Sunday, July 29, 2007

MASA AKAN BERKATA-KATA

MASA AKAN BERKATA-KATA
Masa Akan Berkata-kata

Percaya tak kau, masa akan bercakap? Ya, kau mesti percaya. Sebab apa yang kau lakukan hari ini, tidak dapat kau pertanggungjawabkan pada hari kemudian. Hanya masa yang akan menjawab.

Kau tidak setuju?

Masa tahu segalanya. Masa faham betul dengan kerenah dunia. Kalau hari ini Palestin semakin mengecil, masa faham semuanya. Kalau hari ini ada manusia yang boleh berenang di kutun-kutub, masa faham betul sebabnya.

Agak-agaknya, kenapa capaian 30% pemilikan ekuiti tidak dapat dicapai oleh bangsa Melayu dalam 50 tahun ini, masa selalu gelakkan saja. Dan selalu masa membuat muka kalau lihat bangsa Melayu ini berlengah-lengah apabila berjanji. Tetapi masa selalu faham. Masak benar sudah dia.

Dan dulu, masa kita berdegar-degar melaungkan merdeka, agaknya 50 tahun sudah, masa hanya tersenyum. Dalam senyuman ada tawar. Sebab masa yang akan menjawabnya nanti. Masa, tahu semuanya!

Percayalah!!


Tuesday, July 24, 2007

FRAGMEN PENSEL, KERTAS & SEBUAH CATATAN HATI



Firasatnya, akan muncul sebuah bangsa di rantau ini yang bakal dikenang oleh bangsanya penuh kebanggaan, yang tiada tandingan. Dia menggeleng lagi. Melihat betapa nyaman suasana di sekitar, dengan pohon yang menghijau, redupnya mata menyapa hujung hatinya. “Mengapa”, tanyanya lagi, “mengapa zaman itu kemudiannya tidak tertanding lagi?” Sedang beliau menutup buku catatannya itu, satu suara menyapanya.


“Kelihatannya dalam banyak permasalahan, kita tidak memiliki banyak prasayarat untuk mencapai keyakinan dan kesimpulan.” Sapa Ibn Rusyd memunggah lamunan Ibn Battutah.


Dalam kejutan itu, Ibn Battutah menyanggah “Ia hanya sebab waktu?”


“Saudara, walau bagaimanapun, dalam keadaan tersebut, kesimpulan perlu dibuat sedaya mungkin.”


“Menjadi masyarakat yang tidak sedar akan waktunya?”


“Ini kerana, tidak mustahil bahawa persolan-persoalan akan menjadi jelas pada kemudian hari dan kita akan dapat memperoleh keyakinan dalam kebanyakan persoalan yang tidak dapat diperoleh pada zaman kita ini.”


Dalam kepulan asap yang semakin menebal, Ibn Battutah tidak dapat menahan saluran pernafasannya untuk tersekat. Beliau mulai batuk. Dan batuknya menjadi semakin teruk.


Ibn Battutah beristighfar lagi. Menyeka peluh yang lebat mengalir daripada dahinya, tidak tersangka olehnya mimpi tersebut muncul kembali. Akhir-akhir ini, di kota yang penuh dengan muslihat ini, beliau selalu terganggu dek mimpi-mimpi yang misteri. Alang-alang terbangun, beliau menuju ke bilik air untuk berwuduk, seterusnya menunaikan solat sunat.


Sunday, July 22, 2007

hujan itu, biarkan ia berlalu

Hujan itu, biarkan ia berlalu




Seminggu dua ini, banyak benar saya berfikir. Banyak benar saya melarikan diri. Banyak benar saya menyesali nasib. Kusut, dan kacau.

Seminggu dua ini, jarang sekali saya membaca. Jarang sekali saya mengupdate blog. Jarang sekali saya mengecas nasib. Rusuh, dan suguh.

Saya melihat kembali hidup saya 22 tahun yang lepas. Mengecasnya berulang kali untuk menemukan signifikasi kuantum ruang dan masa, falsafah serta epistemologi hidup.

Benar-benar saya kelelahan. Selalu saja saya keletihan. Nafas menjadi singkat, udara menjadi sendat.

Ada ruang untuk menjadi ekspresionis. Ada kuantum untuk menjadi pencinta. Tetapi, sekali lagi, untuk kesekian kali gagal menjengah lagi.

Ini bukan ruang untuk menyesali nasib, mahupun meratapi takdir. Ini ruang untuk melepaskan gian, meleraikan candu bahawa ada sesuatu yang gila, sedang menggila dalam diri ini.

Ada isu yang lebih besar. Ada agenda yang lebih gagah untuk dinilai. Ada propaganda yang lebih sesuai untuk djana.

Tetapi selalu cinta merajai hati dan jiwa menuntut secebis, demi secebis perhatian, sedang ketentuan serta ketidaktentuan menanti di akhir.

Bukan mudah untuk meneliti, membuat atau menjawab keputusan.

Dunia akan terus-terusan celaru. Bola akan tetap sakit dengan persatuan mereka, negara akan terus sengsara dengan pemimpin mereka, bahasa akan terus sugul dengan pengguna mereka, pemuda akan terus sanskrit dengan sistem sosial mereka.

Jarang sekali saya tidur awal. Tetapi seminggu dua ini, selalu benar saya kelelahan, keletihan dalam melarikan diri. Tidur sebagai terapi eskapism.

Dan masa, akan terus mengecas nasib. Melihat yang lepas sebagai panduan menemukan jalan yang paling sesuai untuk meniti hari di depan.

