Tuesday, December 19, 2006
Berbengkel



Kosong.
Blog ini kosong sekian lama. Hanya sogokan emosi menerawang mengisi ruang, yang kosong.
Tiada sisipan ilmiah, kurang nilai intelek dan apa sebenarnya? Saya tersenyum sendirian. Sepatutnya waktu cuti ini diisi untuk menulis perkara yang baik-baik, ilmu terutamanya. Tetapi nampaknya waktu cuti ini kelelahan mengisi ruang yang, kosong. Ya, kerana cuti menuntut rehat, otak saya turut terseret mengosongkan isinya. Kasihan bukan? Saya risau akibat kontangnya wahana pemikiran disini nanti, blog ini akan dilabel blog popular, mungkin? Haha, tidak, tidak mungkin, blog ini tidak punya pengikut, mana mungkin jadi popular.
Saya baru pulang dari sebuah bengkel DBP, yang menurut saya, tidak sampai hala tujunya. Saya pulang dengan pertanyaan bersarang di hati, rungkaian persoalan yang beruntaian tidak berjawab, dan semangat yang punah hasil ekspresi intelek, kononnya. Saya sedar siapa saya, sebagai seorang pemerhati yang kurang ilmu dari segala sisi dan aspek, saya tidak mungkin mengkritik para sarjana yang pada saya kaya ilmunya. Namun berdasarkan pemerhatian dan pendapat rasional yang saya dasarkan pada idealisme saya, saya kira saya perlu untuk terus mengkritik. Suasana yang sedang saya hadapi adalah satu kondisi yang sangat menyakitkan, yang pada perkiraan saya bukanlah mengancam situasi diri saya seorang, tetapi juga khalayak pembaca. Ini sangat menyedihkan.
Tenatnya dunia sastera Melayu ini, hanya yang merasanya sahaja yang tahu. Kita mengalami pelbagai ancaman liberalisasi sehinggakan pada kaca mata saya, bukan para penulis sahaja yang terseret, malah pelbagai syarikat dan badan kerajaan juga terikut-ikut pilihan epistemik; popular.
Saya tertarik untuk mengulas bukan apa, terasa tanggungjawab untuk memberi respon. Sebagai seorang pemuda Melayu-Islam yang bergelumang dengan pembacaan dan khalayak pembaca, secara lansung atau tidak, permasalahan ini benar-benar menyesakkan setiap sisi pemikiran saya.
Ramai yang mempersoalkan, tindakan label-melabel ini tidak wajar, malah ada pula yang memberi saranan kononnya Sasterawan Negara seperti Shahnon Ahmad dan A Samad Said dahulu juga bermula dengan karya yang disifatkan popular. Perkara pokok bagi saya yang perlu diberi perhatian adalah isu pelabelan ini. Apa itu popular, dan apa pula yang dikatakan karya serius. Jika benar terdapat perbezaan di antara keduanya, mana mungkin karya popular disama tarafkan dengan karya serius. Menyamaratakan ini adalah produk liberalisme. Inilah susupan nilai yang dibawa Barat, mengangkat sama rata setiap strata atau lapisan tanpa mengira justifikasi yang benar-benar boleh dianggap berhikmah.
Ini perlu dihadam, dicerna dengan sebaik mungkin kerana kefahaman yang tepat mengenai isu ini didapati hanya apabila kita mencapai hikmah dan keadilan. Menurut Dr Mohd Zaidi dalam kertas kerjanya ICT & Peradaban Islam yang dibentangkan di Seminar Pendakwahan ICT Melalui Remaja anjuran IKIM, ‘hikmah’ membawa maksud ‘ilmu tentang kedudukan yang betul bagi tiap-tiap sesuatu’ manakala ‘keadilan’ pula membawa maksud ‘keadaan tiap-tiap sesuatu berada pada tempat dan kedudukan yang betul’. Perkara ini juga disebut-sebut oleh Professor Syed Mohd Naquib al-Attas yang banyak membicarakan mengenai ‘adab’, dan ‘peradaban’ menurut pespektif Islam, yang banyak menekankan hubungan di antara hikmah dan keadilan. Saya lebih gemar jika kita memakai kedua tonggak utama (hikmah dan keadilan) ini sebagai bingkai utama persoalan ini kerana apabila istilah label diutarakan, kita sebenarnya merujuk kepada kedudukan atau tempat sesuatu itu, yang secara lapisnya akan turut menyentuh sistem susunan yang sedang dibicarakan.
