Sunday, January 28, 2007
Ya Hussein
10 Muharram. Berapa ramai dari kita yang mengingatinya? Berapa ramai dari rakan kita yang bersedia untuk mengingatinya?
Jauh dari itu, berapa ramai dari kita yang sedar dan mengetahui apakah falsafah disebalik merah dan putihnya bubur Asyura?
Selain dari sejarah 10 Muharram yang berlaku berlainan tahun, apakah Tragedi Karbala memberi kesan kepada diri kita?
Apa usaha kita?
* * *
Karbala, Bumi Penaklukan Darah atas Pedang
Karbala. Itulah nama hamparan sahara yang menjadi panggung drama nyata yang menyuguhkan genangan darah dan air mata suci putera-puteri Rasul. Panggung sebuah tragedi yang mengiris sukma dan hati nurani insan dan abdi-abdi sejati Ilahi manakala darah daging suci Rasul itu menjadi mangsa keserakahan, pengkhianatan, kezaliman, dan kebiadaban penguasa serta kepicikan sebagian umat sepeninggal Rasul.
Karbala. Gurun duka dan nestapa. Gurun tempat matahari dari angkasa malakut mengguyurkan terik cahaya kesaksian atas histeria dan ratap tangis putera-puteri Azzahra saat tercekik dahaga di tengah seringai ribuan pasukan angkara murka, saat mereka terlunta-lunta di tengah ingar bingar ribuan manusia-manusia srigala yang bermandikan air liur dan mabok harta dan kekuasaan, saat mereka mengerang di tengah lingkaran pagar tombak dan betis kuda-kuda perang kaum durjana, saat mereka terkepung gumpalan debu dan semburan api musuh yang melahap tenda-tenda mereka, saat mereka terbantai di tengah gemerincing pedang dan gemertak rahang keangkuhan penguasa Dinasti Umayyah.
Karbala. Samudera pasir yang menikari bagian sungai Eufrat di Irak. Padang tandus tempat
kstaria sejati Islam, Al-Husain bin Ali bin Abi Thalib as, mempersembahkan kesegaran, ketegaran, dan keperkasaan darah altruisme untuk menerjang prahara kemunafikan dan meruntuhkan benteng kebejatan Bani Umayyah terhadap Islam dan umatnya. Tanah tempat Al-Husain putera Azzahra mengibarkan bendera perang terhadap setiap kekuatan angkara murka di muka bumi yang saat itu diperagakan dengan amat sempurna dan mencekam oleh Yazid bin Muawiyah, Ubaidillah bin Ziyad, Syimir bin Dzil Jaushan, dan aktor-aktor antagonis lainnya. Karbala, tanah tempat Al-Husain menyambut Asyura tuk melepas bintang berekor tanda datangnya keranda kehancuran para Fir'aunis.
Karbala. Pada akhirnya adalah gurun sejarah abadi penaklukan darah syuhada atas panah, tombak, dan pedang.
"Jikalau raga diciptakan untuk menyongsong kematian,maka kematian di ujung pedang di jalan Allah jauh lebih baik dan mulia ketimbang mati di atas ranjang." (Al-Husain bin Ali bin Abi Thalib as)
* * *
Baca mengenai sejarah Asyura di Faisal Tehrani, Wikipedia & IRIB Indonesia.
Apa Usaha Kita?
Apa Usaha Kita?p/s: sila gerakkan tetikus ke gambar yang berkenaan..
Thursday, January 25, 2007
Babi 1
Babi (bahagian 1)
Pernahkah kita terfikir kenapa masyarakat kita Melayu khasnya membudayakan agar kita menggunakan perkataan khinzir untuk menggantikan kata nama seekor binatang yang bernama babi?
Adakah babi terlalu keterlaluan untuk digunapakai? Adakah dengan menggunakan khinzir, hilang rasa jijik dan geli kita terhadapnya?
Sedarkah kita dengan menggunakan khinzir, seolah-olah binatang yang seekor ini terlalu comel hinggakan terasa seperti mahu memeluknya sebagaimana yang selalu dilakukan oleh perempuan terhadap bear kesayangan mereka?
Pada saya, khinzir terlalu sopan untuk dibudayakan, hinggakan perasaan jijik dan menyampah kita kadangkala pudar kerananya. Oleh yang demikian, babi lebih sesuai digunakan untuk menggambarkan betapa bangsa kita sensitif terhadapnya.
