Monday, August 27, 2007

KEKUATAN KITA

KEKUATAN KITA




Ini adalah hasil mahsul manusia yang tiada kerja, kasihan bukan? Mengkritik boleh, tetapi berbuatlah sekritis mungkin, menilai dengan mata hati yang bijak di sebalik frekuensi agenda yang yang ingin disampaikan. Beri ibrah atau pengajaran berserta solusinya sekali sebagai panduan kepada yang dikritik untuk berubah.

Mengkritik atau memaki membabi buta bukan budaya kita.

Juga, tiada signifikasinya kita berpeluh menaip tersembur bercakap di sana sini kerana kita tiada kuasa.

Serahkan kepada yang berkenaan. Selepas Negarakuku, saya ingin lihat reaksi pihak berkuasa mengenai laman ini.

Jangan jadikan ia sebagai seni baru untuk rakyat.

Dan perkara baru yang saya dengar, perkataan bahasa Melayu di dalam Perlembagaan sudahpun digantikan dengan bahasa Malaysia. Saya bukanlah manusia yang sesuai untuk menulisnya disini, tetapi jika ianya betul, benar-benar menakutkan.

Setelah dimaki hamun di dalam lagu, dicaci sehina-hinanya di laman web, kita tukar semua Melayu itu kepada Malaysia ya?

p/s: saya menunggu kekuatan kita sebagai Melayu..kerana tanpa Melayu, kaum lain tidak akan berdiri sama tinggi seperti hari ini
--> saya tidak akan siarkan komen sampah oleh reek, aston, yuking, fargowin, mia, san, vesewe, yoy, sam & konek kerana saya percaya ianya datang dari tangan yang sama sekitar jam 11.47 hingga 12.44 pm 29 Ogos 2007. saya hargai ketekunan manusia ini menekan keypad berjela-jela tetapi lagi sekali saya tekankan, saya tidak teringin menyiarkan komen sampah di dalam blog saya, melainkan anda memberi komen dengan menggunakan id yang sah dan benar. anda yang pengecut, berhentilah jadi pengecut agar tiada siapa melabel blogger lain yang berani seperti kami turut terkena tempiasnya. ini bukan blog sampah untuk manusia seperti anda meluahkan perasaan kosong yang berbaur emosi itu. jika benar teringin mengomen lagi sekali, gunakan bahasa Melayu standard dengan id yang sah. anonymous, tidak akan dilayan. jadilah banga yang merdeka fikiran & pemikirannya. emosi semata hanya memalukan anda dengan membuka punggung anda di laman siber yang tidak berpenghujung ini.

Sunday, August 26, 2007

FRAGMEN GERABAK KETUJUH

FRAGMEN GERABAK KETUJUH




KERETAPI itu bergoyang-goyang. Goyang kiri. Kanan sedikit. Goyang lagi. Lagi dan lagi. Bau tengik peluh manusia yang menyesakkan gerabak itu, bercampur baur di antara satu sama lain, memenuhi saluran pernafasannya, masuk terus sehingga ke paru-parunya. Namun bau tersebut tidak sedikit pun mengganggu pemikirannya. Baginya, hidup mati itu, hak Allah SWT. Otaknya delik, penuh dengan segala macam katarsis, daripada kecelaruan yang memenuhi segenap ruang jantungnya itu. Fikirnya, tentang mitos. Mitos yang selama ini menyelaputi setiap inci pemikiran dirinya. Orang kampung, masyarakat serta dunia sekelilingnya. Gambaran tentang masyarakat peribumi, yang sengaja dipesongkan oleh masyarakat dan bangsa penjajah. Fikirnya, fahaman kepenjajahan menyematkan gagasan yang layu terhadap masyarakat peribumi, Melayu, dalam usaha mereka membenarkan amalan penindasan dan ketidak adilan terhadap masyarakat peribumi tersebut. Hasrat sikap berbentuk ‘malas’ disematkan agar membenarkan alasan penaklukan dan penguasaan mereka terhadap setiap inci Tanah Melayu ini. Otaknya ligat berfikir, padanya, idea ini kemudiannya berlarah-larahan dengan pelbagai bentuk pemesongan unsur-unsur kenyataan sosial yang seterusnya akan menjamin bentuk gagasan yang sesuai dan dikehendaki oleh mereka. Lantas timbul pula paluan dari pariwarta-pariwarta yang bertajuk untuk memburukkan daya pemikiran peribumi, serta sejarahnya yang buruk, berkisar hanya kepada khayalan, tidak senonoh, kebohongan semata malah kebodohan pula dalam segala macam jenis tingkah laku meraka. Dia ketawa sendirian.

