Sunday, September 30, 2007

MENGENANG PERANAN BADAB KEHAKIMAN BEBAS

MENGENANG PERANAN BADAN KEHAKIMAN BEBAS


Buku ini saya jumpa di Novelhut beberapa bulan yang lalu dengan harga RM 4.00 sahaja. Namun baru saja saya tekuni semalam, selesai kurang daripada 24 jam dengan alasan senarai panjang yang perlu ditempuhinya sebelum berjaya menemui saya.

Lain sebab adalah berkaitan isu panas pendedahan video oleh PKR. Tragedi yang menimpa negara ini perlu difahami dan hayati oleh segenap rakyat Malaysia, dalam memahami perjalanan politik semasa berkaitan isu konflik di antara badan Eksekutif & Legislatif di Malaysia. Boleh baca lanjut di Wikipedia; Salleh Abas & Wikipedia; Krisis Perlembagaan Malaysia ataupun Mayday For Justice atau Mayday For Justice; The Removal of Tun Salleh Abas serta pelbagai website lagi berkaitan isu ini.

Namun yang demikian, buku The Role of Independence Judiciary by Tun Salleh Abas ini adalah buku termudah yang menyeluruh dalam memahami polemik konflik Eksekutif & Legislatif negara kita terutamanya kausaliti terhadap pemecatannya, sebab & kesan serta beberapa isu berkaitan seperti UMNO 11 & Hakim Harun. Selain itu buku ini juga memaparkan peranan Tun Saleh Abas dalam proses penambahbaikan perlembagaan negara lama sebelum beliau mengetuai badan kehakiman negara.

Buku ini juga disampaikan oleh Tun Salleh Abas menerusi Kuliah Peringatan Sir John Foster Gallaway di Universiti College London pada 14 November 1988, lebih kurang 5 bulan setelah beliau dipanggil menghadap Dr Mahathir untuk pemberitahuan mengenai pemecatannya, satu jangka waktu yang sangat segar sekali untuk dibaca kembali kini.

Beberapa fakta menarik dikupas oleh Tun Salleh Abas seperti alasan pemecatan yang dangkal, fungsi tribunal yang boleh dipersoal, pelantikan tribunal yang tidak mematuhi perlembagaan, hak representasinya, hak untuknya berunding melalui persidangan raja-raja dan pelbagai lagi yang telah ditidakkan dan dimanipulasi serta dimainkan dengan berkesan sekali oleh sekalian pemain yang mempunyai kepentingan masing-masing. Segala hujah Tun Salleh Abas adalah berdasarkan fakta sebagaimana arifnya beliau mengenai Perlembagaan Negara.

Kesemua ini, membangkitkan kembali memori kita terhadap isu video yang telah dibawa naik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Media massa ternyata bijak meneutralkan isu ini dengan mengenengahkan soal kesahihan namun persoalan asas yang perlu menjadi tanda aras pemikiran setiap rakyat adalah mengenai peranan serta kedudukan badan kehakiman itu sendiri dan kita perlu kritikal terhadapnya terutamanya seusai kes pemecatan Tun Salleh Abas yang dipenuhi dan dilingkari dengan kontroversi yang memeningkan.

Adakah badan kehakiman kita juga sudah teruk dimamah korupsi, sebagaimana ia ditelanjang dan dibogelkan pada tahun 1988 yang lalu?

Tuesday, September 25, 2007

ADA BERANI?

ADA BERANI?


Jika Malaysia ingin berinovasi dengan cara Ivy pula, mungkin kerajaan boleh menggabungkan beberapa universiti yang sudah sangat kuat. Bayangkan apa akan terjadi jika Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang telah diakui kekuatan mereka dalam penyelidikan di Malaysia, digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan empat kampus berlainan. Jumlah pelajarnya akan menjadi 90,000 orang.

Jumlah pensyarahnya yang juga saintis akan menjadi lebih 8,000 orang di bawah satu bumbung pentadbiran. Nilai aset keempat-empat universiti itu jika disecuritize akan bernilai lebih RM10 bilion. Universiti baru itu boleh berdiri sendiri dari segi kewangan bukan setakat seperti sekarang menyumbang 20 peratus untuk belanja operasi setiap tahun. Saya fikir universiti baru hanya memerlukan satu malam untuk mendapat tempat sepuluh universiti terbaik di dunia. Kerajaan Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk hal ini terjadi.

Jika penggabungan ini berlaku, beberapa universiti lain di Malaysia juga mungkin sesuai digabungkan mengikut suatu cara tertentu. Contohnya, semua universiti yang muncul pada atau selepas tahun 1980 boleh digabungkan menjadi sebuah universiti yang mengamalkan sistem federal seperti sistem University of California, State University of New York (SUNY) dan sistem University of Wales.Ini bermakna, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan beberapa lagi universiti yang asalnya kolej universiti akan digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan sistem cawangan. Atau, suatu cara lain ialah semua universiti teknikal dengan diketuai oleh UTM akan bergabung menjadi sebuah universiti teknikal unggul seperti Universiti CALTEC atau yang boleh setara MIT di Boston.

Pada kesudahannya hanya ada lima sistem universiti sahaja di Malaysia iaitu Sistem Universiti Nasional Malaysia atau ‘Malaysia National University System’ (UM, UKM, UPM, USM, UTM), Universiti Teknologi Mara, Sistem Universiti Malaysia Moden atau ‘Modern Malaysia University System’ (UUM, UMS, UNIMAS, UMT, UMAP dan lain-lain), Universiti Syarikat Berkepentingan Kerajaan atau Malaysia GLCs’ University (MMU, Universiti Petronas, Universiti Tenaga, Universiti Islam) dan universiti swasta. Bayangkan kekuatan lima sistem itu belayar (bukan bersaing) di pentas dunia.


p/s: baca penuh disini


Bahasa dan Sastera Tonggak Kegemilangan Bangsa

Bahasa dan Sastera Tonggak Kegemilangan Bangsa

Oleh Zul Fikri Zamir bin Mohamad Munir


Pengenalan

Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah (2005) “peradaban dan martabat sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui karya bahasa dan sastera yang dimilikinya. Karya tersebut menjadi khazanah bangsa yang amat bernilai, malah diibaratkan sebagai dua entiti yang saling melengkapi”. Ini di sokong oleh Awang Sariyan dalam kertas kerjanya yang bertajuk Penghayatan dan Peningkatan Ilmu Dalam Pelbagai Bidang Melalui Bahasa Kebangsaan: Cabaran Dalam Dunia Pendidikan Masa Kini Dan Masa Hadapan yang dibentangkan di Konvensyen Bahasa dan Pendidikan Nasional 2006 pada Februari lepas iaitu, “selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu”.

