Tuesday, November 28, 2006

KOMPROMI ATAS APA?

KOMPROMI ATAS APA?

Entri ini saya ambil dari blog
The Rise of Islam. Boleh baca penuh di sana.

Lions membawa banyak maksud.Antaranya "singa" iaitu pengawal atau penjaga Haikal Sulaiman yang berada di salah satu bahagian Masjidil Aqsa.
Lions juga membawa maksud "Libertgintelligenceoui-vationssafety"yang bererti merdeka dan bijak demi keselamatan negara kami.

Kelab ini berselindung disebalik slogan manis untuk menutup projek rahsia mereka.

Matlamat Utama

Bancian pada 1998M menunjukkan keahliannya telah mencapai 22juta orang mewakili 430 buah kelab rotary di 160 buah negara dunia.

Pengertian Rotary adalah berasal dari perkataan inggeris iaitu "in rotation".Istilah ini membawa pengertian:
  1. Orang yang bekerja dengan kelab ini sentiasa bersilih ganti
  2. Tempat operasi bertaburan dan berlegar diseluruh dunia dan berakhir disuatu titik pusat iaitu Israel.
  3. Anggota yang baru dipilih berdasarkan profession tertentu diadakan perjumpaan secara bergilir-gilir disetiap rumah anggota
  4. Mengitari titik pusat dan titik pusat itu ialah haikal Sulaiman
Matlamat utama

  1. Menjadikan kelab sebagai markaz maklumat dan tempat latihan perkaderan serta tempat menyalurkan fikrah freemasonary
  2. Menjadi markaz pengintip dan pengumpulan maklumat bagi setiap kawasan diseluruh dunia
Segala maklumat yang diperolehi akan disalurkan ke markaz utama di Chicago yang akan bertindak sebagai markaz freemasonary bagi hal ehwal luar.

Kedua-dua kelab ini telahpun menapak di Malaysia,meneruskan agenda-agenda "kebajikan" didalam masyarakat.Kerana itu,kita sedikitpun tidak mampu menafikan pengaruh zionis yang sedang membunuh sistem nilai didalam masyarakat.

Rukun Negara Malaysia

  1. Kepercayaan kepada tuhan
  2. Kesetiaan kepada raja dan negara
  3. Keluhuran perlembagaan
  4. Kedaulatan undang-undang
  5. Kesopanan dan kesusilaan


Apabila diteliti,semua rukun yang digunapakai adalah hampir sama jika dibandingkan dengan rukun freemasonry dan Zionisme. Ertinya,Yahudi telah berjaya menakluki dunia dengan menundukkan bangsa-bangsa didunia dibawah acuan mereka.

Bukan niat untuk mempertikaikan,apatah lagi untuk berpaling tadah dari kecintaan kepada negara,tapi saya disini cuba mengajak minda untuk berfikir.Mengajak gerak kearah reformasi sistem yang menunjangi negara yang benar-benar saya cintai,iaitu Malaysia. Fikirlah mengunakan wacana ilmu dan ikhlas....


Dan kita, apa usaha kita? Perompak Zionis ini benar-benar tidak boleh dipercayai. Belum sempat sehari gencatan senjata dipersetujui, mereka telah menembak seorang pemuda dan seorang warga emas di Qabatia, Jenin. (27/11) Manusia apakah yang kita sedang kompromi ini?

Monday, November 27, 2006

Fenomena falsafah yang mengingkari kekusutan

Fenomena falsafah yang mengingkari kekusutan

Mungkinkah fenomena ini wujud hasil daripada ekperimen menurut tradisi, bermain dengan kata melayan kehendak hati menegak sanubari pasif?

Kekusutan menurut keadaan. Rancangan tidak semestinya berturut menurut pengaruh..

Adakala hati menendang jauh sisi pandangan tetapi secara liar meneguk rakus menurut nafsu..

Ini adalah soal kuasa. Ini adalah soal pengaruh. Ini adalah soal semua.

Ah, masih berlingkar di sini, di mana kuasamu? Di mana pengaruhmu? Di mana idea fantasi ciptaan mu yang hebat-hebat belaka itu?

Jika begitu, siapa kata ini soal semua?

Bukan berteduh andai masing-masing bertempiaran. Bukan meneguk andai masing-masing runtuh rurut ke bumi..

Klasifikasi untuk Iraq menentang teroris US, Palestin menentang perompak Israel, Syiah serta Sunni..

Saturday, November 25, 2006

Orang kata, saya kuat tidur..entahlah..saya rasa waktu tidur saya biasa saja?

Orang kata, saya kuat tidur..entahlah..saya rasa waktu tidur saya biasa saja?

Waktu mula bermain dengan blog ini dahulu, ada kawan berseloroh dengan saya. Mana tidaknya, pada waktu itu saya sibuk meng-kopi-pes-kan tulisan orang lain ke dalamnya (dengan menulis datangnya dari mana = bukan plagiat).

"Kalau macam ni, baik tak payah buat blog. Tulisan tu aku boleh baca kat tempat lain.."

Saya menjawab dengan senyuman. Saya tidak peduli pun. Asalnya blog ini dibangunkan atas dasar persendirian-berhadnya.

Dan sehingga sekarang, saya masih mengamalkannya. Pada saya, mempromosikan yang baik itu tidak salah. Sebab itu saya jarang meng-kopi-pes-kan sampai habis. Ambil mana yang menarik sahaja. Supaya mereka menjumpai isinya di blog ini, kemudian menerokanya di blog asal.

Lagipun saya masih dalam mod eksperimen. Kuasa memeram saya tidak tentu halanya. Mod ini memerlukan saya meneroka. Dalam meneroka itulah saya temui pelbagai cetusan idea menarik dari pelbagai lapisan masyarakat.

Suatu yang menarik perhatian saya ialah mengenai bahasa. Jika diteliti secara kasar (ini pandangan peribadi saya), kebanyakan blog muda mudi Melayu di Malaysia khususnya yang berunsurkan perisian mencari rakan (friendster, myspace dll) ditulis dalam bahasa Inggeris. Ada rakan saya menyatakannya sebagai salah satu daripada tindakan glokal-nya.

Manakala, rakan kita yang sibuk belajar di luar negara, UK, US, Timur Tengah, Australia dan di serata dunia, menulis blog mereka dalam bahasa Melayu.

Pelbagai analisis boleh dibuat. Acuan pemikiran yang berbeza memungkinkan segala macam bentuk interpretasi yang bersifat subjektif terhadap isu ini.

"Kita kat sini nak berlatih bahasa Inggeris.."
"Mereka dah fasih base omputeh tu. Sebab tu depa tulis BM pula.."

Owh, ya, mungkin..ataupun..

"Yang kat luar tu dah merantau, semakin matang dan semakin sayang kepada jatidiri asal usul mereka.."

"Yang kat sini dah lupa daratan. Semua nak jadi omputeh. Daripada pakaian, sampai nak kena senget-sengetkan mulut.."
"Ya, baru nampak sofistikated.."

Jawapan am menurut saya mungkin boleh rujuk disini..(ambil perhatian kepada entri bertarikh 23 nov dan ke bawah..)

Thursday, November 23, 2006

Politik 101 - Bahagian 3

Politik 101 - Bahagian 3

Petikan ini diambil dari tulisan Saudara Fareez, melalui blognya, Ringan-Ringan. Suka dengan ideanya.