Sehari suntuk berseminar di Karnival Kesenian Islam Perak mengenai Kepenggunaan Halal benar-benar menyentak sistem penghadaman saya. Mana tidaknya, saya didedahkan dengan babi melalui satu slot yang bertajuk “Kajian Saintifik Pengharaman Babi Dalam Industri”.
Sedar atau tidak, betapa terdedahnya umat Melayu-Islam di negara Malaysia bumi bertuah ini dengan babi, secara tidak sedar. Kalau secara fizikalnya, kita akan mengelak seboleh mungkin apabila bertembung dengan lori babi, samada kita menambah kelajuan pabila terdapat lori babi di belakang mahupun cuba memperlahankan kenderaan andainya sebuah lori babi memintas kita. Itu, secara fizikalnya. Tetapi secara mekanikalnya? Sedarkah kita betapa kita terdedah dengan babi melalui makanan, suntikan vaksin, ubat-ubatan mahupun vitamin yang kita telan setiap hari?
Adakah mee, bihun, kuetiaw, sosej ataupun burger yang kita beli ataupun masak setiap hari bebas dari babi? Adakah ubat gigi yang kita gosokkan ke dalam mulut setiap pagi bebas dari babi? Adakah ubat ataupun vitamin yang kita telan setiap hari bebas dari babi? Adakah vaksin yang disuntik kepada anak kita bebas dari babi? Banyak manakah syarikat Melayu yang kita pasti halal produknya membuat mee, bihun, kuetiaw, sos, kicap, bawang goreng ataupun sosej berbanding syarikat bukan Melayu yang kita tidak pasti status halalnya? Begitu juga dengan ubat gigi? Ubat-ubatan serta vitamin jangan ceritalah, selain produk herba, sudah pasti 90% syarikat pembuatan ubat serta vitamin berpangkalan di luar negara.
Universiti Malaya pernah membuat penyelidikan terhadap 800 sampel ubat yang terdapat di Malaysia, dan hasilnya, hanya 4 ubat yang dikenalpasti sah status halalnya. Hanya 4! Semua ini menuntut suatu perbahasan yang mendalam untuk menuntut hak kita sebagai umat Melayu-Islam di tanah air tercinta ini. Adakah gelatin yang menyaluti ubat serta vitamin tersebut datang dari binatang selain babi? Malah jika lembu, adakah lembu tersebut disembelih secara sah? Dan apakah pula tatacara yang digunapakai oleh Kementerian Kesihatan dalam mengenalpasti permasalahan ini?
Dan menurut Dr Maamor (Pengerusi PPIM), hanya 4 ubat gigi yang boleh disyorkan oleh PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) yang disahkan status halalnya iaitu ubat gigi buatan HPA, Sureco, Mukmin serta Halagel.
* * *
Sedarkah kita al-Quran meletakkan pengharaman memakan babi sebaris dengan pengharaman memakan bangkai, darah, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, binatang yang mati tercekik, binatang yang mati kerana ditanduk oleh orang lain, binatang yang mati kerana jatuh dari tempat tinggi dan binatang yang dikorbankan untuk berhala.
Sedarkah kita al-Quran juga telah menjelaskan tentang adanya sekelompok masyarakat Bani Israel di zaman nabi Allah Daud as yang telah ditukarkan tubuh badan mereka kepada rupa babi kerana melanggar larangan Allah menangkap ikan pada hari Sabtu?
Orang yang mampu berfikir dengan baik mesti dapat memahami betapa degil dan keras kepalanya masyarakat tersebut hingga mengakibatkan Allah menukar rupa mereka memjadi babi dan kera. Babi adalah binatang najis, manakala kera pula adalah binatang yang hidup liar tanpa sistem dan peraturan.
Namun masyarakat babi tidaklah disebutkan secara terus didalam al-Quran. Bagi manusia yang mampu meneliti peristiwa penukaran sekelompok masyarakat Bani Israel kepada rupa babi dan kera, membuatkan mereka sedar apakah ciri dan perangai yang membuatkan mereka ditukarkan menjadi binatang yang najis dan liar tersebut.