Menurut Annas Haji Ahmad pula dalam bukunya Sastera Melayu Lama dan Baru (1977), perkataan sastera berasal dari bahasa Sanskrit “Castra” yang membawa erti seni sastera atau seni persuratan. Menurutnya lagi, ketika menghuraikan tentang kesusateraan, kita tidak dapat melupakan bahasa, sebab bahasalah yang menghubungkan antara dua orang.

Oleh yang demikian, bahasa dan hasil kesusteraan adalah sebahagian daripada warisan peradaban bangsa. Ia mencerminkan perubahan sosial sesuatu bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa. Maju bahasa, majulah bangsa. Di antara slogan yang biasa dilaungkan oleh pejuang bahasa untuk menaikkan semangat patriotisme dan kemerdekaan daripada penjajah ialah seperti “bahasa melambangkan bangsa” dan “bahasa jiwa bangsa”. Umumnya, menyoroti sejarah dunia, tiada bahasa lain yang dapat membentuk ketamadunan sesuatu bangsa, melainkan bahasa bangsa itu sendiri. Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kumpulan etnik budaya yang berlainan, bahasa berkeupayaan untuk menjadi teras peradaban bangsa Malaysia pada masa yang akan datang. Menurut Zaiton Azma lagi, “dari segi keupayaan linguistik,semua bahasa di dunia ini berupaya menghasilkan tamadun tinggi, hal ini dibuktikan oleh bahasa Melayu dalam sejarahnya yang panjang itu sehingga hari ini”.

Sejak abad ke-12, Bahasa Melayu berjaya menjadi lingua franca perdagangan dan sosial di rantau Nusantara. Sebelum kedatangan Islam, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu dalam memperkembangkan agama Hindu dan Buddha di rantau ini. Manakala sewaktu kedatangan Islam ke gugusan kepulauan Melayu, Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang membicarakan persoalan agama. Perkembangan ilmu pengetahuan ini diperluas melalui pengenalan sistem tulisan Jawi kepada masyarakat setempat. Tunku Abdul Rahman Putra pernah mengakui kepentingan Bahasa Melayu dalam membangunkan negara bangsa, menurutnya, “adalah wajar bahawa sebagai satu negara membangun, kita memerlukan satu bahasa kepunyaan sendiri. Jika bahasa kebangsaan tidak dapat diadakan, negara kita akan ketiadaan nyawa”

Menurut Francois Valentijn, seorang ahli sejarah bangsa Belanda pada abad ke-16, seperti yang dipetik oleh Abdul Rahman Ya’kub, “bahasa mereka, iaitu Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya Bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu, di sebelah timurnya hingga Kepulauan Filipina”

Bahasa dan Sastera Sebagai Alat Perpaduan

Dalam proses memupuk semangat perpaduan antara kaum, Bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi asas dengan cogan kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ diterapkan kepada rakyat. Bahasa Melayu telah diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan oleh pemerintah dalam erti kata yang sebenarnya semenjak tahun 1970 secara berperingkat-peringkat.

Dewan Bahasa dan Pustaka di tubuhkan dengan tujuan memajukan dan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Penyata Razak 1965 dan Laporan Rahman Talib 1960 menyebabkan penyemakan semula Akta Pelajaran 1961 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menggantikan Bahasa Inggeris. Perenggan 12 Penyata Razak jelas menyatakan bahawa “kami percaya juga yang dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud menyatukan semua budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur”. Oleh yang demikian jelas bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan amat signifikan memandangkan kepelbagaian kaum yang wujud di Malaysia ini.

Bukti Bahasa Melayu berjaya diangkat menjadi bahasa ilmu adalah apabila pada tahun 1988 Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua universiti. Dan perintis kejayaan tersebut adalah melalui penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1971 yang menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Mariam Atan (2005) menyatakan “laporan dasar pendidikan ada menyatakan bahawa pendidikan merupakan alat membina keutuhan bangsa dengan menanam rasa kesatuan dalam keadaan sosial, ekonomi dan politik”. Menurutnya lagi, “pemerintah berhasrat mewujudkan penyatuan sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di samping melahirkan lebih banyak anak Melayu lulusan pengajian tinggi”.

Mariam Atan juga menegaskan, menurut Kamarudin Husin dalam Bahasa Kebangsaan (A), “secara khusus fungsi utama bahasa kebangsaan adalah untuk menerbitkan lambang aspirasi dan semangat kebangsaan dan kemerdekaan. Tidak ketinggalan juga, pengisian bahasa kebangsaan dapat bertindak sebagai alat perhubungan, dan dengan demikian akan menghasilkan satu masyarakat yang tidak mempunyai satu pandangan yang begitu berbeza. Usaha untuk memupuk rakyat Malaysia melalui penggunaan satu bahasa yang sama dicadangkan berdasarkan sistem pendidikan kebangsaan yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1955, yang kemudiannya dikenali dengan nama Penyata Razak (1956)”.

Pentingnya memelihara bahasa Melayu ini adalah untuk pembinaan tamadun bangsa itu sendiri. Bangsa yang maju adalah bangsa yang mampu membina tamadun bangsa itu sendiri. Pewarisan ini akan memelihara kemandirian jati diri bangsa tersebut dalam memelihara warisan milik bangsa yang seterusnya akan berkembang maju menggunakan budaya, falsafah, pemikiran dan bahasa lokal yang ternyata lebih sesuai dan berupaya menangkis peresapan kekotoran budaya lain terutamanya dari Barat. Bahasa Melayu ternyata telah terbukti berkeupayaan menjadi alat perpaduan. Harus diingat perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kaum mampu diimbangi dengan satu kuasa lain iaitu kuasa satu bahasa yang sama yang di antara kaum di Malaysia ini. Perbezaan taraf ekonomi antara kaum ternyata mampu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat. Pendapat ini turut dikongsi oleh Awang Sariyan dalam kertas kerjanya itu dengan mengatakan “proses pembinaan negara yang dimaksudkan itu ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum”.

