Saturday, April 28, 2007

Dunia ini mereka yang punya

DUNIA INI MEREKA YANG PUNYA


Keputusan rasmi sudah diumumkan, seperti yang dijangkakan..kayu atau orang, sama saja resminya..

1. Bas perayu undi dari Perlis keluar pada hari pengundian?
2. Baling botol dan kayu
3. Tahan pemimpin dari berucap
4. Tahan pemimpin datang ke tempat pengundian
5. Halau pemimpin bagi ceramah
6. 51% undi Melayu
7. Media massa & character assasination
8. Karaoke, wang dan taruhan
9. Memekik, melolong sambil tendang kereta
10. Cabut bendera dan pijak
11. Kayu, besi dan ICU Hospital Sg Buluh
12. Khutbah kontrak sosial
13. Limpahan peruntukan
14. Pengundi hantu
15. Taktik murahan
17. Musuh psikologi
18. Pancing undi, show and tell
19. Sacred, secret & carbon copy
20. Pembangunan terbantut setahun
21. Pengundi 9 tahun
22. Risalah fitnah
23. Politik perkauman
24. Pengundi tua
25. Confirm menang?
26. Pajak gadai maruah agama & bangsa
27. Samseng-Demokrasi-Artifisal

Berkempen dianggap merosak perpaduan, memboikot dianggap kalah sebelum masanya..gelombang artifisial kayukah lompangan pemikiran kita ini?



Friday, April 27, 2007

Ujaan atau nafsu Melayu

UJAAN MELAYU @ NAFSU MELAYU?








1. Debat 100 jam tanpa henti

2. Pusing @ keliling dunia dengan basikal

3. Pusing @ keliling dunia dengan kereta

4. Pusing @ keliling dunia dengan kapal layar

5. Terjun dengan mat rempit di kutub utara

6. Menjelajah kutub/artik dengan sengaja

7. Terjunkan kereta di kutub-kutub

8. Panjat gunung tertinggi di dunia

9. Kek, bendera dan palbagai lagi terbesar

10. Isi lagi senarai ini sendiri..


Di samping rakyat negara lain sibuk menjalankan eksperimen, apa manfaat ekspedisi berkos besar kepada negara?




Wednesday, April 25, 2007

sains dan math dalam bi, sosiologi

SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS: MENURUT PERSPEKTIF SOSIOLOGI

1.0 SINOPSIS ISU


Bahasa Menunjukkan Bangsa”

Hapus Bahasa, Hapuslah Bangsa”

Mereka yang sedia mengorbankan bahasanya akan sedia mengorbankan apa sahaja milik bangsanya”

Tidak ada bangsa yang besar didunia yang maju dengan menyingkirkan bahasanya sendiri”


Bahasa diucapkan sebagai tunjang jati diri atau identiti sesuatu masyarakat. Dalam masyarakat Melayu hubungkait antara bahasa dan bangsa amat rapat. Dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu atau Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan, isu-isu politik bahasa tidak dapat dipisahkan dengan soal marwah bangsa, penakatan, kuasa politik, ekonomi dan jatidiri Melayu. Sebagaimana dikata, Bahasa menunjukkan bangsa dan kata-kata ini mempunyai maksud yang begitu dalam[23].



Ini adalah beberapa penyataan yang biasa dilontarkan oleh ahli nasionalisme linguistik[1] di negara ini. Dalam suasana perubahan sistem pendidikan iaitu pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris yang diunjurkan oleh mantan Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir Mohamad melalui mantan Menteri Pendidikan di waktu tersebut iaitu Dr Musa Mohamad sekitar tahun 2002 secara verbal dan 2003 secara praktikalnya, beberapa polemik mulai tersingkap.

Ada yang menuduh para pejuang bahasa ini sebagai anti bahasa Inggeris, berfikiran sempit, jumud, fanatik bahasa, retorik kosong yang berbaur politik, fitnah dan sebagainya. Dalam masa yang sama, para pejuang bahasa ini juga berulang kali menegaskan bahawa mereka bukanlah seperti yang dilabel, juga menegaskan bahawa penguasaan bahasa Inggeris itu perlu[15]. Dalam meneliti konflik terhadap dua pihak ini, iaitu satu pihak bersetuju terhadap perubahan sistem yang telah dilaksanakan dengan memegang rangka pemikiran globalisasi sebagai sandaran manakala satu pihak lagi menentang perubahan sistem atas alasan memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu yang kelihatan terancam malah bakal musnah pula kemudian hari nanti, pelbagai faktor perlu dipertimbang secara halus, fokus serta terarah.

