Saturday, June 30, 2007

perjalanan mencari bahasa 2

PERJALAN MENCARI BAHASA 2;
Ke Daerah Samad, sekali lagi ditemani saudara Zawan Baba



Ke mana? tanya abah.

Perjalanan mencari bahasa, jawabku, selamba sambil mengulit telefon, satu-satunya gambar curi yang berjaya ditangkap olehku di dalam galeri.

Mencari bahasa? Kan sudah ada, buat apa dicari lagi? sambut abah.

Friday, June 29, 2007

perjalanan mencari bahasa 1

PERJALANAN MENCARI BAHASA 1; bersama saudara Zawan Baba, penulis cerpen Bas Mini Merah







Thursday, June 21, 2007

BUDAYA POP?

BUDAYA POP?




Penafsiran tentang kebudayaan moden oleh QD Lewis dan Mattew Arnold dalam Cultural Studies: Theory and Practice (2003) cukup menarik dalam memperkatakan isu tersebut.
Kedua-dua sarjana itu bertitik tolak di atas kajian budaya (culture studies). Mereka menyimpulkan bahawa abad ke-20 bererti bermulanya era budaya popular yang akan mengikis budaya tinggi sesuatu masyarakat. Ia akhirnya akan membenihkan budaya massa dalam dunia industri.

Budaya popular tidak lagi mementingkan estetika, kesepakatan budaya dan nilai-nilai asal dalam masyarakat kerana asas perkembangannya ialah kapitalisme dan konsumerisme.


Persoalan yang sama turut diutarakan Arjun Appadurai dalam bukunya Modernity at Large: Cultural Dimensions of Globalization (1996) yang melihat kemunculan budaya global.

Appadurai berpendapat, globalisasi menyebabkan kebudayaan sesebuah bangsa tidak lagi mempunyai sempadan hasil daripada peranan media dan teknologi informasi. Selain itu terdapat saluran lain seperti radio, televisyen, filem dan sebagainya.
p/s:baca penuh tulisan Azman Ismail di sini

FRAGMEN AMALIYYAH; KONFLIK FATAH HAMAS

KONFLIK FATAH-HAMAS; FRAGMEN AMALIYYAH ISTISYHADIYYAH

Mereka, tidak mempunyai dalil serta bukti yang kukuh untuk melegitimasikan kepulangan mereka ke sini! Mereka tidak mempunyai apa-apa! Alasan mereka dangkal, sangat miskin tetapi masih mampu membunuh suara kekuatan dunia Islam sendiri! Apa sebenarnya alasan mereka? Bahkan Theodore Herzl itu sendiri seorang atheis! Semakin lama suasana pegun ini berlarutan, semakin emosi menyelubungi ruang lingkup empat persegi ini. Bahawa penafsiran mereka terhadap ‘thy seed’ dalam Genesis 15:18 telah disanggah oleh Dr Alfred Guillaume bahawa penafsiran kota Baitulmaqdis dijanjikan bukan sahaja untuk kaum Israel, tetapi juga Kristian serta Muslim juga.
Bahawa Arthur Koesler pula menyatakan kebanyakan bangsa Yahudi yang menyokong gerakan Zionisme untuk kembali ke bumi Palestin adalah dari keturunan Ashkenazi, yang bukanlah dari susur galur Bani Israel tetapi dari bangsa Rusia Khazar yang memeluk agama Yahudi apabila raja mereka memeluk agama tersebut. Bahawa jika benar Baitulmaqdis dijanjikan untuk Yahudi tetapi mereka telahpun kehilangannya sebanyak dua kali iaitu sewaktu diserang Nebuchadnezzar pada 586 SM dan dibawa berhijrah ke Babylon pada 70M. Jadi, apa justifikasi mereka untuk terus-terusan memenggal kepala penduduk asal, memunggah hasil mahsul milik penduduk malah memusnahkan sistem setiap generasi yang hidup di sini?
Apa kebenaran yang dibenarkan oleh dunia Islam terhadap segala macam tipu muslihat mereka yang berpunca dari kesalahan serta kesilapan mereka sendiri dalam menafsir Old Testament dalam juzuk The Kings itu yang hanya disandarkan sebagai bahan serta cerita sejarah tetapi bukan untuk dijadikan iktibar serta bukan untuk diulangi! Sekali lagi, penyataan terakhirnya yang mampu diulang-ulang kini adalah secebis harapan, sehiris penyataan serta sekeping peringatan bahawa yang mesti disedarkan itu bukanlah musuh tetapi umat Islam itu sendiri!!