Sebegitu jauh dia berfikir. Teringat akannya pada 1 hingga 4 Mac yang lepas usaha, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, atas inisiatif Kesatuan Melayu Selangor serta Dato Onn bin Jaafar. Dengan 107 perwakilan dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu, kongres ini telah mendesak orang Melayu supaya bersatu malah berusaha untuk menentang MU. Kongres tersebut mencadangkan ditubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Dipegangnya beg yang mengandungi dinamit itu kuat-kuat, walaupun manusia yang menghimpit didalam keretapi itu semakin goyah dek goyangan yang beritma itu. Dia terikut berayun, kekanan, dia kekanan, kekiri, dia kekiri. Berturutan dengan itu pula pada 29 dan 30 Mac, Kongres Melayu Se-Malaya Kedua pula dilancarkan, juga di Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO ditubuhkan dalam Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga di Johor Bahru, 11 Mei dengan Dato Onn bin Jaafar sebagai Presiden UMNO pertama. Turutan peristiwa ini mengingatkan dia akan pengalaman latihan yang diterimanya sewaktu mula-mula masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Di sana, dia terdedah dengan banyak maklumat. Banyak idea. Banyak pendapat. Semakin lama dia semakin terpengaruh dengan prinsip mereka. Semangatnya meluap-luap. Pernah satu ketika dia, Samad serta Jiman merancang untuk meletupkan jambatan yang menghubungkan Kampung Baru A dan Kampung Baru B di Hulu Bernam dangan pekan Tanjung Malim. Jambatan yang menghubungkan kedua buah pekan itu di pisahkan oleh sebuah sungai yang bernama Sungai Bernam, garis pemisah di antara negeri Perak dan Selangor. Dengan kuasa Allah, perancangan mereka gagal di tengah jalan, jika tidak mana mungkin Jepun dapat mara menjangkau Slim River dalam masa yang pantas hingga menyebabkan penyangak pengaut harta bumi Melayu anak Inggeris termasuk gurkha-gurkha mereka lari terkangkang-kangkang bagaikan tak cukup bumi meninggalkan pos mereka di Tapah.


Tuesday, August 21, 2007

Tradisi Super Liberal

TRADISI SUPER LIBERAL




Beberapa hari ini kita dengar beberapa tuntutan dari MCA. Beberapa, tetapi signifikan. Dan ini bukan blog pengecut. Nama penuh tertera di bawah sana dan para pemantau sila hadamkan dengan betul, ini bukan tulisan yang bersifat menghasut.

Ini adalah peringatan bahawa tradisi Super Liberal yang kita amalkan sejak turun temurun sedikitpun tidak membawa kebaikan kepada kita.

Tuntutan yang pertama adalah mengenai keperluan bahasa Mandarin dalam UPSR 2008.

Tuntutan kedua adalah supaya kerajaan membuka tender projek kepada semua kaum.

Kedua tuntutan ini menggambarkan keprihatinan dan sifat ambil tahu serta jati diri yang menebal di hati mereka. Ini kerana tuntutan yang dizahirkan ini mengambil kira kepentingan masyarakat Cina secara keseluruhannya, dari sekecil-kecil aspek pendidikan hinggalah kepada tender yang berharga jutaan ringgit.

Adakah kita akan membicarakan mengenai tuntutan yang dibuat? Tidak, kita tidak akan membicarakan sesuatu yang bukan hak milik kita untuk membicarakannya. Saya sanjung sifat prihatin & kesediaan mereka untuk bertegang leher, semata mempertahankan apa yang mereka fikir betul dan apa yang mereka mahukan. Kesediaan inilah kunci kepada kejayaan mereka, walau di mana mereka berada. Di Amerika, Di Singapura, Hong Kong malah di Malaysia sendiri. Ini, adalah sifat kaum yang mahukan kejayaan. Berpegang kepada tradisi sebagai kekuatan jati diri dan sentiasa memperjuangkan hak mereka, walaupun di atas kertasnya kuota itu bukan kepunyaan mereka. Itu dinamakan mengambil peluang.