Di bawah adalah tulisan lama aku dalam blog Myspace. Tapi dengan 'situasi' politaik sekarang yang begitu melelahkan lagi melemaskan kita, eloklah kiranya aku meluahkan sekali lagi luahan rasa aku yang tak seberapa ni berkaitan politaik Malaysia sekarang. Baca ya?

"Oh Malaysian! Open up your eyes, now we fight back!"
Pa'eh, hehe..

Kita letak ke tepi sebentar perkara yang remeh-temeh dan sembang-sembang picisan Starbuck. Sekarang kita (baca: generasi muda Malaysia) berhadapan dengan realiti sebenar. Ia seperti dalam The Matrix, sewaktu Neo diberi pilihan di antara 2 pil oleh Morpheus. Kita boleh memilih untuk menelan pil biru supaya keesokannya bangun dan menjalani kehidupan biasa seperti orang-orang lain atau pil merah yang akan membuka mata terhadap realiti sebenar waktu sekarang. Dalam membincang tentang politik kita tak perlu menghafal sejumlah jargon politik dan teori-teori ekonomi yang memungkinkan kita kembali menelan pil biru dan menjadi 'normal' semula. Apa yang perlu dikaitkan dalam politik adalah 'keadilan' dan 'kezaliman'. Bukanlah keadilan itu berkait dengan Wan Azizah atau Anwar Ibrahim. Bukan pula kezaliman itu hanya disinonimkan dengan Firaun atau Mahathir.

Kita merasa wujudnya kepincangan dalam politik Malaysia apabila ada wakil rakyat yang hanya bercakap tentang Masterpiece dan Kompressor tetapi rakyat biasa banyak yang merana akibat kenaikan minyak dan tol. Kita juga dapat mengesan sesuatu yang aneh apabila sewaktu Najib menyeru supaya rakyat mengubah cara hidup, didapati lain pula yang berlaku dikalangan wakil rakyat. Nah, sekarang kita dikejutkan pula dengan pertarungan antara Dr. M dan Paklah. Kita maklum kedua-duanya produk UMNO. UMNO produk British. Jadi dalam pertarungan ini yang akan menang adalah para 'kapitalis' dan 'oportunis' di belakang mereka. Yang kalah sudah semestinya kita rakyat biasa. Bagaimana pula mereka berdua? Mereka tidak akan kalah dan tidak semesti menang. Seperti kes Anwar dan Mahathir dulu. Sudah terbukti sehingga sekarang kedua-duanya masih hidup senang-lenang dan dapat melancong dalam dan ke luar negara. Di mana pula buktinya yang rakyat telah kalah? Kita ambil contoh peristiwa pertarungan sekarang. Dr. M menuduh Paklah telah khianat kepadanya dengan menghentikan projek Gerbang Perdana. Paklah tidak menjawab segala tuduhan Dr. M tersebut dan bertindak 'melarikan diri' ke Australia untuk pembedahan kecil sinusitis. Yang menjawab tuduhan tersebut adalah pecacai Paklah yakni pemimpin-pemimpin UMNO yang kita maklum benar akan 'kesetiaan' mereka kepada kedudukan dan pangkat. Setelah beberapa siri penjelasan terhadap rakyat melalui media milik kerajaan UMNO tidak juga berkesan maka satu booklet akan diterbitkan pula untuk menjawab segala kritikan dan tuduhan tidak berasas Dr. M tersebut. Di mana pula kerajaan UMNO akan mendapatkan wang untuk menerbitkan booklet ini yang ternyata akan diedarkan ke seluruh negara? UMNO bukannya sebuah syarikat perniagaan sendirian berhad. Sudah semestinya wang kerajaan (baca: wang rakyat) akan dirompak yakni 'diambil tanpa meminta izin'. Tabung Haji, EPF, TNB, ASB, ASW dan lain-lain badan kerajaan mahupun GLC akan secara 'ikhlas' meminjamkan wang kepada kerajaan UMNO untuk menerbitkan booklet tersebut. Proses peminjaman ini berlaku tanpa persetujuan penyimpan, pencarum mahupun pemilik saham minoriti. Apabila wang dipinjamkan kepada kerajaan UMNO, didapati badan-badan kerajaan mahupun GLC ini akan kesempitan wang pula kerana kerajaan UMNO tidak akan membayar balik wang yang digunakan untuk 'kepentingan rakyat Malaysia'. Oleh itu, timbullah kenaikan harga tol oleh PLUS, kenaikan tambang oleh MAS, kenaikan tarif elektrik oleh TNB, Kenaikan bil air oleh Syabas dan lain-lain kenaikan yang bertujuan untuk menampung kerugian mereka tadi dalam menerbitkan booklet tersebut. Daripada kenaikan ini pula akan menyebabkan kesan-kesan sampingan lain seperti pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan, pemboikotan gula, kenaikan harga ayam, kenaikan kes merompak, meragut, penculikan, kenaikan kes pecah amanah, kenaikan kes rasuah, kes sumbang mahram, Ustaz Zul, Ayah Pin, dan lain-lain masalah harian yang kita alami sekarang. Ini adalah satu 'vicious cycle' yang ternyata akhirnya akan menyebabkan tidak lain tidak bukan rakyat untuk menanggung hutang-piutang kerajaan. Wakil rakyat tidak punya masalah kerana mereka masih lagi memegang syer-syer dalam syarikat pembalakan dan hartanah melalui isteri dan anak-anak mereka, memiliki AP untuk menjual kereta, dapat gaji bulanan beserta elaun perjalanan, memperolehi beribu permit teksi, mendapat 'imbuhan' dari setiap projek yang mempunyai masalah dengan EIA dan punya pendapatan melalui 'sampul surat bawah meja'.

Ya Tuhan, sudah terang lagi bersuluh pertarungan di antara Dr. M dan Paklah ini tidaklah ada bezanya dengan pertarungan yang kita lihat dalam Akademi Fantasia setiap hari Sabtu yang menyaksikan setiap seorang peserta tersingkir dengan linangan air mata. Bezanya pada akhir pertarungan, hanya rakyat yang menangis duka kerana tertipu oleh sandiwara hebat Dr. M dan Paklah. Kedua-dua mereka nanti akan terbang ke luar negara dengan jet peribadi dan tinggal menetap di salah sebuah pulau Carribean lagak Captain Jack Sparrow..

Rakyat Malaysia mudah lupa...kita mudah menjadi 'pemaaf'.

Tuesday, November 21, 2006

UTUSAN MALAYSIA; Penyebar fikiran rakyat.

UTUSAN MALAYSIA; Penyebar fikiran rakyat.

Baru semalam dalam entri Amarah Menterjemah Kehidupan saya menyatakan; Lepas ni, mungkin persidangan tidak disiarkan secara lansung seluruh dunia lagi, takut ada yang tersasul nyanyuk mungkin..


Hari ini dalam Utusan Malaysia (penyebar fikiran rakyat) keluar kenyataan; MT kaji kewajaran siaran langsung perhimpunan UMNO – Najib .

Dan hari ini juga keluar di ruangan forum kenyataan seorang pencinta negara;

Pada pendapat saya, orang-orang yang menghentam itulah yang tidak menyayangi bangsa sendiri. Mereka yang mahukan anak bangsa kita lemah dan ketinggalan.

Mereka sanggup jadi pengkhianat bangsa kerana ego mereka konon nak pertahankan bahasa Melayu, konon nak melindungi bahasa kita. Ini sikap yang jumud.