Saya sebenarnya sering tertanya-tanya, dari manakah istilah popular itu muncul, merujuk kepada apa dan bagaimana cantiknya istilah ini kemudiannya dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu atas kepentingan yang mereka sahaja tahu. Menurut Hj A Rahim Abdullah dalam kertas kerja yang bertajuk ‘Maafkanlah Aku... Krisis Identiti Wanita yang Pasrah’ yang dibentangkan di bengkel Novel Popular anjuran DBP tersebut meletakkan novel popular pada mudahnya jalan cerita untuk dibaca secara santai tanpa perlu berfikir.
Manakala menurut Dr Misran Rokimin dalam kertas kerjanya ‘Novel Popular Lebih Nilai Komersial dari Nilai Intelektual : Kajian Teks Novel Pasrah Kasih karya Mazia Harris’ yang turut dibentangkan di bengkel tersebut menyatakan beliau meneliti novel tersebut berpandukan pandangan N H Dini (2004), Othman Puteh (2005) dan Brumfit (1985) mengenai novel popular iaitu tema novel yang menonjolkan soal cinta, cerita santai yang kurang memberi kesan yang dalam serta plot cerita yang mudah yang tidak menggunakan daya intelektual yang tinggi untuk memahaminya.
Dan menurut Saleeh Rahamad dalam kertas kerja yang bertajuk ‘Bagaikan Puteri : Sebuah Hikayat Moden’ pula menyatakan sastera popular ialah sastera yang tidak menunutut daya intelekualiti yang tinggi untuk menghazamnya, sastera yang tidak mementingkan aspek moral, sastera yang bercerita secara permukaan sahaja dan tidak mengandungi falsafah. Ini beliau tambah dengan pendapat Neuburg melalui bukunya Popular Literature : A History and Guide yang mentakrif sastera popular sebagai karya yang dibaca oleh pembaca yang tidak terpelajar atau tidak berfikir secara serius.
Manakala menurut Dr Kamariah Kamrudin dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Antara Komersialisme dan Intelektualisme dalam Novel Getaran Rindu’ menyatakan novel popular dan sastera popular ialah keadaan karya yang tidak memenuhi teknik dalaman yang seharusnya ada pada sesebuah karya sastera Melayu, rata-ratanya mewujudkan novel popular untuk memenuhi kehendak penerbit yang dikaitkan dengan keuntungan, tanpa mempedulikan gagasan fikiran dan falsafah kehidupan yang dipertalikan dengan nilai intelektualisme terhadap khalayak, menjujung ‘habuan kewangan’ yang bertolak daripada ‘kehendak pasaran’ dan ‘pengaruh Barat’, menyajikan unsur kemewahan dan keseronokan yang menyebabkan manusia leka dan khayal dengan kehidupan yang serba maju dan moden. Secara mudahnya menurut Dr Kamariah, novel popular atau sastera popular mengabaikan keindahan maknawi tetapi menumpukan keindahan lahiri semata.
Kesemua pendekatan di atas, secara tidak lansung menolong mengklasifikasikan karya popular dengan karya serius. Karya serius biasanya dinyatakan sebagai karya yang berbudaya tinggi (Hj A Rahim Abdullah), karya yang menuntut kebijaksanaan, penilaian moral dan penumpuan perhatian pembac(Hj Hamzah Hamdani), lebih estetis, artistis dan filosofis (Mohamad Saleeh Rahamad), ataupun paling mudah dikatakan mempunyai ideologi, idealisme dan falsafah. Ini membezakan karya serius dengan karya popular. Ini memberi ruang perbezaan yang cukup besar, terutamanya kepada kerya popular yang dilihat lebih mementingkan aspek materialisme.
Oleh yang demikian, isu pelabelan, kasta dalam sastera ataupun keghairahan sesetengah golongan menghukum penulis karya popular tidak patut dimanipulasikan, kecuali kepada golongan tertentu yang sudah semestinya mempunyai agenda tertentu. Jika kita kembali kepada bingkai pemikiran kita tadi iaitu hikmah dan keadilan, adilkah kita menyamaratakan karya popular dan karya serius dengan perbezaan yang sebegini jelas? Adakah ini yang dikatakan hikmah apabila kita memberi taraf sastera kepada karya yang tidak sesuai masuk genre sastera?
