLOGI ISLAM vs WESTOKSIKASI


Signifikannya epistemologi Islam, ia masih menunjukkan ciri bersifat terapi terhadap pelbagai penyakit ilmu yang sedang menular kesan westoksikasi.

Memang sengaja wacana ini dirangka sebegini rupa untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam institusi keilmuan dunia kini. Benar ini adalah usaha yang sedikit dan dhaif pula, namun berbaloi untuk difikirkan. Mutakhir ini ilmu pengetahuan bukan lagi dicari atas sifat ‘cinta’, bukan lagi dinikmati atas dasar keinginan dan bukan lagi diaplikasi atas dasar kemanusiaan. Para pelajar sebagai pencari ilmu belajar semata untuk lulus mahupun berkejaran terhadap markah. Fitrah ilmu itu sendiri telah dianiaya oleh pengamalnya atas nama keutamaan persendirian. Ilmu bukan lagi di cari oleh kerana Allah SWT bahkan lebih teruk ilmu itulah yang disembah.

Kesannya datang kepada manusia secara terus. Menurut Armahedi Mahzar, impak sains (ilmu) untuk kepentingan manusia menampakkan impak yang cukup menakutkan. Beliau membahagikan impak tersebut kepada empat iaitu;

1) Potensi Destruktif

Dimanfaat secara lansung sebagai senjata pemusnah massa oleh kekuatan militari dunia. Sejarah tidak dapat mengelak mengakui ilmuan berperanan besar mengembangkan peranan senjata besar tersebut

2) Kesan tidak lansung

Berupa pencemaran dan kerosakan oleh industri kesan dari kepentingan ekonomi.

3) Keretakan sosial

Keterbelahan personal dan keterasingan mental adalah kesan dari kehidupan urban yang berasaskan kemajuan ekonomi.

4) Penyalahgunaan bahan

Penyalahgunaan ubat-ubatan dan bahan kimia misalnya di dalam peperangan.

Kesemua langkah penyembuhan telah diterangkan sebelum ini. Tidak lain dan tidak bukan, adalah dengan menjaga hubungan yang baik dengan Allah SWT. Hubungan yang baik ini dapat di simpulkan melalui melakukan apa yang disuruhNya selaku hamba yang diciptakanNya dan mengelak daripada melakukan apa yang dilarang olehNya. Oleh kerana kehidupan di dunia adalah berasaskan ilmu, maka sifat pencarian dan keutamaan ilmu hendaklah berpaksi kepada hubungan tersebut. Dan melalui hubungan yang baik dengan Allah inilah, seterusnya kesinambungan terhadap hubungan yang baik sesama manusia akan dapat dicapai seterusnya kepada hubungan terhadap alam pula. Segala sesuatu yang terjadi pada masa kini, terutamanya dengan kemunculan pelbagai idea, falsafah dan ideologi seperti Sekularisme yang mengasingkan kehidupan dengan agama bertitik tolak dari ketidakfahaman terhadap keberadaan dan keagungan ilmu yang sebenarnya datang dari Allah SWT sendiri. Ketidakfahaman ini seterusnya menambah kecelaruan mental yang kemudiannya menghasilkan ideologi lain seperti Komunisme, Liberalisme, Kapitalisme, Sosialisme, Pluralisme dan pelbagai lagi isme sehingga mencampuradukkan kedudukan ilmu yang kemudiannya dipimpin oleh Auguste Comte (sekadar contoh) atas aliran ‘Sains Kemasyarakatan’ yang semata mementingkan ilmu tanpa memperlihatkan kepentingan terhadap sumber ilmu terbabit.