Tuesday, June 19, 2007

fragmen kontinum falsafah 2

FRAGMEN KONTINUM FALSAFAH 2; apa kesinambungannya?
"Akan tetapi, ada perbezaan-perbezaan yang cukup besar di antara edisi Singapura dengan teks yang digunakan oleh Leyden dalam terjemahannya untuk memperlihatkan bahawa karya-karya itu, diusahakan tanpa pergantungan kepada yang lain!” terjah Shellabear membela diri. Dia sememangnya cukup terganggu kalau waktu dirinya menghayati sesuatu terganggu dek persoalan rumit yang memecahkan kepala untuk difikirkan. Ini, masa untuk berehat, fikirnya. Ini, masa untuk memanjakan diri, bukan untuk berfalsafah!

Emosi menuntun seruan seruling yang kini bergema kembali. Gemanya dibenarkan oleh ruang fikiran yang bermeditasi mencari jalan merungkai cambahan suasana. Serentak dengan itu, angin kembali datang menyapa lembut sisi pernafasan, tetapi ganas berlumba mencari kemana hala tuju perbincangan yang tidak dirancang ini.

"Orang yang mencari kebenaran ialah orang yang bersandarkan hujah dan bukti, bukannya kata-kata penutur yang merupakan insan biasa yang secara semulajadinya tidak lari daripada pelbagai kesilapan serta kekurangan.” sambung Ibn Haitham, memecah kebuntuan ruang yang memunggah jauh segar seruling. Matanya memandang tepat ke arah peta dunia lakaran ahli geografi Khalifah al-Ma’mun yang tidak bertarikh itu.

"Kalau demikian, siapa pula mahu bertanggungjawab untuk penyataan Tom Pires dalam Suma Oriental yang dikarangnya itu mengenai bangsa Melayu sebagai bangsa yang cemburu gara-gara isteri-isteri orang penting jarang kelihatan di muka umum?” Syed Hussein Alattas menyambung perbincangan mereka.
"Dan juga penyataan Eredia? Ingatkah kalian akan Eredia? Emanuel Godinho de Eredia, dalam bukunya Description of Malacca & Meridonial India & Cathay menyatakan bahawa manusia Melayu ini menyenangkan tetapi nakal. Akalnya cerdas tetapi semberono malah mengabaikan pelajaran dan sastera pula. Hanya pandai menggunakan waktu untuk bersenang-senang hingga sangat sedikit terdapat ilmuan, ahli matematik atau peramal bintang!” sambungnya lagi, berdegar-degar dengan dada yang berombak dek emosi yang tak tertahan.
"Kalian tahu bukan kematian Dr Leyden menyebabkan edisi terjemahannya tidak sempurna? Malah naskhah yang terdapat di Perpustakaan Logan di Singapura itu juga tidak ada tanggal, nama pencetak ataupun halaman judul. Edisi yang terbit di Belanda itu pula meninggalkan bahagian serta pasal penting dan menyebutkan nama Singapura pula.” Jawab Shellabear gugup. Jelas tanda di mukanya hanya bersifat defensif. Membela diri atas nama hubungan dan kepentingan. Anak matanya di buang jauh ke satu sudut di perbukitan ke arah utara. Dia membiarkan ilusinya jauh melayang melayan kehijauan agar tidak bertembung pula dengan pemikir-pemikir tersebut.
"Kebenaran hanya akan tersingkap jika persoalan dikaji secara halus dari segenap aspek dan sudut. Menjadikan dirinya sebagai pengkritik terhadap apa yang dikaji. Serta memeriksa dirinya dalam proses analisis agar ia tidak keterlaluan atau tidak terlalu longgar dalam penghakimannya. Hanya melalui kaedah ini, pada akhirnya akan terserlah kekeliruan dan kekurangan pada pandangan atau karya orang sebelumnya.” Jawab Ibn Haitham satu persatu. Dia mengangkat mukanya dari merenung peta al-Ma’mun yang dilakar berdasarkan peta dunia Marinos serta geografi Ptolemy itu, sambil merenung pula raut muka Shellabear yang sedang mengelamun jauh itu.