Bukannya saya menyokong tindakan label melabel ini, malahan saya sendiri sering merasa sedih apabila terdapat karya yang terpaksa dilabel sebegini rupa, tetapi sebenarnya tidak sepatutnya masuk ke dalam dunia popular. Secara ringkasnya bengkel ini membincangkan dalam 16 novel popular, yang diakui setengah darinya mempunyai gagasan tersendiri yang kuat seperti Nyanyian Tanjung Sepi karya Noor Suraya, Cemburu Seorang Perempuan karya Siti Hazneza Abdul Hamid, Bukan Puteri Lindungan Bulan karya Liana Afiera Malik ataupun Bagaikan Puteri karya Ramlee Awang Mursyid. Jika benar novel seperti di atas membawa gagasan sendiri yang amat positif, tidak sepatutnya ia masuk genre popular hanya berdasarkan nilai komersialnya. Jika benar ia mempunyai ilmu didalamnya, kita tidak patut menghakiminya berdasarkan jenis syarikat penerbitannya sahaja. Namun apa yang merisaukan adalah perkembangan novel popular lain. Menurut perangkaan Pn Ainon Abdullah, di Malaysia sehingga kini terdapat lambakan lebih 2000 novel popular. Oleh yang demikian, apa yang kita khuatirkan adalah kualiti terhadap lebih 1984 karya popular yang lain, yang tidak dibincangkan di dalam bengkel ini. Adakah karya lain ini, mempunyai kualiti sehebat karya popular diatas? Ini yang perlu diberi penekanan memandangkan karya popular selalunya mementingkan nilai komersialisme, adakah 1894 karya lain ini mempunyai kualiti sastera dalam erti kata yang sebenarnya, membawa gagasan moral, tidak mengamalkan bahasa yang rancu, malah membebaskan khalayak pembaca dari kekeliruan?
Karya Popular : Diantara Nilai Komersialisme dan Intelektualisme
Kamus Dewan (2005) memberi makna Komersialisme sebagai ‘sikap, prinsip atau amalan perniagaan yang lebih mementingkan soal keuntungan’, manakala Intelektual pula diberi maksud sebagai ‘pengabdian kepada penggunaan intelek atau daya berfikir atau doktrin yang menekankan bahawa pengetahuan terhasil dengan daya taakulan yang tulen. Persoalan yang menyenakkan usus saya sejak menghadiri bengkel tersebut, ke manakah hala tuju dunia pembacaan masyarakat Melayu ini khasnya. Kita berterima kasih kepada penulis karya popular, kerana secara tidak lansung, mereka berjaya mewujudkan satu kontinum suasana pembudayaan membaca, yang sangat signifikan dalam pembentukan peradaban dan tamadun bangsa. Namun yang demikian, setelah hampir 50 tahun merdeka, masihkah kita terutamanya Melayu mengharapkan budaya pembacaan santai yang kurang menuntut operasi kognitif? Adakah perlu kita membudayakan khalayak pembaca dengan lambakan bahan bacaan popular yang sangat mementingkan aspek keuntungan semata dari sisi pembangunan minda? Perkiraan saya mudah, yang lebih ideal adalah keadaan di mana dalam membentuk sebuah masyarakat yang sudah separuh abad merdeka, pemikiran kita sepatutnya diisi oleh wahana yang lebih berat, yang mengendong aspirasi bangsa, malahan perlu tegas menolak dari berkompromi dengan nafsu rendah khalayak pembaca.
Para pengkritik sastera, penulis karya serius mahupun pemerhati seperti saya, tidak memandang jelek kepada penulis karya popular. Tetapi bagi pihak diri saya sendiri, saya akui, saya sedikit sinis terutamanya apabila membayangkan hala tuju dunia penulisan mereka yang ada di antaranya berkiblatkan wang ringgit sahaja tanpa memberi ruang kepada khalayak menimba ilmu ataupun membantu meningkatkan daya operasi kognitif pembaca. Seusai pembacaan saya terutamanya mengenai kritikan meraka golongan karya serius ini, saya kira mereka tiada masalah sebenarnya dengan penulis karya popular. Mereka berhadapan dengan generasi yang berlainan dunianya, malahan wang ringgit bukanlah kiblat mahupun tujuan utama mereka menulis. Jadi, persoalan dengki, khianat atau apa istilah sekalipun secara lateralnya tidak wujud, ataupun diwujudkan oleh golongan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, memanipulasi situasi untuk kepentingan mereka sendiri.
Tetapi kekhuatiran yang paling asas adalah perkembangan dunia popular ini, yang ditambah perisanya dengan kehadiran dunia popular lain seperti Akademi Fantasia, Mentor, slot drama Latin atau Indonesia seperti Bawang Putih dan Bawang Merah dan segala macam bentuk dunia hedonisme lain yang menyerang segenap sisi tatanan moral masyarakat Melayu ini. Pembudayaan hedonisme ini, dikongsi sahamnya oleh penulis karya popular yang mengagungkan khalayak sebagai punca utama kemasukan wang ringgit ke dalam akaun mereka. Khalayak bakal dibawa menerawang jauh menikmati kehidupan moden serba maju yang melekakan, dengan mengangkat realiti budaya sonsang. Sangat menyedihkan apabila golongan penulis popular ini menggunapakai alasan mengangkat realiti tanpa memikirkan sisi kesan terhadap khalayak secara tuntasnya. Selain dari itu, kekhuatiran juga bercambah dengan pembudayaan menulis realiti semata tanpa penilaian moral serta masalah kerancuan bahasa di dalam karya. Mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris serta memasukkan bahasa esemes ke dalam karya, tidak memungkinkan karya popular duduk setaraf dengan karya serius yang lain.