Rangka pemikiran yang digunapakai dalam menimbangkan isu ini haruslah berkait rapat dengan kefahaman yang tekal terhadap hikmah[2] dan keadilan[3], serta mengelakkan pandangan berbaur emosi dan prejudis. Penulis yang banyak terlibat dengan dunia nasionalisme linguistik (menjadi anak didik Faisal Tehrani), yang selalu terdoktrin di rumah dengan fahaman ini melalui ayahnya sebagai seorang guru Bahasa Melayu selama 30 tahun, bersosial dengan penggiat sastera yang lain seperti Nisah Haron, Zaid Akhtar, Kak Anis di seminar penulisan serata negara malah menghadiri seminar-seminar anjuran Dewan Bahasa (yang terbaru Seminar Bahasa & Sastera sempena Sidang ke-46 MABBIM & Sidang ke-12 MASTERA 13-14 Mac yang lepas), penulis akan cuba mengupas isu ini secara kritis dan kritikal berdasarkan kerangka fahaman nasionalisme linguistik secara berhikmah dan akan berusaha mengungkap keadilan melalui teori dan konsep sosiologi yang telah dipelajari, walaupun bakal berdepan dengan arus perdana dalam menongkah sistem yang telahpun dilaksanakan ini.



2.0 PERKAITAN ISU DENGAN TEORI KONFLIK


Teori konflik memandang pendidikan sebagai alat untuk memenuhi kehendak ekonomi, sebahagian daripada superstruktur kapitalis malas sebagai reproduksi sistem ekonomi kapitalis. Oleh yang demikian, teori konflik memandang pendidikan sebagai tidak bebas kerana terikat kepada asas ekonomi dan sosial masyarakat, mengekalkan dan mempertahankan sistem ekonomi sedia ada, maka menyebabkan pelbagai masalah.

Sebagai hasil daripada sistem kapitalis yang sedia maklum tidak menggalakkan perkembangan individu, teori konflik mempertikaikan tujuan pendidikan, terutamanya perubahan sistem sedia ada yang telah diusahakan berasaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan & Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Penyata Razak sejak 1956.

Konflik[4] dalam isu perubahan sistem ini melibatkan kesan yang besar, secara tuntasnya jika di analisis melibatkan konflik individu, konflik ekonomi, konflik psikologi malah konflik dalam bentuk sosial. Perubahan yang dilaksanakan secara tergesa-gesa ini[5] para pejuang bahasa membawa impak yang bukan sahaja aspek bahasa terkena tempiasnya malah boleh menggugah keupayaan negara mencapai wawasan 2020. Misi dan visi yang jauh ini mampu ditaakul oleh para nasionalisme linguistik bukan sahaja berdasarkan agakan logikal semata tetapi juga berdasarkan persoalan terhadap pembuktian saintifik di mana tiada lagi bukti secara saintifik sebuah bangsa pun di dunia ini yang terbukti keberkesanan sistem pengajaran Sains & Matematik melalui bahasa kedua lebih daripada bahasa pertama[6].

Berdasarkan Karl Marx, konflik dilihat berdasarkan perspektif kelas. Ini berkait rapat dengan teori pertentangan kelas, eksploitasi, pengasingan, jenis-jenis masyarakat, tahap-tahap kemajuan, kelas sosial serta konflik kelas[7]. Sistem pengajaran & pembelajaran dalam Bahasa Inggeris terhadap Sains & Matematik secara jelas dan nyata membelakangkan prinsip samarata sosial tetapi menggambarkan secara zahir bahawa bakal wujud pertentangan kelas pada masa hadapan. Sistem yang digunapakai ini nyata memberi kelebihan kepada masyarakat kelas pertengahan dan tinggi kerana tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sudah baik (aplikasi harian serta komunikasi sosial yang membantu) tetapi mengabaikan masyarakat kelas bawahan yang terpaksa berhempas pulas untuk menguasai bahasa Inggeris sebelum dapat menguasai Sains dan Matematik pula[8]. Ini tidak membantu sebarang bentuk perpaduan yang dicanang oleh kerajaan melalui pelbagai bentuk program yang dirancang kerana jelas bakal terbit konflik di antara kelas kerana terdapatnya eksploitasi kelebihan oleh masyarakat di bandar serta bakal meningkatkan lagi ketidakseimbangan di antara tahap kemajuan yang mampu dicapai oleh rakyat di kampung berbanding mereka yang hidup di bandar. Ini menepati konsep kelas yang diperkenalkan oleh Karl Marx iaitu kelas yang menindas dan golongan yang tertindas[9]. Golongan yang menindas ialah golongan yang hidup di bandar, mempunyai kelebihan terhadap bahasa Inggeris seterusnya mampu menguasai Sains dan Matematik dengan baik dalam peperiksaan dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik serta keupayaan yang tinggi untuk mengekalkan mobiliti didalam kelas yang sama atau meningkat kepada kelas yang lebih tinggi. Manakala kelas yang tertindas pula ialah golongan rakyat yang duduk di kampung serta pendalaman, tiada akses sempurna dan kondusif dalam meningkatkan keupayaan pemahaman dalam bahasa Inggeris (aplikasi harian & komunikasi), sukar untuk menguasai Sains dan Matematik, seterusnya gagal mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan malah terpaksa berhempas pulas untuk kekal dalam kelas yang sama iaitu kelas bawahan.