Plato, Colin Wilson & Arnold Toinbe ada menegaskan mengenai ciri-ciri masyarakat babi seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran. Masyarakat babi mengutamakan kepentingan hidup di dunia tanpa mementingkan kepentingan akhirat serta tuntutan beragama. Masyarakat babi juga hanya bercita-cita untuk keuntungan, melampiaskan nafsu sahaja tanpa mementingkan nilai akhlak.
* * *
Mengenali Babi
Babi adalah najis menurut kacamata Islam. Mana-mana pakaian atau bahagian badan manusia yang terkena badan babi, hendaklah disamak dengan 6 kali air bersih dan 1 kali lumpur.
Babi jinak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, hingga lebih dari 300 spesies. Swine selalunya digunakan untuk babi yang jinak. Di AS selalunya Swine adalah babi kecil yang kurang dari 50 kg. Babi besar yang lebih dari 100 kg selalunya dipanggil York Shire Boar. Manakala yang sedang pula sekita 70 kg, selalunya dipanggil Pork. Diantara yang lain adalah seperti Bear, Bush pig, Wild Pig, Want Hog dan lain-lain.
* * *
Tabiat Babi
Babi gemar makan benda yang kotor seperti sampah sarat, tikus dan bangkai. Menetap pada lubang kayu malah tidak berusaha mempertahankan sempadannya.
Babi juga tidak peka pada pasangannya. Tingal di tempat yang tiada batasan baginya, makan, minum, membuang najis malah beranak pinak di tempat yang sama. Apabila diserang binatang atau babi lain, ia akan meninggalkan tempatnya malah tidak pula berusaha mempertahankannya.
Babi juga tidak akan mempertahankan pasangannya serta anak-anaknya. Kerana itulah ia diangap hina tidak bermaruah serta dayus. Pernah dijalan sebuah kajian perbandingan diantara babi dan harimau, diletakkan 2 ekor babi (seekor jantan seekor betina) di satu tempat selama beberapa waktu, dan pada waktu tertentu diletakkan seekor lagi babi jantan. Kelihatan babi jantan asal tidak berusaha mempertahankan babi betina, lain dari harimau yang diletakkan dalam pemerhatian menggunakan kaedah yang sama. Harimau menunjukkan pertentangan diantara kedua harimau jantan untuk mempertahankan pasangannya.
Imam al-Qurtubi pernah menyatakan di dalam tafsirnya, keterangan Imam at-Tirmizi yang diambil dari kitab Nawadir al-Usul berkaitan dengan pelakuan babi ini. Menurut beliau, Imam Muhammad bin Sirin pernah pernah menyatakan;
“Tidak ada satu binatang yang melakukan aktiviti kaum Lut (homoseks) selain dari babi dan keldai..”.
* * *
Kesan Memakan Babi
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah telah menjelaskan babi tidak mempunyai perasaan untuk mempertahankan tempat tinggal mahupun anak pinaknya sendiri (bertepatan dengan laporan oleh Ensiklopedia of Britannica).
Dikatakan, memakan babi boleh menyebabkan seseorang hilang rasa untuk mempertahankan tanah airnya.
Ini yang adapat dilihat di Barat, khususnya. Mereka hilang kepekaan terhadap pasangan masing-masing. Di As misalnya, pengkhianatan rumah tangga dikatakan mencecah 80%. Penzinaan dan liwat berlaku dengan meleluasa.
Al-Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan, memakan benda haram akan memberi kesan buruk secara lansung kepada jasad dan roh manusia. Ini terjadi kerana tabiat manusia akan bertindakbalas secara lansung dengan ubat atau makanan yang diambil mereka. Jika ubat itu buruk, maka ia akan menimbulkan tabiat yang buruk.
Kerana itu Allah mengharamkan hambaNya memakan dan meminum sesuatu yang keji. Seperkara yang perlu diambil perhatian, menurut kajian sains, lemak babi tidak akan bertukar menjadi lemak manusia selepas proses penghadaman, sebagaimana yang berlaku kepada lemak binatang yang lain, bahkan peliknya, lemak babi kekal dalam bentuknya yang asal dan menyerap kedalam badan manusia dalam bentuknya yang asal itu juga. Ia juga akan bertukar kepada tenaga yang asalnya.