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi bukti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berfungsi untuk menyatukan rakyat, mampu mengelakkan prasangka antara kaum, berjaya membangkitkan semangat perpaduan antara kaum yang seterusnya mewujudkan rakyat berbilang kaum yang bersatu padu, bekerja sama dan hormat-menghormati dalam usahasama memajukan negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini juga berfungsi untuk melahirkan semangat patriotisme kepada seluruh warga negara yang tidak lagi dibelenggu bahasa mahupun pemikiran penjajah.

Bahasa dan Sastera Sebagai Wahana Ilmu

Bahasa Melayu pada zaman dahulu mencapai tahap peningkatan yang cukup tinggi. Dengan terhasilnya karya-karya falsafah, tasawuf dan fiqah, bahasa Melayu bukan sahaja diangkat untuk memancarkan sifat estetika melalui karya kesusasteraan, bahkan mula menjadi medium perbincangan ilmu dan pemikiran saintifik.

Menurut Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah dari NIE / NTU Singapura dalam kertas kerjanya yang bertajuk Bahasa Melayu Sebagai Seni dan Senjata Dalam Mencipta Khazanah Ilmu, “bahasa merupakan alat utama untuk menyampaikan dan menerima segala ilmu yang terkandung dalam khazanah dunia ini termasuk menyebarkan dan menurunkannya. Mengkomunikasikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tersebut kepada manusia lain atau supaya ia disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain, biasa dilakukan dalam bahasa yang menguasai ilmu pengetahuan tersebut. Walau bagaimanapun, sudah menjadi tabii alam bahawa ilmu atau pengetahuan pertama atau paling awal bagi seseorang kanak-kanak disampaikan oleh ibu bapa dan kemudian dikuasai olehnya melalui bahasa ibunda masing-masing”.

Perlu diyakini bahawa bahasa adalah alat kemajuan di negara ini, khususnya dalam pelbagai bidang terutamanya di sektor ekonomi serta sains dan teknologi. Oleh yang demikian, bahasa Melayu seharusnya mempunyai keupayaan melangkah jauh sebagai bahasa ilmu terutamanya setelah manjadi bahasa keempat terpenting di dunia berdasarkan jumlah penuturnya. Dilah Tuah (2006) ada menyebut bahawa “A Aziz Deraman menyatakan bahasa Melayu menelusur liku-liku sejarah perkembangannya yang cukup panjang. Bahasa Melayu telah digunakan dengan begitu meluas sebagai salah satu cabang keluarga bahasa Austro-nesia oleh sekitar 300 juta orang dalam gugusan pulau Melayu-Polinesia sebagai bahasa serumpun”. Menurutnya lagi, Joshua A Fishman menyatakan bahasa Melayu mempunyai historicity, ethnicity, autonomy dan vitality. Manakala Teeuw pula manyatakan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi, bahasa kebudayaan, falsafah dan tatabahasa Sanskerta. Sifat bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa pergaulan dan perhubungan telah menyebabkannya menjadi lingua franca di kepulauan Melayu sejak abad ke-7 zaman Kerajaan Sriwijaya sehinggalah abad ke-14 terutamanya dengan kebangkitan Empayar Melayu Melaka. Kedatangan Islam berikutnya mengembangkan lagi pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membawa pengaruh yang sangat besar sehingga menjadi bahasa yang membawa weltanschauuung Islam. Hal ini terbukti apabila bahasa Melayu dan Islam menjadi identiti bangsa Melayu hari ini. Manakala menurut Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain tulisan Jawi yang muncul seiringan dengan kemunculan Islam membawa perubahan besar yang tidak pernah dialami oleh bahasa Melayu pada zaman-zaman sebelumnya.

Menurut Mariam Atan (2005) kegiatan penulisan dan persuratan dalam tulisan Jawi yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu oleh pedagang Arab berkembang menjadi wahana ilmu yang meluas di seluruh rantau ini. Dari awal abad ke-13 sehingga ke-16 (1250-1524), bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa penting dalam pembentukan tamadun Melayu. Kebanyakan pusat pegembangan ilmu seperti Kerajaan Melayu Islam Perlak, Kerajaan Samudera Pasai (1261-1289), Kerajaan Melayu Acheh Islam, Kerajaan Melayu Melaka (1400-1511), Kerajaan Melayu Johor (1511-1789), Kerajaan Melayu Palembang (1650-1824) dan Kerajaan Melayu Riau (1789-1900) menjadi pusat kegiatan penulisan dan intelektual Melayu yang cukup hebat.

Ini semua adalah bukti signifikan di mana keupayaan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa ilmu tidak boleh diperkecil. Sejarah telah merakamkan hasil karya seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) hasil karya Tun Seri Lanang Bendahara Johor, Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu oleh Raja Ali Haji, Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri dan Bustan al-Salatin oleh al-Raniri menjadi bahan kajian dan rujukan ilmu oleh kalangan pemikir bangsa dari zaman ke zaman sehingga kini. Nilai karya seperti di atas menjadi pembentuk tradisi dan tamadun bangsa yang mempunyai kuasa pengaruh dan mampu meninggalkan kesan yang kekal ke dalam ingatan bangsa turun temurun, malah ia turut menjadi rujukan dalam membentuk kepercayaan sepanjang zaman.

Ini diakui oleh Jyh Wee Sew (2005), “bahasa Melayu menurut Teeuw telah dikaji sejak 400 tahun dahulu setelah terbitnya daftar kata bahasa Belanda, Vocabulaer yang memuatkan senarai bahasa Melayu dan bahasa Jawa. Manakala sistem tatabahasa bahasa Melayu yang awal dikatakan dimulakan oleh Raja Ali Haji di Riau Lingga yang dilakukan dengan penerapan nahu bahasa Arab kepada nahu bahasa Melayu dalam Bustan al-Katibin pada tahun 1857. W.G Shellabear pula menerbitkan Sejarah Melayu pada awal kurun ke-15 selaras dengan kemajuan dan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka pada zaman itu. Yang lain termasuk buku hukum nahu Melayu oleh Marsden, C.N Maxwell ,R.O. Winstedt dan Wilkinson. Wilkinson dengan dua jilid kamus kulit hitam bahasa Melayu-bahasa Inggeris terbitan tahun 1955 dan Winstedt dengan kamus bahasa Melayu-bahasa Inggeris kulit hijau yang lebih ringkas pada tahun 1959.