Fenomena moden ini yang muncul dari Barat sejak kurun ke-16 nyata menenggelamkan terus keupayaan intelek Islam dalam memperkembangkan garis panduan sebenar kepunyaan dan keupayaan ilmu pengetahuan. Hasilnya, blok Islam kelihatan mundur kerana berpegang pada tradisi kuno tanpa memperlihatkan keupayaan yang nyata pula dalam bidang keilmuan. Kemuncaknya, penindasan berlaku akibat ketidakupayaan manusia mentadbir ilmu pengetahuan dengan baik. Penindasan ini muncul dalam pelbagai impak, yang nyata adalah terhadap manusia sendiri di mana peperangan tidak dapat dihentikan malah kesan terhadap alam pula semakin bertambah. Kecamuk dunia dapat dilihat dengan jelas nyata, di mana perebutan kuasa dan politik menjadi penanda aras kepada kestabilan sesebuah negara. Bidang keilmuan nyata berkembang, tetapi dalam masa yang sama kita mengorbankan sistem nilai sebagai kos lepas terhadap situasi tersebut. Namun yang demikian, oleh kerana Islam adalah agama kehidupan, agama yang syumul dan sistem hidup yang sempurna yang tidak mengiktiraf dualisme antara duniawi dan ukhrawi tetapi mengajurkan kesatuan yang kolektif antara dimensi tersebut yang seterusnya melangkaui persoalan relevan antara politik, sosial, ekonomi dan pembangunan, Islamlah satu-satunya senjata dalam menghadapi cabaran terhadap kepelbagaian ideologi tersebut.

Sejarah telah menceritakan pelbagai kisah kebangkitan dan kehancuran tamadun gergasi dunia yang silih berganti. Namun yang demikian, tidak ada satu tamadun pun yang berjaya memberi kesan keilmuan yang nyata kepada dunia hari ini, melainkan Tamadun Islam. Bermula sejak empat belas abad yang lalu, Nabi Muhammad SAW bermula dengan menubuhkan Negara Islam pertama, yang seterusnya memperkembangkan satu tamadun – Tamadun Islam yang secara berterusan diterima malah menjadi sumber inspirasi melangkaui sempadan geografi dan warisan kebudayaan peninggalannya.

Epistemologi Islam memperlihatkan keupayaannya dalam memperbaiki, mengubati malah menjungkir balikkan keadaan yang sedang dialami oleh sistem keilmuan dunia kini. Blok negara Islam seharusnya memulakan langkah pertama dalam memperlihatkan pencapaian ilmu yang tinggi dalam peradaban dan tamadun tanpa mengasingkan kehidupan dengan agama. Seharusnya, agama dan kehidupan yang berasaskan ilmu saling melengkapi, bukannya dipisah-pisah hinggakan kita sesat dan semakin jauh dari pencipta yang agung iaitu Allah SWT, sumber ilmu pengetahuan yang unggul, seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 iaitu;

Ertinya; “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.


Friday, November 09, 2007

Ladang Drama

Ladang Drama


Di ladang ini, bentuk-bentuk kasihan mulai timbul. Ini dan ini, adalah sebahagian plot yang sengaja dibentuk.

Robert Townsend menulis dalam bukunya Up The Organization bahawa manusia pada hari ini terperangkap dalam kotak organisasi, dijadikan hamba abdi kepada peraturan hierarki yang berjalan tanpa akal fikiran kerana tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Malah manusia hanyalah insan biasa yang berkhidmat untuk institusi yang kekal abadi. Maka penuhlah negara dengan budak-budak pejabat, yang lahirnya hanya untuk menurut arahan.

Maka apa bezanya kita dengan peradaban Eropah, sebagaimana kata-kata Kenneth Tynan iaitu apa yang paling menjengkelkan terhadap kumpulan manusia Absurdis ini ialah nada putus asa mereka yang istimewa dan merebak luas.

Ataupun pendapat Arnold P Hincliffe iaitu untuk keabsurdan wujud, tuhan semestinya mati dan dan bahawa berikutan kesedaran ini sepatutnya tidak ada percubaan untuk menggantikan Alter Ego yang transenden.

Oleh sebab kita sudah mulai malas untuk melihat ketransedenan itu sebagai suatu hakikat, maka tragedi ini dan ini pula timbul.