Ini akan mewujudkan tingkah laku yang buas terhadap manusia yang memakannya, sepertimana tingkah laku binatang tersebut.
p/s : bahagian 2 akan menyusul kemudia, insyaAllah..
Sunday, January 21, 2007
1428
Salam Tahun Baru, 1428..
Kalau ada yang bertanya tentang azam, itu saya kira kurang signifikan. Perubahan mana perlukan tahun untuk dianjak. Kalau dari sifat oralnya, memang senang menujah daya. Dari sisi seni mekanismenya?
Rumusan saya mudah. Persoalan yang mendatang bagaikan fitnah. Terbuang ke sana sini dari tanah naik ke langit terbang ke selatan di lambung ke timur, kembali kepada penyoal.
Manusia Melayu ini, parahnya terletak di atas. Kalau ada yang bertanya atas itu apa, jawapannya kepala. Kepala itu apa, jawapannya otak. Otak itu apa?
Parahnya manusia Melayu ini, hanya nampak oleh orang yang tak banyak. Ditanya doktor, pawang, bomoh mahupun tabib, usahlah berharap kepada jawapan. Jawapannya, ada pada mereka sendiri. Orang putih cakap; sick of mind.
Simptom-simptomnya jelas, pabila kita kurang sensitif. Bahasa kita diamuk kasar oleh globalisasi, kita biarkan. Malah ada yang mengambil bahagian menumpang sekaki. Agama kita dilanggar tragik oleh sistem, kita biarkan. Bagai yang menjadi perhatian bukan pegangan, tetapi hawa nafsu. Tinggallah pejuang-pejuang kita terjerit menghalau anasir jahat ini, kehulu kehilir. Meraung sasau, bagai mati bukan ancaman, memperjuang yang dua ini. Yang lain, selesa menikmati keindahan nikmat, tanpa perlu berfikir.
Pertama, gejala kurang membaca. Kedua, gejala kurang berfikir. Ketiga, gejala menomborsatukan hiburan. Keempat, gejala kurang sensitif. Kelima, gejala malas berubah akibat seronok menikmati aras kehidupan sedia ada.
Belum kira peranan institusi keluarga sebagai agen penting perubahan sosial. Belum ambil peranan sekolah sebagai acuan pemikiran dan budaya. Belum fikir peranan politik sebagai pencetus tamadun ilmu yang bercorakkan bangsa.
Tahun baru ini saya mulakan dengan bebelan. Pembacaan saya belum sampai takat minima yang saya hadkan, untuk saya selitkan sedikit cadangan penambahbaikan kepada gejala di atas.
Apa yang sedang saya hadapi dan saya kira kita semua hadapi adalah, satu keadaan dimana tahap atau aras pemikiran rakyat yang kurang menitikberatkan ilmu sebagai perkara nombor satu. Ditambah dengan corak pemerintahan yang kurang membudayakan rakyat sebagai ilham atau penghasil. Serta budaya lembam yang menular masuk, membuang buku dan menghadiahkan hiburan kepada setiap kejayaan diri.
Jadi usaha saya untuk tahun ini, membudayakan buku sebagai mekanisme tertinggi dan bukan setakat artifisial, sebelum saya membudayakan orang lain, serta menaiktaraf aras pemikiran agar saya tidak sama kelelahan akibat jangkitan pemikiran.
Serta membudayakan sistem penulisan yang lebih signifikan, insyaAllah.
Terima kasih kepada anda yang membaca. Salam futuwwah. Semoga kesilapan tahun lepas, kita tinggalkan. Dan tahun baru dilingkari rahmat ALLAH SWT.
p/s :
- bukan mudah terpilih untuk diuji oleh Allah, oleh yang demikian, bersyukurlah, Allah masih sedia menguji hambaNya ini..
- Al-Ankabut 2-3, Al-Baqarah 216, Al-Baqarah 286, Al-Imran 139, Al-Imran 200, Al Baqarah 45, At-Taubah 111, At-Taubah 129 & Yusuf 12.
- Abdullah bin Amru RA telah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda; Allah SWT tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah SWT mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa tanpa bersasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula. (HR Bukhari & Muslim)
Wednesday, January 17, 2007
Frekuensi Kognitif
Frekuensi Kognitif
Berapa ramai mahasiswa kita berfikir permasalahan bangsa lebih banyak dari usaha menambah rakan di friendster atau myspace?