Sejajar dengan peranannya sebagai pendorong kemajuan negara, bahasa Melayu seharusnya mampu digunakan sebagai bahasa ilmu terutamanya dalam mengungkap ilmu moden dalam kontinum masa dunia globalisasi hari ini seperti ilmu sains dan teknologi berdasarkan keupayaan yang telah ditunjukkannya sebelum ini.

Bahasa dan Sastera Sebagai Senjata

Perlu di sedari bahawa institusi sosial dan kebudayaan bangsa kita sekarang sedang diasak dengan penuh rakus oleh pengganas budaya dari Barat khasnya. Institusi-institusi budaya dan bahasa khasnya sudah penat terganggu dengan kekacauan yang menggila ini. Apakah mekanisme terbaik yang boleh kita usahakan terutamanya dalam mempertahankan warisan seni budaya halus yang di tinggalkan oleh nenek moyang kita yang terdahulu? Apakah perisai yang sesuai untuk kita gunakan sebagai pelindung dan apakah pula senjata yang harus kita usahakan untuk menangkis balik segala macam jenis serangan yang tidak bermoral ini?

Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah sekali lagi menyatakan “senjata mempunyai dwifungsi. Ia biasa difahamkan sebagai suatu alat yang tajam dan merbahaya yang boleh digunakan untuk melukakan, membunuh atau mengalahkan musuh dalam sesuatu pertempuran atau peperangan. Senjata juga boleh menjadi alat pelindung atau penahan dari serangan. Dengan adanya senjata sesuatu negara akan lebih berhati-hati, dan dalam masa yang sama, ia akan digeruni oleh pihak musuh yang berfikir dua tiga kali jika hendak menyerang”. Kedua-duanya fungsi ‘senjata’ yang disimpulkan adalah untuk mencapai matlamat atau tujuan. Menurut Kamsiah lagi, ‘terdapat berbagai genre bahasa yang khusus berfungsi untuk mencapai atau memperlihatkan tujuan atau matlamat genre bahasa tersebut. Dalam pada itu senjata yang tajam pun boleh mempamerkan keindahan seninya seperti keris yang magis dalam zaman silam ‘.

Menurut Naffi Mat (2006), ‘bahasa dan sastera mempunyai ikatan yang dipertautkan dalam perspektif yang bersifat holistik dan integral. Dunia sastera tidak pernah dipisahkan daripada pelbagai persoalan kebahasaan. Menurutnya lagi, kata cerdik pandai, kesusteraan merupakan cermin diri dan akal budi sesuatu bangsa, sementara bahasa merupakan suara hati’.

Ini jelas menggambarkan hubungkait peri pentingnya bahasa dan sastera sebagai senjata menghadapi serangan budaya yang sedang asyik mengasak institusi sosial bangsa Malaysia kini dan keupayaan bahasa Melayu dalam menangkis setiap peresapan kebejatan dan kebobrokan budaya kuning dari Barat terutamanya. Penyerapan teks sastera ke dalam sistem pendidikan negara adalah contoh strategi bijak kerajaan terutamanya melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menghendakkan pengembangan potensi pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek iaitu dengan mengisi jiwa generasi muda negara dengan unsur kehalusan budi dan kemanusiaan yang banyak terdapat dalam sastera negara. Sawyer dan Corner pernah menegaskan bahawa penggunaan teks sastera dapat membantu pelajar bersikap toleransi, menghormati orang lain, mengawal diri dan membina peribadi yang baik melalui penghayatan karya yang dibaca.

Aspek ini penting memandangkan wahana jiwa generasi muda negara bukan sahaja diisi dengan segala macam budaya positif melalui sastera tetapi juga mengelakkan penyerapan budaya negatif dari Barat. Melalui sastera juga pemikiran mampu dijana mengikut acuan yang diintegrasi sesuai dengan norma dan iklim masyarakat setempat. Melalui sastera juga kita dapat mengetahui keadaan masyarakat lama, pandangan hidup dan kebiasaan mereka, juga falsafah kebudayaan mereka. Korelasi evolusi perkembangan kebudayaan kita yang bertembung dengan Barat memungkinkan kita untuk berbalik kepada keperibadian kita. Dalam membentuk kembali asas keperibadian inilah, sastera boleh dijadikan bahan rujukan yang palig sesuai dan relevan.

Seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan dalam kertas kerjanya iaitu, “pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum, iaitu sebagai satu subjek dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum. Pendidikan bahasa sebagai wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat atau dengan perkataan lain seluruh unsur kebudayaan dan tamadun masyarakat kepada generasi baharu”.

Dalam menghadapi persaingan dunia global kini bahasa Melayu seharusnya menjadi senjata kita mempertahankan kewujudan dan jati diri kita sebagai bangsa yang mempunyai tamadun dan keberadaban tinggi. Fungsi bahasa Melayu sebagai alat komunikasi di negara ini memang telah diterima secara tuntas oleh pakar-pakar bahasa dan juga masyarakat umum. Kesantunan berbahasa menggambarkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Keutamaan bahasa Melayu diucapkan sebagai tunjang jati diri atau identiti bangsa Malaysia haruslah menjadi prioriti. Hubungkait antara bahasa dan bangsa dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu atau Tanah Melayu amat rapat, terutamanya untuk mencapai kemerdekaan, isu-isu politik bahasa tidak dapat dipisahkan dengan soal maruah bangsa, kuasa politik, ekonomi dan jatidiri Melayu

Penutup

Perlu diingati bahawa setiap tamadun yang wujud pada hari ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada warisan tamadun zaman sebelumnya. Kesinambungan ini adalah bukti bahawa sejarahnya tidak mampu dilupuskan atau digantikan. Ketahanan bahasa Melayu mengharungi pelbagai arus perubahan selama lebih dari 400 tahun jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyi kekuatan tersendiri berbanding bahasa lain. Kelansungan bahasa Melayu pada hari ini adalah hasil kekuatan jati diri bangsa Malaysia khasnya dan harus diperjuang dan dipertahankan.

