Saturday, October 28, 2006

TV3, 7.30 malam..

TV3, 7.30 malam..
Siapa menonton Ilmuan Islam di TV3 7:30 tadi?(27 Oktober 2006) Saya hanya sempat menonton untuk 10 minit terakhir, itupun semasa waktu rehat dari kerja. Saya sedikit terkilan, rancangan yang begitu tinggi nilai estetikanya untuk umat Islam ditayangkan pada waktu yang kurang sesuai, di waktu solat Maghrib. Dalam negara Islam Hadhari, rancangan berbentuk ilmu yang yang sangat sentimental gagal ditayangkan di waktu perdana. Waktu perdana untuk negara Islam Hadhari nampaknya di isi oleh rancangan yang kebanyakannya berbentuk hiburan, misteri dan dokumentari jenayah.

Siapa sangka,
Ibnu Firnas adalah orang pertama terbang secara saintifik, seribu tahun sebelum adik beradik Wright..

Sangat cetek ilmu saya sehingga penemuan sebegini sangat mengujakan. Ternyata, kebanyakan teori Barat dikembangkan dari penemuan Islam. Ini bermakna, Islam sebenarnya menerajui tamadun keilmuan dunia. Dunia Barat hanya menjadi medium penyampai, yang memanipulasi segala macam penemuan mereka menerusi penerokaan terhadap ilmu Islam. Contohnya
Cheng Ho yang mendahului Vasco Da Gama, melakukan sehingga 7 pelayaran ke Asia Tenggara, Sumatera, Pulau Jawa, Sri Lanka, India, Parsi, Teluk Parsi, Semenanjung Arab, Mesir dan Afrika sehingga ke Selat Mozambique. Cheng Ho dikatakan telah menemui Amerika, lebih awal daripada Cristopher Columbus ataupun Ferdinand Magellan. Cheng Ho yang telah memeluk Islam telah membuka lembaran baru dalam sejarah penerokaan dunia, jauh lebih awal dari penceroboh Barat.

Siapa tahu, sebagai peneroka awal, Barat telah memesongkan ilmu-ilmu ini dalam membentuk dunia mengikut acuan mereka. Siapa tahu, sebagai medium penyampai, mereka cuci otak umat Islam dengan pelbagai jenis teori palsu yang mereka kembangkan. Ini andaian konrit, kehidupan moden dunia yang berasaskan tamadun Barat gagal dalam membentuk manusia yang berakhlak. Hukum relatif logik, semakin manusia maju, semakin terkebelakang peradabannya. Analisis rata yang paling sesuai dalam menyatakan bahawa kehidupan yang menolak Islam sebagai tapak asas adalah kehidupan yang gagal membentuk manusia bertamadun dalam erti kata yang sebenarnya.

Ibnu Khaldun menulis 'Muqaddimah', kitab sosiologi yang digunapakai 500 tahun sehingga terbitnya 'The Study of Sociology' oleh Herbert Spencer, atau 'Dynamic Sociology' oleh Lester Frank Ward. Mimar Sinan dengan 360 binaannya dalam 50 tahun, termasuk teorinya yang digunapakai sehingga hari ini di kuliah-kuliah sesetengah universiti berkenaan
teori pengukuhan tapak binaan sebelum mendirikan bangunan. 400 tahun selepas kematiannya barulah Eiffel Tower dibina oleh Gustave (1889).

Al-Khawarizmi dengan bukunya al-Jabar, pengasas teori algebra/algoritma, mengasaskan penggunaan 0 dalam perkiraan, mencetuskan revolusi matematik yang menjadi rujukan Eropah dan kadangkala digelar pengasas komputer moden. Katanya; "Tujuan saya memajukan ilmu Hisab adalah semata-mata kewajipan agama bagi memudahkan semua urusan Feqah yang memerlukan perkiraan seperti jual beli, faraid, zakat, menentukan qiblat dan jarak bermusafir untuk bersolat".

Ibnu Sina dengan Ensiklopedia Perubatan Qanun Fit Tibb yang diulang cetak ke 15 bahasa Latin pada abad ke-15 dan menjadi buku rujukan Eropah lebih lama sebelum kemunculan pakar perubatan mereka sendiri. Katanya; "Dalam jasad manusia ada seketul daging, jika rosak daging itu, rosaklah seluruh anggota badan; jika baik daging itu, baiklah seluruh badan; daging itu adalah "Kalbu."

Ibnu Nafis mendahului William Harvey dari England 300 tahun lebih awal melalui teori sistem peredaran darah manusia. Abu Kasim Al Zahrawi dengan dokumen klasifikasi 325 jenis penyakit, simptom & cara pengubatannya yang dikatakan dokumen pertama dalam bentuk ensiklopedia perubatan. Ensiklopedianya diterjemah dalam bahasa Latin pada 1114 dan versi Oxford pada 1778.

Mengapakah bangsa Melayu gagal mengikut jejak langkah Eropah yang sangat obses mengkaji ilmu dari tokoh ilmu Islam? Menurut Wikipedia; Ilmu pengetahuan dari Timur Tengah yang dibawa ke alam Melayu bukanlah seperti yang terjadi di Eropah. Eropah menerima ilmu-ilmu dari dunia Islam sewaktu umat Islam berada dalam kekuatan dan kemajuan. Sebab itu ilmu-ilmu yang disifatkan sebagai "akademik" itu berkembang pesat di Eropah dan akhirnya mereka maju. Manakala Nusantara mewarisi suasana yang lemah dan mundur justeru kerajaan-kerajaan Islam di Timur Tengah telah jatuh ke tangan bangsa Tartar. Pada tahun 1258 ataupun abad ke-13, Kota Baghdad telah ditawan oleh bangsa ganas Tartar tersebut. Kumpulan-kumpulan Sufi kemudiannya mengambil peranan menjaga Islam.

Ternyata, Tamadun Islam telah membawa banyak perubahan terhadap tamadun dunia, khasnya tamadun Barat. Tamadun Islam yang ternyata mementingkan akhlak, di gantikan dengan tamadun Barat yang mementingkan materialisme. Tamadun Islam yang telah di revolusikan oleh Rasullullah SAW dari masyarakat Jahiliyyah, telah menjadikan ilmu sebagai pusat kemunculan peradaban manusia, dan secara tidak lansung banyak menghasilkan ahli fikir Barat yang seterusnya meneruskan penerokaan ilmu tanpa mengambilkira tapak asas ilmu tersebut, iaitu akhlak. Ini dapat di buktikan melalui revolusi-revolusi yang ditaja oleh Yahudi kemudiannya, seperti revolusi oleh Sosialis dan Komunisme. Revolusi Perancis melalui Sosial Contract oleh Rousseou misalnya telah memberi kebebasan sivil kepada Yahudi di Eropah. Ini diikuti oleh kejayaan Karl Marx yang diketahui hanyalah sebagai perjuangan yang berasaskan dendam tehadap persamaan oleh golongan bawahan. Ini gagal membuktikan akhlak, malah jauh memesongkan tabiat manusia terhadap matlamat yang menghalalkan cara.

Pendoktrinan prinsip, teori dan ideologi Barat ke dalam sistem saraf umat Muhammad nampaknya tidak akan berhenti. Di bidang sastera pula, kemunculan fahaman absurdisme, eksistensialisme, surrealisme dan segala macam lagi pernyataan berbaur idealisme yang jauh membawa manusia dari mendekatkan diri dengan Tuhan tumbuh bagaikan cendawan. Dan sesuatu yang lebih menyedihkan, kebanyakan pemikir dan intelektual Islam nampaknya telah terdoktrin oleh dakyah Yahudi atas kerjasama Barat ini, malah secara lantang menghujahkan pula segala macam bentuk teori tersebut. Adalah sesuatu yang perlu difahami bahawa walaupun tidak semua teori dan ideologi Barat itu salah, tetapi kebanyakan teori dan ideologi yang membawa manusia jauh dari Allah perlu dikaji kesahihan dan kesan secara fizikal mahupun mental terhadap aspek kehidupan manusia itu sendiri.

Penilaian harus diadakan terhadap budaya menunduk, membontoti, menikut telunjuk dan menurut perintah bangsa Melayu abad ini, dan kausaliti di atas aplikasi budaya ini terhadap sistem sosial masyarakat kita. Kesedaran haruslah timbul dari umat Islam sendiri, memandangkan Allah telah menghadiahkan Muhammad & umatnya sebuah kitab yang dipenuhi dengan pelbagai jenis teori dan ideologi untuk digunapakai di dunia ini, iaitu al-Quran. Kita telah kehilangan sistem tulisan sendiri, iaitu Tulisan Jawi. Kita telah kehilangan database ilmu sains & matematik yang mengikut acuan bangsa Melayu berdasarkan amalan sistem pengajaran & pembelajaran Bahasa Inggeris ke dalam 2 matapelajaran tersebut. Para pemikir moden & intelektual kita lebih selesa berbahasa Inggeris dari bercakap dalam bahasa Melayu sendiri. Dalam merangka Wawasan 2020, mampukah kita mengejar peradaban lain seperti Jepun, Russia & Eropah khasnya? Kereta Jepun, Nissan lahir sama tahunnya dengan Proton, tetapi jauh meninggalkan teknologi dan tahap kepakaran Proton. Tahun 1990 Jepun sudah mula mengeluarkan perisian permainan komputer seperti Street Fighter. Sehingga kini Kalaysia masih menghantar rakyatnya belajar perubatan & astronomi menggunakan bahasa Russia di Russia. Sempatkah Malaysia mengejar tamadun lain melalui metodologi peniruan dalam masa 14 tahun ini? Apakah bentuk jatidiri yang bakal kita hasilkan kelak..

Bangsa muda kita tenat terdoktrin fahaman Hedonisme, manakala intelektual kita pula goyah dengan ketagih ideologi ciptaan Barat..

Dan TV3, masih menayangkan Ilmuan Islam pada setiap malam Jumaat, 7.30 malam..



Tuesday, October 24, 2006

Salam Lebaran Untuk Saudara Seagama di Iraq

Salam Lebaran Untuk Saudara Seagama di Iraq



Monday, October 23, 2006

Salam Lebaran Untuk Saudara Seagama Di Palestin

Salam Lebaran Untuk Saudara Seagama Di Palestin



Salam Futuwwah, Salam Lebaran

Salam Futuwwah, Salam Lebaran

Penyimpan mohor raja-raja telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1427H pada esok hari, iaitu Selasa 24 Oktober. Adalah sesuatu yang tidak pasti untuk negara Islam yang lain untuk menyambut hari raya pada tarikh yang sama. Tiadanya penyelarasan mengakibatkan adanya umat Islam yang menyambut hari raya pada hari ini, esok ataupun lusa. Fungsi globalisasi untuk menyempitkan dunia nampaknya tidak memberi sebarang manfaat buat dunia Islam khasnya. Sehingga kini, setelah 82 tahun dunia Islam tidak berkhalifah setelah runtuhnya pemerintahan Islam Uthmaniyyah, umat Islam hilang usaha meningkatkan tamadun keilmuan mereka yang menjadi rujukan tamadun Barat suatu ketika dahulu.

Sambutan hari raya di Malaysia tiada tolok bandingnya. Buktinya, peningkatan kes kemalangan jalan raya menggambarkan berbondong-bondong rakyat mengerumuni jalan raya untuk pulang berhari raya bersama keluarga. Kemeriahan perayaan ditambah perisanya dengan kaedah perayaan berganda Deepa-Raya yang menghasilkan kepelbagaian citarasa dalam menyambut perayaan ini. Malangnya, corak pemikiran dan pola tingkah laku masyarakat yang semakin lama terbenam menjadi budaya dan norma di negara ini tidak kongruen dengan sistem amalan menyambut perayaan ini berdasarkan prinsip Islam. Apa gunanya beraya dengan 10 helai jenis baju yang berlainan, jika bukan untuk menunjuk dan sebagai bonusnya untuk membazir? Adalah sesuatu yang menyedihkan amalan di negara ini masyarakat selalunya mengambil sesuatu yang baik secara berlebih-lebihan dengan membuta tuli, dan mengenepikan sisi lain yang juga dituntut oleh Islam.