Dan pada perkiraan saya, kekhuatiran yang paling tinggi adalah usaha badan kerajaan untuk turut sama mengiktiraf karya popular. Saya mempunyai pendapat yang sama seperti Razali Endun, yang menyatakan bahawa dunia karya popular dan dunia karya serius duduk dalam klasifikasi dunia yang berlainan. Badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak sepatutnya berkongsi saham untuk menuruti nafsu rendah pembaca, tetapi sepatutnya berusaha menambah dana dalam meningkatkan usaha pemasaran malah menggalas tanggungjawab besar membantu malah membudayakan pembacaan serius yang memang terbukti mengangkat aspirasi bangsa dan keupayaan bahasa itu sendiri. Menurut objektif keempat bengkel seliaan DBP ini iaitu ‘membincangkan usaha-usaha yang dapat dirancang oleh DBP dan badan penulis bagi membantu perkembangan karya popular di negara ini’, adalah sesuatu yang amat pelik. Dunia karya popular sudah memang terang-terangan tidak memerlukan DBP untuk berkembangan kerana menurut teori konsumerisme iaitu permintaan dan penawaran, mereka sememangnya terbukti boleh berjaya mendapatkan khalayak sendiri.
Dan sesuatu yang menambah kehidupan pesimis perasaan saya terhadap karya popular ini ialah budaya kehidupan penulis popular itu sendiri yang tidak mementingkan aspek pembawaan bahasa dalam dunia yang sebenarnya. Secara jelas, meraka kurang mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul, malah tidak mementingkan usaha menaiktaraf dan meninggikan bahasa Melayu. Ini menjadi cerminan semulajadi terhadap karya mereka, malah alasan kukuh mengapa mereka mengangkat realiti semata tanpa menilai justifikasi penilaian moral. Bangunnya Pn Aina Emir menyatakan pendapat dalam kerancuan bahasa yang bercampur aduk diantara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dalam suasana formal di dalam bangunan DBP sendiri, sangat menyedihkan.
Saya memandang jauh untuk satu suasana yang mempu mengangkat bahasa Melayu jauh lebih tinggi. Melalui karya sebenarnya, kita mampu mendidik anak bangsa untuk menggunapakai bahasa Melayu dengan betul, tanpa menomborduakan bahasa Melayu dengan menyelitkan dengan sengaja realiti penggunaan bahasa Inggeris yang tidak signifikan di dalam karya. Mengucapkan terima kasih pun sudah tidak trendy, terpaksa menggunakan thanks. Ini mengajar anak muda mengangkat bahasa lain selain bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, dan masalah kecil sebeginilah yang menggusarkan para pemerhati.
Dan jika tema yang digusarkan, banyak karya serius lain menggunapakai tema cinta. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dengan surat terakhir Hayati kepada Zainuddin, Tunggu Teduh Dulu dengan percintaan tiga segi Salsabila Fahim di antara Kamil dan Lam Ping Hai, Ranjau Sepanjang Jalan dengan kehidupan Lahuma dan Jeha serta tujuh anak dara meraka, malah jika kita berkiblatkan Indonesia dalam isu ini, Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy telah laris bukan sahaja di sana, tetapi juga di Malaysia. Apa justifikasi kita sebenarnya? Situasi frekuensi apa yang sedang kita hadapi? Malah penilaian moral kita, terhadap keuntungan semata ataupun usaha membina jiwa bangsa dengan wahana yang lebih tertib?
Lahuma dengan ‘mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah SWT’,
Teh Sofia dengan ‘kerja Tuhan, siapa tahu?’,
Zainuddin dengan cita-cita tingginya menentang perbezaan...
Dan manusia Melayu? Menilai dari sisi double standard dengan mengambil contoh Harry Potter karya JK Rowling?
*gambar diatas walau apa cara dan alasan sekalipun tidak mempunyai kaitan dengan ulasan ini..
**lihat tulisan Razali Endun dalam Utusan Mingguan, kami duduk semeja membincangkan hal ini seusainya bengkel tersebut..
Saturday, December 09, 2006
Malay Weekly Mail, Disember 1923

Tell me not in mournful numbers,
That the Malay is dying race;
for their soul isn't dead that slumbers
Even in the old miserable days.
Tell me not in mournful numbers,
The way to improve the Malays;
For surely every Malay remembers,-
Be contended and be modes-always.