Monday, June 18, 2007

FRAGMEN KONTINUM FALSAFAH 1

FRAGMEN KONTINUM FALSAFAH 1; bagaimana mahu mengakhirinya?



Masyarakat yang terkebelakang. Tidak pernah meraih apa untuk dirinya sendiri. Tidak dapat diharap untuk maju. Inilah penghalang mereka. Putaran paksi fikirannya ligat menyaksikan betapa tersasarnya firasatnya itu kelak bakal membawa bencana pula kelak. Masalah yang menyelimuti mentaliti dan sikap ini menjadi batu penghalang penting kemajuan bangsa ini untuk mengulang semula kehebatan generasinya yang lepas.

“Adakah seseorang melakukan perkara ini di negeri kamu?” tanya Sultan Mul Jawa.

“Tidak pernah sekali pun hamba melihat kejadian ini, tuanku!”

Ibn Battutah melihat kepala lelaki tersebut. Kepalanya jatuh ke atas tanah disebabkan pisau yang sangat tajam dan genggamannya yang amat kuat. Di waktu ia meletakkan pisau tersebut di lehernya, dia terlalu banyak bercakap sesuatu yang tidak difahami Ibn Battutah, kemudian memegang dengan kedua belah tangannya dan memenggal lehernya sendiri.

“Mereka itu hamba-hamba kami, dan membunuh diri kerana mencintai kami,” titah Sultan Mul Jawa sambil ketawa.

Orang yang hadir memberitahu upacara tersebut adalah manifestasi serta ikrar diri tentang cintanya kepada sultan. Falsafah taklid yang dipegang masyarakat pelik ini memeranjatkan Ibn Battutah. Takut-takut firasatnya mengenai masyarakat di sekitar kepulauan ini menjelma kemudian nanti. Seratus tahun kemudian, atau mungkin tidak sampai, di kepulauan yang sama, muncul sebuah kerajaan yang kuat bernama Melaka.


Sunday, June 10, 2007

KEKASIHKU, KEMBALILAH

KEKASIHKU, KEMBALILAH..


Kekasihku..kembalilah..

Ini adalah rangkap terakhir lagu Puteri nyanyian Zainal Abidin. Tidak, saya tidak menghafalnya. Saya tulis kerana kini saya sedang mendengarnya.

Ya, kita bergembira serta berdoa, agar ianya berkekalan sehingga akhir hayat. Kalau hayatnya sampai. Bolehlah beliau 'berkhidmat' kepada rakyat dengan lebih efektif seusai mendapat vitamin baru ini.

Dan oleh kerana gembira, maka penuhlah gambar-gambar mereka di dada akhbar hari ini. Tak lupa saya tampalkan juga di sini, sebagai kenangan bersama.

Bandingkan berita di atas, dengan berita di bawah..

‘‘Tiga butir peluru menembus tubuh wanita itu; 15 peluru menembus tubuh anaknya. Askar-askar Israel itu juga menembak dan mencederakan suami wanita itu dan empat anggota keluarga mereka; yang gadis ditembak hingga ke tulang punggung dan dada, manakala pemuda ditembak di kaki, dada, tubuh dan bahagian jantung mereka.

Menurut jiran-jiran lagi, askar-askar Israel memukul suami wanita itu kerana enggan menjawab pelbagai pertanyaan mereka. Wanita berumur 35 tahun itu masuk campur, dan memberitahu bahawa suaminya pekak, lalu cuba menahan mereka memukul suaminya. Mereka kemudian menembaknya beberapa kali.

apa signifikannya? baca penuh tulisan Mazlan Nordin ini di sini.

Sedar atau tidak, kuantum kehidupan kita kini penuh dengan dunia khayalan, fantasi serta sifat super-power ala Spiderman atau Jack Sparrow yang banyak dimomokkan oleh dunia sebelah Hollywood. Kesannya tidak dapat ditepis, bahkan saya sendiri selalu dan terlalu tersekat hingga sukar untuk keluar dari kepompong itu.