Oleh sebab yang demikian, mengangkasa itu de
ngan sendirinya menjadi suatu keabsurdan yang sejati. Mana mungkin bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia, sebagaimana tidak mungkin Melayu itu bukan Islam. Tetapi di dalam dunia absurd, semuanya mesti boleh. Dan oleh kerana absurdnya kita, maka kesucian Perlembagaan itu sendiri menjadi bahan jenaka.

Cereka kasihan ini rupanya juga terbit di sini. Kalau benar kita maju dengan bahasa kedua itu, mengapa universiti tersebut tiada di sini?

Dan drama ini, sedang diternak. Ladang-ladang kasihan semakin banyak, kerana lebih banyak plot akan ditayangkan kelak.

Mahu atau tidak, kita adalah sebahagian watak dalam drama kasihan ini. Ibnu Rusyd dalam tulisannya Makalah Penentu Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah menyatakan; '...untuk merenung alam dan memahami ciri penciptaan yang umum - seseorang yang tidak memahami ciri penciptaan tidak akan dapat memahami ciptaan, dan seseorang yang tidak memahami ciptaan tidak akan dapat memahami pencipta..."

Friday, November 02, 2007

Perihal Keluh Dan Kesah Yang Menyesakkan

Perihal Keluh Dan Kesah Yang Menyesakkan


(Hikayat Hang Tuah, diterjemahkan ke dalam bahasa Russia oleh Boris Parnickel)



(Tulang-tulang Berserakan, Usman Awang, diterjemah ke dalam bahasa Russia oleh A. Rozhanskaia & T. Dorofeeva)



Seringkali ada saja yang memandang enteng akan keupayaan bahasa kita. Hinggakan angkasawan kita yang memakai baju batik di angkasa itu juga bagaikan sudah hilang lidah Melayunya.

Dan akan ada yang memandang sinis akan tulisan ini. Dia sudah ke angkasa, kau baru di mana?

Kalau pegawai polis peringkat atasan berbahasa penjajah, para pemimpin kita ketagih berucap dengan bahasa asing, para usahawan kita bersidang dengan bahasa antarabangsa, dan ahli cendekiawan kita berhujah dengan bahasa global, di mana letaknya bahasa kita sendiri?

Di pasar borong? Kaki lima? Warung kopi atau kedai mamak untuk sembang-sembang kosong?

Ya, bahasa Melayu kita yang kita kenal sebagai Bahasa Jiwa Bangsa itu akan kekal sebagai bahasa pasar. Siapa peduli dengan jiwa bangsa kita?

Dan akan ada yang menempelak, kisah keluh kesah ini, apa signifikannya?

Anda tahu kenapa bangsa besar yang sudah lama menakluk angkasaraya seperti Russia boleh berjaya? Anda tahu kenapa Liudmila Aleksandrovna Mervart menterjemah Hikayat Sang Boma ke dalam bahasa Russia? Vladimir Iosifovich Braginsky menterjemah Antologi Prosa Melayu Klasik; Kisah Orang Berani, Orang Bercinta & Orang Bijaksana, Boris Parnickel menterjemah Hikayat Hang Tuah & Antologi Cerpen Melayu Di Tepi Jalan, Vile Vladimirovich Sikorsky menterjemah Antologi Puisi Pudjangga Baru ataupun A. Pavlenko menterjemah Belenggu (Armijn Pane)?

Dan juga beberapa nama lain seperti Mariia Aleksandrovna Boldyreva, Inga Ivanovna Demi'anova, Liubov' Vital'evna Goriaeva, Evgeniia Sergeevna Kukushkina, Elena Vladimirovna Revunenkova ataupun Nadezhda Matveevna Smurova yang kebanyakannya mempertahankan disertasi PhD mereka terhadap kesusasteraan Nusantara dalam bahasa Melayu.

Dan kita? Sudahlah tidak menitikberatkan soal penterjemahan, malah tidak mengagumi pula bahasa sendiri.

Bahasa Jiwa Bangsa.




This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]