Kerisauan pejuang bahasa bukanlah risau beragenda seperti yang ditohmah oleh sesetengah pihak yang bermotif jahat untuk menuduh para nasionalisme linguistik mempunyai niat politik disebalik kelantangan mereka. Kerisauan mereka berasas kerana jika dilihat dari sisi sosiologi sekalipun, beberapa kesan yang tidak dapat dielakkan kelak bakal membawa bencana kepada negara, bukan sahaja kepada aspek pembangunan fizikal malah dari perspektif yang holistik. Teori konflik menerangkan keupayaan berlakunya konflik individu, masyarakat bandar mungkin tidak mahu bertegur sapa dengan masyarakat kampung dan sebaliknya, konflik ekonomi, konflik psikologi malah konflik dalam bentuk sosial[10].


3.0 ANALISIS ISU


3.1 BERDASARKAN KONSEP KUASA


Kuasa adalah keupayaan seseorang atau kelompok untuk mencapai sesuatu, mengawal atau mempengaruhi tingkah laku pihak yang lain, walau tanggungjawab ini bertentangan dengan kemahuan pihak itu[11].

Dalam isu pelaksanaan sistem baru ini, kuasa mantan Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir Mohamad ternyata telah digunakan sepenuhnya kerana tiada pungutan suara di dalam Dewan Rakyat diadakan, menggambarkan keputusan perlaksanaannya dijalankan secara autokratik, bukan lagi demokrasi, bertepatan dengan konsep sosiologi kerana kemungkinan arahan ini bertentangan dengan kemahuan rakyat.

Selain itu, persoalan timbul mengenai kejituan perlaksanaannya di mana tiada projek percubaan (pelajar kecil & keadaan yang terkawal) kerana hanya melalui percubaan dan kajian kes mampu merasionalisasikan bukti saintifik yang didapati kemudian. Para nasionalisme linguistik memandang bahayanya bereksperimen dengan manusia ialah kesalahan akan hanya terbukti setelah satu generasi terkorban. Apa akan terjadi jika percubaan ini terbukti gagal sesudah 10-15 tahun kemudian, semuanya menuntut jawapan yang rasional, malah saintifik[12].

Definisi klasik daripada Max Weber iaitu; ‘pada umumnya,”kuasa” diertikan sebagai peluang seseorang atau segolongan manusia untuk mencapai cita-cita mereka, satu tindakan bersama walaupun tindakan itu ditentang oleh pihak lain..’[13] memberi satu ruang dimensi baru dalam memperhalusi hal ini. Secara kritisnya, Wawasan 2020 diilhamkan oleh Dr Mahathir. Oleh yang demikian pelbagai andaian skeptikal boleh diutarakan. Salah satu daripadanya adalah cadangan menukar bahasa penghantar subjek Sains & Matematik ini dicadangkan semata untuk menyelamatkan wawasannya kerana Dr Mahathir dikenali ramai mampu meramal kemungkinan masa hadapan. Dalam keadaan kemajuan semasa yang mustahil dapat direncanakan dalam jangka waktu tersebut, secara teknikalnya Dr Mahathir mengambil jalan pintas untuk memudahkan pencairan ilmu terhadap masyarakat Malaysia agar mampu mencapai target yang telah ditetapkan.

Dalam mencapai cita-cita yang diilhamkannya, Dr Mahathir berkemungkinan besar telah mengambil beberapa tindakan yang secara praktikalnya mampu memberi kesan negatif kepada bangsa tetapi pragmatik. Ini bukanlah tuduhan melulu yang dengan sengaja dilemparkan, tetapi kemungkinan Dr Mahathir tidak nampak sisi negatif dari pelaksanaannya yang di anggap pragmatik itu ada logiknya.


3.2 BERDASARKAN KONSEP STRATIFIKASI SOSIAL


Stratifikasi sosial melibatkan keistimewaan yang berbeza-beza serta peluang hidup yang berlainan. Golongan dalam dalam lapisan sosial yang berlainan, mempunyai keistimewaan dan peluang hidup yang berlainan, meliputi peluang mencapai matlamat, peluang menikmati kemudahan sosial dan sebagainya [14].

Dalam membincangkan isu ini, tidak dapat tidak kita tidak boleh lari dari realiti bahawa memang wujud stratifikasi sosial dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Ini dibuktikan lagi dengan jelas bahawa kesan dasar pecah dan perintah oleh penjajah masih kelihatan, secara kasarnya mengenai penempatan di antara kaum serta kedudukan dan taraf ekonomi masing-masing. Masih terdapat masyarakat yang duduk di luar bandar, menikmati kehidupan yang berlainan dengan masyakat di bandar serta akses yang sangat minima terhadap dunia globalisasi terutamanya dari aspek teknologi dan tidak lain, bahasa. Masyarakat yang duduk di kawasan pedalaman tidak begitu terdedah kepada bahasa Inggeris, selain mempunyai loghat yang pekat berdasarkan ras masing-masing.