Islam menyarankan umatnya berbaju baru, dengan syarat mampu, sebagai pengiktirafan kepada diri yang selesai menyempurnakan ibadah berpuasa selama sebulan iaitu mendidik nafsu menurut kehendak akhlak Islam yang sebenar dan melatih diri untuk membawa perubahan yang akan diaplikasi untuk masa yang mendatang. Islam tidak menuntut umatnya berbelanja secara berlebihan untuk meraikan hari raya, bahkan adalah sesuatu yang sangat menyedihkan golongan ini sedikit pun tidak berasa sedih di atas pemergian bulan Ramadhan, tetapi ghairah menyambut Syawal. Dimanakah penghayatan terhadap ibadah puasa andai keghairahan tersebut hanyalah terhadap nafsu tahap rendah iaitu untuk menggayakan pakaian baru di pagi raya.

Sesunguhnya, pemergian ramadhan akan ditangisi oleh orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk merasai manisnya iman. Golongan ini saya percaya sedang pupus ditelan gelombang tsunami yang dilancarkan oleh teroris budaya Barat. Buktinya, jemaah Subuh di masjid dan surau akan berkurangan berbanding bulan Ramadhan. Apakah proses mengecas minda agar bersih kembali dan persediaan fizikal secara sebulan gagal secara numeriknya di Malaysia ini? Sepatutnya sebulan berpuasa menjadi medan untuk masyarakat Melayu khasnya mengecas setiap inci salur darah agar berupaya menghantar oksigen yang lebih bermutu tinggi kepada setiap organ badan agar badan secara fizikal dan mentalnya bersedia melakukan perubahan selepas berakhirnya Ramadhan. Apakah fungsi Ramadhan andai latihan selama sebulan ini gagal membawa manfaat terhadap kehidupan individu selepas itu? Latihan intensif selama sebulan ini juga sepatutnya menjadi medium untuk kita berfikir atas kapasiti ummah. Bersyukur atas apa yang diberi, dan menginsafi golongan yang kurang bernasib baik. Bagaimanakah persiapan umat Islam di Iraq yang saban hari bertentangan dengan saudara seagama sendiri? Bagaimanakah persediaan umat Islam Palestin yang kebanyakannya mempunyai abang atau ayah yang sudah syahid?

Konsep negara bangsa adalah momokan Barat semata yang digunapakai oleh pengganas Israel dalam usaha mereka menubuhkan negara atas tanah orang lain. Kita tidak seharusnya menyandarkan ideologi ini sebagai asas kegerunan kita kepada musuh ataupun menggambarkan kemalasan kita terhadap tanggungjawab kita. Nabi Muhammad SAW meningalkan kita satu al-Quran sebagai panduan, satu Sunnah sebagai pegangan dan Islam sebagai satu cara hidup. Walaupun kita dijadikan berpuak-puak, tetapi itu tidak seharusnnya membina tembok ke atas persaudaraan kita seagama. Masalah di Palestin adalah menjadi tanggungjawab kita. Pertelingkahan di Iraq adalah tanggungjawab kita. Penjajahan di Afghanistan adalah tanggungjawab kita. Apa yang menjadi trend semasa ialah populariti di atas sesuatu tindakan tersebut. Kabanyakan negara Islam mengambil langkah berjaga-jaga, atas nama keselamatan untuk mengabaikan setiap tanggungjawb mereka. Kesenangan, kemewahan dan setiap limpah keamanan yang dicurahkan oleh Allah SWT nampaknya telah membutakan mata kita, menghitam setiap inci hati kita dan melemahkan asas pegangan kita iaitu ketakutan terhadap supremasi tamadun Barat, bukannya Allah SWT.

Perkara sebeginilah yang harus difikirkan oleh kita, terutamanya golongan muda yang ingin berubah. Fathi Yakan, seorang tokoh perubahan Lebanon menerangkan peri pentingnya golongan muda dalam mengadakan perubahan selari dengan keupayaan golongan muda iaitu stamina ideologi dan momentum semangatnya. Dalam kita bergembira menyambut hari raya, jangan lupakan nasib saudara seagama kita yang kurang bernasib baik. Konsep wasatiah dalam menyambut sangat dialu-alukan Islam, berbanding sambutan mega tetapi kosong dari segi penghayatan dan ideologinya.

Bulan Syawal adalah bulan kemaafaan, menghendakkan kita meminta maaf dan memberi kemaafan. Dengan yang demikian kita secara klinikalnya bersih dari segala ancaman fitnah. Konsisten iaitu istiqamah dalam menjalankan perubahan memerlukan kekuatan yang yang bukan sedikit pengorbanannya. Memahami konsep Ramadhan dan ganjaran Syawal hendaklah kembali diperhalusi, memandangkan corak pemikiran dan pola tingkah laku masyarakat yang semakin terpesong memerlukan suatu tatacara baru yang sesuai berdasarkan garis masa. Syawal juga adalah garis masa di mana tanda aras kepada kita untuk memulakan sebuah penghiupan baru yang lebih baik dari sisi Islam berdasarkan latihan selama sebulan yang sudah selesai. Kausaliti ke atas setiap momentum yang kita bina hendaklah kita usahakan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Selepas ini, andai Bumi masih berputar pada paksinya, andai matahari masih muncul setiap pagi di ufuk Timur,dan andai Allah mengizinkan, bertemu kembali kita dengan Ramadhan 1428H. Salam futuwwah. Salam lebaran. Semoga Allah meredhai setiap inci usaha yang kita lakukan. Insya-Allah.

Sengan

Saya kelelahan. Betapa sehari suntuk bekerja keras melawan dan merawat kecederaan yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, baru sebentar tadi pos yang sekian panjang saya karang hilang tanpa sempat saya selamatkan. Hancur luluh hati saya andai itulah luahan perasaan dan buah pemikiran yang berputar sehari dua ini. Teknologi bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia, tetapi juga mempengaruhi emosi. Apa ada dengan laptop, andai dipenuhi pop-up oleh hijackers?

Pedang Aurora

"Ini adalah hadiah dari Arasis. Namanya Arkus. Pedang ini akan menerangi jalanmu di medan perang dan di waktu kegelapan..."
- Permata Aurorius, 47.

..."Di sini kami semua bermata hijau," katanya.
"Mengapa?"
"Mungkin kerana kami terlampau lama duduk di dalam hutan sehinggakan kehijauan daun-daun telah berjangkit ke mata kami," terangnya, ketawa.

Permata Aurorius.

"Kau sepatutnya tahu Artakus. Bukan orang-orang Aurora saja yang telah menanti kedatanganmu."
Pedang Aurora

"Aku adalah Artakus, dan aku mesti berjuang!"
Pedang Aurora


Siapa kata bahasa Melayu tidak menarik? Siapa kata bahasa Melayu kurang imaginasi? Siapa kata bahasa Melayu kurang stamina? Ketahui lebih lanjut, klik sini.





Permata Aurora


Persada Kata

Pertama kali di sini?
Ya, saya tahu anda terkejut dan terharu.
Pasti anda tidak percaya akan kewujudan laman web ini.
Siapa sangka, siapa menduga: Artakus masih hidup rupanya.
Artakus yang disangka sudah lupus dari ingatan kini kembali rupanya.

Dia masih gagah dan kental. Semangatnya menerawang melalui masa dan usia. Merentasi sempadan ruang dan kini bertapak di alam maya. Salam dari artakus.net.

Ah, bagaimana pula kesudahan Artakus?
Mampukah dia mengalahkan bala tentera Morrok?
Adakah teman yang setia membela dirinya nanti?
Sanggupkah Laira menanti, atau berlalu pergi?
Persoalan demi persoalan silih berganti,
Namun, tiada pula jawapan yang pasti.

Kerana kepastian itu,
belum tentu sesuatu yang indah.

Nantikan, kemunculan siri ketujuh Saga Artakusiad: Legenda Numerius tidak lama lagi.

Penemuan ini sangat mengujakan. Siapa sangka, kewujudan epik sehebat Lord of The Rings versi bahasa Melayu seperti Permata Aurora kembali. Seingat saya buku ini dibaca ketika umur 10 tahun, kira-kira sebelas tahun yang lepas. Siapa yang pernah terbaca buku ini sudah tentu akan merasai keterujaan ini. Ingin tahu lebih lanjut? Klik sini.


Saturday, October 21, 2006

Sejenak Untuk Palestin

Sejenak Untuk Palestin

Get Your Own! | View Slideshow


PEMERKASAAN BUDAYA DAN TAMADUN MENGIKUT IBNU KHALDUN



Hari ini saya sampai kepada suatu penemuan yang menarik, mengenai Ibnu Khaldun, seorang ahli falsafah sosiologi yang masyur, seorang pemikir yang dianggap berfikir di luar norma asas masyarakat pada zamannya dan ironinya kebanyakan hasil pemikirannya membawa perubahan besar, bukan terhad terhadap tamadun ilmu Islam sahaja tetapi masyarakat dunia khasnya. Beberapa penemuan menarik tersebut adalah berkaitan dengan teori sejarah, yang mana secara ideologinya telah berjaya disuapkan kepada kita oleh Barat dengan sengaja tanpa rela. Skema ciptaan barat ini secara membuta tuli telah menuduh tarikh, peristiwa, tempat dan tokoh sebagai skema atau komponen asas sejarah. Namun bagi Ibnu Khaldun yang mana terlebih dahulu mencipta teori sejarah jauh lebih awal dari tokoh sejarah Barat sama sekali tidak menyentuh aspek-aspek tersebut, tetapi menyuakan aspek kemunasabahan akal serta ujian terhadap aspek sosiologi dan fizikal yang boleh diperhatikan. Ini secara asasnya telah membuktikan bahawa sistem menyuap ilmu barat ke dalam sistem pendidikan masa kini adalah satu pencerobohan moral yang terus terang menyisihkan aspek penilitian terhadap pemikiran logik dan analisis pemerhatian.

Beliau menunjukkan ada empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:
  1. menghubungkan peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah sebab dan musabab;

  2. mengambil kiasan antara yang telah lalu dengan apa yang berlaku masa hadhir;

  3. mengambil kira kesan dari alam sekitar dalam apa yang berlaku;

  4. mengambil kira kesan daripada keadaan-keadaan perekonomian dan perkara-perkara yang diwarisi.

Teori yang kita gunapakai hari ini secara tuntasnya menggambarkan niat jahat Barat agar menurut kehendak mereka. Apabila kita bersetuju untuk menggunapakai teori mereka yang secara sinikalnya telah berjaya mereka manipulasikan dokumen sejarah tersebut, suatu sikap yang amat tidak bermoral secara lansung berjaya mengadaptasikan pemikiran kita terhadap segala macam bentuk penipuan yang di suapkan kepada kita. Akibat kita tidak berusaha untuk meneliti, memerhati dan berfikir, kita secara membuta tuli membontoti dan akibatnya kita terkongkong, menjadi sempit malah sangat bergantung kepada mereka. Kebergantungan inilah yang sangat diingini oleh mereka dalam memastikan kita agar terus mengikut telunjuk mereka. Menurut Ibnu Khaldun lagi;

"Kaedah untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah ialah berdasarkan kepada kemungkinannya berlaku atau mustahilnya berlaku. Ertinya ialah: kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan bezakan antara ciri-ciri yang bersifat asasi yang penting dan yang tidak boleh terpisah daripadanya dalam tabiat kejadiannya dan apa yang bersifat mendatang, dan yang tidak perlu diambil kira, dengan mengenali secara lebih jauh lagi apa yang tidak mungkin menjadi milik baginya.Kalau kita lakukan ini, maka kita ada peraturan untuk membezakan kebenaran sejarah daripada kesilapan dengan cara kaedah pendalilan (‘kaedah demonstratif’) yang tidak ada syak lagi padanya.Ianya dasar yang murni yang dengannya ahli sejarah boleh mengesahkan apa-apa yang mereka laporkan."