Kerajaan membuat dasar bahasa itu sebab hendak membina modal insan yang disebutkan oleh Perdana Menteri kita. Baca lanjut, klik sini.

Macamlah dia seorang dan editor Forum Utusan sahaja yang sayangkan negara.

Di sini saya
paste kan respon saya terhadap Forum Utusan dengan tajuk 'Pengalaman Pahit Bahasa Melayu' tidak lama dahulu, tetapi tidak disiarkan. Kini saya faham mengapa editor Utusan tersebut tidak menyiarkannya.

Menyoroti surat khabar beberapa hari kebelakangan ini, membuatkan hati terpanggil untuk memberi respon. Begitu ramai orang menyalahkan suasana semasa sebagai punca utama perlunya diteruskan pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris. Pendapat Ahmad Syauqi yang bertajuk 'Pengalaman Pahit Seorang Pelajar Pintar Tidak Mahir BI' yang tersiar pada 10 November amat mengerikan, bagaikan laungan pejuang bahasa untuk mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah momokan emosi semata, bahkan sebagai usaha berpatah balik ke belakang pula. Ada pula para ibu yang menginginkan anak-anak mereka pandai berbahasa Inggeris, seiring dengan anak pemimpin, agar mereka mempunyai peluang yang lebih cerah kelak. Ingin saya ingatkan kepada rakyat Malaysia semua, pejuang bahasa adalah rakyat Malaysia juga, mereka bukannya menginginkan porak perandanya bumi Malaysia ini, ataupun mengesyorkan satu langkah yang jauh berpatah balik ke belakang. Isu ini seharusnya dipandang lebih luas, mereka gusar dengan perkembangan semasa dan mereka, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, menginginkan sesuatu yang terbaik terutamanya untuk pembangunan tamadun bangsa Malaysia.

20 tahun lebih kita hidup dalam suasana aman damai, di sogokkan dengan era pembangunan di bawah Tun Dr Mahatir Mohamad, kita di limpahi kemewahan. KLCC jauh meninggi ke langit, deruman kereta F1 Setiap tahun di Sepang dan kakitangan kerajaan dengan Putrajaya. Kita berbangga dengan pencapaian ini, dan terima kasih kepada Tun kerana berjaya membawa Malaysia ke mercu kejayaan. Tetapi pada masa yang sama, kita lupakan sesuatu. Kerana asyik dengan falsafah materialisme, soal pembangunan tamadun bangsa kita tinggalkan. Jenayah semakin hari semakin meningkat. Rakyat kita semakin hari semakin jauh dengan jati diri dan budaya. Mereka hidup dalam kelekaan, dihembus pula angin hedonisme oleh barat. Masing-masing berebut untuk menyertai program realiti, dengan harapan bakal balik dengan wang jutaan ringgit, dan meninggalkan institusi pendidikan sebagai tonggak utama pembangunan modal insan. Alhamdulillah, kebelakangan ini, di bawah pimpinan Pak Lah, kita nampak usaha kerajaan untuk mengembalikan pembangunan modal insan sebagai teras utama pembangunan tamadun dunia. Kewujudan Institut Integriti menggambarkan seriusnya perhatian kerajaan terhadap beberapa asas utama sebagai pembangunan negara selain faktor ekonomi iaitu akhlak, jati diri yang kuat serta kembalinya kepada budaya bangsa yang sebenarnya.

Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris melalui tempoh yang sangat sedikit, jika dibandingkan dengan beberapa dasar lain yang dirangka oleh pihak kerajaan. Tempoh satu tahun (2002-2003) sangat singkat untuk memungkinkan dasar ini dirangka melalui satu proses yang cukup teliti, merangkumi kausaliti terhadap jati diri bangsa. Saya menyarankan rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu ini membaca Kertas Kerja oleh Profesor Dr Awang Sariyan yang bertajuk PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG MELALUI BAHASA KEBANGSAAN: CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN MASA KINI DAN MASA HADAPAN untuk memahami isu ini dengan sebenar-benarnya. Apabila masalah berbahasa Inggeris yang dikambing hitamkan, kita perlu untuk melihat kembali punca utama berlakunya permasalahan itu. Jika masalah komunikasi yang diutarakan, mesti ada masalah dalam proses pembelajaran subjek Bahasa Inggeris selama sebelas tahun yang diajarkan iaitu 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah. Oleh sebab yang demikian, kita perkasakan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Andai kursus intensif swasta mampu membuatkan orang berkomunikasi dengan efektif dalam Bahasa Inggeris paling lama dalam 2 tahun, mesti ada sesuatu dengan sistem yang digunapakai oleh kita hari ini. Apabila menyentuh aspek Sains dan Matematik, kita sedang menyentuh aspek tamadun. Tiada bangsa yang menaikkan tamadunnya melalui hiburan. Melalui agama kita diajar, jika berhibur berlebih-lebih, maka musnahlah kita. Kita menginginkan sebuah tamadun yang mengikut acuan kita sendiri, berdasarkan budaya dan bukannya acuan yang meniru peradaban bangsa lain. Andainya peniruan tersebut berlebih-lebihan, maka kita sebenarnya membina sebuah tamadun yang mempunyai tahap kebergantungan yang sangat tinggi kepada tamadun tersebut, maka seterusnya kita akan gagal, bahkan akan menjadi pengguna tetap kepada mereka. Kita menginginkan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu, yang mempunyai unsur budaya dan jati diri yang tekal mengikut acuan bangsa Malaysia. Jika kita tidak berusaha menterjemah sekarang, kita tiada masa untuk melakukannya kelak, kerana arus globalisasi sedang menongkah laju menekan kita ke belakang. Menggunakan bahasa Inggeris sebenarnya adalah usaha berpatah balik kebelakang, kerana kita bercakap mengenai pembinaan tamadun, bukannya isu bahasa. Jika bercakap mengenai Jepun, Perancis, malah Russia yang sehingga kini kita hantar anak bangsa kita belajar ilmu perubatan dan ilmu angkasa dalam bahasa mereka, mereka menyebut klise. Ini pada saya hanyalah pandangan yang berupa pendapat semata, tanpa merujuk kepada sebarang disiplin penyelidikan yang telah dilakukan. Tidak percaya, saya cabar pihak-pihak demikian turun padang ke sekolah dan bertanya kepada guru-guru Sains dan Matematik, apakah jawapan mereka.

Kita tidak mahu jurang pendidikan sekali lagi menjadi pencetus kepada masalah perpaduan, seperti yang telah terjadi pada 13 Mei 1969. Rakyat kelas atasan memang beruntung, kerana mereka hidup dalam suasana Bahasa Inggeris seharian dirumah (pencetus i sound stupid if i speak Malay), tetapi tidak di Kuala Tembeling, Long Banat, mahupun di mana-mana daerah atau ceruk di hulu Sabah, Serawak ataupun di Semenanjung. Lihat sahaja penyelidikan oleh Profesor Madya Dr Nor Hashimah Jalaludin (pusat bahasa dan linguistik, UKM) mengenai prestasi murid rentetan dasar baru ini yang ternyata tidak efektif. Saya menyeru rakyat Malaysia meluaskan pembacaan, hadiri mana-mana acara yang membabitkan isu ini dan jangan lihat masalah ini sebelah mata, atau jangan kata pejuang bahasa jumud, ketinggalan zaman atau tidak pandai melihat dunia secara global. Menyorot sejarah pendidikan negara, untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan untuk membentuk generasi yang bersatu padu, berilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan bukan dapat dilakukan dalam masa setahun. (Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956, Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, dan seterusnya 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub menjadi Menteri Pelajaran).