Implementasi bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik telah menjadikan proses pembelajaran dalam bahasa kedua. Hakikatnya, pelajar bahasa kedua mengambil masa dua hingga lima tahun untuk membentuk asas kemahiran komunikasi interpersonal dalam bahasa kedua. Sementara untuk menguasai keseluruhan kemahiran literasi atau kefasihan kognitif dalam bahasa akademik pelajar-pelajar memerlukan masa lima hingga tujuh tahun. Kefasihan dalam bahasa kedua tidak dapat dicapai dalam jangka masa yang singkat terutamanya kefasihan bahasa kedua sebagai bahasa penghantar ilmu [16].

Itu baru analisis berdasarkan stratifikasi sosial yang wujud dalam kelompok pelajar, 3 kajian telah dijalankan[17] dan rumusan yang dapat diberikan oleh pakar pendidikan tersebut adalah 84% guru Sains & Matematik di sekolah rendah lemah dalam bahasa Inggeris. Ini menyebabkan mereka tidak bersedia untuk melaksanakan inovasi ini kerana gagal untuk memahami ilmu konsep dalam bahasa yang tidak dikuasai dengan baik serta menyukarkan proses pelaksanaannya. Adalah sesuatu yang tidak munasabah, pelajar beserta guru tidak faham bahasa penghantar subjek tersebut tetapi masih mahu dilaksanakan juga secara tergesa-gesa[18].

Memaksa pelajar belajar serta guru mengajar menggunakan bahasa kedua di dalam keadaan masyarakat yang mempunyai stratifikasi sosial yang jelas, adalah sesuatu yang perlu dipersoalkan. Menurut S Husin Ali, 6 stratifikasi sosial dalam masyarakat Melayu ialah seperti sifat peribadi, pendidikan, agama, tanggungjawab komuniti, pekerjaan dan kedudukan ekonomi [19]. Berdasarkan stratifikasi dalam masyarakat Melayu sahaja sudah boleh dibayangkan bahawa kepelbagaian stratifikasi ini memungkinkan ketidakseimbangan capaian terhadap anak Melayu sesama mereka sendiri. Lebih-lebih lagi stratifikasi di antara kaum.


3.3 BERDASARKAN KONSEP KONFLIK SOSIAL


Selaras dengan peruntukan Perlembagaan negara Malaysia (Perkara 152) sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan, Penyata Razak (1956) serta Akta pendidikan (1996), bahasa melayu dinobatkan sebagai bahasa penghantar pendidikan di Malaysia daripada peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti. Secara beransur-ansur, bahasa pengantar Inggeris telah ditukar kepada bahasa Melayu mulai 1972 sehingga 1983 dengan pemansuhan peperiksaan LCE (1978) dan MCE (1980). Dengan itu sejumlah 5.5 juta pelajar (1970 – 2001 sahaja) telahpun mengikuti pendidikan aliran kebangsaan ini sehingga ke peringkat SPM sekurang-kurangnya, serta mendapat manfaatnya, dan tidak dapat dinafikan bahawa daripada kumpulan inilah juga lahirnya para cendekiawan, pakar, ahli sains, teknokrat, pemimpin dan sebagainya yang turut memberi sumbangan membina negara Malaysia sehingga ke tahap kemajuan seperti yang ada pada hari ini[20].

Penyataan di atas jika diteliti mampu membawa makna munasabah terhadap persoalan yang kita hadapi, yang kita kitar dalam linkungan permasalahan ini. Penyataan tersebut membuatkan hatta manusia Malaysia yang marhaen sekalipun tertanya-tanya, apa signifikannya sistem sedia ada perlu ditukar? Dahrendorf telah memajukan satu model konflik untuk menghuraikan fenomena sosial, yang menekankan 3 istilah iaitu konflik, perubahan dan paksaan. Dahrendorf mengandaikan bahawa masyarakat dan organisasi sosial tidak diikat dengan permuafakatan, tetapi dengan paksaan; tidak diikat dengan persetujuan sejagat, tetapi dengan paksaan segolongan manusia ke atas yang lain. Menurutnya lagi, paksaan selalu membawa kepada konflik seperti juga konflik membawa kepada perubahan[21].

Satu kajian telah dilakukan di 6 buah sekolah di kawasan tengah dan selatan tanah air. 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dijadikan responden selain 43 orang guru dari sekolah bandar dan luar bandar, berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun dan berumur lebih dari 25 tahun. Dapatannya, seramai 96% guru tidak bersetuju apabila ditanya samada minat pelajar meningkat kepada Sains dan Matematik (S&M) sejak diajar dalam bahasa Inggeris (BI). 98% pula mengatakan palajar mereka bermasalah dalam memahami S&M dalam BI. 94% guru tidak bersetuju apabila dikatakan pelajar mereka mendapat keputusan yang membanggakan dalam peperiksaan S&M. 81% guru mahu S&M diajar dalam bahasa Melayu (BM). 72% guru mengatakan pencapaian murid lebih baik jika diajar dalam BM. 75% pelajar berpendapat S&M dalam BI memberi masalah pemahaman kepada mereka. 77% pelajar yakin S&M boleh disampaikan dalam BM dengan berkesan. 71% mengatakan mereka bertambah minat jika S&M diajar dalam BM sementara 70% palajar bersetuju mereka boleh mendapat kejayaan cemerlang jika S&M diajar dalam BM[22].