~petikan tulisan Pendita Za'ba~
Wednesday, December 06, 2006
Tragedi tengkujuh


i.
kezaliman itu, siapa yang mahu menanggungnya?
adakah TV3 akan memberi liputan?
adakah pemimpin tempatan akan memberi alasan?
adakah akhbar harian akan mempersoalkannya?
kezaliman itu, siapa yang mahu menanggungnya?
dimana hilang budi disepak bicara?
inikah toleransi inikah tolak ansur kita?
hadiah undi merayu apa?
kezaliman itu, siapa yang mahu menanggungnya?
bagai tsunami melawan takdir?
meruntuh rurut sesuka hati?
meletak janji di atas kewarasan?
kezaliman itu, siapa yang mahu menanggungnya?
kuasa mengatasi peraturan?
angkuh mengganti perbincangan?
mengubah perjanjian menidak kesahan?
ii.
tidak, tidak..
toleransi kita..
tolak ansur kita..
tidak sampai ke situ?
sampai satu masa kita juak muak,
Singh diberi kebebasan memakai serban dan kita diseret ke mahkamah disuruh buang serban?
tidak, tidak..
toleransi kita..
tolak ansur kita..
tidak sampai ke situ?
sampai satu masa kita juak muak,
kementerian mengubah graf keputusan peperiksaan mengalih persepsi rakyat terhadap bahasa?
tidak, tidak..
toleransi kita..
tolak ansur kita..
tidak sampai ke situ?
sampai satu masa kita juak muak,
pemimpin membina istana menidak pedulikan undang-undang?
tidak, tidak..
toleransi kita..
tolak ansur kita..
tidak sampai ke situ?
kini,
sampai satu masa kita juak muak,
pemimpin yang sama bukan meroboh istana tetapi mengambus rumah usang pondok surau rakyat?
tidak, tidak..
toleransi kita..
tolak ansur kita..
tidak sampai ke situ?
iii.
ini semua sandiwara, ini semua tidak memberi erti, ini semua pembangunan untuk bank mereka sendiri, bukan rakyat
di mana keprihatinan mereka, bagi mereka rakyat itu apa?
jenis pemikiran pemimpin beginikah yang kita agung-keriskan?
iv.
Anak-anak sedang mengambil peperiksaan,
ibu bapa harus mencari sesuap nasi untuk keluarga,
nilai kemanusiaan jenis apakah yang bergenang di dalam cairan otak mereka?
nilai akhlak capaian jenis apakah tuntutan mereka?
v.
inilah minda kelas pertama, menggunapakai emosi sebagai wadah menurut wilayah
menilai sempit berakal bagaikan binatang
rakyat itu walau kayu api sekalipun masih mempunyai harga diri
sedarlah diri siapa mengangkat di kala bawah sehingga menurut ke atas awan
dan kita?
kita pelik, kita jelik..
tentunya..
kita hilang akal memikirkan dimana saluran wakil rakyat
kita hilang akal memikirkan dimana saluran televisyen popular yang sedang asyik dengan mentor
kita hilang akal memikirkan dimana saluran akhbar harian yang mengadu domba
kita hilang akal memikirkan dimana nilai kemanusiaan bukan sahaja di Palestin dan Iraq tetapi juga disini
vi.
inilah bahana inilah sundal taufan
inikah angin beliung inikah angin tengkujuh?
kita hilang lidah
kita hilang tunas
kita hilang rumah
kita hilang surau
kita angkat popular
kita angkat mentor
kita angkat cinta
kezaliman itu, siapa yang mahu menanggungnya?
Tuesday, December 05, 2006
CINTA
Apa yang boleh saya katakan mengenainya? Saya memang jarang menonton filem Melayu di pawagam. Tahun ini, hanya 2 buah filem melayu yang saya tonton di pawagam, pertama, Bilut dan yang kedua, Cinta.Cinta mengubah skop perspektif saya terhadap cerita Melayu. Saya kira cerita Melayu sudah ada banyak perubahannya. Sekurang-kurangnya, saya tidak menyumpah seranah setelah selesai menontonnya.
Cerita dalam cerita. Keperluan kognitif untuk berfikir luar dari kotak, dan kapasiti untuk mengadun kesinambungan serta menyadur realiti secara halus. Pada saya, kisah Cinta bukan setakat cinta. Seperti puisi Kekasih oleh Usman Awang, banyak yang boleh diteroka. Lagipula, tiada unsur erotis keterlaluan walaupun masih kurang mengadun keperluan dan kepentingan agama di dalam hidup.
Walau apa pun, ia benar-benar mengubah persepsi saya tehadap kelansungan industri filem kita. Tidak semua berfikir seperti abang Yasmin itu.
Mahupun dari aspek sinematografi (seperti ulasan Muzaffar, setiap shot pasti ada maknanya) ataupun dari segi muziknya, Cinta tidak menghampakan.