Berapa ramai tokoh politik kita yang berpengaruh berusaha merungkai aspirasi bangsa lebih dari menghadiri jemputan perasmian atau menempelkan diri dengan kuasa atasan?
Berapa ramai anak muda kita menghadirkan diri ke masjid lebih dari usaha mereka menghadiri konsert popular?
Berapa ramai cendekiawan kita berusaha meningkatkan fikiran mengatasi masalah ketamadunan kita lebih dari kecanduan falsafah serta mengtaklidkan diri dengan ideologi Barat?
p/s: pabila otak penuh dengan muslihat, pembacaan dinomborduakan, menulis menjadi kemalasan dan tabiat dibudayakan, otak menjadi lembab selembab-lembabnya..
Saturday, January 06, 2007
Idealisme vs Rasionalisme
Idealisme vs Rasionalisme
Sewaktu berkursus dengan sebuah kursus seliaan Majlis Belia tak lama dahulu, saya disogokkan dengan slot wajib mereka iaitu slot Islam Hadhari.
Sebuah slot, yang membicarakan sepuluh gagasan Islam Hadhari, sedikit pun tidak menyentuh aspek pembawaan Islam (terdapat juga peserta bukan Islam didalam slot ini) tetapi lebih kepada penjenamaan semula sebuah gaya hidup, kononnya.
Dalam sepuluh gagasan itu, saya bangun dan menyatakan kerisauan saya terutamanya kemungkinan retorika penjenamaan gagasan Hadhari ini, jika dibandingkan dengan pembudayaan popular yang diperkenalkan kepada rakyat.
Contoh mudah, pembudayaan seperti AF, Mentor, Blast Off malah rancangan konsert seperti Rock the World juga kemunculan novel pop.
Saya nyatakan, kerisauan saya tercetus apabila kita kononnya dikatakan menjenamakan semula sebuah gaya hidup yang berteraskan Islam, walaupun sedikit Hadhari, tetapi dalam masa yang sama rakyat disogokkan dengan pembudayaan popular ini. Bukankah ini sesuatu yang mengelirukan?
Jawapan yang saya terima,
"Maaflah, saya tidak dapat mengulas panjang. Saya akan ke Ipoh sebentar lagi.."
" Pokoknya senang, dalam pertembungan idealisme dan rasionalisme, kita perlu berfikir dalam konteks yag lebih sesuai. Walaupun kita ada konsert, tetapi masih terkawal.."
Itu jawapannya. Terkawal. Ya. Kawalan Islam Hadhari.
Maknanya mudah. Kita penggal kepala idealisme kita atas nama rasionalisme.
Analogi paling dekat, konflik di antara Fatah dan Hamas. Hamas bersungguh-sungguh tidak mahu mengiktiraf Israel. Bukankah kuat idealisme perjuangan mereka. Tetapi, Fatah yang kalah dalam pilihanraya lepas bersungguh pula memujuk Hamas agar mengubah fikiran.
Atas nama rakyat melarat. Atas nama ekonomi. Atas nama rasionalisme.
Unipolar. Apalah kuasa PBB. Ini lagikan OIC.
Inikah trend baru umat Islam?
Bagi saya, tiada idealisme sehebat mengangkat aspirasi bangsa. Dan tiada ideologi setinggi agama, iaitu Islam.
Jadinya, rasionalisasi itu letaknya di mana?
Pengguna
Pengguna yang Baik.
Dari teori. Hinggalah kepada sekecil-kecil barangan. Kitalah, pengguna yang baik.
Sebabnya, sebab itulah Proton menggunapakai kepala Wira, dari produknya Wira, kepada Satria, Putra, sampailah kepada Arena, sama kepalanya. Dan yang baru, Chancellor juga guna kepala Waja.
Agaknya, kita ini kurang kreatif. Ataupun malas mereka. Malas mencipta.
Bagaimanalah kesinambungan 'kepala-kepala' wira ini kita harapkan untuk bersaing dengan Toyota misalnya, Nissan misalnya ataupun Perodua.
Yang lain, angkasawan. Pak Rastom kata, kalau hantar dua orang pun, kita masih menggunakan kapal buatan mereka. Teknologi mereka. Menggunakan. Kita bukan berusaha mereka. Mencipta. Tetapi mengguna. Bagus.