Cita-cita untuk mencapai kemajuan dan pemodenan hendaklah seiring dan mempunyai titik korelasi yang tepat dengan pemilikan budaya dan jati diri yang menggambarkan identiti bangsa Malaysia. Kausaliti terhadap sebarang dasar yang dijalankan hendaklah mempunyai estakologi yang jujur dan justifikasi amanah yang tinggi terhadap pewarisan budaya bangsa Malaysia khasnya. Pengaruh globalisasi hendaklah diseimbangkan dengan kehendak norma masyarakat yang sesuai menurut situasi dan keadaan negara. Dalam kontinum masa dunia berkehendakkan dominasi globalisasi terhadap Barat, kita seharusnya mengambil ibrah dari setiap perkiraan ghaflah yang boleh kita lihat melalui tamadun Barat, terutamanya dari kerosakan yang dibina mereka kononnya untuk mengejar kemajuan yang mereka kerjakan saban saat.


Sunday, September 16, 2007

TUHAN MANUSIA; BACAAN WAJIB PEMUDA MERDEKA

TUHAN MANUSIA; BACAAN WAJIB PEMUDA MERDEKA


"Andai kota itu peradaban , rumah kami adalah budaya dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama."

Ada sesuatu yang menuntut saya untuk menekuni buku ini. Benar, setelah 1515, inilah buku yang paling mengujakan buat saya, terutamanya seusai membacanya lantas merenungi lapis-lapis makna yang didukungi oleh saudara Faisal Tehrani.

Persoalan sekularisme, liberalisme dan pluralisme ditenun dengan baik sekali dalam satu cerita yang sedikit berat, tetapi cukup menghiburkan untuk dinikmati oleh yang memahami.

Bukan mudah untuk menemui persoalan seberat ini, yang selalunya dihidangkan dalam bentuk wacana yang selalunya tebal-tebal belaka. Tetapi kali ini ianya disulam dengan halus dan cantik melalui kehidupan Ali Taqi, sebagai seorang adik kepada mangsa Talha yang murtad dek kerana kalah dalam perang budaya yang dilancarkan oleh puak pluralisme.

Perang budaya yang dilancarkan ini adalah realiti keadaan yang sedang dihadapi oleh masyarakat Melayu Malaysia khasnya. Lihat saja beberapa laman yang melaungkan liberalisme itu didanani oleh pertubuhan luar seperti Konrad Adeneur Faoundation dan banyak lagi.

Kesedaran untuk bersiap menempuh perang budaya ini perlu difahami oleh golongan muda khasnya, terutamanya dalam mencari maksud perang tersebut dan mengapa ia dilancarkan terhadap kita.

Kesemua ini, dihidangkan oleh Faisal Tehrani dengan begitu nyaman dan aman sekali, mengulit pembaca golongan remaja khasnya agar mahu dan terus berfikir menurut rasionaliti yang berpaksikan kepada agama dan sejarah.

Sedikit sebanyak kesan perang budaya yang meruntuhkan agama sebagai tiang seri rumah akan merobohkan rumah kita sebagai budaya, lantas meranapkan peradaban yang telah kita bina selama ini. Kesannya, lihat saja bagaimana lesunya mahasiswa kita pada hari ini dengan tompok-tompok kepudaran idealisme , calar-balar kejahilan sejarah dan kudis-kurap kelayuan semangat terhadap agama dan bangsa mereka sendiri.

Faisal Tehrani juga menggambarkan kepentingan golongan muda terhadap negara dan bangsa, seperti contoh pada muka surat 136;
“Apa yang saya ingin sampaikan ialah kuasa anak muda, kuasa orang seperti awak, kuasa remaja dalam menentukan jalan. Generasi tua kadang-kala kerana telah banyak rosak dan tercemar fikiran, mereka menyuguhkan banyak aspek yang salah dalam masyarakat.” Ustaz Hanafiah kelihatan mengeluh seketika. Kemudian menoleh kepadanya dengan wajah serius.

“Awak jangan rasa kalah oleh apa yang berlaku. Jangan sesekali. Ada hikmah besarnya tentu. Kita tak tahu. Tapi awak kena jalan terus, awak kena jadi remaja yang yakin. Remaja yang beri pukulan maut kepada mereka yang mahu mempertahankan kepentingan diri mereka dengan menggunakan retorik atau kenderaan liberalisme.”


Faisal Tehrani juga menerangkan perbezaan di antara peradaban dan budaya yang selama ini disalahtafsir oleh para ilmuan kita sendiri terutamanya selepas angkara Barat mengelirukannya. Perbezaan ini, perlu anda sendiri bacanya sebagaimana yang tercatat pada muka surat 313. Terlalu banyak yang boleh diulas, terlalu sedikit ruang masa.

Beberapa hal lain yang menarik mengenai buku ini juga adalah kisah di sebalik bermulanya novel ini. Pembaca dihidangkan dengan bagaimana mulanya Tuhan Manusia dan saya percaya latar akademik dan intelektual yang dibayangi oleh saudara Faisal Tehrani semasa menulis buku ini sangat mempengaruhi keupayaan intelektual pembaca. Begitu juga pembaca dihidangkan dengan cerita disebalik lukisan yang menjadi muka depan novel ini iaitu 'Monsters Garage'. Menarik sekali dihujung pembacaan pembaca diterangkan mengenai simbolik lukisan tersebut menerusi perspektif pelukis sendiri dan dibawa memahami dan menghayati imaginasi pelukis terhadap keseluruhan jalan cerita Tuhan Manusia lantas di abadikan di atas sebuah lukisan yang menarik sekali. Siapa yang tidak mahu mengetahui cerita disebalik muka depan yang kelihatan nakal & keanak-anakan ini.


Sebagaimana besarnya ideologi yang digendong oleh buku ini, sebesar itulah jiwa dan perasaan saya seusai menekuninya. Bacaan wajib untuk pemuda dan pemudi merdeka khasnya dalam memahami serangan yang sedang dilancarkan terhadap kita selain terlalu sibuk melarut lesap dalam budaya hedonisme yang sedang membiak dalam budaya bangsa.


p/s: dapatkan buku ini di UjanaIlmu.com




peribadi melayu

PERIBADI MELAYU










Lama dulu, Dr Mahathir dalam bukunya Malay Dilemma (rujuk The Malay Dilemma, Mahathir Mohamad, Asia Pasific Press, 1970) menyatakan 'mengamuk' sebagai sendi besar peribadi Melayu.