Tidakkah perangkaan ini berkadar sonsang dengan perubahan yang telah dilaksanakan? Kadaran sonsang ini sudah tentunya mengakibatkan konflik sosial walaupun secara fizikal ia tidak dizahirkan, tetapi sebagai warga implementasi iaitu golongan pendidik dan warga eksperimen iaitu pelajar pendapat mereka sepatutnya diperhalusi kerana perubahan ini melibatkan perubahan secara total terhadap mereka. Seperti mana yang dicadangkan oleh Dahrendorf, konsep konflik sosial ini ternyata membawa kepada perubahan yang tidak diinginkan.


4.0 RUMUSAN


Isu pendidikan yang diutarakan ini memberi implikasi yang besar terhadap sistem pendidikan negara secara amnya, sebagai institusi yang bertanggungjawab mengekalkan kedaulatan bangsa melalui ilmu.

Kesannya, bukan setakat sistem pendidikan, bahkan ia lebih daripada pendidikan semata. Ia merujuk kepada bangsa. Ia merujuk kepada tamadun. Dan secara spesifiknya ia merujuk kepada peranan bahasa sebagai salah satu tonggak pembinaan negara. Dari masa ke semasa kita dihadapkan dengan pelbagai kemelut dalam bidang pendidikan, dari isu kuota di pusat pengajian tinggi, meritokrasi, pertumbuhan institusi pengajian tinggi swasta yang lebih memberikan manfaat kepada bukan Melayu, pengangguran siswazah Melayu hingga kepada isu perubahan dasar bahasa penghantar dalam subjek-subjek berasaskan Sains & Matematik di sekolah dan selanjutnya di pusat pengajian tinggi. Ironi dengan perubahan dasar ini, Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah dari NIE / NTU Singapura dalam kertas kerjanya BAHASA MELAYU SEBAGAI SENI DAN SENJATA DALAM MENCIPTA KHAZANAH ILMU ada menyebut sebagai;


Oleh yang demikian dalam menghadapi persaingan dunia global kini bahasa Melayu seharusnya menjadi senjata kita mempertahankan kewujudan dan jati diri kita sebagai insan yang berperadaban tinggi. Namun untuk sampai ke tahap kemajuan impian amat perlu bagi kita mencipta khazanah ilmu dan untuk ini kita juga harus bersedia menguasai bahasa-bahasa lain yang menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.”

Berbalik kepada kerangka fahaman yang berasaskan hikmah dan keadilan, penulis dengan rendah diri mengharapkan segala hujah yang disandarkan dengan bukti, penemuan serta fakta kes oleh penyelidik pendidikan berdasarkan pembacaan penulis mampu mengungkapkan apa itu hikmah serta keadilan disebaliknya. Hikmahnya[2], segala penemuan, fakta kes, pendirian serta persoalan yang dikemukakan adalah berdasarkan insan yang benar-benar berilmu serta profesional di dalam bidangnya, terutamanya pendidikan. Serta dari pandangan keadilan[3], beberapa alasan serta penemuan juga membuktikan tiadanya keadilan didalam isu ini selain konflik. Penulisan ini sesetengahnya mungkin kelihatan emosi serta berat sebelah. Tetapi seperti yang penulis nyatakan sebelum ini, penulis menulis menurut kerangka fahaman nasionalisme linguistik secara kritikal yang berdasarkan kepada hujah hikmah dan keadilan. Dalam dunia yang nyata, fahaman nasionalisme lnguistik di negara ini mungkin dilabel berhaluan kiri dalam menghakimi isu ini

Kita takut oleh sebab latahnya kita dengan kehadiran globalisasi habis sekampung kita gadaikan. Sebelum ini, kita tidak mengiktiraf Ibn Khaldun sebagai bapa sosiologi, atas nama trend yang tidak sesuai dengan semasa. Kita gadaikan mutiara Islam dengan Auguste Comte, doktrin falsafah Barat yang tidak sesuai dengan bangsa kita sebagai sebuah negara Islam yang kemudiannya kecanduan teorinya oleh ahli akademik kita walaupun diakui kemudiannya oleh Barat Ibn Khaldun sebagai ahli falsafah pertama menggagaskan teori menggunakan pendekatan saintifik. Jika sebelum ini kita gadaikan Rihlah Ibn Battutah dengan Christopher Columbus, juga atas nama trend sedangkan jika dikaji secara ilmiah dan saintifik, terbukti tetapi demikianlah sifat kita. Dan kini, sekali lagi tanpa berpandukan sejarah sebagai panduan terbaik menyelami masa hadapan, kita secara terang-terangan menggadaikan bahasa Melayu dengan bahasa penjajah iaitu bahasa Inggeris, juga kononnya atas nama trend. Jadilah kita bangsa yang akan terus layu kerana sifat lalangnya yang tidak sudah.