Maksudnya, di dalam Islam apa yang lebih penting adalah aspek pemikiran itu sendiri daripada teori terhadap tarikh, peristiwa, tempat dan tokoh yang sempit itu. Aspek pemikiran rasional dan logik duduknya lebih tingi daripada teori sempit barat. Secara mudahnya kita dituntut berfikir menggunakan akal fikiran daripada asyik menurut dan mengikut secara membuta tuli.

Dalam Surah al-Baqarah: ayat 164 terdapat ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dalam pergantian siang dan malam, dan berlayarnya kapal-kapal melalui lautan untuk faedah umat manusia, dan hujan yang Tuhan turunkan dari langit, dan kehidupan yang diadakanNya melaluinya kepada bumi yang mati, dan haiwan-haiwan semua jenisnya yang ada di serata bumi, dan perubahan angin dan awan yang mengekori yang ditundukkan antara langit dan bumi - (di dalam ini semuanya) sesungguhnya ada tanda-tanda bagi orang-orang yang bijaksana dan berfikir”. Dan dalam (2.170), ada ayat yang bermaksud:” Bila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang Allah telah wahyukan". Mereka berkata: 'Tidak: kami akan ikuti jalan-jalan datuk nenek kami". Apa? walaupun datuk nenek mereka tidak mempunyai mempunyai ilmu kebijaksanaan atau akal serta bimbingan?

Beliau menambah dalam aspek penyelidikan, kriteria penting yang perlu difahami adalah melalui kefahaman yang tepat dan benar melalui sejarah, dan ini hanya boleh dicapai melalui;

  1. Seseorang ahli sejarah itu hendaklah jangan ada prasangka dengan apa cara sekalipun samaada pro atau kontra terhadap sesuatu perkara samaada manusia atau idea.

  2. Seseorang itu hendaklah mengesahkan dan memeriksa laporan-laporan yang didapati. Ia hendaklah mempelajari apa yang boleh dipelajari seboleh-bolehnya berkenaan dengan ahli-ahli sejarah dan laporan-laporan yang didengari dan dibaca, dan seseorang itu hendaklah memeriksa akhlak mereka yang berkenaan serta adakah mereka itu beramanah dalam ilmu sebelum diterima laporan-laporan mereka.

  3. Seseorang itu hendaklah jangan membataskan sejarah kepada penelitian tentanhg sejarah politik dan ketenteraan sahaja ataupun berita-berita berkenaan dengan para pemerintah dan negara-negara sahaja.Ini kerana sejarah bukan sahaja terdiri daripada yang demikian sahaja bahkan terdiri daripada penelitian terhadap suasana-suasana kemasyarakatan, keagamaan dan perekonomian.

Dan juga kesilapan yang biasa dilakukan oleh ahli sejarah seperti;

  1. kejahilan mereka tentang hakikat dan keadaan peradaban dan umat manusia;

  2. sikap prejudis atau prasangka mereka;

  3. sikap mereka bertaklid mengikut laporan-laporan yang diberi olehorang lain tanpa usul periksa.

Ini semua memberi petunjuk kepada kita bahawa benarkah Francis Light yang membuka Pulau Pinang dan apakah implikasinya kita meyuapkan fakta sejarah yang salah tersebut kepada anak bangsa kita. Dalam kontinum masa kekacauan ini, inilah yang perlu kita fikirkan iaitu kesahan dan kebolehpercayaan sistem pendidikan yang kita gunapakai hari ini adakah benar-benar terbukti berkesan dalam membina insan yang holistik khasnya membentuk peribadi muslim berdasarkan cogankata Islam Hadhari pimpinan kerajaan. Adakah murid yang keluar dari sekolah setiap hari lebih terpimpin akhlaknya dan adakah guru yang datang mengajar setiap hari lebih revival pemikirannya. Ini semua membayangkan kesinambungan budaya dan corak sosialisasi yang telah terbina khususnya terhadap masyarakat Melayu sehingga kini. Andaikata sistem yang terbina itu semakin rendah taraf moralnya dan semakin teruk di belasah teroris budaya seperti budaya Mat Rempit misalnya. Apakah analisis yang boleh di buat dan di manakah silapnya. Sekali lagi, revolusi politik?

Baca penuh, klik sini.





Friday, October 20, 2006

PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG


PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG MELALUI BAHASA KEBANGSAAN: CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN MASA KINI DAN MASA HADAPAN

Kertas kerja ini telahpun disiarkan oleh Faisal Tehrani pada April lepas, panjang memang panjang, tetapi berbaloi untuk dimuatkan disini. Ambillah masa, kahsnya Bahagia kedua.


PENGHAYATAN DAN PENINGKATAN ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG
MELALUI BAHASA KEBANGSAAN: CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN MASA KINI DAN MASA HADAPAN
oleh
Prof. Dr. Awang Sariyan
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia

[Kertas kerja Konvensyen Bahasa dan Pendidikan Nasional 2006, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 4 Februari 2006, Johor Bahru]

BAHAGIAN I
BAHASA MELAYU, PENDIDIKAN DAN PEMBINAAN NEGARA

Pembuka Bicara

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. Kedudukan yang diberikan kepada bahasa Melayu itu bukanlah tanpa alasan yang munasabah, bahkan berkaitan erat dengan proses pembinaan negara Malaysia sebagai “negara baharu”, iaitu negara yang baharu lepas daripada penjajahan kuasa asing. Proses pembinaan negara yang dimaksudkan itu ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum.
Sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu, bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib, terutama di peringkat persekolahan. Di peringkat pengajian tinggi pula, kebanyakan universiti mempunyai dasar mewajibkan pelajar mengambil kursus bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu akademik dan lulus sebagai syarat untuk dikurniai ijazah. Bahkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti pun turut mewajibkan pelajar (termasuk pelajar dari negara luar) mengambil pakej kursus bahasa Melayu dalam dua semester, dan pelajar warga negara Malaysia diwajibkan lulus untuk pengijazahan.
Dalam kertas kerja ini saya ingin menarik perhatian khalayak kepada perkembangan pendidikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan di Malaysia, khususnya di peringkat sekolah dan isu-isu yang timbul dalam pelaksanaannya. Secara khusus, isu tersebut dibincangkan dalam konteks perjuangan bangsa, iaitu untuk memenuhi agenda perpaduan, pendemokrasian pendidikan dan penyeimbangan peluang serta kemajuan bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini dengan keturunan-keturunan lain.

Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Awal

Periodisasi perkembangan bahasa Melayu lazimnya dibahagi kepada tahap bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu peralihan, dan bahasa Melayu baharu. Tahap yang pertama diandaikan wujud sejak tahun 2,500 sebelum Masihi, tetapi tidak ada bukti-bukti sejarah tentang bentuk atau strukturnya. Tahap kedua dianggarkan bermula pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit dan di Talang Tuwo, Palembang, di Kota Kapur, Pulau Bangka, dan di Karang Brahi, Jambi (Nik Safiah Karim et al. 1995). Tahap ketiga bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi, serentak dengan kedatangan Islam yang disebut oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya (lihat misalnya 1969,1972, dan 1978) sebagai tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu, yang seterusnya diwarisi dalam zaman-zaman selanjutnya. Tahap keempat yang menunjukkan peralihan daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini ialah zaman yang diwakili oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji pada abad ke-19. Tahap sesudah itu dikategorikan sebagai tahap bahasa Melayu baharu. Walau bagaimanapun periodisasi seumpama itu tidaklah mutlak, dengan pengertian bahawa berlaku kesinambungan yang jelas antara periode-periode tertentu, terutama antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu baharu daripada segi sistem dan rumus-rumus bahasanya (Awang Sariyan, 1984).
Sebagaimana sukarnya memperincikan sejarah bahasa Melayu pada zaman awal oleh sebab ketiadaan bukti-bukti sejarah, maka demikianlah sukarnya memperkatakan pendidikan bahasa Melayu pada zaman awal. Hanya dapat diduga bahawa pada zaman kegemilangan Sriwijaya sebagai kuasa kelautan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 dengan bahasa Melayu menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa Melayu pasti dipelajari oleh saudagar dari pelbagai daerah dan oleh anak negeri yang takluk kepada Sriwijaya, iaitu Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Tanah Genting Kera, dan Sri Lanka (Nik Safiah Karim et a1.,1995). Namun demikian tidak dapat dipastikan wujudnya institusi pendidikan bahasa Melayu secara formal. Penguasaan bahasa itu mungkin terlaksana melalui interaksi sosial sehari-hari.
Demikian juga halnya dengan era bahasa Melayu klasik. Pada zaman itu bahasa Melayu mencapai tahap kesuburan yang cukup tinggi apabila bahasa Melayu bukan sahaja digunakan untuk memancarkan nilai-nilai estetika melalui karya kesusasteraan, bahkan mula menjadi wahana ilmu dan pemikiran saintifik. Pada zaman itulah terhasilnya karya-karya falsafah (khususnya tentang ilmu kalam dan tasawuf), fiqah, dan undang-undang Islam, di sisi ilmu dalam bidang lain seperti perubatan dan persenjataan. Prof. al-Attas (1988), berdasarkan kajiannya menyimpulkan bahawa manuskrip atau teks Melayu yang tertua setakat yang dapat dikesan sehingga kini ialah terjemahan ‘Aqaid al-Nasafi yang bertarikh 1590 Masihi. Manuskrip tersebut berisi pembicaraan tentang akidah, suatu cabang yang paling asas dan penting dalam konteks hierarki ilmu menurut perspektif Islam.
Dengan terhasilnya karya-karya ilmiah yang teracu dalam wacana yang utuh dan canggih, dapat diduga bahawa bahasa Melayu ketika itu telah mencapai tahap “bahasa tinggi” atau “bahasa terbina” (elaborated code menurut istilah Bernstein, 1968), iaitu bahasa yang telah memiliki ciri kompleks, dengan susunan yang teratur dan rapi, serta memerlukan pengalaman budaya yang tinggi. Kayanya bahasa Melayu dengan khazanah ilmu yang tinggi tarafnya itu, terutama pembicaraan metafizik, meyakinkan kita bahawa para karyawan pada zaman itu memiliki penguasaan bahasa yang tinggi, dan sekaligus meyakinkan kita berlangsungnya proses pendidikan bahasa yang baik pada waktu itu. Bagaimanapun sekali lagi tidak ada bukti sejarah yang dapat mengesahkan hal itu. Namun suatu hal yang pasti ialah bahawa pendidikan bahasa Melayu, meskipun tidak berlangsung secara formal dalam bentuk pengajarannya sebagai suatu mata pelajaran atau kursus ketika itu, secara tidak langsung diperkukuh melalui pengajian keagamaan yang memang menjadi suatu institusi sosial dalam masyarakat Melayu sejak abad ke-15 (Malaysia Kita, 1991:769).
Sesuai dengan penyuburan bahasa Melayu sebagai sarana dakwah Islam, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar kuliah atau pengajian keagamaan di surau dan di masjid, dan kemudian di institusi pendidikan yang lebih formal, iaitu sistem pondok.2 Dalam sistem itu sebenarnya telah berlangsung gagasan yang kini disebut Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai sarana ilmu dan pendidikan. Namun belum ada pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran.
Gambaran bagaimana pendidikan bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran tidak berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional sehingga abad ke-19 dilaporkan oleh Abdullah Munsyi (1882) melalui penjelasan Lebai Abdul Razak, seorang guru Qur’an di Melaka kepada Stamford Raffles tentang situasi pendidikan masyarakat Melayu:
“Orang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Qur’an dahulu. Maka kalau sudah ia dapat Qur’an kemudian boleh belajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaya semuanya. Dan lagi tiada adat di negeri ini orang taruh tempat belajar bahasa Melayu.”
Dengan nada sesal dan sinis Abdullah (1882) berkata pula:
“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”
Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Penjajahan Inggeris
Perbincangan tentang pendidikan bahasa Melayu dalam zaman penjajahan Inggeris tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan tentang pertumbuhan dan perkembangan sekolah Melayu, iaitu sekolah vernakular yang direncanakan Inggeris untuk pendidikan anak-anak Melayu.3 Menurut Awang Had Salleh (1980:2), sejarah sekolah Melayu bennula pada tahun 1821 apabila penyelaras Penang Free School memulakan bahagian bahasa setempat (bahasa Melayu) di Gelugor, Pulau Pinang (lihat juga Chelliah, 1947). Kemudian dua buah sekolah Melayu dibuka di Singapura pada tahun 1856, sebuah di Teluk Belanga dan sebuah lagi di Kampung Gelam. Di Melaka terdapat sembilan buah sekolah Melayu yang dibuka antara tahun 1858 dan tahun 1863 (Awang Had Salleh, 1980 berdasarkan Report of a Committee Appointed to Enquire into the System of Vernacular in the Colony, No. 4, Straits Settlements, 22 Februari 1894).
Pada tahun 1872 apabila kerajaan Negeri-negeri Selat 4 mendirikan Jabatan Pendidikan di bawah pimpinan A.M. Skinner yang memegang jawatan Nazir sekolah, pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Selat kian pesat, dengan 16 buah sekolah yang menampung 596 orang murid. Satu dekad kemudian jumlah sekolah Melayu meningkat kepada 85 buah dengan pendaftaran 2,230 orang murid. Kemudian satu dekad sesudah itu (tahun 1892), telah ada 189 buah sekolah Melayu dengan 7,218 orang murid yang berdaftar. Pada tahun itu, dianggarkan 84% kanak-kanak lelaki Melayu yang sepatutnya menerima pendidikan telah berdaftar (Awang Had Salleh, 1980:4). Sekolah untuk murid perempuan pula mula dibuka pada tahun 1885, tetapi jumlahnya pada tahun 1892 hanya 8.5% daripada sekolah lelaki dan jumlah muridnya pula hanya 11% daripada jumlah murid lelaki.
Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang), Perak merupakan negeri yang pertama mendirikan sekolah Melayu (pada tahun 1884), sebuah di Kuala Kangsar dan sebuah lagi di Batu Gajah. Selangor pula mempunyai enam buah sekolah Melayu pada tahun 1886. Apabila jawatan Nazir Sekolah Persekutuan diadakan pada tahun 1898, telah terdiri 103 buah sekolah Melayu di Perak (9 buah daripadanya sekolah perempuan), 25 buah di Negeri Sembilan, dan 6 buah di Pahang. Satu dekad kemudian, iaitu pada tahun 1907, telah terdapat 232 buah sekolah Melayu untuk murid lelaki dan 34 buah sekolah Melayu untuk murid perempuan (Awang Had Salleh, 1980:5).
Pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, dan Perlis) adalah yang paling lewat. Di Kedah, sekolah Melayu yang pertama didirikan pada tahun 1897. Kelantan mempunyai sekolah Melayu yang pertama pada tahun 1903. Terengganu pula tidak mempunyai sekolah Melayu sebelum tahun 1915. Perlis pula mempunyai 5 buah sekolah Melayu pada tahun 1913. Johor yang mendapat manfaat daripada hubungan baik dengan Singapura mencapai kemajuan yang ke hadapan berbanding dengan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu yang lain. Pada tahun 1913, sementara Kedah mempunyai 34 buah sekolah Melayu, Perlis 5, Kelantan 8, dan Terengganu O, Johor telah sedia memiliki 56 buah sekolah Melayu.
Sekolah Melayu didirikan untuk memberikan pendidikan asas selama enam tahun kepada anak-anak Melayu dalam bahasa ibundanya, tetapi kemudian tempoh itu disingkatkan menjadi empat tahun sahaja pada tahun 1885. Hal ini selaras dengan tujuan penjajah Inggeris yang merencanakan pendidikan untuk anak-anak Melayu sekadar menghapuskan buta huruf setakat yang minimum sahaja (Cheeseman, 1984 seperti yang dipetik oleh Awang Had Salleh, 1980: 10). Dasar Inggeris tentang pendidikan Melayu dinyatakan secara rasmi, antaranya sebagai yang berikut:
“memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan-peringatan mudah dan dengan demikian melindungkan dia dari penipu-penipu yang tak bertimbang rasa….”
(Annual Departmental Reports,S.S. 1903)
“Pendidikan setempat (vernakular) mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, Ilmu Kira-kira, Ilmu Alam, dan Rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat, dan bersih , dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani-kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan, dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah.”
(Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral bertarikh 14 Jun 1898)
Implikasi dasar tersebut terhadap pendidikan bahasa Melayu ialah bahawa bahasa Melayu diajarkan semata-mata sebagai prasyarat untuk memungkinkan anak-anak Melayu menjalani kehidupan yang cukup sederhana apabila dewasa. Soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pemikiran, dan bahasa tamadun tidak wujud sama sekali, apatah lagi dengan pengehadan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja. Inggeris tidak pernah merancang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di peringkat sekolah menengah.
Nasib pendidikan Melayu dan sekaligus nasib bahasa Melayu di tangan penjajah Inggeris tampak cerah sedikit apabila kerajaan Inggeris membentuk Jawatankuasa Barnes (mengambil sempena nama pengerusinya L.J. Barnes, Pengarah Latihan Kemasyarakatan, Universiti Oxford, London) pada tahun 1951 yang mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam pembinaan sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan, di sisi terus mempertahankan taraf bahasa Inggeris. Laporan Barnes sedikit banyak mendukung falsafah menjadikan bahasa Melayu sebagai landasan perpaduan melalui pendidikan. Bagaimanapun peranan bahasa Melayu tetap terbatas di peringkat sekolah rendah dan apabila ke sekolah menengah murid-murid akan melalui sistem pendidikan yang berbahasa penghantar bahasa Inggeris (Asmah Haji Omar, 1984: 18 dan Mohd. Salleh Lebar, 1988: 45-47).
Usul Laporan Barnes agar hanya ada dua aliran sekolah rendah, iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris sahaja mendapat tentangan kaum Cina dan India sehingga batallah usul itu. Kerajaan Inggeris pada tahun 1951 membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu yang mengkaji kepentingan pendidikan kaum Cina. Sebuah jawatankuasa khas dibentuk sesudah itu untuk menyelaraskan usul-usul Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Antara usul jawatankuasa khas itu termasuklah:
* Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu aliran bahasa Melayu dan aliran bahasa Inggeris.
* Kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika ada permintaan sekurang- kurangnya daripada 15 orang murid dalam kelas.
* Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib di sekolah.
Usul-usul itu diluluskan oleh Majlis Perundang-undangan Persekutuan pada bulan September 1951 dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan itu menetapkan Sekolah Kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan, dengan bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa ketiga tetapi tidak merupakan sebahagian sistem persekolahan kebangsaan. Usul-usul itu bagaimanapun tidak terlaksana kerana kekurangan biaya, kekurangan guru terlatih, dan bantahan masyarakat Cina dan Tamil. Kerajaan sekali lagi membentuk jawatankuasa khas dan salah satu keputusannya ialah “penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan di sekolah Tamil supaya akhimya dapat diserapkan ke dalam sistem persekolahan kebangsaan. Sehingga tahun 1956 temyata bahawa ketetapan tersebut tidak terlaksana juga (Mohd. Salleh Lebar, 1988:50).
Menjelang kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia diberi taraf kerajaan sendiri pada tahun 1955. Dengan kesedaran bahawa bidang pendidikan merupakan sarana yang paling berkesan dalam upaya pembinaan bangsa dan negara, maka dibentuklah jawatankuasa pendidikan pada bulan September 1955. Jawatankuasa ini menyerahkan laporannya dalam bulan April 1956 dan Majlis Perundang-undangan menerima usul-usulnya sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Laporan jawatankuasa tersebut dikenal sebagai Penyata Razak atau Laporan Razak 1956, iaitu mengambil sempena nama pengerusinya Dato’ Abdul Razak bin Hussein yang menjadi Menteri Pelajaran pertama. Perincian tentang Laporan Razak, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan bahasa Melayu dan falsafahnya, akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya, iaitu zaman kemerdekaan prareformasi pendidikan.

Pendidikan Bahasa Melayu sesudah Merdeka:

Prareformasi Pendidikan:

Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan bahasa Melayu ialah rencana membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat pelbagai keturunan dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tujuan pendidikan kebangsaan ialah:
“…menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur.”
(Perenggan 12)
Khusus tentang taraf bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan,
Laporan Razak mengusulkan:
“…bahasa Melayu, mestilah dipelajarkan di dalam semua sekolah” dan “…dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah”.
(Perenggan 18)
“…bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education)….”
(Perenggan 22 (b))
“Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan – P.), kami cadangkan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar.”
(Perenggan 71)
Antara kesan langsung Laporan Razak yang berkaitan dengan sistem persekolahan ialah wujudnya dua jenis sekolah, iaitu Sekolah Umum yang berbahasa penghantar bahasa Melayu dan Sekolah Jenis Umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina, dan sekolah Tamil. Semua sekolah mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nasib sekolah menengah Melayu terumbang-ambing dengan purata sebuah sekolah sahaja di setiap negeri (Mohd. Salleh Lebar, 1988:57).
Suatu perkara dalam Laporan Razak yang dianggap lemah dalam konteks pembinaan negara ialah pengekalan sekolah pelbagai aliran yang bebas menggunakan bahasa penghantar masing-masing dan hal ini tidak selaras dengan cita-cita kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan untuk maksud perpaduan rakyat. Rasa tidak puas hati orang Melayu pada amnya menyebabkan kerajaan Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 membentuk Jawatankuasa Penyemak Pelajaran pada tahun 1960 untuk meneliti kekurangan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Dengan mengambil sempena nama pengenusinya Dato’ Abdul Rahman Talib yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu, dikenal orang jawatankuasa tersebut sebagai Jawatankuasa Rahman Talib dan Laporan Jawatankuasa Penyemak Pelajaran itu dikenal pula sebagai Laporan Rahman Talib.
Jika Laporan Razak mengasaskan idealisme menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pada suatu waktu yang tidak ditetapkan, selaras dengan penekanan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152), maka Laporan Rahman Talib menggariskan langkah untuk merealisasikan idealisme tersebut. Antara usulnya yang berkaitan dengan hal tersebut termasuklah:
Menukar bahasa penghantar Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan bahasa Melayu.
Peperiksaan umum peringkat sekolah menengah dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja, iaitu bahasa Melayu.
Usul-usul Laporan Rahman Talib diperundang-undangkan melalui Akta Pendidikan 1961 yang menjadi kerangka rujukan bagi pelaksanaan sistem pendidikan negara sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Antara tindak lanjut daripada usul Laporan Rahman Talib yang berhubungan dengan soal dasar tersebut termasuklah:
Peperiksaan naik tingkatan bagi sekolah menengah Cina dimansuhkan pada tahun 1961 dan Peperiksaan Sijil Akhir Sekolah Menengah Cina dimansuhkan juga pada tahun 1963
Setiap calon diwajibkan lulus dalam Bahasa Kebangsaan bagi peperiksaan masuk sekolah menengah.
Kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan wajib bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962.
Langkah-langkah dilaksanakan untuk menambah bilangan guru terlatih sekolah menengah kebangsaan dan guru khas Bahasa Kebangsaan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan.
Pembukaan sekolah menengah kebangsaan dipesatkan di seluruh negara.
(Abu Bakar Zahari, 1980: 80 – 81)
Dapat dirumuskan daripada perbincangan di atas bahawa dalam sistem pendidikan sesudah kemerdekaan, sudah mula terbina falsafah yang mendasari pendidikan bahasa Melayu di negara ini, iaitu “bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat berbilang keturunan, atau dengan konsep yang lebih luas lagi bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara”. Dengan perkataan lain, di sisi faktor-faktor lain seperti kebudayaan, ekonomi, politik, undang-undang, dan sebagainya, faktor bahasa kebangsaan menjadi faktor penting dalam rangka pembinaan sebuah negara baharu.
Peranan bahasa sama pentingnya dengan peranan sektor-sektor lain dalam proses pembinaan negara (ekononmi, pendidikan, kebudayaan, politik, dasar luar dan yang lain). Semua aspek pembinaan negara itu dilaksanakan melalui penggubalan dasar-dasar negara bagi setiap sektor itu. Bagi sektor ekonomi, misalnya, digubal Dasar Ekonomi Baharu dan kemudian Dasar Pembangunan Nasional yang bertujuan menyusun semula keseimbangan ekonomi rakyat bagi semua keturunan. Dengan wujudnya keseimbangan dalam pemilikan kekayaan negara dan keadaan sosioekonomi, dijangka terbentuk perpaduan rakyat apabila terhakis rasa cemburu antara kaum. Demikian juga melalui sektor kebudayaan, digubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dalam rangka membentuk keperibadian atau jati diri bangsa Malaysia.
Sektor bahasa temyata menyumbang dalam pembinaan negara melalui penggubalan Dasar Bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar utama pendidikan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang kewujudan suatu bangsa dan menjadi bahasa perpaduan rakyat. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi wasilah pembangunan negara apabila berperanan sebagai sarana komunikasi pentadbiran dan pengurusan dalam pelbagai urusan rasmi. Sebagai bahasa penghantar ilmu dan pendidikan pula, bahasa Melayu menjadi sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu di kalangan masyarakat, suatu syarat tegaknya sesuatu tamadun. Peranan bahasa dalam pembinaan negara dibantu pula oleh sektor pendidikan yang secara langsung merealisasikan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Berkaitan dengan peranan bahasa dan pendidikan bahasa dalam proses pembinaan negara, saya ingin mengemukakan hakikat sektor bahasa sebagai salah satu sektor teras, di sisi sektor pendidikan dan kebudayaan dalam proses pembinaan negara. Pada fahaman saya, sektor bahasa, pendidikan, dan kebudayaan merupakan jiwa sesuatu masyarakat, atau merupakan hakikat kewujudan masyarakat. Ketiga-tiga sektor itulah yang menjadi asas pembentukan jati diri atau keperibadian masyarakat. Dalam konteks bahasa, ungkapan “Bahasa jiwa bangsa” dan “Hilang bahasa lenyaplah bangsa” menepati gagasan yang diketengahkan tadi. Gagasan ini dapat dianalogikan dengan hakikat diri individu insan yang diwakili oleh ruh, hati, akal, dan nafsu. Sebagaimana kewujudan individu diwakili oleh diri yang hakiki, iaitu aspek batinnya, maka kewujudan himpunan individu yang dikenal sebagai masyarakat pun diwakili oleh unsur-unsur yang membentuk entiti itu, yang pada hemat saya diwakili oleh bahasa, pendidikan, dan kebudayaan.
Dengan berasaskan perbincangan tentang peranan bahasa dalam konteks pembinaan negara, falsafah pendidikan bahasa Melayu dalam era kemerdekaan, di samping bertujuan untuk memupuk perpaduan rakyat, berkaitan juga dengan tujuan pengilmuan masyarakat melalui bahasa kebangsaan dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan umum. Inilah tiga asas falsafah pendidikan bahasa Melayu yang dapat dikesan dan ditafsirkan daripada pelaksanaan yang ada.

Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Reformasi Pendidikan


Pada dasarnya, pendidikan bahasa Melayu dalam era ini merupakan kesinambungan pelaksanaan dalam era sebelumnya. Pendidikan bahasa Melayu masih tetap berkaitan dengan pemupukan perpaduan rakyat, pengilmuan masyarakat, dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama melalui bahasa kebangsaan. Yang membedakannya daripada era kemerdekaan fasa pertama ialah penekanan yang lebih jelas kepada aspek-aspek tertentu, khususnya pembangunan yang lebih menyeluruh, bersepadu, dan seimbang. Reformasi pendidikan yang menandai fasa kedua era kemerdekaan bagi sistem pendidikan negara bertujuan membaiki kandungan, objektif, bentuk, corak, dan amalan pendidikan yang sedang berlangsung bagi memenuhi tuntutan-tuntutan semasa dan cabaran-cabaran masa hadapan (Ahmad Muharnmad Said, 1991: 3 – 4; lihat juga Nik Aziz Nik Pa, 1994: 227 – 228).
Seluruh usaha reformasi pendidikan menekankan aspek kualiti, iaitu peningkatan mutu pendidikan dan manusia yang dihasilkan melalui pendidikan. Dalam konteks ini reformasi pendidikan di Malaysia berkaitan rapat dengan upaya “pemanusiaan pendidikan” (humanization ofeducation) (Ahmad Muhammad Said, 1991: 6 – 7).
Usaha awal reformasi pendidikan ialah pembentukan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran pada tahun 1974 yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pelajaran ketika itu. Laporan jawatankuasa tersebut terbit pada tahun 1979. Bidang tugas khusus jawatankuasa tersebut ialah:
“Mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar pelajaran kebangsaan yang wujud, dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi, sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bersisiplin, dan terlatih.”
(Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1971:1)
Tentang pemanusiaan pendidikan pula, laporan tersebut pada para 452 mencatat:
“Untuk kepentingan pembangunan negara, tenaga rakyat yang diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis pengetahuan, dan kemahiran yang dimiliki, bahkan perlu juga dilihat dari segi nilai-nilai disiplin yang perlu diterima. Dari segi sikap, mereka perlu jujur dan berdedikasi terhadap kerja mereka, bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya, individu yang dilahirkan dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan.”
Asas yang terkandung dalam perakuan itulah yang menjadi titik tolak penggubalan kurikulum dan pendekatan bersepadu dalam sistem pendidikan negara. Asas inilah juga yang mendasari Falsafah Pendidikan Negara yang digubal kemudian, iaitu yang menekankan aspek kesepaduan dan keseimbangan dalam pendidikan.
Antara dapatan Laporan Kabinet yang menunjukkan adanya kekurangan dalam sistem kurikulum lama sekolah rendah (KLSR) dan kurikulum lama sekolah menengah (KLSM), iaitu sebelum reformasi pendidikan termasuklah:
Kurikulum pada peringkat rendah berupa pendidikan umum, bukan pendidikan asas, iaitu terlalu bersifat akademik (hlm. 18).
Kurikulum amat padat kerana pembaharuan tentang sesuatu mata pelajaran dibuat dengan tambahan kandungan yang tidak disesuaikan dengan peruntukan waktu (hlm 18).
Kurikulum digubal secara terpisah mengikut mata pelajaran dan kurang integrasi antara mata-mata pelajaran, lalu menyebabkannya kurang bermakna kepada pelajar (hlm.100).
Kurikulum lebih menekankan aspek kognitif murid dan tidak melahirkan murid yang seimbang daripada segi kognitif, afektif, dan psikomotor (hlm. 126).
Berlaku kemerosotan disiplin di kalangan pelajar (para 222, 223, 243, 245, 249).
Sistem pendidikan terlalu menekankan peperiksaan (hlm. 125).
Strategi pelaksanaan reformasi pendidikan mencakup beberapa rencana tindakan. Yang paling utama ialah penggubalan Falsafah Pendidikan Negara yang eksplisit dan tuntas sekalipun bayangan falsafah pendidikan negara, sebagaimana yang dibincangkan di atas telah sedia ada tetapi terpisah, ad hoc, dan tersirat sifatnya. Menteri Pendidikan yang terlibat secara langsung dalam menggerakkan reformasi pendidikan negara menegaskan:
“Walaupun kita telah mempunyai penyataan matlamat pendidikan di sana sini, tetapi kita mestilah menyatakan matalamat-matalamat itu dalam satu penyataan falsafah yang menyeluruh dan berhubungan dengan penyataan falsafah matalamat negara…Falsafah pendidikan itu menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan kita supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut.”
(1989: 64)
Falsafah Pendidikan Negara yang digubal dan diisytiharkan pada tahun 1987 dan dimantapkan pada tahun 1988 berbunyi:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Strategi umum pelaksanaan reformasi pendidikan antara lain meliputi:
Langkah “memanusiakan” pendidikan dengan pengertian membina insan dan membangunkan sumber manusia yang utuh, seimbang, dan sepadu.
Usaha mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional ditingkatkan.
Pendemokrasian pendidikan daripada segi peluang dan mutu pendidikan.
Bahasa Melayu diluaskan dan ditingkatkan penggunaannya sebagai alat berfikir dan berkarya supaya dapat menjadi bahasa ilmu yang berkesan.
Pembentukan pemikiran yang luas dan selaras dengan konsep pengantarabangsaan dan globalisasi.
(Ahmad Muhammad Said, 1991 dan Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 1991)
Antara strategi konkrit yang direncanakan dan dilaksanakan termasuklah:
* Nilai-nilai murni merentas kurikulum.
* Bahasa Melayu merentas kurikulum
* Kemahiran berfikir.
* Integrasi rohani, intelek, emosi, dan jasmani melalui mata pelajaran.
* Menekankan subjek sejarah untuk meningkatkan perpaduan.
* Meningkatkan aktiviti budaya ilmu melalui budaya membaca, budaya belajar, budaya berkarya, dan budaya bermusyawarah.
Dalam konteks pendidikan bahasa, realisasi reformasi pendidikan perlu ditinjau daripada segi falsafahnya dan juga kurikulumnya. Dalam konteks falsafah pendidikan bahasa Melayu, saya menyarankan penyataan eksplisit mengenainya agar segala perencanaan dan pelaksanaan strategi reformasi pendidikan lebih jelas, terarah, dan terkawal. Falsafah pendidikan bahasa itu mestilah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara; pertama daripada segi upaya pengembangan berterusan potensi individu secara seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, dan jasmani; kedua daripada segi sumbangan bahasa terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara itu, seharusnya diformalisasikan Falsafah Pendidikan Bahasa sebagai subfalsafah induk itu, agar proses pendidikan bahasa yang dilaksanakan memenuhi falsafah yang selaras dengan falsafah induk, iaitu Falsafah Pendidikan Negara. Dalam kajian saya (1997), saya mengemukakan falsafah pendidikan bahasa sebagai yang berikut:
Pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa yang telah dikumiakan Tuhan kepada seluruh manusia, sesuai dengan ungkapan haiwan natiq atau rational animal yang dikiaskan kepada manusia.
Pendidikan bahasa sebagai upaya meneliti sistem alam ciptaan Tuhan (dalam konteks ini alam kecil atau alam saghir, iaitu bahasa sebagai bahagian sistem dalam diri manusia), sebagai suatu sains, sebagaimana peneletian terhadap sistem-sistem lain, umpamanya sistem cakerawala, struktur muka bumi dan sebagainya.
Pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum, iaitu sebagai satu subjek dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum (language across curriculum).
Pendidikan bahasa sebagai wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat atau dengan perkataan lain seluruh unsur kebudayaan dan tamadun masyarakat kepada generasi baharu.
Kerangka rujukan atau acuan yang berbentuk falsafah itu penting supaya semua program aktiviti pendidikan merupakan realisasi prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut dan juga supaya matalamat pendidikan menjadi jelas. Keempat-empat asas falsafah pendidikan bahasa sejagat yang dirumuskan di atas pada hakikatnya memenuhi kedua-dua penyataan pokok dalam Falsafah Pendidikan Negara. Penyataan pertama berkaitan dengan hakikat pendidikan sebagai “usaha berterusan dalam mengembangkan potensi individu berdasarkan konsep ketuhanan”. Bahasa menurut perspektif Islam memang merupakan potensi ternurani yang dibekalkan kepada manusia oleh Tuhan dan perlu dikembangkan secara berterusan serta berkaitan dengan perkembangan intelek, rohani, emosi, dan jasmani individu. Dalam tradisi linguistik Barat, kita mengenal adanya teori kenuranian bahasa (innateness theory) yang menegaskan kewujudan bahasa dalam akal manusia sebagai fenomenon alamiah. Selaras pula dengan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Negara, falsafah pendidikan bahasa yang dikemukakan tadi diasaskan pada paksi tauhid, iaitu pengembangan bahasa sebagai suatu upaya menikmati dan mensyukuri kurniaan Tuhan dan juga sebagai upaya menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Tuhan.
Penyataan kedua berkaitan dengan hasil yang diharapkan daripada proses pendidikan, iaitu “rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Pendidikan bahasa yang berlandaskkan empat asas falsafah tadi dapat memenuhi matalamat tersebut, terutama berdasarkan hakikat bahasa sebagai bahagian diri insan yang penting.
Falsafah pendidikan, termasuk falsafah pendidikan bahasa diterjemahkan melalui proses pendidikan yang secara kasar dibahagi kepada dua, iaitu pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum. Kurikulum dibahagi dua pula, iaitu pengajaran dan pemelajaran mata-mata pelajaran lain (yang mewakili ilmu keseluruhannya) serta pengajaran dan pemelajaran bahasa (yang mewakili ilmu asas menurut al-Ghazali). Baik pengajaran dan pemelajaran bahasa mahupun pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran lain, kesemuanya berlangsung secara bersepadu, iaitu berasaskan falsafah yang digubal. Penguasaan ilmu dalam semua mata pelajaran seiring dengan penguasaan bahasa sebagai kemahiran dan bahasa sebagai ilmu melalui penekanan terhadap aspek bahasa dalam semua mata pelajaran. Demikian pula, penguasaan bahasa bererti juga penguasaan ilmu-ilmu lain kerana pelajaran bahasa menurut kurikulum dan pendekatan bersepadu bukan hanya menitikberatkan penguasaan kemahiran berbahasa bahkan memasukkan unsur-unsur ilmu daripada semua cabang dalam pelajaran bahasa, iaitu melalui strategi penyerapan ilmu (lihat pembicaraan selanjutnya dalam subjudul sesudah ini). Adanya hubungan kesalingan yang memadukan penguasaan bahasa dengan ilmu-ilmu seluruhnya itulah yang melandasi gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum.
Demikianlah dalam bahagian pertama kertas kerja ini, telah saya huraikan perkembangan sistem pendidikan kita yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama telah berjaya memenuhi idealisme dan agenda pembinaan negara, khususnya melalui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama ilmu. Dalam bahagian selanjutnya, perbincangan saya fokuskan pada isu semasa yang memerlukan kesedaran massa agar apa-apa yang telah sama-sama kita rancang dan jayakan tidak musnah disebabkan kesilapan langkah yang diambil.