Sesiapa yang gagal mengecas nasib melalui masa, akan tertinggal bagaikan telefon bimbit yang canggih tanpa bateri.


Saturday, July 07, 2007

MASALAH KITA



MASALAH KITA ialah pendapat ilmuwan jarang diambil kira. Pandangan yang selalu didengar ialah daripada penyokong dan pegawai. Masalahnya, yang satu selalunya mengampu, manakala yang satu lagi selalunya takut untuk tidak bersetuju.

Di samping itu, pemimpin yang mengetepikan pandangan ilmuwan itu tidak pula gigih melakukan penyelidikan sendiri atau menyediakan dana secukupnya untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala keputusan serta tindakan dilaksanakan pemimpin itu tidak pula lebih baik daripada pandangan ilmuwan diketepikan itu.

Anehnya, beberapa waktu kemudian, pandangan ilmuwan yang dahulunya diketepikan itu digunakan pula oleh pemimpin sama. Yang buruknya, apabila ini berlaku, lazimnya sedikitpun tidak diberikan penghargaan atau pengiktirafan kepada ilmuwan berkenaan. Tidak ada ucapan terima kasih.

Pensyarah tidak digalakkan bercakap kepada media, malah ketika masalah jerebu satu masa dulu, mereka dilarang sama sekali. Pemimpin mahasiswa dilarang bercakap kepada media, malah ada yang diambil tindakan disiplin kerana berbuat demikian. Memanglah pensyarah dan pemimpin mahasiswa dibenarkan bercakap kepada media sekiranya mendapatkan kelulusan universiti terlebih dulu, tetapi bukankah peraturan ini pelik sedangkan pemimpin yang tidak masuk universiti bebas bercakap kepada media?

Iklim begini tidak sihat bagi pengembangan dan kemajuan kepemimpinan berilmu. Iklimnya perlu terbuka. Apa yang penting ialah pandangan yang benar. Kebenaran adalah disiplin dan prinsip ilmu. Pandangan yang benar, walaupun berbeza dan pahit, perlu diterima pakai. Tidak kira siapa menyampaikannya, yang di bawah sedia menyampaikan dan yang di atas sedia menerima. Begitu juga sebaliknya.

Iklim budaya ilmu lebih kondusif perlu diwujudkan, dengan semua dapat dan dibolehkan untuk memberikan pandangan ?tanpa ragu atau ampu. Inilah tradisi dan budaya ilmu perlu diwarisi dan digerakkan semua pihak.

Pepatah lama amat memahami hal ini, misalnya:

Jika ingin tahu tingginya pokok, tanyalah pada helang;

Jika ingin tahu luasnya padang, tanyalah pada belalang;

Jika ingin tahu dalamnya hutan, tanyalah pada puyuh.

Masalahnya ialah, kebijaksanaan itu selalu dilupakan, lalu belalang dianggap helang dan cacing dianggap naga.

Justeru, mahasiswa perlu memastikan dirinya menjadi k-pemimpin, iaitu pemimpin berilmu yang menghayati budaya ilmu. Dalam konteks ini, Wan Mohd Noor Wan Daud menggariskan tiga prinsip budaya ilmu iaitu ilmu dan ilmuwan diletakkan di tempat paling tinggi; setiap orang sentiasa menuntut, mengembang dan memajukan ilmu dan setiap keputusan serta tindakan adalah berdasarkan ilmu.

Mahasiswa yang berpegang kepada kepemimpinan berilmu perlu memastikan dirinya adalah ilmuwan sejati dan bukannya mengaku ilmuwan, tetapi berperangai seperti ayam Belanda ?berketak sekampung apabila seekor terkejut atau menjadi pahlawan kuda kepang ?mengangguk apabila ditunggang orang lain.

p/s: baca tulisan penuh Datuk Saifuddin Abdullah di sini


Wednesday, July 04, 2007

dalam rindu ada kaca

Dalam Rindu Ada Kaca


Dalam rindu ada kaca.

Ada kala, kita senantiasa mencari ruang untuk memperbaiki. Dan selalunya, kita tutup ruang dengan muslihat yang pelbagai. Itulah kehidupan. Dalam dunia yang penuh dengan sifat epistemologi yang kepura-puraan, kita hanyut, lemas dan lesap dalam larut fantasi meninggalkan aksiologi, terkapai-kapai.

Tetapi, itulah kehidupan.

Dan selalu juga, kita berharap agar bahagia datang menemani perjalanan yang jauh ini. Dalam sedar dan tidak, selalu kita hayun frekuensi harapan yang segar untuk menghadapi kedatangan tidak dijemput, yang selalu meluluhkan setiap impian bagai ombak menyapu istana pasir di tepian pantai.

Tetapi, itulah kehidupan.

Adakah kehidupan bermakna 'apa yang kita mahu-mesti dapat'? Apa nilai emas tergantung di hati seorang yang miskin jiwanya? Bagaimana rasa bahagia pabila harta bukan letaknya sebagai taruhan?

Selagi ada kemahuan, dari kesusahan pasti nampak jalan kebenaran.

Ya, kita selalu dalam rindu. Tetapi, dalam rindu selalu ada dia.

Kehidupan adalah untuk dikongsi. Betapa yang miskin tetapi cukup makan. Betapa yang kaya tetapi tidak bahagia.

Kehidupan adalah untuk dihargai. Betapa yang lama menyanggah unsur putih. Dan yang baru pula mengutip kembali keputihan yang terserlah.

Kehidupan adalah untuk dipelajari. Betapa yang memikir menjadi semakin bodoh. Dan yang malas menjadi semakin pandai.



This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]