Harapannya ialah semoga bahasa Melayu terus menjadi unsur penting dalam proses pembinaan negara, sebagai bahasa perpaduan, bahasa pembentuk jati diri dan citra bangsa Malaysia serta wahana komunikasi rasmi yang menggerakkan jentera pantadbiran kerajaan mahupun sebagai wahana pengembangan ilmu kepada rakyat berdasarkan kepercayaan bahawa;


Cadangan terhadap penulisan ini adalah timbulnya kesedaran bahawa kemungkinan dasar yang diubah dalam masa yang singkat ini mempunyai sedikit kesan tidak baik serta memerlukan perhatian, perbincangan malah kajian dan tindakan yang segera sebelum nasi menjadi bubur. Serta menggambarkan sedikit sebanyak persepsi dan perspektif berdasarkan kerangka fahaman nasionalisme linguistik yang selalunya diketepikan dalam media massa arus perdana.



























RUJUKAN


[1] Nasionalisme Linguitik adalah istilah yang merujuk kepada semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan bahasa (Dato’ Abd Rahim bin Abu Bakar, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ Perspektif Politik & Perjuangan Bahasa, Persatuan Linguistik Malaysia, 2005)

[2] hikmah adalah ‘ilmu tentang kedudukan yang betul bagi tiap-tiap sesuatu’ dirumuskan oleh Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas (Dr Mohd Zaidi Ismail, ‘ICT & Peradaban Islam’, Kertas Kerja dalam Seminar Pendakwahan Melalui ICT Untuk Remaja di IKIM 11-12 November 2006)

[3] keadilan adalah ‘keadaan tiap-tiap sesuatu berada pada kedudukan dan tempat yang betul’ dirumuskan oleh Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas (Dr Mohd Zaidi Ismail, ‘ICT & Peradaban Islam’, Kertas Kerja dalam Seminar Pendakwahan Melalui ICT Untuk Remaja di IKIM 11-12 November 2006)

[4] konflik bererti perselisihan faham / pendapat, salah faham, tidak muafakat, tidak setuju dalam mencapai tujuan tertentu, menyimpang dari motivasi tertentu, keberatan dalam melakukan sesuatu (Fatimah Daud, Teori Konflik, Pengenalan Teori Sosiologi, 1992)

[5] Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru (yang tidak pula berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (kini Tun Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian (PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG
MELALUI BAHASA KEBANGSAAN: CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN MASA KINI DAN MASA HADAPAN oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, Kertas kerja Konvensyen Bahasa dan Pendidikan Nasional 2006, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 4 Februari 2006, Johor Bahru)

[6] Jawapan kepada soalan 5, Epilog Keranda 152 (Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Sains & Matematik Mulai 2003, Mengapa Ditentang?, Keranda 152 versi Persatuan Linguitik Malaysia 2002)

[7] Definisi Konflik, Teori Konflik Karl Marx (Fatimah Daud, Teori Konflik, Pengenalan Teori Sosiologi, 1992)

[8] Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu. (PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG MELALUI BAHASA KEBANGSAAN: CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN MASA KINI DAN MASA HADAPAN oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, Kertas kerja Konvensyen Bahasa dan Pendidikan Nasional 2006, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 4 Februari 2006, Johor Bahru)
[9] Kritik Terhadap Konflik, Teori Konflik Karl Marx (Fatimah Daud, Teori Konflik, Pengenalan Teori Sosiologi, 1992)

[10] Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. Usaha kerajaan untuk menyeimbangkan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada pemimpin dan parti teras pemerintah negara, iaitu UMNO akan merosot atau hilang. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan politik Melayu yang diharapkan dapat menjamin keutuhan bangsa apabila, misalnya pengundi Melayu sendiri mengalihkan sokongan mereka kepada parti lain sebagai tanda protes (PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG MELALUI BAHASA KEBANGSAAN: CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN MASA KINI DAN MASA HADAPAN oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, Kertas kerja Konvensyen Bahasa dan Pendidikan Nasional 2006, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 4 Februari 2006, Johor Bahru)
[11] no.48, Kuasa (Konsep Asas Sosiologi, Ting Chew Peh, 1985)

[12] Jawapan kepada soalan 5, Epilog Keranda 152 (Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Sains & Matematik Mulai 2003, Mengapa Ditentang?, Keranda 152 versi Persatuan Linguitik Malaysia 2002)

[13] no.48, Kuasa (Konsep Asas Sosiologi, Ting Chew Peh, 1985)

[14] no.75, Stratifikasi Sosial (Konsep Asas Sosiologi, Ting Chew Peh, 1985)