'Sesuatu' yang saya tulis dalam entri sebelum ini, banyak memberi kesan kepada diri saya. Betapa dunia khayalan momokan kerajaan popular pilihan rakyat pop benar-benar menggerhanai situasi serta keadaan sebenar.

Adakah 50 tahun merdeka memberi erti kepada negara dan bangsa?

Adakah 50 tahun itu bererti berjaya mendaki puncak tertinggi beberapa kali? Menjatuhkan kereta di kutub-kutub? Berenang merentasi selat-selat? Berdebat beratus jam?

Ataupun, pengisian 50 tahun itu..?

Kita lihat bagaimana negara seperti Iraq tumbang. Oleh kerana sebahagian suara rakyatnya diketepikan, maka mudah untuk anasir luar mencari ruang dan lubang untuk meruntuhkannya. Inilah alternatif kepada suara-suara yang tidak mendapat kepedulian kerajaan sebelum itu. Begitu juga beberapa negara lain seperti Thailand.

Benar, kedudukan negara kita begitu ampuh, kukuh serta dihormati oleh negara luar. Kita ada KLCC. Sepang. Putrajaya. Eyes of Malaysia. Tetapi adakah itu semua usaha serta jerih peluh kita sendiri? Di mana nama anak bangsa kita di sana? Mana bahagian yang boleh kita banggakan? Apa saham kita sebagai manusia yang bernama Melayu?

Jika itu sesuatu yang sangat global, kita fokuskan kepada permasalahan kecil yang melingkari pemikiran serta mentaliti dunia realiti yang perlu disedarai, difahami serta diusahakan oleh manusia bernama Melayu di muka bumi Malaysia ini. Kita tinggalkan soal politik. Kita tinggalkan soal falsafah. Kita tinggalkan isu pertukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Ini, persoalan keluarga.

Saya tidak akan menulis berdasarkan statistik. Saya tidak akan menulis berdasarkan kajian. Itu belum menjadi kepakaran saya. Itu belum menjadi bidang saya. Saya akan menulis berdasarkan pengalaman serta pemerhatian saya yang nihil ini.

Sedar atau tidak, masalah sosial yang sedang menular menyelubungi negara kita ini menjadi bom jangka yang bakal memusnahkan negara bangsa bernama Malaysia ini. Kita tinggalkan teori-teori dangkal yang menghujahkan negara ini akan binasa kalau kita bantu Palestin. Kalau kita bantu Iran. Kalau kita bantu Lebanon. Kemusnahan negara berdasarkan ketidakupayaan sistem kewangan negara. Kemusnahan negara berdasarkan sifat artifisial yang ditunjukkan oleh Singapura. Saya mahu cuba dengan ini. Cuba bayangkan, negara kita punah, musnah serta hancur disebabkan oleh rakyatnya sendiri.

Oleh sebab pemuda dan pemudinya yang leka dengan akademi fantasi mereka. Bongkak, sombong serta tidak tahu dan mahu untuk memajukan diri. Tidak mempunyai agenda, idealisme malah tidak bangga dengan bangsa sendiri. Tidak patriotik, walau ukuran patriotisme itu diukur melalui sambutan 50 tahun merdeka sahaja.

Ini, gelombang artifisial ciptaan golongan yang menganggap diri mereka itu super. Super-fisial.


Sebab itu kita tidak kedengaran mahupun kelihatan suara-suara belia yang menunjukkan pandangan pro- atau kontra- terhadap cadangan manusia politik yang mahu menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Hampir naif dan dhaifnya idealisme muda di negara ini, dengan sikap ketidakpedulian serta non-sensitif terhadap isu-isu sebegini.

Itu, gambaran secara kolektif. Dan kalau kita lebih kritis terhadap suasana sebegini, punca kepada permasalahan ini adalah keluarga. ya, keluarga. Anda mempunyai keluarga bukan? Anda adalah sebahagian daripa keluarga. Oleh sebab yang demikian, anda mempunyai saham dalam bom jangka yang anda semua cipta kini.