Ada sesuatu dengan sistem pendidikan yang di amalkan sekarang. Jika cabaran yang diinginkan, apa kata kita tukar sistem yang berorientasikan peperiksaan dan hafalan kepada sistem yang berasaskan pembinaan pemikiran dan daya analisis kritikal. Kita khuatir, akhbar bahasa Melayu yang sudah jatuh nombor dua di bawah akhbar berbahasa Cina dari segi penjualan, bakal menjadi sepert akhbar Jawi dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun lagi. Di waktu itu, kita hendak salahkan siapa?



Monday, November 20, 2006

AMARAH MENTERJEMAH KEHIDUPAN

AMARAH MENTERJEMAH KEHIDUPAN

i.
AMARAH Melayu, dan Lim Kit Siang

Seronok menonton perbalahan antara Lim Kit Siang dengan agen-agen UMNO di Dewan Rakyat yang disiarkan melalui berita di NTV7 sebentar tadi.

Lim Kit Siang mengungkit mengenai kesalahan perwakilan UMNO yang mengatakan bahawa Herald Tribune adalah akhbar UK tetapi fakta mutlak yang seluruh dunia ketahui adalah Herald Tribune sememangnya akhbar Amerika.

Konsep Lim Kit Siang jelas, andai fakta yang sebegitu ringkas berjaya di-putar-alam-kan oleh UMNO, apakan lagi fakta lain yang jelas sukar untuk dicapai oleh rakyat biasa.

Dan bangunlah orang yang berkenaan, yang kononnya membela Melayu, menempik, menempelak Lim Kit Siang, mempertahankan tindakan mereka, kononnya persidangan UMNO adalah urusan UMNO, serta kononnya Kit Siang tidak mempunyai hak bercakap mengenainya.

Juga terdapat kata-kata kononnya '..ini tanah kami, suka hatilah kami nak buat apa..'

Menarik apabila melihat orang Melayu naik marah.

Namun pada saya, perkara ini boleh ditangani oleh UMNO secara rasional, profesional dan sedikit tertib. Tidak perlu mengikut cara Kit Siang saling bertempikan. Gambarkan peribadi golongan berpendidikan tinggi, mengaku salah jika perlu.

Yang mengInggeriskan Sains dan Matematik tu tak pula reti nak marah..

Lepas ni, mungkin persidangan tidak disiarkan secara lansung seluruh dunia lagi, takut ada yang tersasul nyanyuk mungkin..

Untung dapat tengok NTV7 tadi..

ii.
Semalam, sempat menikmati secawan teh tarik di petang hari yang sejuk dek hujan sepanjang hari bersama rakan dari UPSI.

Perbincangan berkisar KEHIDUPAN warga pendidikan. Yang lapuk, dan yang bakal dihadapi di depan.

Yang lapuk, mengenai pilihanraya kampus yang lepas. Ternyata, kemenangan pro-Aspirasi banyak bergantung kepada calon yang menang tanpa bertanding. Ini ada kaitan dengan penempatan golongan yang menentang kumpulan pro-Aspirasi pada tahun-tahun sebelum ini, telah ditempatkan di tempat yang tidak sepatutnya. Ini menakutkan golongan bakal pendidik ini, sekaligus mematikan semangat juang mereka. Teringat juga pengakuan SB terbabit yang terpaksa memeras ugut calon yang ingin bertanding untuk menentang pro-Aspirasi supaya menarik diri.

Teluskah begini? Malang apabila gerakan pelajar disekat sesuka hati menggunakan taktik murahan. Dan ramai pelajar UPSI yang mengaku bosan dengan muka perwakilan yang sama sahaja.

Memang mudah untuk menyekat, terutama golongan guru yang urusan penempatannya di luar kemampuan mereka. Teringat akan ini, saya terkenang majlis ta'lim Tabligh yang saya pernah hadiri dulu. Penekanan penting mengenai pokok pangkal dan peri pentingnya pengucapan. Contohnya begini;

"Mat, jom makan?"
"Eh kau pergi lah. Aku tak ada duit la. Aku ada 50 sen je ni.."

Jadinya, yang memberi makan itu, duit atau Allah? Pokok pangkal itu yang perlu difahami. Saya percaya, andai ditakdirkan Allah supaya saya mengajar di sekolah pendalaman, saya redha, InsyaAllah. Tetapi, andai Allah tidak benarkan, masakan Hishamuddin, Pak Lah pun tak mampu nak hantar saya kesana.

Yang di depan, ialah mengenai pilihanraya akan datang. Kononnya, sebagai pegawai kerajaan, mereka (golongan-golongan ini) tahu siapa yang kita undi. Mereka mempunyai nombor pada setiap undi yang digunakan sebagai identiti kita. Ini digunapakai untuk memudahkan mereka menurunkan pangkat pegawai kerajaan yang tidak mengundi untuk kerajaan, atau biarkan mereka duduk di gred yang sama berpuluh tahun.

Bergetar juga hati mendengarnya. Percakapan kami juga berputar mengenai kontroversi Fakulti Kaunseling dan Pra-Sekolah UPSI yang tidak diiktiraf LAN.

Kerja apa mereka ini.

Untung dapat minum teh tarik di petang yang sejuk itu.

iii.
Sewaktu menunggu Buletin Utama disiarkan sebentar tadi, sempat berbual dengan abah. Abah menekankan peri pentingnya usaha MENTERJEMAH dilakukan segera oleh kerajaan.

Merujuk kepada negara lain (tidak dinyatakan negara mana takut dilabel klise pula nanti) yang sibuk menaikkan dana untuk usaha menterjemah, kita sebaliknya pula sibuk mengInggeriskan anak bangsa kita.

Perkiraannya mudah, Bahasa Melayu dapat digunapakai oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira strata masyarakat. Oleh yang demikian, apabila sesuatu ilmu diterjemah kedalam Bahasa Melayu, pelbagai golongan masyarakat dapat memanfaatkannya, bererti pencairan ilmu mudah dilaksanakan. Berbanding dengan Bahasa Inggeris, yang hanya dapat dikuasai oleh golongan tertentu sahaja.

Dana 400 juta untuk penambahbaikan Istana Negara yang hanya dapat dimanfaatkan oleh segolongan kaum pemimpin sahaja, tetapi jika disalurkan untuk menampung usaha menterjemah, bukankah dapat dinikmati oleh seluruh rakyat?

Kita takut oleh sebab tak faham bahasa Inggeris, anak melayu sibuk dengan motornya merempit tetapi anak Cina dan India sibuk membaca buku.

Untung dapat berbual sebentar dengan abah.

iv.
Kaitan di antara ketiga-tiga senario di atas?

Amarah Menterjemah Kehidupan

Orang mungkin menganggap saya sebagai anti UMNO. Saya mungkin sangat berpihak kepada Pembangkang. Baru setahun jagung, dah pandai nak cerita politik.

Saya menulis menurut kaca mata saya sebagai seorang pelajar dan bakal pendidik pada masa hadapan, InsyaAllah.

Namun yang penting, saya masih neutral, tidak berpihak kepada mana-mana parti. Dan ramai yang tidak tahu, saya dibesarkan dalam keluarga yang menaruh harapan tinggi terhadap UMNO (nenek dan keluarganya).