[15] Tiada ahli bahasa, intelek Melayu atau sesiapa sahaja yang menentang usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia. Menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain memang perlu digalakkan. Tuduhan bahawa ahli bahasa menentang penguasaan bahasa Inggeris, anti-bahasa Inggeris, fikiran mereka sempit, mereka fanatik bahasa, hanya mahu orang Melayu berbahasa Melayu sahaja adalah pembohongan besar, suatu fitnah, suatu mitos yang dibuat oleh orang politik tertentu. Dalam kaedah berhujah ini dikatakan menciptakan ‘straw man’ iaitu orang yang dibuat daripada daripada kertas atau orang-orangan sehingga mudah untuk dimusnahkan. (Professor Emeritus Abu Bakar Abdul Hamid, Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Sains & Matematik: Mengapa Ditentang? Soalan Yang Selalu Ditanyakan, kertas kerja nombor 3 dalam buku ‘Mengapa kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik terbitan Persatuan Penterjemah Malaysia, 2007)

[16] Hall, 1996; Wood, 2002 (Dr Nor Hashimah binti Jalaludin, Penerimaan Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik Antara Dua Darjat, kertas kerja ke-12 dalam buku Suara Pejuang Bahasa terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, 2005 )

[17] i- Kesediaan guru-guru sekolah rendah melaksanakan perubahan bahasa penghantar mata pelajaran sains dan matematik oleh Mohd Rosdi Saamah, 2003, ii- Kajian celik komputer di kalangan guru-guru Perak oleh Ibrahim Mohamad, 1997, iii- Keupayaan penguasaan kemahiran BI di kalangan pelajar Melayu dalam arus globalisasi oleh Noreiny Maarof, 2003 (Dr Nor Hashimah binti Jalaludin, Penerimaan Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik Antara Dua Darjat, kertas kerja ke-12 dalam buku Suara Pejuang Bahasa terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, 2005 )

[18] Kegopohan dalam mengimplementasikan dasar baru iaitu dalam tempoh 6 bulan telah banyak menimbulkan tanda tanya. Apakah motif pihak Kementerian menukarkan dasar ini sedangkan hala tujunya tidak mantap dan jelas. Jika alasan kurang mahir berbahasa Inggeris menyebabkan kadar pengangguran tinggi, maka alasan ini dianggap begitu longgar dan tidak munasabah. Apa yang lebih mencurigakan ialah mereka yang menentang dasar baru ini walaupun bersandarkan alasan ilmiah akan dikenakan tahana ISA! (Dr Nor Hashimah binti Jalaludin, Penerimaan Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik Antara Dua Darjat, kertas kerja ke-12 dalam buku Suara Pejuang Bahasa terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, 2005 )

[19] no.75, Stratifikasi Sosial (Konsep Asas Sosiologi, Ting Chew Peh, 1985)

[20] perenggan pertama Pengenalan (Kamal Shukri Abdullah Sani, Kesan penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia, kertas kerja ke-11 dalam buku Suara Pejuang Bahasa terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, 2005 )

[21] no.45, Konflik Sosial (Konsep Asas Sosiologi, Ting Chew Peh, 1985)

[22] Dapatan Kajian (Dr Nor Hashimah binti Jalaludin, Penerimaan Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik Antara Dua Darjat, kertas kerja ke-12 dalam buku Suara Pejuang Bahasa terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, 2005 )

[23] Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah (dari NIE / NTU Singapura dalam kertas kerjanya BAHASA MELAYU SEBAGAI SENI DAN SENJATA DALAM MENCIPTA KHAZANAH ILMU)





Tuesday, April 24, 2007

Manfaatkan bersama

Manfaatkan Bersama













Ada seorang rakan yang menjumpai blog ini, mengucapkan terima kasih kerana berpendapat ianya bermaklumat serta berguna untuknya. Saya sedikit terkilan, kerana beberapa lama kebelakangan ini saya kurang berkesempatan untuk menulis atas kekangan waktu. Maka yang tinggal hanyalah coretan-coretan idea dhaif semata. InsyaAllah, saya kini sedang menerobos ruang waktu pemulihan, tinggal beberapa tugasan sahaja lagi yang perlu diselesaikan dan kemudian, saya akan bebas untuk menulis semula.








Perkhemahan di Pulau Tuba, Langkawi sesungguhnya menyuakan ruang penilaian buat diri saya. Betapa kehendak dan keinginan diri jika dibentuk beracuankan motivasi idealis, mampu mengatasi segala bentuk fobia dan kekangan ciptaan kognitif. Mengabadikan diri dengan alam sekitar adalah sesuatu yang jarang sekali dapat dinikmati di celah kehidupan berunsurkan target ini. Unsur air adalah unsur terbaik memecah kebuntuan motivasi, betapa falsafahnya menurut kemahuan dan bentuk jika berasaskan kefahaman yang tekal. Tenangnya ombak boleh jadi manifestasi pemikiran dan keabadian sopan santun serta budaya bangsa, ironinya mampu mengganas atas frasa stamina ideologi orang muda.