Kemudiannya, Pemuda UMNO melalui buku 'Revolusi Mental' (rujuk Revolusi Mental, Senu Abdul Rahman,Umno Malaysia, 1971) pula berpendapat peribadi nasional ataupun peribadi bangsa bergantung kepada kelas yang terbesar dalam masyarakat, iaitu kelas menengah. Mereka mengambil pendapat Margaret Mead iaitu peribadi yang biasa terdapat di kalangan orang-orang dalam satu bangsa itu disebabkan oleh kebudayaan mereka.

Dua buku ini, menarik perhatian saya terutama dalam suasana dan persekitaran toleransi menjadi bumbu utama sembang-sembang di kedai kopi kini iaitu; isu babi di Melaka, isu Batu Buruk di Terengganu dan isu harga ayam di peringkat nasional.

Apa justifikasi kita sebagai Melayu terhadap ketiga isu di atas?
Sementara itu Dr Syed Hussein Alattas dalam bukunya 'Siapa Yang Salah; sekitar Revolusi Mental & Peribadi Melayu' (rujuk Siapa Yang Salah; sekitar Revolusi Mental & Peribadi Melayu, Syed Hussein Alattas, Pustaka Nasional Singapura, 1973) menyanggah pendapat Dr Mahathir dalam Malay Dilemma mahupun kumpulan Pemuda UMNO melalui Revolusi Mental mereka dengan ayat yang ringkas sahaja; Mereka yang membahaskan soal peribadi Melayu bukan ahli dalam ilmu-ilmu bersangkutan dengannya. Ijazah hanya boleh menandakan tingkat pelajaran dalam sesuatu bidang, belum keahlian dalam sesuatu ilmu.

Beliau juga menyatakan; Buku Dr Mahathir The Malay Dilemma ini sebagaimana juga buku Revolusi Mental akan mengelirukan pembaca tentang peribadi Melayu.
Malah beliau menulis sebagai; Dalam soal penentuan peribadi bangsa, ataupun peribadi nasional, Revolusi Mental sudah banyak terkeliru. Ia tidak benar-benar memahami pendapat Margaret Mead.

Dan juga; Dr Mahathir telah mengemukakan suatu pendapat yang ganjil dan menyeleweng dari dasar-dasar ilmiah mungkin disebabkan oleh kerana keahlian beliau dalam bidang ilmu yang mempelajari kemajuan kurang sekali.


Kesemua kekeliruan ini, menyebabkan kita kecamuk dan bobrok lansung dalam pelbagai masalah. Lihat saja bagaimana tolerannya kita kepada penternak ratusan ribu babi di Melaka.

Tetapi dalam masa yang sama lihat saja bagaimana kerasnya kita dalam menangani bangsa sendiri di Batu Buruk. Lihat pendapat Roslan SMS, Screenshot mahupun klip-klip video yang ditayangkan di MalaysiaKini, WTV8 ataupun di HarakahDaily dan bandingkannya dengan berita yang disumbatkan kepada kita melalui media massa seperti Berita Harian, Utusan malaysia mahupun TV3.

Revolusi Mental telah dilancarkan oleh Tun Abdul Razak, 37 tahun yang lalu. Namun yang demikian, lihat saja bagaimana kelirunya kita dalam menangani masalah bangsa, terutamanya sesama bangsa Melayu kita sendiri.

50 tahun, mahu di apakan saja peribadi kita ini?


PERAHU TUMPANGAN KEYAKINAN


Banyak yang hendak saya nyatakan, apakah yang dapat menghalangi saya, kalau menurut keyakinan saya, saya patut berbicara?

Karena cara saya melahirkan keyakinan akan dicela sesetengah orang?

Karena soal yang saya kemukakan, menurut sesetengah orang mesti didiamkan?

Karena saya akan dihinakan orang?

Karena saya akan dimaki?

Kalau keyakinan sudah menjadi pohon beringin, robohlah segala pertimbangan lain.

Perahu tumpangan keyakinanku, belayarlah engkau, jangan engkau menempuh angin ribut, taufan badai, ketempat pelabuhan yang hendak engkau tuju. Belayarlah engkau ke dunia baru.

Oktober - Disember 1938
Belenggu, Armijn Pane


Friday, September 14, 2007

FRAGMEN PLATFORM 18

FRAGMEN PLATFORM 18


Kau benar-benar tidak boleh tidur, bukan? Ini sudah malam ketujuh, kau tidak mampu melelapkan mata. Sikit hari lagi, kau mungkin akan bersama jadi gila macam ayahmu yang mati di Platform 18, Hentian Pudu Raya minggu sudah. Malu bukan? Ayah seorang juara akademi realiti televisyen, artis pujaan rakyat pop yang gilakan hedonisme mati di tempat menunggu bas. Dua minggu dia menempuh saat paling sukar dalam hidupnya, menyampaikan sesuatu yang tidak mahu difahami rakyat berseorangan. Tanpa tempat tidur, makan minum dan kasih sayang. Selama dua minggu dia dianggap gila, bercakap sendirian terjerit-jerit menyampaikan syarahan. Selama dua minggu itu jualah dirinya diabdikan membaca tafsir di surau tingkat dua, manifestasi kekecewaanya terhadap jalan pilihan yang dipilihmu dalam kehidupan yang sementara ini. Ya, kini, tidakkah kau berasa puas?

Namun di antara puas dan malu, kau tidak punya pilihan. Seperti mana dia tidak mempunyai pilihan untuk menegahmu dari memilih jalan kehidupan yang berasaskan hiburan sebegini. Seperti mana dirinya sebagai bekas pensyarah universiti yang senantiasa mengajarkan muridnya mengenai falsafah hidup tidak mempunyai pilihan apabila terperangkap tanpa duit dan saudara selain mu di hentian itu. Kalau kau kini tidak mampu melelapkan mata memikirkan malu di khalayak kelab peminatmu, dia kini sedang nyenyak menikmati kehidupan yang abadi. Kau tidak sedar bukan pabila dia menyatakan hidup ini adalah mengenai pilihan apabila kau menghentaknya dengan penyataan angkuhmu bahawa kau tidak punya pilihan? Di antara kasih sayang, cita hidup dan harga diri, yang mana satu pilihan mu kini?