Masih ada yang mampu berfikir di atas kewarasan dengan cara yang paling cantik dan indah sekali.
Mungkinkah ini jawapan kita kepada filem Indonesia yang sering sahaja mendapat tempat di sini?
Tetapi saya masih tetap, Cita tidak seringan CINTA..
Monday, December 04, 2006
Berita Ujang

Apa gunanya 300 lebih askar tentera Malaysia (pengerusi OIC) dijadualkan baru ingin bertolak ke Lebanon? Saya kira, dengan kekayaan rohani tentera Hezbollah yang bergaya itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan mereka mampu mengawal dan menjaga bumi Lebanon dari askar Israel, yang dilihat dari segi bentuknya memang kaya aspek material. Setelah berbulan-bulan perang antara Lebanon dan Israel itu tercetus, kita sebagai negara pengerusi OIC dilihat gagal serta tunduk kepada kehendak teroris US dan perompak Zionis itu supaya jangan meletakkan tentera di sana. Perlu diingat, OIC ditubuhkan atas alasan al-Aqsa, beberapa bulan selepas usaha membakar masjid itu sekitar tahun 60-an dahulu, yang sehingga kini diingati oleh sesetengah pihak sebagai Hari al-Quds. Oleh yang demikian, kisah Lebanon ini sesungguhnya harus mendapat tempat utama OIC, terutamanya tentera Hezbollah bertindak demikian atas kapasiti ingin membantu Palestin, walaupun berbeza fahaman. Kita tersangat lemah. Kita hanya mampu tunduk kepada meraka. Kita gagal membuktikan usaha komited kita terhadap Palestin. Habis, atas kapasiti apa kita diletakkan sebagai Pengerusi?
Kemudian berita selanjutnya mengenai tuntutan kerajaan Mongolia menerusi Suruhanjaya Hak Asasi Antarabangsa yang menginginkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menjalankan pemerhatian serius terhadap kes pembunuhan Altantuya (menjadi isu selepas tertuduh dibenarkan bebas dengan bon ikat jamin, sesuatu jarang-jarang sekali dilakukan). Saya melihat isu ini dari aspek yang berbeza selepas mengetahui adanya kes kertas undi yang tidak sah dalam pilihanraya majlis peguam, semalam. Jikalau dikalangan peguam sendiri ada yang menipu, sistem kehakiman bagaimana yang kita harapkan?
Saya banyak mendengar mengenai mitos UTK ini (ingat, saya katakan mitos), dan pelbagai alasan atau ceritera lain yang diakui logik, tetapi mungkin tidak benar. Walau apa sekalipun, kepercayaan saya punah.
Sudahlah.
Hentikanlah.
Sifat yang Bagaimana?
"Memanah yang itu, bukan tindakan sesuai.."
"Kalau tidak ada keberanian, apa sahaja menjadi tidak mungkin.."
"Kita kecil, kita tiada kuasa.."
"Kita menurut, sampai tersurut..kalau itu yang kita mahu.."
Apa yang menarik perhatian saya beberapa minggu ini menjadikan saya lelah. Kalau itu yang paling sesuai.
i. Blog. Apa itu blog. Apa fungsi blog. Kenapa berblog.
Saya sudah menulis tentang ini dua bulan yang lepas. Pada saya, blog sudah menjadi kecanduan. Menagih segenap saraf agar berusaha ke arah pemikiran. Sebab pemikiran itu dahulu yang hadir sebelum papan kekunci ditekan. Saya lihat semacam trend pula apabila beberapa bloggers menzahirkan perkara ini di dalam blog mereka, dan pengertian menurut persepsi mereka.
Sebagai seorang yang memilih bidang persuratan sebagai wilayah perjuangan, saya lihat kecanduan ini memberi frekuensi positif terhadap eksperimen saya. Bukan setakat menghadirkan stamina kepada ayat berbunga yang kirana, tetapi abah mengingatkan saya kepada satu elemen penting iaitu pola estetikanya, sudah semesti makna bukan bentuk. Oleh yang demikian, blog sudah semestinya menjadi radas masa dalam memastikan pola berstruktur yang semakin berkembang di dalam alam tidak sedar saya.
Radas masa ini pula ditentukan berdasarkan hipotesis yang dibuat sebelum eksperimen di jalankan. Ia boleh saja menjadi apa, walau cerminan masa sekalipun. Tetapi, saya sering teringat kata guru saya. Lingkungan dekat dan lingkungan jauh. Oleh yang demikian, saya menubuhkan dua jenis blog, iaitu blog lingkungan dekat untuk saya bereksperimen secara bentuknya, dan juga blog lingkungan jauh untuk eksperimen bersifat makna pula.