Ini yang mahu kita bicarakan sebenarnya mengenai sifat dan kekuatan manusia Melayu dalam suasana dan mood 50 tahun merdeka ini. Kita katakan kita berbangga menjadi warga Malaysia tetapi dalam masa yang sama ada bahagian dalam Perlembagaan yang sengaja kita hitamkan agar ianya sesuai dengan kehendak dan nafsu kita yang mabuk globalisasi. Kecanduan kita terhadap budaya popular serta ketidaksediaan kita menghadapi serangan liberalisme yang selama ini menjadi tradisi kita sendiri menjadikan kita bacul untuk bersuara. Kita gagal membetulkan apa yang patut dibetulkan, kita gagal menegakkan apa yang patut ditegakkan dan kita sendiri kelelahan dengan apa yang benar dan apa yang salah.

Jadilah kita seperti Luncai dengan labunya. Terjun menerjah arus globalisasi berbekalkan labu acuan yang kita tiru daripada orang lain. Dalam sedar dan tidak, labu tiruan itu sebenarnya tidak mampu menampung berat badan kita yang sebenarnya. Akibat sibuk meniru orang lain, kita gagal mengukur badan sendiri. Dan menyembahlah kita penuh takzim kepada laut globalisai agar simpati lantas tidak meghukum dengan menelan kita bulat-bulat.

Kita telah kehilangan sistem tulisan. Sistem tulisan Jawi telah kita sunatkan dengan tertubuhnya Asas 50 yang mendukung gaya Rumi sebagai ganti budaya popular, kononnya untuk merakyatkan seni. Dalam pada bangsa maju lain seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis mahupun Thailand sentiasa mengembangkan dan menggunapakai sistem tulisan mereka sendiri, kita terkial-kial meniru bangsa penjajah menggunapakai Rumi. Mati terlondeh, satu daripada warisan asasi sebuah tamadun kita.

Dan kini, tidak kurang daripada 50 tahun yang kita banggakan sangat itu, kita tutuh habis-habisan pula sistem bahasa yang kita gunapakai selama ini. Bahasa Melayu yang kita tuturkan sejak kecil mahu ditukar namanya, menjadi bahasa Malaysia. Selepas ini jangan ketawa andai baju Melayu yang dibuat pakai Raya itu juga mahu ditukar menjadi baju Malaysia. Sains dan Matematik jangan diajar menggunakan bahasa Melayu. Institusi pengajian tinggi cepat-cepatlah menukar bahasa standard kepada bahasa kedua itu. Bahasa Melayu ini melecehkan. Tidak lagi relevan dalam bidang akademik. Majlis rasmi kita guna saja bahasa kedua. Apa peduli dengan bahasa Melayu. Sewaktu wawancara dengan televisyen, apa salahnya sekali sekala kita berbahasa bukan bahasa Melayu. Biar orang melayu kampung saja menggunakannya. Mereka tidak tahu bahasa lain. Dan esok, semasa peperiksaan, kita guna bahasa kedua. Kan lebih stylo gitu. Lebih standard. Lebih maju. Lebih kehadapan. Inilah 50 tahun yang kita agungkan. Inilah tradisi super liberal yang kita amalkan, sejak turun temurun.