Monday, September 10, 2007

FRAGMEN PLATFORM 18

FRAGMEN PLATFORM 18


Dia masih ingat hari itu. Itulah hari yang telah mengubah seluruh sistem kehidupannya. Pada hari dia terdengar lelaki dari Burullus itu menyampaikan syarahannya dicelah-celah kehidupan di Platform 18 itu, dirinya terperangkap dalam kontinum yang tidak difahaminya. Sehingga hari ini, dia selalu merasa hari tersebut adalah hari yang paling celaka baginya. Tetapi terkadang dia seronok melayan gelagat manusia, terutama yang sentiasa memandang dirinya dengan penuh iri. Pada saat dia sedar dirinya terperangkap di hentian itu, dia akan merintih sedih lantas membawa diri ke surau di tingkat atas untuk melayan tafsir al-Quran yang senantiasa memujuk hatinya yang lara. Pada saat dia mendapati dirinya menjadi sebahagian mazhab makna yang mengendong falsafah di sebalik kerakusan manusia yang tiada hentinya di situ, dia akan seronok melayan semuanya. Pada ketika itu, dia akan lupa semuanya. Dan dia akan selalu ingat. Di hari yang celaka itu, dia ditahan oleh Imam al-Ghazali di hujung Platform 8. Betul-betul berdekatan kaunter bas Transnasional.


Sunday, September 09, 2007

THE MALAY DILEMMA

THE MALAY DILEMMA


p/s: apa cerita disebaliknya? akan dikupas kemudian..

NASIB BAHASA DI BUMI MELAYU

NASIB BAHASA DI BUMI SENDIRI


Siapa peduli bahasa Melayu di bumi Melayu ini? Pemimpin Melayu peduli? Ahli korporat Melayu peduli? Cendekiawan Melayu peduli? Doktor Melayu peduli? Ahli pernigaan Melayu peduli?

Kita bersorak Bajet 08 menguntungkan, tapi tahukah kita elaun guru bahasa Cina dan bahasa India naik? Bagaimana dengan guru bahasa Melayu?

Tidak berapa lama dulu kita sepak bahasa Melayu dengan menukarkan bahasa penghantar Sains & Matematik kepada bahasa Inggeris. Ingin moden kononnya. Dan lama dahulu kita sunat sistem tulisan yang kita gunapakai sejak beratus tahun iaitu Tulisan Jawi dengan tulisan rumi. Ingin maju kononnya. Dan dalam masa terdekat ini kononnya bahasa Melayu sudahpun ditukarkan kepada bahasa Malaysia di dalam Perlembagaan. Di pusat pengajian tinggi kita sundalkan bahasa Melayu dengan mengutamakan bahasa Inggeris dalam apa jua urusan rasmi.

Pemimpin kita sendiri berbahasa Inggeris di media, di hadapan jutaan rakyat, semata mahu menggambarkan mereka maju dan moden, selaras dengan 50 tahun kemerdekaan.

Dan di dalam bajet 2008, kita tutuh lagi bahasa Melayu dengan mengkelas-duakan bahasa Melayu berbanding bahasa lain dengan penambahan elaun kepada guru berkenaan - guru bahasa Inggeris tidak lama dahulu dan guru bahasa Cina & India kini. Apa standard bahasa Melayu agaknya hingga dianak-tirikan sebegini rupa?

50 tahun merdeka, siapa peduli bahasa Melayu lagi?



Monday, September 03, 2007

Cerita di sebalik cerita

Cerita Di sebalik Cerita


Kerana kesemua yang diculik adalah ahli-ahli Saemmul Community Church di Bundang, pinggir kota Seoul, ibu negara Korea: Pada tahun lalu kira-kira 1,200 pendakwah Kristian tiba di Kabul atas alasan menghadiri “pesta kedamaian.” Atas bantahan rakyat Afghanistan yang semua Islam maka mereka diperintah balik ke Korea.

Sementara itu, akhbar Times, London menyiarkan berita pihak Taliban membebaskan dua wanita Korea yang menjadi tebusan. Masih ditahan ialah 19 orang lagi wanita pendakwah Kristian (menurut berita selanjutnya mereka dibebaskan dengan syarat tidak meneruskan “missionary activity” mereka).

Menjadi pertanyaan ialah kenapa peranan wanita itu sebagai pendakwah tidak disebut dalam warta berita yang disebarkan ke seluruh dunia. Bagi para wartawan (dan para pembaca akhbar serta penonton televisyen) moral cerita ialah: Berita yang tidak disiarkan ada kalanya sama penting dengan berita yang disiarkan.

Baca penuh di sini



Saturday, September 01, 2007

ERTI KEMERDEKAAN - SESUDAH 50 TAHUN

ERTI KEMERDEKAAN - SESUDAH 50 TAHUN


Apa erti kemerdekaan - sesudah 50 tahun?

Selama lebih 500 tahun kita terjajah, tanah & air, mental & fizikal, apa erti merdeka untuk 50 tahun yang pertama ini?

50 tahun adalah jangka waktu yang sangat sedikit. Tetapi dalam masa yang pendek ini, kita bangunkan sivilisasi yang bukan sedikit. Kita korbankan semangat yang tidak pudar. Kita bangunkan sumber kekuatan yang tidak berbelah bagi.

Terima kasih kepada Allah kerana membenarkan kita hidup dan bernafas di bumi bertuah ini. Terima kasih kepada Allah kerana memberi peluang kepada pejuang terdahulu yang bukan sedikit usaha dan pengorbanan mereka untuk membebaskan kita dari belenggu hampir 130 tahun Portugis, 150 tahun Belanda & 170 tahun British. Dan terima kasih kepada Allah kerana masih membenarkan kita hidup aman dan damai untuk 50 tahun yang pertama ini. Sesudah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka dahulu, dan sesudah 500 tahun terjajah, baru sekali ini kita menikmati kehidupan sebagai sebuah negara bebas yang merdeka.

Terima kasih juga kepada para pejuang terdahulu, dari zaman pemberontakan seperti Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Pandak Endut, Datok Sagor, Datuk Bandar Sungai Ujung, Datok Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut mahupun Si Bongkok Tanjung Puteri. Tanpa mereka, gelombang perubahan serta frekuensi keinginan untuk merdeka tidak akan ditala. Sehingga kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu, individu seperti Tunku Abdul Rahman serta kumpulannya tidak boleh dilupakan, Dato Onn bin Jaafar dan penyambung legasi mereka seperti Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn sehinggalah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah membawa kita kepada era baru malah diperkenalkan pula kepada zaman globalisasi tanpa sempadan serta liberalisasi yang sentiasa memerlukan kita bersedia untuk menanganinya.