Tetapi saya percaya, hanya Revolusi Politik yang mampu mengubah semua ini.

Pemerintah memegang amanah yang berat. Jawi contohnya, walaupun dikafankan oleh ASAS 50, tetapi Tan Sri Khir Johari yang berkuasa ketika itu tidak berbuat apa-apa. (Al-Fatihah untuk Allayarham Tan Sri Khir Johari)

Sudah terlalu lama kita memberi peluang, dan balasannya, pelajar Fakulti Pra-sekolah UPSI keluar menjaja skrol yang tidak diiktiraf.



Entri ke-100

Ini entri ke-101. Sedar tak sedar, dah seratus entri dihasilkan dalam 4 bulan lebih ini. Dan yang signifikannya, blog inilah sebenarnya menjadi agen perubah diri ini.

Tanpa blog ini, dengan ketentuanNya, mungkin saya masih seperti dulu. Tak faham-faham.

Ada apa dengan blog?

Seorang rakan menyatakan, blog boleh digunapakai sebagai senjata menentang globali-masi-caci-sasi yang dah tak tertahan dek manusia Melayu-Islam ni.

Ertinya, kira macam counter-attack la.

Emm, bagus juga. Tapi betul ke manusia Melayu-Islam ni tak tertahan kesilauan pancaran cahaya globali-maci-caci-sasi tu?

Entri ke-100 di sini.

Sunday, November 19, 2006

Ekstremis, pilih kepada Islam atau kepada Sekular?

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abdul Aziz Shamsudin, menyatakan, “golongan ekstremis agama yang kini membabitkan golongan bijak pandai adalah ejen pemusnah perpaduan paling berbahaya serta menjadi ancaman kepada keutuhan ikatan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini’. Malah golongan esktremis ini menurut beliau bakal menggagalkan RMK-9. [Mingguan Malaysia 22 Oktober 2006] Baca penuh, klik sini.

Selalu juga dapat risalah ni. Biasanya orang cakap waktu sembahyang Jumaat. Tapi saya tak pernah dapat di Masjid Batu 8 tu. Di rumah ada juga 5-6 salinan. Untuk yang dah tahu, emm, bagus, siap ada web page lgi. Memang mantap la organisasinya. Sebabnya, isinya agak berat. Siap boleh SMS lagi. Saya baru tahu. Maklumlah, lembab sikit. Bukan sikit, banyak. Nak tengok webpage dia, klik sini.

Tuesday, November 14, 2006

600 vs 400?
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta khusus untuk projek-projek kecil luar bandar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Dalam masa yang sama,
Sebuah kompleks istana baru berharga RM400 juta yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta akan dibina untuk menggantikan Istana Negara yang sudah digunakan sejak 1928.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pembinaan istana baru di kawasan seluas 96.52 hektar itu akan dimulakan Jun depan dan dijangka siap pada 2009.
“Kita perlukan sebuah istana baru. Alasannya mudah, jika kita pergi ke Balai Rong Seri Istana Negara (yang sedia ada), itulah balai rong seri, itulah bilik makan dan itulah bilik mesyuarat.
“Dalam negara macam ini, kita tidak boleh ada satu bilik untuk pelbagai tujuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah di tapak baru projek pembinaan istana berkenaan di Jalan Duta, hari ini.
Dalam masa yang sama,
Lebih 70 peratus pelaku rasuah dan salah guna kuasa yang didakwa sepanjang tahun ini didapati bersalah oleh mahkamah, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.
Beliau berkata, peningkatan peratusan itu adalah hasil kecekapan siasatan BPR yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, katanya pada 2001 hanya 45 peratus sahaja tertuduh pelaku rasuah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah manakala selebihnya terpaksa dibebaskan kerana tiada bukti yang kukuh untuk disabitkan dengan kesalahan.
600 dan 400, kurang bijak dan semakin bijak?

Saturday, November 11, 2006

MARITOKRASI ALA MATERIALISME

MARITOKRASI ALA MATERIALISME

"Orang kata, kau ini hebat.." dia mula, walaupun air teh pekat itu tidak sempat di telan semuanya.. "kau bina itu, ini..semua kau boleh buat..sampai sekarang, kau telah diberi gelaran, yang membuatkan kau kebal dari sebarang dakwaan.." dia menyambung, sambil terus menyelak akbar tersebut. Kelihatan mukanya di muka depan akhbar tersebut, manis tersenyum sumbing..


Angin sepoi-sepoi mula menyapa mukaku, membuatkan rambutku sedikit teralih.

"Dia memang betul hebat. Dari aspek ekonomi, dari aspek analisis..tapi manusia tidak sempurna.." aku menyahutnya. "Dia tertinggal sesuatu..dia tak nampak dari segi itu, ataupun secara membuta tuli sengaja meminggirkannya atas alasan murahan.."

"Itu biadap namanya. Kononnya sudah banyak berjasa.." dia menyambung.

"Mana jasanya? Sangat sedikit, dari aspek pembangunan insan. Dia boleh bangunkan semua, kecuali yang itu. Yang itu dia tinggalkan. Bahkan dalam diri dia semacam sudah hilang melayu itu. Semua sama. sebab itu berpuluh tahun DEB tak naik. Dia sengaja.." bentakku, semacam emosi pula.

"Habis sekarang macam mana?" dia menyambung sambil menghirup air teh yang masih kelihatan asap nipisnya di permukaan cawan..

"Kita kena bertindak. Kita kena gesa mereka yang masih buta tu. Tak kan kita nak pejam mata dan percaya dengan media semata..murid memang boleh berjaya, tetapi dalam peperiksaan sebenar..di ujian peringkat sekolah, jangankan gagal, tak dapat markah lansung pun ada.." jawabku sedikit perlahan, takut didengari orang meja sebelah. "Tak percaya, kita turun padang jumpa guru jom?" sambungku.

"Kau nampak signifikannya cadangan dia tak? Takut kita yang buta dalam konteks mereka kot?" dia menjawab.

"Kita berpaksikan penyelidikan. UKM dah buat, DBP pun ada buat, semua tunjuk jawapan negatif. Kita dah dapat jawapan untuk semua ni. Yang rugi kita, pihak mereka memanglah tak rugi..esok-esok anak bangsa kita nak salahkan siapa?" aku menjawab spontan. "Dia nak jalan pintas, idea pendek akal yang memungkinkan keberjayaan visi yang telah diciptanya. Dalam erti kata lain, dia sebenarnya takut kepada realiti kepompongnya sendiri, lantas menggadaikan nilai jati diri bangsa sendiri sebagai sembelihan.." jawabku panjang lebar.

"Meritokrasi pun dia cadangkan. Dia ada pandangan yang lebih jauh dari kita tak?"

"Tak. Dia buta sebenarnya. Macam mana dia nak pandang sejauh tu. Dia dah lupa siapa dia, sebab tu dia tergamak buat macam tu. Ungku Aziz di tawarkan gelaran Tun, tapi kau tau apa respon dia?" tanyaku.

"Tak.." jawanya ringkas.

"Dia cakap, gelaran Tun bagi kat dia bukan boleh membantu bangsa dia pun. Orang macam ini, yang mempunyai visi terhadap bangsa pun tak dikira pakai cadangannya, macam tu kau cakap dia nak berpandangan jauh?"

Dia terdiam. Kami terdiam. Melihat gelagat orang disebelah yang sedang asyik berpelukan.