Kesimpulannya, seperti kata Alin, alam maya ini sudah boleh dikira sebagai sebuah wilayah pertempuran, di mana kejahatan dan kebatilan menyusup jauh tidak mengira sempadan geografi, secara mudah menguasai emosi dan wadah pemikiran apabila ia sampai ke bilik setiap insan yang mempunyai talian internet. Seperti kata saudara syahid_zul lagi, 'persiapkanlah layar, dan tunggu sehingga angin bertiup..', itulah tujuan saya berblog.
Menerbalikkan segala macam pengaruh isme-isme mereka. Sebab itu blog sangat signifikan dalam kontinum kehidupan umat Muhammad SAW masa kini.
ii. Bahasa, bahasa, dan bahasa lagi.
Siapa yang mengikuti blog ini tahu tentang prioriti isu ini dalam mendapat tempat di sini. Saya tidak akan berputus asa untuk sentiasa menulis persepsi saya mengenainya. Pada saya, ini soal maruah. Ini soal budi budaya. Ini soal jatidiri. Ini bukan soal main-main. Ini bukan setakat isu bahasa. Ini persoalan peradaban, persoalan tamadun yang bersifat nasionalis, disamping betapa rapatnya hubungan bahasa dengan agama kita.
Saya telah disentak oleh persoalan saudara SF mengenai kemahiran saya. Ya, saya mengaku saya memang tidak berkemampuan. Suasana memusnahkan minat saya terhadapnya. Kita berterima kasih kepada saudara yang seorang ini kerana ketinggian peribadinya, tetapi untuk memupuk semangat itu di dalam diri saya, bukan ini masanya mungkin. Oleh yang demikian, saya menetapkan niat, bahawa inilah ruang saya untuk terus berjuang, bahasa.
Kita hairan , mengapa dan untuk apa institut menterjemah ditubuhkan, dan atas alasan apa usaha menterjemah hanya menghasilkan 43 buah buku kanak-kanak dalam masa 10 tahun. Kita juga pelik, mengapa Tunas Cipta perlu dikafankan walaupun memberi impak positif terhadap suasana meninggikan tahap dan taraf sastera negara ini. Kita juak dengan ketegaran pihak berkuasa dalam menangani isu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, lagaknya bagaikan Kongres Bahasa yang lepas resolusinya jumud dan tidak sayangkan bangsa. Kita mual dengan isu popular, terbaru seminar anjuran DBP untuk mengkaji betapa inteleknya novel popular. Saya tidak nampak di mana kerelevanan menghabiskan duit berkumpul untuk mengkaji bahan bentuk sebegini. Andai realiti itu komersil, hiduplah si penulis bergembira dengan kekayaan materialistik menghidang budaya hedonisme kepada rakyat, khasnya golongan remaja.
Apa ini? Kita dihidangkan dengan suasana apa hingga menyusut jauh harta peninggalan warisan, menolak himpit pemikiran budaya dan menujah sanggah identiti norma bangsa? Seperti kata Kak Nisah, tahun ini adalah tahun tragedi. Sebetulnya menurut pendapat saya, tahun ini adalah kesinambungan kepada musibah yang berturut menurut hinggap dan singgah meladeni pemikiran bangsa Melayu ini.
iii. Ceritera Politik Melayu
Saya tidak boleh lupa kepada politik, lebih-lebih lagi ianya penyumbang besar kepada tragedi dunia sastera tahun ini. Birokrasi, pengaruh dan kehandalan sesebuah organisasi belayar dengan dua nakhoda memualkan otak menyesakkan pembuluh darah yang penuh sesak dengan mitos alasan mereka.
Ceritera kenaikan tol, ditambah perisa dengan ceritera minyak yang tidak mahu turun harganya, bercampur baur dengan hirisan sejarah kezaliman di Kg Berembang, memantulkan kembali potongan-potongan cebisan ingatan terhadap keris dan tidur di perhimpunan lepas bagaikan retorik semata.
Saya juga tidak boleh lupa daripada saranan-saranan hebat golongan politikus ini. Jika harga gula naik ataupun kurang di pasaran, kurangkanlah makan gula. Jika harga minyak naik, berjimatlah dan pakai kereta yang kecil-kecil saja. Kini, jika harga tol naik, kuranglah menggunakan lebih raya, ataupun duduk saja diam di rumah.
Pada saya, yang paling bijak adalah memulakannya dengan mereka. Kita sekat gula daripada memasuki dapur rumah-rumah mereka, kurangkan minyak daripada kereta mahupun helikopter mereka, dan jangan beri mereka menggunakan lebuh raya. Kita tinggalkan mereka makan lauk mentah, pergi ke pejabat berjalan kaki, dan menggunakan jalan persekutuan yang teruk itu tetapi percuma.