Isu rokok, ponteng, bohsia & bohjan, mat rempit, seks bebas, dadah, pornografi, alkohol, curi serta gangsterisme bukan cerita baru disekolah. Realitinya, inilah yang sedang dihadapi oleh anak-anak di sekolah. Bagaimana mereka mahu menghadapinya? Ini tugas keluarga. Memantau serta mengawal. Tidak lain dan tidak bukan kerana keadaan realiti diluar, ianya sudah tidak terkawal.

Oleh yang demikian, bagaimana kita mahu menyalahkan anak sekolah serta para siswazah kita larut lesap dalam fantasi yang tidak keruan, terlibat dengan pelbagai salah laku seterusnya terjebak denagn masalah sosial yang merebak bagaikan penyakit ini? Bagaimana muda mudi sebegini mahu membina idealisme kalau duit ibu bapa dihabiskan untuk membeli rokok buatan amerika pro-zionis itu?

Berapa ramai anak muda di negara ini yang memberontak oleh sebab institusi kekeluargaan yang rapuh? Berapa ramai remaja yang terpengaruh dibiarkan larut dalam kesan negatifnya sendiri? Apa peranan keluarga? Dimana bapa-bapa yang bertanggungjawab? Dimana ibu-ibu yang menggoncang dunia dengan hayunan buainya?

Kita mengharapkan negara kukuh dengan struktur kewangan dan indeks kompositnya. Kita harapkan perpaduan sesama serta antara bangsa. Kita harapkan negara aman melalui kempen budi bahasa. Tetapi kita kita lupakan keluarga sebagai tapak asas pembinaan budi budaya, adat serta bermulanya sekolah falsafah untuk anak-anak.

Kita kerja hingga lewat malam. Cerai dan talak sana sini. Biarkan anak hanyut dalam arus kemodenan. Tinggalkan tanggungjawab akademik terhadap sekolah semata. Sentuhan kita terhad untuk seminggu sekali sahaja.

Kita biarkan anak-anak makan air basuhan amah Indonesia. Larut dan lesap dalam akademi fantasi. Seronok dengan pelbagai godaan sosial yang menggila.

Siapa yang mahu mengambil tanggungjawab terhadap kerosakan emosi yang dialami oleh anak dan remaja yang terhasil akibat daripada kepunahan sistem kekeluargaan yang dialaminya? Mampukah tanggungjawab itu dipikul oleh fasilitator kem musim panas atau kaunselor sahaja? Apa bahagian ibu dan bapa sebagai punca utama ia meletus?

Jadi, jangan salahkan saya andai bom jangka ini meletus kelak. Jangan cerita pasal Palestin kalau anak merokok dari tingkatan satu tapi kita tahu hanya semasa dia di tingkatan lima.

Anda semua, sebagai sebahagian dari ahli kekeluargaan. Anda semua, menyumbang terhadap pembinaan bom jangka ini.

p/s: sedar atau tidak, mahu atau sukar, institusi kekeluargaan yang rapat adalah terapi terbaik sebagai penawar terhadap permasalah sosial yang menggila di luar..sebab itu, entri ini bertajuk 'kekasihku, kembalilah..', dalam usaha menyeru penyatuan semula sistem kekeluargaan yang berkualiti..semoga Pak Lah berbahagia..


Tuesday, June 05, 2007

SESUATU

'SESUATU'

Ada sesuatu yang merenggut upaya saya untuk menulis beberapa minggu lepas. Ya, 'sesuatu' itu mengkhayalkan. Kecanduan terhadapnya adalah katarsis.
Untuk turun ke bawah, merasai serta menghayati permasalah sosial yang melanda suasana serta menggerhanai kemajuan negara, bukan sesuatu yang mudah. Apa erti keluarga? Apa definisi kasih sayang andai porak peranda hadiah dari ibu bapa kepada anak-anak? Siapa yang mampu memikul tanggungjawab dalam membela nasib serta kesan emosi dan psikologi terhadapap mereka?
Punca utama masalah sosial adalah keluarga. Walau atas apa cara dan alasan sekalipun. Percayalah.
Saya turun dengan misi. Bukan dengan impian terhadap wang. Tetapi dengan harapan bahawa saya perlu mengambil saham walau sekecil ini bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan. Ini adalah tanggungjawab sosial.
Ini, adalah 'sesuatu'.

p/s:insyaAllah entri terbaru akan keluar sehari dua ini..

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]