"Anak bangsa kita ke Russia belajar ilmu perbatan & ilmu angkasa dalam bahasa Russia. Tak pulak mundur Russia tu. Bahkan maju pula dari segi ketenteraan, menyalurkan senjata ke segenap dunia. Bila lagi kita nak mula? Tak ada negara di dunia yang maju guna bahasa orang lain. Filipina, Afrika, India, semua tu tak mampu lagi nak pergi ke angkasa macam Russia. Lagi pula, dasar tu tak pinda Akta Pelajaran, dan meminggirkan Perlembagaan. Macam itu kau nak ikutkan?" aku berbunyi lagi.

"Politik, menyesakkan pemikiran, menyelaputi bronkiol bagaikan nikotin yang termendap 20 tahun.." balasnya.

"Memang..memang politik. Sebab tu anak bangsa kita jadi tikus putih."

Tiba-tiba datang pegawai polis duduk di meja sebelah. Aku jadi tidak selesa.

"Mereka ni pandai main alasan. Lagi pula, ada pihak yang kurang kemampuan kognitifnya asyik mengangguk, tanpa mempedulikan sebarang disiplin ilmu dalam menawarkan akal fikiran.." aku menambah. "Kalau betul mahukan cabaran, kita gantikan sistem yang berdasarkan peperiksaan dan hafalan kepada sistem yang berasaskan pemikiran kritikal, analisis strategik..ini baru betul-betul mencabar..jangan gadaikan hak kita atas alasan politik.." aku menyambung perlahan, takut juga polis di sebelah mendengarnya.

"Aku nampak semua tu. Tapi yang peliknya kenapa mereka berkeras nak teruskan. Bagaikan buta mata hati mereka.."

"Bahkan lagi, ada pihak yang jelas mencanang pejuang bahasa ini tidak mampu melihat dalam situasi globalisasi, jumud, ketinggalan zaman, hanya pandai pandang ke belakang..haih..sedih melihat kependekan akal mereka.." sambungku. Asap kepul dari rokok pegawai polis di sebelah mula menyesakkan nafasku. Serangan asap itu mematikan akalku untuk terus berbicara..

"Jom, bayar.." sambungku, sambil terus bangun ,mengerling kepada dua pegawai polis yang asyik bersembang sambil merokok itu..





INTEGRITI

INTEGRITI

Baru-baru ini saya berpeluang ke Sambutan Hari Integriti Negara di Putrajaya yang dirasmikan oleh Pak Lah.

Sewaktu forum bersama Tan Sri Musa Hassan, Datuk Seri Rais Yatim, dan Prof Dr Khoo Kay Kim, terdapat sebuah soalan yang merumitkan hati saya, dilontarkan oleh seorang pelajar politeknik. Soalannya berbunyi lebh kurang begini;

"Pada pendapat datuk, mampukah integriti diimplentasikan terhadap bangsa Malaysia, sedangkan budi bahasa sudah tidak lagi menjadi amalan semasa.."

Aduh, kata hati kecil saya..Kita akui, budi bahasa sudah jarang diamalkan, tetapi pendapat sebegini seharusnya dibuang jauh-jauh. Usaha yang baik kita sokong. Kita lihat kesannya. Dalam pada kehidupan yang berasaskan materialisme semata, tidak ada cara lain selain kembali kepada sejarah dan mengambil semula semua nilai yang ada seperti budi bicara, tolak ansur dan juga budi bahasa. Hanya dengan ini, kita mampu menghasilkan rakyat yang bukan sahaja maju dari segi kognitif, tetapi juga tatacara hidup yang bertamadun, selari dengan akhlak terpuji.

Jika sedari awal lagi kita sudah menempelak usaha sebegini, memang terbukti bahawa kita bukan sahaja tidak mengamalkannya, malah telah melupakannya. Tolong mengkafankannya, malah tidak menganggapnya lagi sebagai sebuah nilai yang boleh diaplikasikan selaras dengan kehidupan yang terpapah dengan globalisasi.

Muda mudi kita harus faham, nilai dan budaya sebagai sebuah tatacara hidup. Bukan kehidupan itu di kelaskan dari aspek materialisme semata.

Usaha kerajaan membangunkan modal insan, dan yang terbaru, memperkasakan nilai integriti harus diberi pujian, memandangkan kehidupan berasaskan materialisme (KLCC, Putrajaya, Sepang Circuit dll) selama 20 tahun lebih dilihat gagal diselaraskan dengan akhlak.

Sakitkah Kita?

SAKITKAH KITA?

Menyorot akhbar beberapa hari ini, hati jadi sedih..


Bagaimana seorang ibu menulis untuk mempertahankan kewajaran kerajaan mengajarkan Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris semata agar anaknya kelak pandai berkomunikasi persis seperti anak pemimpin..

Bagaimana seorang cerdik pandai kononnya menyuarakan kekesalan sukarnya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana belajar dalam bahasa Melayu..

Andai komunikasi yang di kambing-hitamkan, buat apa rakyat Malaysia ini diwajibkan kertas bahasa Inggeris 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah..

Dan British Council ataupun Linguaphone pula mampu membuatkan kita efektif berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris tanpa pelat Melayu dalam masa kurang dari 2 tahun..

Jika isu ini yang di gembar-gemburkan, maka kita sedang berbahas mengenai isu bahasa pulalah, bukan isu tamadun?

Susah menerangkan kepada orang yang tidak cuba memahami, malas memahami serta pandai-pandai sendiri..


Sunday, November 05, 2006

Keputusan Perbicaraan Saddam Hussein

Keputusan Perbicaraan Saddam Hussein

Kebelakangan ini terasa lelah. Otak banyak sangat benda nak difikirkan.

Walaupun kapasitinya tinggi, tapi penggunaanya tak sampai 1% pun rasanya. Benarkah otak boleh jadi letih juga?

Kita tak tahu jawapannya. Kita tak ditakdirkan untuk memasuki bidang tersebut. Tapi kita bersyukur. Sebab kita yakin dengan perancangan Allah SWT.

Jawapannya mungkin Hemingway boleh jawab. Robert Jordan, seorang guru dan plot seterusnya.

Kalau otak letih, boleh tak kita rehatkan otak? Jangan bagi dia berfikir kot. Jawapannya tidur?

Tapi macam mana nak fikir persoalan tersebut?

Tiada jawapan. Kena fikirlah. Isk..

Ada pilihan jawapan tak?

Tapi kalau tak faham, boleh bagi jawapan ke?

"Eh, ade 3-4 orang yang dah bagi jawapan..macam mana tu?" kata dia.

"Itulah. Emm, macam mana ye? Maknanya, mereka berfikir atas kapasiti mereka.." aku menokok.

"Mereka faham ke tak sebenarnya?" dia menambah lagi.

"Macam mana aku nak tahu. Tapi dari cara jawapan mereka, macam masih tak faham."

"Kes berat ni.." dia bercakap lagi. "Semua dah bagi jawapan?

"Belum. Sikit sangat yang bagi pun. Yang lain tu, ada bagi separuh je. Satu malam, lepas tu tidur la kot. Yang lagi satu tu janji nak bagi, tapi tak bagi lagi.."

"Macam mana dengan yang dah bagi tu?" dia bertanya.

Aku terdiam. Macam mana nak jawab? "Bolehlah. Bagus juga, boleh klasifikasikan mereka, hehe.." aku menjawab.

"Lepas tu, macam mana resolusinya?"