Ayat kasar saya, pergi mampus sama itu perjanjian, konsesi atau apa terms mitos alasan mereka sekalipun. Biarlah saya dituduh bodoh, bengap, dungu, jumud, tidak reti ekonomi atau apa carutan sekalipun daripada saya bersetuju dengan rencana mereka seperti yang terencana dengan Singapura yang mendapat bekalan air termurah di dunia hasil daripada perjanjian mengarut.
Pada saya mereka hanya pandai menaikkan. Tetapi secara halusnya kurang pandai ataupun secara kasarnya bengap untuk menurunkan. Sebabnya, mereka lupa pada agama. Mereka menomborduakan agama. Mereka menyisihkan agama. Pada mereka, Islam itu personal. Nah, rakyat yang suka memilih, silakan. Nikmatilah hadiah mereka ini kepada kita. Hiduplah kita dalam kekayaan materialisme bersama-sama dengan KLCC, LRT, KOMUTER (yang lembab tu), PUTRA, KLIA, SEPANG, dengan beratus segmen hedonis dari ASTRO, tetapi kita akan miskin rohani, fakir akhlak dan meminta-minta ketenangan tetapi menolak solat.
Untuk yang ini, saya kini hanya memandang pada revolusi. Revolusi politik. Saya hanya percaya kepada yang itu. Bukan apa, kerana kepercayaan saya sekian lama telah punah ranah ditebak dicelur dengan segala macam bentuk penganiayaan. Saya tidak memihak kepada mana-mana, tetapi percaturan saya, tidak salah andai memilih yang bersifat Islam daripada memilih yang bersifat menomborduakan Islam.
iv. Kecamuk Keruan Dunia Kusut
Selirat dunia semakin hari semakin menggasak hebat nafsu tahap rendah. Kausalitinya, kita sebagai umat Islam semakin terhimpit oleh rasa segan dan ancaman. Tinggallah kita dalam blok kecil yang kurang dan usang, menghitung kekurangan diri.
Iraq tidak seperti dulu, berdepan dengan teroris seperti Bush, bercanda pula suasananya dengan telingkah Sunni dan Syiah, apa dan mengapa harapan kita sandarkan pada kuasa yang kurang usahanya? Palestin, berdepan dengan penyangak atau perompak atau penipu itu bukan menuntut simpati tetapi usaha. Apa gunanya Liga Arab turut sama menyekat saluran dana kepada mereka, apa pula relevannya kita sendiri menggelar mereka teroris, dan apa usaha kita kepada mereka?
Apa usaha kita? Atau perkara sebegini tidak memberi emosi, apatah lagi menekan sensitiviti kita. Andai betul, inilah tahap pemikiran kita. Kita bukan sahaja jauh daripada sifat kreatif dan inovatif, malah tidak cakna pula kepada nasib saudara seagama kita. Saya sedang dalam usaha (walau belum serius sepenuhnya) menyelongkar kembali kisah-kisah serta fakta penemuan Ilmuan Islam yang memberi impak besar kepada dunia, untuk dijadikan panduan dan pegangan masyarakat Melayu-Islam daripada kita asyik kepada candu falsampah isme-isme mereka.
Dunia tidak akan berubah bunyinya, andai menusia bergelar Melayu-Islam ini masih terbuai dek hembusan ganas hedonisme, melalak menggunakan platfom realiti tv menyumbang masuk peluang dan pengaruh kepada mereka yang apa entah.
v. Usaha, hikmah dan aplikasi
Saya baru kembali dari sebuah bengkel yang membuka minda dan wacana saya. Walaupun isi kebanyakannya sudah terdoktrin dek ideologi guru saya, tetapi dari sisi yang lain sungguh benar saya mendapat pengalaman bergaul dan membuka persepsi serta perspektif.
Inilah usaha saya, dalam mencari dan mendapat hikmah, serta yang penting, hidup dalam keredhaanNya.
Yang penting, adalah niat, walau apa cara sekalipun, berfikir atas kapasiti hamba dan menurut serta patuh kepada kehendakNya.
Itu, nombor satu.
Tetapi yang pasti, musim tengkujuh ini benar terasa deruman dan derapan angin yang kuat membadai dunia, yang seluruh mahupun yang terfokus. Yang pasti, pop itu mengarut. Mengangkat realiti bukan usaha terbaik mendidik anak bangsa. Mengangkat aspirasi bangsa sepatutnya dinomborduakan, selepas mengangkat agama.
"Memanah yang itu, bukan tindakan sesuai.."
"Kita berusaha, andai sampai maksud, mereka faham mungkin?"
"Kita kecil, kita tiada kuasa.."
"Meneraju yang baik bukan semua mahu menumpang..yang buruk itu popular, yang baik itu kadangkala.."
Subscribe to Posts [Atom]