Dan yang lebih menyakitkan, stamina golongan mahasiswa lansung tidak kelihatan. Merujuk kepada tulisan Saifullah Zulkifli dalam blognya yang bertajuk;
SUMBANGAN DAN CABARAN MAHASISWA DALAM PERJUANGAN BAHASA MELAYU, golongan mahasiswa pada era 60 dan 70-an telah berusaha agar bahasa melayu didaulatkan menjadi bahasa penghantar dalam institusi pendidikan. Dimana kekuatan mahasiswa kita kini dalam menegakkan suara bangsa sebagai asas pembinaan tamadun berasaskan jatidiri dan budaya setempat. Apa usaha mereka sebagai penyambung legasi kejayaan negara dalam mempertahankan hak dan kedaulatan perlembagaan yang secara terang-terangan dibacul dan di iikat ini? Adakah suasana dan situasi senyap yang ditunjukkan oleh golongan mahasiswa ini menggambarkan kekosongan jiwa, kerapuhan ideologi, kepunahan semangat malah kepudaran idealisme dalam mengangkat dan menjunjung martabat bangsa iaitu Melayu sebagai salah sati dari agenda utama mereka? Kita yakin, situasi AUKU mengikat kaki, tangan, lidah dan buntut mereka habis-habisan hinggakan pada tahun yang 50 ini, mereka kehilangan idea dalam membancuh acuan dan formula meningkatkan keupayaan minda mereka sendiri kerana minda yang mereka harungi kini adalah minda ciptaan yang telah direka sedemikian rupa agar mereka hanya berkeupayaan untuk mengangguk sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian. Pereka cipta situasi ini benar faham, kekosongan minda mahasiswa kita tidak boleh dibiarkan kosong. Maka timbullah budaya popular untuk mengisi kekosongan jiwa yang melanda semua mahasiswa kini. Novel popular yang melalaikan dilambakkan dimana-mana, situasi perang esemes dijalankan agar mahasiswa sibuk beresemes dan tidak lagi memikirkan masalah negara, budaya ikon pop untuk dijadikan idol baru para mahasiswa, budaya menyanyi dijadikan budaya tertinggi tamadun walaupun didalam institusi pengajian dan pelbagai rupa bentuk masalah sosial lagi dilambakkan agar mereka semua hanyut dan larut lesap dalam budaya hedonis yang tiada penghujung.

Kelemahan ini, perlu ditangani. 50 tahun merdeka bukanlah jangka waktu yang sesuai untuk kita keliling dunia, panjat gunung 50 kali, terjun di kutub atau apa acara sekalipun yang tidak signifikan terhadap pembentukan budaya dan bangsa. Kelemahan ini, tidak boleh kita tampalkan dengan slogan cemerlang gemilang atau terbilang. Kelemahan ini tidak boleh kita sorokkan melalui penyusupan nilai hadhari. Kelemahan ini, tidak mampu kita pertanggungjawabkan di kemudian hari andai masalah yang bakal berlaku akibat darinya disoal kembali oleh generasi selepas kita.

Oleh yang demikian, kita perlu mencari semula kesediaan dan kekuatan dalam hati agar setiap lapisan masyarakat, terutamanya mahasiswa yang kini larut lesap dan leka dalam budaya hedonisme, bahawa ada sesuatu yang perlu kita lakukan dalam jarak 50 tahun merdeka ini.

Yang pertama, merujuk kepada Perlembagaan, mendaulatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu agar kelak ia tidak lagi menjadi mangsa sebagaimana tulisan Jawi menjadi mangsa kerakusan kita mengambil keputusan suatu masa dahulu.

Dimana kita akan meletak muka kita kemudian hari andai bahasa Melayu pada masa hadapan sudah lagi tidak wujud.

Hapuskan tradisi Super Liberal yang selama ini kita anuti, hingga cacar marba jadinya budaya dan adat yang kita pegang selama ini.

Tirulah rentak bangsa lain sebagaimana MCA yang sedia untuk menuntut, demi kepentingan anak bangsa mereka, melebihi kepentingan kuasa.

Kita berbangga dengan pencapaian 50 tahun merdeka, tetapi pencapaian bangsa kita sebagaimana yang diutarakan oleh Za'ba dalam karangannya yang terkenal iaitu 'The Poverty of the Malays' dan 'The Salvation of The Malays' yang termuat dalam The Malay Weekly Mail, Disember 1923, tidak mampu kita pertingkatkan walaupun sudah 84 tahun berlalu;

Sifat-sifat Kemiskinan Orang Melayu

a) Kemiskinan Keperangaian Tinggi & Mulai

1. Lucah & bersedap-sedap dengan hawa nafsu sahaja
2. Tidak mempunyai iman yang teguh, percaya kepada kekuatan ghaib & guna-guna semata
3. Ajaran guru agama yang kolot
4. Tiada kepercayaan kepada diri sendiri
5. Kekurangan cita-cita, tanggungjawab, tidak menepati masa, tidak rela kerja kuat, tidak rela berkorban dan tiada kecintaan kepada tanah air