Haih dia ni. Ni yang malas aku nak bersol jawab ni. Soalan dia aku tak sediakan skema jawapan.

"Separuh ambil, separuh lagi tak la kot. Lagipun mereka kan bagi jawapan tanpa pahamkan dulu. Tak boleh percaya sangat. Tapi bagus untuk mengenal siapa mereka." aku menjawab.

"Ada mereka cakap apa-apa lagi?"

"Kebelakangan ini tidak. Untuk depan-depan ni tak tau la pulak. Macam mana pun reaksi kita, mereka ambil singkat je. Kononnye defensif.."

"Sebab tu kita perlu alternatif. Diam sebahagian dari alternatif, tapi penggeraknya tak ada. Sebab tu orang tak nampak. Mana orang nak faham.."

Aku terdiam. Betul ke?

"Kau sendiri dah faham ke belum?"

Ala..isk.. "Ermm,hehe..entah..kau rasa?"

"Kau mungkin faham. Tapi saranan mereka tak sesuai dengan kau. Sebab tu mereka rasa kau defensif.."

"Habis, macam mana?"

"Boleh ikut cara mereka?"

"Tak boleh.."

"Sebab?"

"Sebab aku ada pendirian. Aku pengamal anarki. Aku bukan boleh ikut cakap orang. Tiba-tiba nak ikut cakap mereka?"

"Itu ego ke apa?"

"Entah, kau rasa?"

"Pandangan mereka akan tersasar nanti. Kau kena beringat,"

"Tapi aku rasa aku sedang berjalan. Dan yang penting, berjalan kehadapan. Kemahuan mereka tidak berapa penting dalam perjalanan ini pun aku rasa. Sebab kemahuan yang Terutama aku sedang usahakan. Yang ini, kemudian-kemudian laa.."

"Kesimpulannya, kau memang degil."

"Kau orang yang ke berapa ribu cakap begitu dengan aku. Ingat aku terkesan?"

"Masalah kau ni senang je. Letak seorang perempuan cantik. Aku tau."

"Kau ingat seringan itu? Haha..aku dah nampak semua tu. Tak berhasil, dan tidak akan berhasil.."

"Kau ada sekutu?"

"Tak. Aku berseorangan."

"Kau fikir banyak sangat. Terlampau luas, sampai kau abaikanyang mudah-mudah."

Aku terdiam. Lidah terasa kelat. Kering anak tekak nak bercakap panjang-panjang begini. Tiba-tiba hati macam dicucuk-cucuk. Adeh..

"Aku, tak boleh jadi orang lain,"

"Agaknya mereka boleh faham?"

"Entah. Mereka mengungkit, itu masalahnya.."

"Sekarang, ia masih menjadi isu?"

"Tidak, tidak lagi. Tapi ia meninggalkan bekas di hati ini.." aku menjawab perlahan.

"Kita tinggalkan mereka, boleh begitu?"

"Maksudnya?"

"Abaikan meraka, dan buat apa yang patut.."

"Memang itu dalam perancangan, hehe.." aku menjawab.

Perbualan terhenti. Dia faham aku ada banyak rancangan lain. Lagi pula, otak kononnya dah penat berfikir. Bagus dapat konsultan yang faham kita.

Bergelumang dengan obses falsafah, agama, budaya dan suasana sekitar amat memberatkan. Kadang-kadang hati jadi kurang selesa.

Bercakap mengenai itu, ini, begitu, begini, benar-benar menyesakkan saraf kat belakang leher ni. Ada Zolpid tak?


























Saturday, November 04, 2006

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 5

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 5

"Apakah yang akan kau buat dengan dinamit itu?"

"Meletupkan jambatan,"

"Jambatan apa?"

"Itu soal saya,"

"Jika jambatan itu dalam wilayah ini, maka itu soal saya. Kau tidak akan meletupkan jambatan yang berhampiran dengan tempat kau. Kau harus tinggal di satu tempat, dan menjalankan operasi di tempat lain. Saya tahu kerja saya. Orang yang masih hidup sekarang, selepas setahun, tahu akan kerjanya,"

"Ini soal saya," kata Robert Jordan. "Kita boleh membincangkannya bersama. Tidakkah tuan ingin membantu kami membawa beg-beg ini?"

"Bukan soal sudi atau tidak dalam usaha membantu anda...cuma renungi kembali adakah bait-bait kata yang bakal kami hamburkan kepada anda kelak bisa merubah pemikiran anda..anda terlalu bangga dengan kebolehan yang anda miliki dalam usaha mempertahankan apa yang anda fikir patut dipertahankan..anda enggan menerima pendangan orang lain.."

Anselmo mula berasa marah. Dia bercakap dalam bahasa Castilia kuno dan bunyinya lebih kurang begini; "Kau ni binatang ke? Ya, kau ni haiwan ke? Ya, barangkali kau tidak berakal ke? Tidak..Tidak..Kini kita berjuang kerana sesuatu yang sangat penting, dan kau dengan kediaman kau yang tidak terganggu, kau lebih mementingkan diri kau dari kepentingan kemanusiaan, kepentingan orang-orang kau sendiri. Aku begitu begini dan begitu begini bapa kau. Angkat beg itu." Pablo memandang ke bawah.

"Setiap apa yang kami nyatakan anda bidas ibaratnya kami ini tidak bernilai langsung pada pandangan mata anda, maka, apa maknanya..apa maknanya wahai sahabatku? tiada maknanya kami ingin cuma membantu anda sedangkan usaha kami itu anda anggap ibarat seperti luahan rasa yang tidak lebih daripada ketidakrelevenan emosi semata, apakan maknanya usaha kami itu wahai sahabat? anda bebas untuk berbuat apa sahaja..buatlah sahabatku..buatlah.."

Robert Jordan mula tidak senang hati melihat Anselmo menggeleng-gelengkan kepalanya lalu meludah ke tanah.

"Setiap orang sepatutnya boleh membuat apa yang dia fikir cara sepatutnya ia dijalankan." katanya. "Saya tinggal di sini, tetapi saya beroperasi jauh di Sevogia. Jika kau menggangu tempat ini, kami akan diburu dari kawasan pergunungan ini. Hanya dengan tidak membuat apa-apa di sini sahaja kami dapat hidup di sini. Ini prinsip musang," kata Pablo.

"Saya akan membawa beg itu." kata Robert Jordan.

"Tidak," jawab orang tua itu. "Biarkan orang yang kuat ini membawanya."

"Saya akan membawanya." kata Pablo, dan dari wajahnya, ada semacam kesedihan yang mengganggu fikiran Robert Jordan. Dia tahu, kesedihan itu boleh membuatnya risau, sedangkan dia semenjak awal lagi telah menutup pintu hati, mengunci minda dan fikiran untuk menerima pandangan-pandangan murahan mereka.


*Diubahsuai dari Untuk Siapa Genta Bergema oleh Ernest Hemingway

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 4

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 4

"Kau milik siapa?" tanya robert Jordan. "Adakah kau milik Pablo?"

Gadis itu memandangnya, lalu ketawa sambil menampar lututnya.

"Adakah kau sudah melihat Pablo?" tanya gadis itu. "Percaya tak kau jika saya katakan bahawa walau apa pun yang saya lakukan, saya tetap akan percaya kepadamu?"

"Rafael agaknya. Saya sudah berjumpa Rafael."

"Sila jawab. Ini soalan versi concise and compact." sambung gadis itu lagi.