BAHAGIAN II


CABARAN BAHASA DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: TUMPUAN KEPADA ISU PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS


Latar Belakang


Pada tahun 1993, Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti.
Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.
Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru (yang tidak pula berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (kini Tun Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.
Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekanakan aspek manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa permulaan pelaksanaan dasar dan sistem baru itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988.

DASAR YANG MENIMBULKAN TANDA TANYA


Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik. Sudah ada ribuan profesor dan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang lahir daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sudah banyak ahli profesional dalam pelbagai bidang yang juga lahir daripada sistem pendidikan negara yang berteraskan bahasa kebangsaan. Adakah Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah gagal? Jika benar, manakah kajian yang dijalankan yang membuktikan kegagalan itu?
Selain tiada kajian yang dijalankan tentang Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan, dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama, tiada juga kajian yang dilakukan untuk melaksanakan dasar baru penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan matematik. Tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan, ahli-ahli bahasa dan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Barangkali ada perundingan dengan pihak tertentu secara eksklusif yang tidak diketahui dengan pasti siapa dan apa inti pati perundingan itu, sedang bidang pendidikan merupakan bidang yang menentukan nasib semua rakyat. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.
Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Persatuan Linguistik Malaysia, misalnya, banyak menganjurkan forum, perbincangan, penyediaan memorandum, surat dan pernyataan media tentang isu tersebut tetapi tidak tampak reaksi dan respons yang positif daripada pihak berkuasa. Pertemuan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Perdana Menteri pada waktu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya yang kini menjadi Perdana Menteri pada tahun 2002, dan juga pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Perdana Menteri baru pada tahun 2005, di samping beberapa pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan beberapa orang pemimpin lain tampaknya tidak menyebabkan sebarang perubahan dalam pelaksanaan dasar tersebut.
Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pun dipandang sepi. Malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu. Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh hanya tiga hari! Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing – suatu fitnah besar yang dilontarkan kepada para pejuang bahasa sebagai usaha menutup isu yang sebenarnya. Tiada seorang pun pejuang bahasa yang menafikan pentingnya penguasaan bahasa asing, malah mereka monyokong apa-apa langkah meingkatkan penguasaan bahasa yang dapat membantuk kemajuan bangsa dan negara. Isu yang dibangkitkan ialah peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahas ilmu dalam proses peningkatan pengusaan bahasa asing – hal yang tidak wajar berlaku kerana maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan tonggak tamadun bangsa tidak patut digadaikan atas alasan apa pun. Apabila Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Siri Bicara Bahasa (siri1 - 20) sebagai wadah membahaskan isu tersebut, ada arahan lisan yang “mengharamkan” terbitan itu daripada diedarkan.

Implikasi kepada Bangsa dan Negara


Beberapa kajian ilmiah di peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu telah menunjukkan tanda awal bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing.
Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.
Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapat kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).
Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.
Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yang besar amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sians dan matematik dalam bahasa Inggeris. Satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.
Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.
Keputusan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005 digembar-gemburkan sebagai bukti bahawa tiada masalah atau implikasi negatif daripada pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Keputusan dilaporkan meningkat sekitar 3% dalam Sains, Matematik dan bahasa Inggeris. Kembimbangan pihak-pihak yang menentang pelaksanaan dasar itu dianggap tersasar dan tidak berasas. Jelas bahawa pelaksana dasar berada pada pihak yang beruntung kerana mempunyai segala kuasa untuk memanipulasi keadaan. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan tahu bahawa keputusan peperiksaan umum bukan gambaran sebenarnya tentang prestasi pelajar kerana asas yang digunakan ialah pencapaian berasaskan norma, bukan berasaskan kriteria. Sekiranya pencapaian majoriti pelajar rendah, maka graf kelulusan atau markah lulus boleh diturunkan. Kita tidak tahu dengan pasti berapakah markah lulus yang ditetapkan untuk sains dan matematik bagi PMR 2005 tetapi dengan berdasarkan laporan muka hadapan akhbar The New Straits Times pada 16 September 2005, kebanyakan pelajar mendapat F dalam kedua-dua mata pelajaran dalam peperiksaan percubaan PMR. Tentu mengejutkan bahawa dalam tempoh sebulan dua prestasi pelajar yang rendah tiba-tiba meningkat dengan cemerlang dalam peperiksaan sebenar! Tidak mustahil tetapi aneh. Demikian juga, dilaporkan bahawa soalan masih dalam dwibahasa dan sebahagian pelajar menjawab soalan dalam bahasa Melayu sehingga diragui kenyataan bahawa pelajar tidak bermasalah dalam penguasaan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. Usaha kerajaan untuk menyeimbangkan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada pemimpin dan parti teras pemerintah negara, iaitu UMNO akan merosot atau hilang. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan politik Melayu yang diharapkan dapat menjamin keutuhan bangsa apabila, misalnya pengundi Melayu sendiri mengalihkan sokongan mereka kepada parti lain sebagai tanda protes. Sekali lagi pemimpin kita cukup bertolak ansur apabila sekolah kebangsaan diwajibka mematuhi arahan dasar baru tetapi pada waktu yang sama sekolah jenis kebangsaan diberi izin meneruskan penggunaan bahasa ibunda (di samping bahasa Inggeris) untuk mengajarkan sains dan matematik. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang memang ditubuhkan untuk memajukan bahasa kebangsaan, menjelang pelaksanaan dasar baru itu telah dilarang menerbitkan buku teks pilihan dalam bahasa Melayu bagi sains dan matematik untuk kepentingan anak-anak Melayu di luar bandar. Mulia sungguh hati budi pemimpin Melayu!
Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institusi Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek-subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kelanjutan logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris. Yang menghairankan ialah bahawa apabila Naib Canselor Universiti Putra Malaysia membuat pengumuman pada sekitar bulan Ogos 2004 bahawa universiti itu akan melaksanakan pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi kursus-kursus sains dan teknologi, Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan bahawa langkah itu bertentangan dengan dasar pendidikan negara. Dalam akhbar sekitar bulan Jun atau Julai 2005, tersiar pula dalam akhbar teguran kepada universiti awam yang lewat melaksanakan pengajaran kursus sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris. Apakah ertinya semua ini? Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan sebagai mercu tanda Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, menurut sumber dalaman, telah sedia untuk melaksanakan dasar baru itu.
Akhirnya, kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama:

1. Akibat kepada Bahasa Melayu


Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah hampir satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, dengan pelibatan beratus-ratus pakar bidang ilmu, tidak akan digunakan dan istilah baru tidak akan dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda.Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:
Sekolah Rendah:
BM 60%; BI 40%
• Sekolah Menengah:
Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%
SPM: BM 29%; BI 71%
Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%
Peringkat Universiti:
BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain
(Catatan: Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang diwajibkan dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris)

2. Akibat kepada Pelajar Melayu


Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.

3. Akibat kepada Akhbar Berbahasa Melayu


Pada tahun 60-an dahulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Sebagai akibatnya, kini banyak orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dahulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan nazak, tidak lagi mampu menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan Melayu. Itulah gambaran masa hadapan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.

4. Akibat Politik kepada Bangsa Melayu


Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi umat Melayu. Bagaimanakah pemimpin dapat memimpin dan meyakinkan orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah tidak dapat berperanan lagi sebagai suara perjuangan bangsa Melayu disebabkan kehilangan pembaca dan tiada nilai ilmunya lagi. Masyarakat pada masa hadapan dijangka akan bergantung pada media berbahasa Inggeris kerana ilmu dan hal ehwal yang canggih terdapat dalam bahasa Inggeris, bukan dalam bahasa Melayu. Kini pun berlumba-lumba pemimpin politik dan korporat mendermakan akhbar berbahasa Inggeris, dengan tidak terniat pun untuk sekali gus mendermakan akhbar berbahasa Melayu, ke sekolah-sekolah, dalam kempen meningkatkan bahasa Inggeris, seolah-olah pelajar tidak menghadapi masalah penguasaan bahasa Melayu. Nasib akhbar Melaya akan datang terbayang pada nasib Utusan Melayu dalam tulisan Jawi pada hari ini – amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu. Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertambah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka, iaitu bahasa, sudah tidak bertenaga lagi untuk berbuat demikian.
Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa penghantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.