Yang lain lagi, Eyes of Malaysia. Boleh tengok Kuala Lumpur. Nama pun mat saleh habis. Popular. Baguslah. Tapi boleh guna setahun saja. Sebabnya? Kita menggunakan saja. Bukan membuat. Lambakan lulusan Civil Engineers kita kata, kalau setakat 60 meter punya gondola, apa punya kacang. Tetapi, kita masih membuka tender agaknya. Ada bahagian. Buat apa bersusah payah membuat. Bagus. Bagi saya, bagus sangatlah tu.
Yang lebih lain, senjata. Kalau Iran, di samping bekalan Russia, mereka juga berusaha mereka cipta senjata sendiri. Malah, ada kapal pesawat buatan sendiri. Kita, walaupun ada Proton, itu pun tersengguk-sengguk nak untung. Volkswagen pun tak pandang. Tak lama lagi, sampailah kapal selam baru.
Sudahlah ahli akademik kita kecanduan teori sampah Barat. Kita pula tak habis-habis menjadi pengguna. Yang ada kuasa. Yang ada pengaruh. Goyang kaki buka tender.
p/s : Terbaru, duit elaun buku saya hanya dimasukkan tak penuh. Kemana lebihnya, entah.
Tuesday, January 02, 2007
Identifikasi Trait
Identifikasi Trait
Salam aidiladha, salam selamatkan tahun baru 2007 (pinjam istilah pak rastom), dan salam berblog.
Saya kembali dengan identifikasi trait berblog saya. Saya berjaya mengenalpasti, saya hanya akan aktif berblog apabila saya tidak cuti. Sebagai bukti, berbulan saya cuti, blog ini tinggal sepi tanpa pengisian intelektual.
Balang otak saya ini dipenuhi dengan idea untuk bahagian penulisan kreatif saya. Walaubagaimanapun, stamina saya masih terenjat dengan kekangan masa ciptaan saya sendiri.
Kekangan masa, ya. Saya berjaya menciptanya sepurnama lebih ini. Untuk tidur. Untuk masa berkualiti bersama keluarga. Untuk main game. Untuk sedikit gerakan sukarela. Dan untuk jadual pembacaan yang ketat.
Banyak sebenarnya yang hendak saya tulis. Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan. Bahagian Palestin menuntut hak untuk di publish. Cerita Hamas, Ismail Haneyya. Cerita Fatah, Mahmoud Abbas yang berpeluk bersentuh pipi dengan Olmert. Begitu juga dengan Iraq, cerita Syiah dan Sunni, Kurdis malahan kes gantung Saddam Hussein. Afghanistan dengan Taliban. Begitu juga dengan dunia penulisan tanah air. Isu 152. Isu popular. Isu kenaikan tol. Pengurangan cukai jalan. Mitos UTK. Tentang debat beratus jam. Tentang masjid, surau, tabligh dan kunci. Bencana alam yang melanda setiap kali menjelangnya Natal. Malahan cerita korban, aidiladha, lembu dan Islam. Tidak lupa juga, saya telah lama memikirkan untuk menulis tentang fenomena surau di pusat membeli belah di negara kita, tetapi telah ditulis oleh seorang rakan. Kemudian akan saya usahakan, insyaAllah.
Semuanya menuntut hak untuk difikir, dicerna, dihadam dan diusahakan menjadi satu bentuk pencerakinan idea yang mampu membentuk wahana atau zon pemikir bersama.
Saya kelelahan sebenarnya. Saya masih gagal membentuk peribadi cemerlang, sejajar dengan gagasan idealisme yang sedang saya usahakan, dan ternyata, bentuk disiplin seperti ini, jka gagal diusahakan bakal membawa bencana kepada usaha yang seterusnya.
Kekangan-kekangan yang saya cipta, tenyata membantutkan segenap inci revolusi diri ini. Saya akan berusaha meluaskan pembacaan, untuk mendapat perspektif yang lebih layak untuk dihidangkan.
InsyaAllah, saya akan kembali dengan idea dan atau zon pemikir yang lebih kritis, dan lebih segar terutamanya. Untuk agama, melalui ilmu dengan akhlak.

Subscribe to Posts [Atom]