"Dia bukan milik sesiapa pun." jawab gipsi itu. "Wanita itu amat aneh. Dia bukan milik sesiapa pun. Dia juga tidak pandai memasak."

"Sudah lama saya pendam. Mungkin selepas perang ini saya akan luahkan padamu. Tetapi saya tahu, kamu bukan jenis yang berfikiran terbuka."

Robert Jordan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memicit-micit dahinya yang luas itu. Harapnya cepat perang ini selesai agar dia dapat mendengar penjelasan gadis tersebut, walaupun dia tahu gadis tersebut mungkin hanya mahu menyedapkan hatinya.

*Diubahsuai dari Untuk Siapa Genta Bergema, Ernest Hemingway

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 3

UNTUK SIAPA GENTA BERBUNYI 3

"Dan seorang lagi yang bersama-sama mereka di keretapi?" tanya Maria. "Orang yang berambut kuning buluh. Orang asing. Di mana dia?"

"Dah meninggal." jawab Robert Jordan. "Pada bulan April."

"Bulan April? Keretapi diletupkan pada bulan April."

"Ya." kata Robert Jordan. "Dia meninggal 10 hari selepas keretapi diletupkan."

"Fahaman berbeza, pemikiran berbeza, akar yang berbeza, setiap manusia di anugerahkan akal dan hati.."

"Kasihan. Dia memang berani. Dan kau membuat kerja yang sama?"

Di dalam diri Robert Jordan terkandung pelbagai rasa dan pegangan. Padanya, apabila seseorang mula bercakap, pada masa itu otaknya sedang ligat berfikir dan memproses perkataan-perkataan yang akan dituturkan. Ini bermakna, setiap perkatan yang dikeluarkan adalah lahir dari hati dan akal individu tersebut.

"Ya. Tiga buah."

"Di sini?"

"Di Estemadura." katanya. "Saya berada di Estemadura sebelum saya datang ke sini.

"Setiap orang mempunyai pendapat dan pegangan yang berbeza,oleh itu, sekiranya kau dikritik, jangan cepat melatah.." Pablo mencelah.

"Mengapa kau datang ke kawasan pergunungan ini sekarang?

"Saya menggantikan orang yang berambut kuning buluh itu. Dan lagi saya tahu tentang negeri ini sebelum pergerakan ini."

"Dia mengharapkan orang lain memahami dia, tetapi dia sendiri tidak mahu mengambil kira apa yang dikatakan oleh orang lain kepadanya.." Pablo mencelah lagi.

"Bukan ingin menjatuhkan, bukan juga memandang enteng, jauh sekali ingin mematikan semangat juang yang dilaungkan.." sambung Pablo.

Robert Jordan kebingungan.

"Sebagai rakan, kawan, teman seperjuangan, saudara, aku rasa aku berhak untuk bersuara,
membetulkan apa yang nampak janggal dimata.."

Robert Jordan membetulkan duduknya. Mula mengamati setiap patah percakapan Pablo. Anselmo memandang tepat padanya, memberikan tanda jangan masuk campur. Robert Jordan mengangguk.



*Diubahsuai dari Untuk siapa genta Bergema, Ernest Hemingway

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 2

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 2

"Hola," katanya kepada Robert Jordan sambil menghulurkan tangannya sambil tersenyum. "Apa khabar, dan bagaimana keadaan di Republik?"

"Bagus," katanya lalu berjabat tangan dengannya. "Baik saya, mahupun Republik,"

"Saya gembira," katanya. Dia merenung muka Robert Jordan dan dia mendapati wanita itu mempunyai mata kelabu yang cantik. "Kau datang untuk meletupkan keretapi lagi?"

"Tidak," kata Robert Jordan. "Saya datang untuk meletupkan jambatan,"

"Ermmm, saya ingin menawarkan kepada kamu sesuatu..," kata wanita itu. "Yang mungkin boleh membantu kamu untuk berubah..mungkin drastik,"

"No es nada," katanya. "Jambatan mudah saja. Bilakah kita nak meletupkan keretapi lagi, kerana sekarang kita ada kuda,"

"Kemudian nanti, jambatan itu penting.." celah Robert Jordan.

"Bagus," kata wanita itu. Mari kita letupkan semua jambatan di sini, dan kita keluar. Saya sudah bosan dengan tempat ini,"

"Pasal itu, sesuatu yang kamu inginkan (saya rasakan sangat perlu) dan kamu pernah cuba 'tawar-menawar' dengan seorang rakanku.."

Robert Jordan ditinggalkan termangu-mangu, memikirkan tawaran wanita tersebut.

* Diubahsuai dari Untuk Siapa Genta Bergema, Ernest Hemingway

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 1

UNTUK SIAPA GENTA BERGEMA 1


"Lebih baik kau jangan buat begitu di jambatan ini. Tidak, lebih baik kita tidak bercakap mengenai jambatan lagi. Kau pun sudah faham tentang jambatan itu dengan baik. Kita benar-benar serius, jadi biarlah kita bergurau sedikit. Ada banyak perempuan tak di perbatasan seberang sana?"

"Tidak, saya tidak ada masa untuk perempuan."

"Pada perkiraan saya bukan kami yang membuat
kesimpulan am kepada Tuan tetapi Tuan wajib.."
dia berhenti seketika.

"Saya tidak setuju, semakin tidak tetap perkhidmatan kita, semakin tidak tentu arah hidup kita. Dan lagi, kau perlu memotong rambut kau."

"Saya akan memotongnya apabila perlu," kata Robert Jordan. Dia tidak akan sekali-kali mencukur rambutnya. "Lebih banyak yang perlu saya fikirkan tanpa memikirkan tentang perempuan," katanya merengus.

"Tuan wajib merefleksi semula kata2 yang telah
diucapkan, demi membutuhkan setiap perilaku yang dilakukan oleh Tuan yakni datang lambat bersama saya..haha..kalau saya memangkah Tuan, sepertinya saya bercakap dengan diri sendiri tetapi Tuan harus mengerti saya bercakap atas dasar seorang kawan tanpa apa-apa kepentingan yang telah, sedang atau belum ditunaikan.." percakapannya terhenti seketika, apabila melihat muka Golz merah mendengar leterannya.

"Apakah pakaian seragam yang perlu saya pakai?" tanya Robert Jordan.

"Tidak ada," kata Golz. "Rambut kau sudah elok. Saya hanya mengusik. Kau sangat berbeza daripada saya," kata Golz lalu mengisi gelas-gelas mereka lagi.

"Tuan, kami semua bercakap atas dasar kepentingan anda yang telah ditunaikan, yakni menggugurkan jawatan General anda dengan janji anda akan berubah, maka kiranya dikotakan janji itu.."

"Kau tidak memikirkan tentang perempuan sahaja. Saya tidak memikirkannya lansung. Mengapa saya harus fikirkannya? Saya General Sovetique. Saya tidak pernah memikirkannya. Janganlah cuba membuat saya memikirkannya."

    

"Anggaplah segala komentar yang telah kami semua sampaikan kepada Tuan tempoh hari sebagai luahan rasa 'tidak puas hati kami' yakni sebagai masyarakat sekeliling yang agak marah dengan kata-kata defensive, perilaku serta teguran Tuan.."

Robert Jordan berhenti menanti jawapan orang tua itu. Golz kelihatan seperti memikirkan sesuatu.

*Di ubahsuai dari Untuk Siapa Genta Bergema, Ernest Hemingway


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]