SESAT DI HUJUNG JALAN BALIK KE PANGKAL JALAN


Pihak yang mendakwa dirinya kritis sering bertanya: Apakah penyelesaian terhadap masalah yang ditimbulkan oleh pejuang-pejuang kebangsaan itu? Sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi ini merupakan hasil ciptaan kita sendiri. Lain yang luka lain yang dibebat. Kita sudah mempunyai Dasar Pendidikan yang telah terbukti mantap. Ini tidak bermakna bahawa pelaksanaan dasar ini tidak mengalami masalah. Terdapat masalah mutu pendidikan sekolah kebangsaan, terdapat kelemahan disiplin, masih tidak cukup ruang untuk membuka minda pelajar menjadi kreatif dan dalam konteks isu yang sedang kita bincangkan ini, terdapat kelemahan yang ketara dalam hal penguasaan sejumlah pelajar dalam bahasa Inggeris.
Cara menyelesaikan masalah ini ialah dengan menentukan fokus dan membuat diagnosis yang betul. Kita harus memfokuskan perhatian untuk menyelesaikan masalah ini, bukan mengundang masalah baru dengan mencipta kaedah yang belum teruji di mana-mana pun. Antara yang perlu difikirkan dan disusuli dengan tindakan oleh kerajaan dalam menangani masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar termasuklah:
Dalam hubungan dengan isu yang sedang dibicarakan ini kita harus memfokuskan perhatian kepada masalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sekolah dengan menggunakan kaedah yang lebih kemas kini dan berkesan dan memberikan latihan yang sempurna kepada guru bahasa Inggeris. Hampir semua negeri di negara ini masih menghadapi kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih. Sering dibangkitkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris sebahagian daripada guru bahasa Inggeris itu sendiri tidak memuaskan.
Mungkinkah pengajaran bahasa dijalankan dengan sempurna dalam kelas yang melebihi 40 orang, terutama pada peringkat darjah satu? Di negara yang maju, jumlah pelajar setiap kelas di sekolah rendah kecil sekali sehingga tidak sukar bagi guru mengawal kelas dan memberikan perhatian kepada setiap pelajarnya.
Di Amerika, tempat terdapatnya ramai pelajar berbahasa ibunda asing, bahasa Inggeris diajarkan secara tuisyen, satu pelajar satu guru bagi pelajar yang lemah. Kita mesti mengkaji dan menggunakan kaedah yang telah terbukti berkesan di tempat lain.
Prasarana pendidikan yang memungkinkan proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung dengan berkesan peru diberi perhatian utama. Makmal bahasa, bekalan elektrik, bahan pengajaran dan pemelajaran bercetak dan elektronik dan yang lain-lain perlu segera dilengkapkan. Jurang kemudahan antara sekolah di bandar dengan sekolah di luar bandar perlu dikambus segera.
5. Mengadakan kursus bahasa Inggeris untuk keperluan khusus kepada lepasan sekolah dan universiti sebagai peneguhan penguasaan bahasa Inggeris untuk alam pekerjaan.

DOA DAN HARAPAN


Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tidak ada insan, kecuali nabi dan rasul, yang tidak berbuat silap. Kini waktunya kita semua merapatkan barisan untuk meneguhkan sikap dan perjuangan mempertahankan asas-asas kebangsaan dan kenegaraan, termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Segala pandangan para pejuang bahasa perlu direnung dengan saksama dan dengan berlapang dada. Mereka bukan musuh negara. Mereka bukan pengkhianat bangsa. Selama mereka masih mahu bersuara untuk memberitahukan yang benar, maka eloklah pandangan itu dinilai dengan bijaksana. Mereka sekadar memperjuangkan dasar negara yang sama-sama dibina dan diterima sejak sebelum kemerdekaan dan kemudian menjadi asas kenegaraan. Yang ada pada mereka hanya suara, bukan kuasa. Maka bersuaralah mereka; selaras juga dengan sabda Nabi bahawa baikilah sesuatu keadaan yang tidak betul dengan tiga cara – tangan, lidah dan hati.
Bersama-samalah kita terus berusaha dan berdoa semoga landasan kenegaraan yang telah diasaskan oleh para pemimpin terdahulu tidak dipinda dan dirobah tanpa berfikir panjang. Usahlah terjadi ”Yang dikendong tak dapat, yang dikejar berceceran”.Berpadalah sudah kita dengan kerugian yang telah ditanggung oleh bangsa oleh baiknya dan mulianya hati kita melayan kehendak orang. Kepada Allah jua kita memohon pertolongan agar perjuangan kita diredhai dan diberkati-Nya.

RUJUKAN


Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Asraf (Ed.). 1996. Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Awang Sariyan. 2000. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2002. Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keranda 152, Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. 2002. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Kumpulan Prihatin. 2005. Implikasi Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Penghantar Matrematik dan Sains. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Siri Bicara Bahasa Bil 1 – 20. 2002-04. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Biodata:
Profesor Dr. Awang Sariyan lahir pada 20 Oktober 1953 di Kg. Rambah, Pontian, Johor dan dibesarkan di Kg. Teluk Kerang di daerah yang sama. Sesudah mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang, Sekolah Agama Teluk Kerang dan Sekolah Menengah Teluk Kerang, ia mendapat pendidikan menengah tinggi di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru. Selanjutnya ia mendapat pengajian peringkat tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973. Keputusannya yang cemerlang pada tahun pertama memungkinkannya meneriam Biasiswa Kanan Universiti dan pada tahun ketiga dilantik menjadi tutor sambilan dalam bidang bahasa.
Ia kemudian menjadi guru bahasa dan sastera tetapi tidak lama kerana dilamar untuk menjadi editor dan kemudian ketua editor di FEP International, sebuah penerbit terkenal pada waktu itu. Pada tahun 1978 ia menjadi Editor Jurnal Dewan Bahasa dan kemudian Pegawai Kanan Penyelidik Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1983 ia memperoleh ijazah Sarjana Sastera daripada Universiti Malaya. Atas keperluan membantu pengisian Program Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama di Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Pertanian Malaysia, ia dipinjamkan sebagai pensyarah ke universiti tersebut selama tiga tahun. Kemudian ia diminta oleh Kementerian Pendidikan membantu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengasaskan kursus wajib bahasa Melayu dan kemudian sebagai pensyarah bidang pendidikan selama sembilan tahun. Pada tahun 1997 ia dilantik menjadi Pensyarah Kanan di Universiti Brunei Darussalam dalam bidang pendidikan bahasa Melayu. Apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris ditubuhkan, ia dipelawa membantuk mengukuhkan program bahasa lalu dilantik sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa universiti itu pada tahun 1998. Atas keperluan memperkukuh Dewan Bahasa dan Pustaka pula, ia dilantik menjadi Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 November 1999 sehingga 15 November 2004 apabila ia menerima pelawaan Universiti Putra Malaysia untuk menjadi Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.
Dalam tempoh hampir 30 tahun kerjayanya sebagai ahli bahasa, ia telah menulis lebih 60 judul buku, termasuk kamus, lebih seribu makalah ilmiah dan umum dan lebih 150 kertas kerja (termasuk ucap utama, kertas kerja utama, kertas dasar dan syarahan umum) di dalam dan di luar negara (antaranya Australia, Belanda, Indonesia, Jerman, Korea, Perancis, Repulik Rakyat Cina, Singapura, Sri Langka dan Thailand). Ia menerima beberapa penghargaan dan anugerah, seperti Hadiah Bahasa PLM- Public Bank, Hadiah Persuratan UKM (10 Tahun UKM), Hadiah Tinta Kencana DBP, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP dan Kesatria Mangku Negara (KMN). Biodatanya diterbitkan dalam Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP) dan Ensiklopedia Malaysiana. Pada tahun 2005, sempena Perayaan 35 Tahun UKM, ia dipilih sebagai seorang daripada 100 orang bekas siswazah cemerlang dan biodatanya diterbitkan dalam buku Penghargaan Kecemerlangan (Tribute to Excellence).

Saturday, October 14, 2006

Fikir Apakah Kita Ini?

Fikir Apakah Kita Ini?


apa usaha kita? (klik pada gambar)

Palestin: Apa Usaha Kita?




Friday, October 13, 2006

Bahasa dan Sastera Tonggak Kegemilangan Bangsa


"Paling menyedihkan bahasa Melayu dituturkan dengan mencampuradukkan pelbagai bahasa lain agar penuturnya dilihat lebih hebat dan berkebolehan".

"Walaubagaimanapun pada pandangan ahli bahasa dan linguistik, perlakuan tersebut dilihat sebagai kelemahan penutur dalam menguasai sesuatu bahasa".

"Kehebatan manusia berkomunikasi bukan diukur melalui kebolehannya bercakap dalam pelbagai bahasa, tetapi dinilai dari aspek kemampuannya menggarap pelbagai idea dan pendapat dengan sempurna dan jelas".


Dilah Tuah, Ada Melayu Yang Merosakkan Bahasa, Dewan Bahasa September 2006


"Ada tanggapan yang mengatakan bahawa bahasa Melayu bahasa yang "tidak bernilai", lantaran itu tidak sesuai dijadikan bahasa untuk mencipta tamadun tinggi, tanggapan ini sebenarnya dilahirkan oleh mereka yang berfikiran sempit".

"Sebenarnya tanggapan itu tidak benar sama sekali kerana bahasa Melayu digunakan oleh sarjana dan penulis (dari luar dan dalam istana) untuk menghasilkan beberapa banyak karya agung sejak abad ke-14".

"Tidak mungkin bahasa Melayu yang dianggap tidak bernilai itu digunakan sebagai bahasa pengantar di intitusi pengajian tinggi, baik di Malaysia mahupun di Indonesia yang mempunyai ratusan buah institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Melayu (bahasa Indonesia)".

"Dari segi keupayaan linguistik, semua bahasa di dunia ini berupaya menghasilkan tamadun tinggi, dan hal ini dibuktikan oleh bahasa Melayu dalam sejarahnya yang panjang itu sehingga hari ini".

"Yang perlu diragukan bukan keupayaan bahasa itu, tetapi daya kognitif dan jati diri manusia yang menggunakan bahasa itu untuk membentuk tamadun tinggi".

"Peranan bahasa Melayu sebagai teras peradaban bangsa Malaysia tidak sama fungsinya sebagai penanda jati diri bangsa Malaysia. Peranannya lebih luas daripada itu, iaitu sebagai bahasa yang dapat membentuk jatidiri bangsa Malaysia, menjadi negara bangsa yang wujud di ruang tamadun yang agung".

Zaitul Azma Zainon Hamzah, Penyelidikan Membina Tamadun Bangsa, Dewan Bahasa September 2005

Wednesday, October 11, 2006

Pencabulan Puasa : Budaya Natalisasi


Sesunguhnya keganasan perang budaya telah mencapai kemelampauannya apabila bulan Ramadhan yang mulia ini turut mengalami serangan ganas. Dalam al-Baqarah ayat 183, Allah berfirman, menetapkan misi puasa yang suci: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas diri kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Monday, October 09, 2006

Yahudi tak alah selagi Subuh tak seperti Jumaat

MELIHAT kepada kekuatan yang ada pada Israel dan sokongan kukuh Amerika yang tidak berbelah bagi di belakangnya, tidak nampak umatIslam mampu menewaskannya seperti yang pernah dilakukan Sultan Salahuddin al-Ayubi dulu.

Yahudi tahu senjata besar umat Islam ialah iman dan jihad. Senjata itu ada pada pada sebilangan kecil umat Islam sekali pun bilangan umat Islam dunia melebihi satu bilion orang. Yang ramai itu adalah sepertibuih di permukaan laut, seperti yang baginda s.a.w. pernah sebutkan. Apabila iman itu menjadi sifat yang dimiliki oleh umat seluruhnya, maka Yahudi tahu ia tidak akan boleh bermaharajalela lagi.

Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak. Tetapi sejumlah besar umat Islam di mana-mana juga di dunia sudah memenuhi masjid-masjid setiap Jumaat.