Sunday, August 12, 2007

Selamatkan Hari Jadi Abah

Selamatkan Hari Jadi Abah

Abah nak masuk 50 tahun ini. Ya, betul-betul hujung Ogos ini. 50 tepat. Separuh abad. Sesuai sangatlah tu. Mukanya yang hitam, berkedut dan menggelebeh di kedua belah pipi. Dahi yang luas tanpa rambut dengan garisan penuh memanjang bagaikan balapan di stadium. Belum cerita tentang leher yang pendek, perut yang buncit, kaki yang tempang sebelah. Bukan, bukan nak cerita yang buruk tentang abah. Tetapi itulah realitinya. Dah 50 tahun abah hidup. Lebih dari makian, cacian dan sebarang kutukan, abah mesti kebal dengan semua.

Tetapi disebalik kehodohan paras rupa abah, hati abah muda. Selalu saja abah nyatakan keinginannya yang macam-macam itu. Nak berbini lagilah. Nak bini yang mudalah. Nak tambah keretalah. Nak beli rumah lagilah. Bukan, bukan kami nak halang. Cita-cita itu bagus. Keinginan itu motivasi. Tetapi biarlah padan. Biarlah cocok dengan abah. Dengan keluarga kami semua.

Yang sebenarnya abah kelelahan. Yang itu kami pasti. Tapi kami buat-buat tak tahu saja. Abah dan 5o tahun. Pandai-pandailah. Pandailah dia nak menjaga Iwam yang dok sibuk menyanyi tu. Suka benar dia menyanyi. Yalah. Benar nak menyambut 50 tahun hari jadi abah. Tapi cukup-cukuplah menyanyi tu. Nak sangat glamor. Gila sangat nak berhibur libur.

Pandailah dia menjaga Pit yang dok sibuk dengan motor dia tu. Dok merempit ke hulu ke hilir dengan pelbagai gaya. Dah macam monyet jumpa motor pulak lagaknya. Tu belum cerita pasal Leha. Dok bawa balik jantan setiap malam. Tapi abah mana pernah cakap apa. Pasal abah dok sibuk nak menyambut hari jadi yang ke lima puluhnya itu. Yalah. 50 tahun hidup. Mestilah nak sambut.

Tapi dalam masa yang sama abah ada banyak penyakit. Kencing manis. Darah tinggi. Gout. Sebab tu lah agaknya abah tak ada masa nak tegur anaknya. Biarlah mereka nak buat apa pun. Negara ni kan negara merdeka. Bebas nak buat apa. Kita mestilah jadi liberal sekali sekala. Tak kan patah balik jadi primitif pula. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Itu kata abah, apabila kadang kala kami suarakan kebimbangan kami. Sebab itulah agaknya baru-baru ini abah kahwin baru. Memanglah mak dah mati. Abah bosan agaknya, dah tak tau nak buat apa. Lagipula tahun ini nak kena sambut hari jadi besar-besaran.

Tapi abah banyak lupa banyak perkara. Kadangkala abah lupa nak bagi makan kucing kat rumah. Selalu ikan yang dibelanya pun kurus kering dek jarang diberi makan. Tu belum cerita barang dapur. Sebab itu anak abah kalau nak makan, makan kat luar. Ekonomi abah makin teruk kami tengok akhir-akhir ini. Tapi abah mana peduli. Dia asyik sibuk dengan sambutan hari jadinya. Baru-baru ini beli bendera, dan gantung di luar. Semangat 50, katanya. Dalam pada tu, selalu saja jantan yang Leha bawa balik buat kesat tangan saja pada bendera tu. Kadang, buat kesat mulut, lepas makan burger di luar rumah. Abah buat-buat tak nampak saja. Inilah kemodenan, sahut abah, mesti ada kos lepas.