Tamat satu era dalam babak infrastruktur asas pembangunan masa depan. Cerucuknya telah ditanam. Tiangnya sudah dipacak. Namun persoalannya, bersediakah kita menempuh angin di atas sana yang senantiasa bergolak dengan pusaran serta taufan yang tidak mahu berhenti. Dan keutamannya kini adalah, bagaimana mahu kita tangani serta tempuhi dunia di atas puncak yang sedang kita bina ini.

Adakah persediaan yang dibuat oleh para pemimpin sebelum ini mampu menyediakan kita untuk menahan gelora badai penyakit sosial yang sedang membina tamadun mereka sendiri? Adakah usaha telah cukup dilakukan untuk kita menyertai dunia penuh muslihat dan alasan dalam mewajarkan peperangan sebagai satu solusi? Adakah telah bersedia masyarakat kita untuk merasai nikmat dunia tanpa sempadan dan menikmati hedonisme selarut-larutnya sebagai inti atau roh kehidupan bertuhankan materialisme? Apakah senjata kita dalam mengangisi kematian perusahaan orang kita selama ini pabila dibunuh dan ditutuh habis-habisan oleh kapitalis rangkaian sedunia? Adakah patut kita wajarkan pluralisme sebagai kekuatan baru menangani perubahan mendadak ini?

Apakah persediaan sebenar kita? Akademi nyanyian yang melambak? Mentor-mentor hiburan sebagai penasihat? Esemes sebagai suara rakyat? Merelakan pemuda kita merempit? Merelakan pemudi kita tergadai begitu saja? Kerapuhan institusi keluarga sebagai produk perubahan? Kepudaran idealisme mahasiswa sebagai kos lepas pelan-pelan yang telah dirancang? Menukar bahasa penghantar ilmu sebagai menurut kemahuan dunia? Mencemuh dan meludah bahasa sendiri di negara sendiri sebagai manifestasi perubahan?

Itukah nasional konsolidasi & nasional progres yang kita canang dan kita dambakan selama ini? Adakah kemajuan mampu kita usahakan seiring sebagai produknya iaitu mentaliti kelas pertama, sesuai dengan infrastruktur yang dibina? Rousseou pernah menyatakan, "Manusia tidak dapat mencipta kekuatan baru; hanya cuma menyatukan & mengubah apa yang ada; tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan mereka selain daripada menubuhkan dengan berkerjasama satu kekuatan yang cukup bagi mengatasi satu-satu rintangan,"

Tidak lain dan tidak bukan, satu revolusi mental perlu dilaksanakan secepat mungkin dalam menangani ketidakseimbangan sumber dan kekuatan yang sedang kita hadapi kini. Kita katakan kita maju, dalam masa yang sama kita buang sampah merata-rata. Ini bukan masalah kampungan. Ini bukan cerita di pekan-pekan kecil. Ini masalah nasional. Belum dikira kempen cintai sungai kita yang gagal itu. Kempen tak nak merokok yang belum kelihatan kesan positifnya. Serta yang paling penting, revolusi ini perlu kita lancarkan dengan jiwa yang besar, bukan dari jiwa kecil yang diselubungi oleh dendam, dengki atau marah.

Ketidakseimbangan sumber dan kekuatan yang kita hadapi ini, boleh kita analogikan sebagai kemiskinan mentaliti yang kita miliki yang lansung tidak berdiri sama tinggi dengan infrastruktur yang kita bina seperti KLIA, Sepang, Putrajaya mahupun KLCC. Malah yang lebih tragis, kemelut peniaga Bumiputra masih tidak selesai di KLCC yang mana masih berperang dengan kuasa kapitalis untuk hak menyewa. Ataupun masalah kemalangan kenderaan yang bertitik tolak dari cara kita berfikir semasa memandu dan masalah pemanduan berkesan oleh bas-bas yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Masalah sebegini harus kita selesaikan mengikut cara dan keupayaan kita sesuai dengan status kita sebagai tuan di tanah sendiri. Malah Thomas Hobbes pernah menyatakan apa yang sangat dikehendaki adalah peluang yang sama, bukan sahaja harapan yang sama.

Revolusi ini perlu kita gembleng bersama sebagai langkah pertama dalam menapak 50 tahun yang kedua. Untuk mengelak dijajah semula, mahu atau tidak, mentaliti perlu kita pertingkatkan seiring dengan pembangunan yang selalu kita idamkan. Usaha ini sukar. Bertitik tolak dari kesedaran dan kemahuan perubahan, tidak semua mamu berfikir dalam gelombang yang sama. Untuk merubah pemikiran seseorang adalah sukar, inikan pula untuk merubah pemikiran bangsa. Walau apa pun, jika masing-masing berniat untuk berubah, secara idealisnya masih ada harapan ke arahnya.

Sebab itu, walau apa cara sekalipun, agama dan sejarah adalah guru yang terbaik. Kembali kepada ajaran Islam yang sebetulnya bersandarkan al-Quran tanpa soal dan alasan yang pelbagai. 1511 Melaka dilanggar Portugis oleh sebab dengki di samping kesukaan rakyat dan pemimpinnya berhibur libur. Kita perlu faham bahawa budaya hedonis yang sedang kita amalkan kini sedang menuju kehancuran yang sama seperti yang dialami oleh Melaka dahulu.

Kemiskinan mentaliti ini perlu kita atasi segera kerana kita harus percaya kepada bangsa yang mempunyai kebudayaan, tatatertib & bahasa yang tidak luntur dek zaman seperti bangsa Melayu ini, tidak mudah lenyap dari muka bumi.

Untuk 50 tahun pertama ini, ada sesuatu, yang perlu kita fikirkan melalui kata-kata Tun Abdul Razak yang ditulisnya pada 20 November 1970, 37 tahun yang lalu;

"...kita sedar antara beberapa sebab orang Melayu tidak dapat menyertai dengan sepenuhnya usaha-usaha pembangunan ekonomi dan sosial ialah kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkong oleh hidup yang kolot..."

"...kemajuan akan hanya dicapai jikalau terdapat satu perubahan pemikiran yang besar-besaran dalam masyarakat ini yang akan membolehkan setiap orang anggotanya menyertai dengan berkesan dalam proses pembangunan ekonomi & sosial..."

p/s : cukup 50 tahun tulisan Jawi kita sundal dan sunatkan tanpa rasa belas, inilah jadinya..tidak insaf lagikah kita?




This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]