Berkampung di Shah Alam bersama-sama pencinta buku lain pula rasanya. Bertemakan 'pesona toko buku', hangatnya kurang dirasai. Saya tidak tahu mengapa tetapi ada sesuatu yang perlu disuarakan. Kurangnya publisiti mungkin mengakibatkan kurangnya jumlah peserta. Serta tema yang tidak memotivasikan membuatkan saya tidak mampu bertahan lama, bahkan terikat dengan waktu tiket bas untuk pulang. Yang benar-benar mengujakan hanyalah kehadiran Pak Samad, serta penampilan fizikal saudara Jiwa Rasa. Mungkin pihak Bukuonline.org perlu memikirkan tema yang lebih sesuai untuk seminar yang seterusnya, yang mampu memberi impak kepada sistem pemikiran ataupun paling sedikit memberi motivasi kepada para pencinta buku. Percaya atau tidak, jumlah peserta memainkan peranan impresi terhadap usaha ini. Tetapi yang baik perlu diteruskan, saya akan tetap menyokong walaupun terpaksa bergerak seawal jam 2 pagi, seperti minggu lepas.







Dan gambar-gambar di atas membayangkan sebuah cerita yang tidak ketahuan penghujungnya. Saya menjumpai buku Badai Semalam oleh Khadijah Hashim edisi 1960-an berharga RM1 serta Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer berharga RM3 di Novelhut Ipoh semalam. Seakan mengulangi jejak JiwaRasa, saya tersenyum sendirian. Serta gambar seterusnya adalah dua buah buku yang terdapat di perpustakaan tempat saya belajar. Balasan Dosa oleh Fyodor Mikhail Dostoyevski dan Budak Momok oleh Ahadiat Akashah. Lihat perbezaan jumlah pinjaman serta tafsirkan sendiri senario ini. Baca mengenai perangkaan Unesco pada 1999 mengenai 2 buah buku setahun oleh rakyat Malaysia dan maklumat mengenai perangkaan buku yang bakal dibaca oleh kita seumur hidup di JiwaRasa.







p/s:merangkak menerusi kekangan waktu dan halangan pagar ciptaan mentalis, kesegaran benar sukar dirasai..moga Allah memudahkan urusan, segalanya di bawah kuasa taklukNya..tidak tahu mengapa, tetapi saya bercadang menukar nama blog ini pabila tibanya usia setahun ia mengharung arus maya ini nanti..




Saturday, April 14, 2007

Motivasi Idealis

Motivasi Idealis

Orang dulu-dulu berjuang atas nama perjuangan. Belajar untuk meningkatkan mobiliti sosial, berusaha pebaiki aras kognitif serta berusaha keras atas nama bangsa dan agama.

Sifat perjuangan ini dinamakan motivasi idealis. Tak kiralah haluan kiri ke, kanan atau tengah.

Tapi itu, dulu. Mungkin 50 tahun lepas. Mungkin lebih lagi. Mungkin masa tu sistem tulisan Jawi ada lagi.

Kini, orang kita berjuang atas nama pangkat dan kedudukan. Belajar bukan untuk apa, tetapi untuk keputusan yang gempak-gempak. Lebih teruk, asal lulus. Tapi dia tak sedar entah keputusan tu dah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

Jadilah manusia Melayu ni mengejar target. Sekolah menyempurnakan impian guru besar. Anak-anak menyempurnakan impian ibu bapa.

Aspek kendiri, motivasi, sikap, moraliti serta pegangan agama digerhanai oleh 'BERAPA A'.

Apa kesan 50 tahun merdeka sebenarnya? Apa yang merdeka? Siapa yang merdeka? Dan yang paling menarik, merdeka itu sendiri apa definisinya?


Wednesday, April 11, 2007

Bahana

Bahana


Rupa-rupanya duduk di dalam bilik dan membaca itu sudah menjadi satu bahan pelik. Yang tidak pelik adalah keluar bermain sehingga azan maghrib berkumandang, itu pun separuh hati mahu berhenti..


Ataupun yang tidak pelik adalah mensosialkan diri, terlibat dengan pelbagai aktiviti yang 'menyeronokkan' serta 'nikmatilah hidup ini'..


Saya bertanya kembali, adakah selama ini saya tidak menikmati kehidupan saya?




p/s: parahnya mentaliti bangsa kini, sehinggakan membaca itu tidak lagi diiktiraf sebagai satu bentuk hiburan, menyempit definisi hiburan setakat kepada yang seronok2 seperti bersukan ataupun menikmati hidangan realiti tv

Sunday, April 01, 2007

Labelisme Ekstremis

Labelisme Ektremis?






“Fitnah dan ikhtilaf antara Syiah dan Sunni sebenarnya tidak ada. Yang ada adalah usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam”.

"Saya akan berjuang untuk mempersatukan Sunnah dan Syiah dan saya memberikan fatwa bahwa Sunnah dan Syiah adalah dua umat Islam yang bersaudara dan tak ada perbezaan antara keduanya sehingga satu sama lain boleh menjalin pernikahan."

"Sunnah dan Syiah tidak berbeda dalam prinsip akidah, perbezaan antara keduanya hanya berkisar pada masalah furu' sebagaimana perbezaan antara mazhab Hanafi dan Hanbali."

"Islamophobia, which is the fear of Islam and the unjust accusation of terrorism made by the great powers" as well as "underdevelopment and despotism in the Muslim world".

p/s: baca penuh di Faisal Tehrani

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]