Yang sebenarnya, abah memang tak sihat sangat. Peyakitnya makin teruk. Anaknya makin tak terkawal. Dengar kata, tanah rumah yang abah duduk sekarang telah dilobi oleh orang asing. Tapi abah selalu tak kisah. Katanya dia masih banyak tanah lain. Yang tu nak diambil orang, ambillah. Nak maju, ikut arus perdana, mesti berkorban sikit.

Ya, berkorban. Yang itu kami nak dengar. Setakat mana ayah nak berkorban. Tanah hilir belah selatan dulu pernah ayah lepaskan pada Cina. Yang itu, sejarah ayah. Sekarang dia nak bagi lagi sedikit. Memang bijak benar. Memang molek sangatlah tu. Belum cerita pasal korban ayah dengan Iwam. Pit. Dan Leha.

Ayah nak berhibur untuk 50 tahun ini. Biarlah. Biarkan saja. Ayah dan buncit perut hidup lama. Biar penyakit memamah sisa daging yang lebih sampai kering. Biar anaknya bertiga itu jadi simbol dan lambang kemajuan negara. Biar semua ikut perancangan ayah. Sebab semua tak boleh cakap banyak. Kalau cakap banyak, tahulah apa ayah nak buat dengan kami.

Jadinya, kami tutup mulut. Dan lihat sajalah. Itulah kemampuan kami pun. Itulah kemaluan kami pun.

Thursday, August 09, 2007

fragmen amaliyyah yang ditiadakan

FRAGMEN AMALIYYAH ISTISYHADIYYAH YANG TIADA DI DALAM DEWAN SASTERA OGOS 2007
Mereka, tidak mempunyai dalil serta bukti yang kukuh untuk melegitimasikan kepulangan mereka ke sini! Mereka tidak mempunyai apa-apa! Alasan mereka dangkal, sangat miskin tetapi masih mampu membunuh suara kekuatan dunia Islam sendiri! Apa sebenarnya alasan mereka? Bahkan Theodore Herzl itu sendiri seorang atheis! Semakin lama suasana pegun ini berlarutan, semakin emosi menyelubungi ruang lingkup empat persegi ini. Bahawa penafsiran mereka terhadap ‘thy seed’ dalam Genesis 15:18 telah disanggah oleh Dr Alfred Guillaume bahawa penafsiran kota Baitulmaqdis dijanjikan bukan sahaja untuk kaum Israel, tetapi juga Kristian serta Muslim juga. Bahawa Arthur Koesler pula menyatakan kebanyakan bangsa Yahudi yang menyokong gerakan Zionisme untuk kembali ke bumi Palestin adalah dari keturunan Ashkenazi, yang bukanlah dari susur galur Bani Israel tetapi dari bangsa Rusia Khazar yang memeluk agama Yahudi apabila raja mereka memeluk agama tersebut. Bahawa jika benar Baitulmaqdis dijanjikan untuk Yahudi tetapi mereka telahpun kehilangannya sebanyak dua kali iaitu sewaktu diserang Nebuchadnezzar pada 586 SM dan dibawa berhijrah ke Babylon pada 70M. Jadi, apa justifikasi mereka untuk terus-terusan memenggal kepala penduduk asal, memunggah hasil mahsul milik penduduk malah memusnahkan sistem setiap generasi yang hidup di sini? Apa kebenaran yang dibenarkan oleh dunia Islam terhadap segala macam tipu muslihat mereka yang berpunca dari kesalahan serta kesilapan mereka sendiri dalam menafsir Old Testament dalam juzuk The Kings itu yang hanya disandarkan sebagai bahan serta cerita sejarah tetapi bukan untuk dijadikan iktibar serta bukan untuk diulangi! Sekali lagi, penyataan terakhirnya yang mampu diulang-ulang kini adalah secebis harapan, sehiris penyataan serta sekeping peringatan bahawa yang mesti disedarkan itu bukanlah musuh tetapi umat Islam itu sendiri!!
p/s: baca penuh di Dewan Sastera Ogos 2007

BASTARD, SELFISH COWARD, MORON, BROKEN ENGLISH CONTAMINATION…

BASTARD, SELFISH COWARD, MORON, BROKEN ENGLISH CONTAMINATION… ?

baca penuh di FEEBLE FABLES

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]