Apa yang orang Islam buat sekarang ialah semuanya turun ke masjid dan surau bersolat Subuh berjamaah setiap pagi. Jangan ada lagi yang solat di rumah.

Sama ada ada niat untuk memerangi Yahudi atau tidak, semuanya mengambil tanggungjawab dan kesedaran untuk solat Subuh berjamaah seperti solat Jumaat dulu. Niat solat Subuh itu kerana Allah dan membesarkan Allah, maka dengan sendirinya martabat iman masing-masing akan meningkat dan akan meningkat iman umat itu pada keseluruhannya.

Bantuan Allah tidak datang kepada umat Islam kerana masing-masing tidak membina senjata iman. Yang dibina hanya senjata canggih.

Baca penuh, klik sini.


AGENDA

BLITZER: India and Pakistan already have a nuclear weapon. Israel has a nuclear weapon. Why would it be so bad if this Iranian regime had a nuclear weapon?

BUSH: This Iranian regime is promotes militias like Hezbollah to create instability. This Iranian regime has made it abundantly clear that they would like to destroy Israel, who is our ally.

BLITZER
: Do you think they would drop a bomb or launch a missile on Israel?

BUSH: Wolf, my judgment is youve got to take everybodys word seriously in this world. Again, you cant just hope for the best. Youve got to assume that the leader, when he says that he would like to destroy Israel means what he says. If you take if you say, well, gosh, maybe he doesnt mean it, and you turn out to be wrong, you have not done your duty as a world leader.

Baca penuh, klik sini.

Subuh Hampir Macam Jumaat

Guru saya berkata, jika dapat 40 hari berturut-turut solat Subuh berjamaah, nescaya terhindar dari sifat nifak, iaitu munafik.

Manakala bagi pejuang pula, ketekunannya turun Subuh ke masjid atau surau, akan mendorongnya mengambil berat berjamaah di waktu-waktu yang lain. Dengan demikian perjuangannya diberkati dan mendorongkan lebih kuat berjuang.

Setiap kerajaan menghabiskan ribuan juta untuk melengkap pertahanan bagi menghadapi Yahudi Israel yang beberapa juta saja. Dengan senjata itu mereka berjuang atas nama sosialis. Mereka ringankan solat. Mereka musuhi orang yang hendak membangunkan Islam melalui politik. Ulama-ulama mereka bunuh.

Kata Betrus-Betrus Gali semasa menjadi Setiausaha Agung PBB, orang Islam yang dibunuh oleh orang Islam lebih ramai daripada orang Islam yang dibunuh orang bukan Islam.

Senjata yang dikumpulkan berbilion dolar itu tidak diletupkan ke bumi Israel tetapi selalu meletup dalam negeri sendiri. Banyak masanya memburu orang yang dikatakan ekstrimis Islam asal saja mereka menyuarakan seruan Islam, maka sekuat-kuat Mesir di bawah Gamal Abdel Nasser tumpas dalam masa enam hari.

Hamas di samping terus mengangkat senjata, tetapi mereka tidak meninggalkan solat. Syeikh Ahmad Yassin yang mencetuskan pembentukan Hamas itu dalam keadaan uzurnya meneruskan solat Subuh berjamaah setiap pagi dan syahid selepas keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh berjamaah.

Kekuatan orang Islam itu terletak kepada semuanya bersatu atas perkara yang betul. Yang memungkinkan ia terpinggir ialah kerana bersatu atas perkara yang tidak betul.

Orang Islam yang betul dan orang Islam yang tidak betul, tiap-tiap pagi menjadikan solat Subuh seperti solat Jumaat, dengan niat supaya Allah tunjukkan perkara yang betul, maka moga-moga akhirnya Allah berkati semua berada atas garis yang betul.


Baca penuh, klik sini.




Sunday, October 08, 2006

Pilih Yang Mana Satu


Hari minggu yang dipenuhkan dengan memuat turun lagu raya, tidur dan membaca surat khabar. Sebenarnya otak tak lepas memikirkan konsep Super Muslim yang dibicarakan dalam Majalah I Oktober. Proses mengecaj kuasa intrinsik dalam masa sebulan berpuasa ini, adakah sudah ditekan suisnya ataupun retorik semata dengan hanya meletakkan plug sambil buat-buat lupa menekan suisnya.

Melayu masih lagi bercakap. Adakah terdapat sebarang polemik disebalik hasil kajian ASLI tersebut. Kenyataan bahawa Melayu masih lagi menakuk 18% penguasaan ekonomi bumiputera dan kontra hakikat kajian para pengkaji Institut Kajian Strategik & Kepimpinan Asia (ASLI) iaitu 45%. Dimanakah ketirisannya sehingga boleh menimbulkan ketidaksetaraan dalam keadaan ini.

Menyorot krisis NATO di Afghanistan. Betapa kabing-kambing hitam itu kini sudah tidak berkemampuan meragut rumput yang hijau merimbun di bumi bergolak itu. Ironinya kehijauan rumput yang dibajai Taliban itu kini dimusnahkan oleh kambing teroris Amerika dan kini NATO pula yang bertungkus lumus membajai kembali rumput-rumput itu melalui kambing dari Jerman, Itali, Sepanyol dan Turki yang terang-terang tidak berminat menempatkan kambing mereka di padang pejuang Islam itu. Tinggallah kambing hitam Amerika terkontang kanting menyertai kambing putih Britain yang terkial-kial berperang mahu meragut rumput tetapi asyik dicucuk rumput tersebut.

Juga menelusuri akhbar Australia yang di-ym oleh Ihsan, mengenai dakwaan seorang doktor dari sana bahawa kononnya Nabi Muhammad juga tidak sempurna. Ingin tahu lebih lanjut klik ini dan ini. Yang pertama diletakkan di muka depan, dan yang kedua diletakkan di muka dalam melaui ruangan yang lebih kecil.

Juga mengungkit kembali tragedi penyembelihan dan pembersihan etnik yang dijalankan di Bosnia, yang sehingga kini penyembelih tersebut masih dibiarkan berkeliaran bebas di muka bumi ini. Betapa keadilan dan kesaksamaan amat sukar untuk ditemui di dunia zaman ini. Berita lanjut klik sini.

Apakah perkaitannya perkara di atas dengan kehidupan seharian kita? Kita boleh sahaja mengaku kita tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan perkara yang berlaku. Atau kita masih boleh melakukan sesuatu yang lebih energetik walau tidak banyak sedikit pun cukup untuk kita bekalkan di hari yang pasti nanti. Pilihan terletak di hati masing-masing.




Negara Islam perlukan takwim antarabangsa


Perkara ini sudah lama dibahaskan dan memang benar, sudah ada kaedah sejak zaman awal Islam. Bagaimanapun, apa yang berlaku ialah umat Islam lena hampir 500 tahun di bawah penjajahan yang menyebabkan ilmu sains Islam turut terlena.

Sains Islam pernah melalui zaman hebat. Saintis Islam menggilap kaedah Yunani-Greek yang berusia lebih 3,000 tahun dan dimajukan.


Hari bagi orang Islam sebenarnya bermula pada waktu Maghrib, berbeza dengan Barat yang bermula pada jam 12 tengah malam. Ini adalah perbezaan asas yang ramai umat Islam lupa.

Sebab itu kita kata malam Jumaat yang bermaksud hari Khamis malam Jumaat.
Ini bermakna hari Jumaat bermula pada waktu Maghrib dan esok adalah Jumaat. Malam Sabtu bermula pada waktu Maghrib hari Jumaat.

Al-Quran sendiri menyatakan mengenai pengiraan waktu dalam Surah An Am, Ayat 96: Allah jualah yang membelah cahaya Subuh dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu. Yang demikian itu adalah penentuan Allah yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui.


Pada zaman sebelum Islam, takwim dimainkan pemerintah, Julius Caesar membuat kalendar baru kerana mahu mengutip lebih banyak cukai. Ini menyebabkan dia kata 11 bulan sudah cukup setahun.

Ketika itu, mereka yang tahu ilmu falak ialah Gereja yang bersekongkol dengan pemerintah untuk memeras rakyat. Dalam Islam mesti tetap 12 bulan.

Ini menunjukkan seolah-olah umat Islam menyerah kalah kepada tamadun Barat-Kristian, sedangkan Islam sebagai tamadun besar mempunyai dan berbangga dengan takwim itu.

Benar! Ini adalah masalah `political will’ untuk melakukan perubahan. Pada masa sama, sesetengah ulama tidak memahami astronomi.


Bagaimanapun, ulama terkenal nusantara seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, walaupun dari sistem pendidikan tradisional, mempunyai pengetahuan mendalam mengenai ilmu ini.

Jika mengikut matahari, takwim akan mengikut musim. Bagaimanapun, takwim Islam tidak begitu. Bulan syamsiyyah akan berselisih dengan qamariyyah. Oleh itu, satu pusingan berlaku dalam tempoh 30 tahun. Tahun ini umat Islam berpuasa pada September. Dalam tempoh 30 tahun lagi, baru umat Islam berpuasa pada September.

Isu ini menunjukkan umat Islam mempunyai banyak masalah. Mungkin dalam senarai masalah, takwim mungkin adalah masalah ke-1001. Masalah lebih besar dan lama seperti Palestin masih tidak dapat diselesaikan. Takkan orang hendak fikir mengenai takwim.

Baca penuh, klik sini.

BAHASA MELAYU SEBAGAI SENI DAN SENJATA DALAM MENCIPTA KHAZANAH ILMU

BAHASA MELAYU SEBAGAI SENI DAN SENJATA DALAM MENCIPTA KHAZANAH ILMU


Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah

NIE / NTU Singapura

Pendahuluan

Keupayaan bahasa Melayu dalam memperkaya, memperluas kebudayaan masyarakat peribumi Melayu dan bangsa-bangsa serumpun telah dibuktikan dalam jalinan sejarah rantau sepanjang zaman. Bahasa Melayu telah digunakan dalam sistem pemerintahan kerajaan-kerajaan yang besar seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaaan Johor Riau, kerajaan Brunai, Sambas dan lain-lain. Bermula dari kerajaan di pesisir, bahasa Melayu telah berkembang dan dikembangkan melalui perdagangan antara kepulauan yang begitu dinamik dan produktif. Bahasa yang menjadi bahasa perantaraan di sekitar dunia Melayu itu kemudian menjadi alat penyebaran agama dan alat perubahan dari jahiliah ke cahaya kebenaran agama Islam yang diterima oleh peribumi secara redha dan aman sejahtera.

Di bawah tekanan pertembungan, peperangan dan penjajahan Barat, bahasa ini dapat menjadi alat perubahan ke arah kehidupan berasas ekonomi moden. Semangat dan jiwa bahasa inilah yang menjadi jentera atau perjuangan yang meraih kemerdekaan bagi rakyat yang bangun melawan penjajahan Barat.

Dua konsep – seni dan senjata ini akan kami bincang menurut dimensi fungsi sosial bahasa yang hidup dinamik dalam masyarakat Melayu sepanjang zaman. Konsep ini ialah titik dua hujung dimensi selari yang ekstrim yang menggambarkan bukan sahaja fungsi bahasa tersebut tetapi juga dinamika bahasa dalam lautan perubahan sosial, ekonomi dan politik semasa.

Konsep Seni dalam Bahasa

Konsep seni dalam bahasa merujuk kepada bentuk-bentuk indah , halus, kesucian

yang boleh dicapai oleh sesuatu bahasa berdasarkan keupayaan dalaman bahasa tersebut. Bahasa dapat diumpamakan sebagai bahan mentah yang diolah, diadun, digubah dan dicipta menurut keupayaan dan kekreatifan para pengguna bahasa tersebut sehingga mencapai mercu keindahan yang tinggi. Proses penyebatian di antara bahan atau alat ini dengan daya kreatif manusia inilah yang menghasilkan suatu seni yang indah.

Khazanah warisan bahasa Melayu amat kaya dengan pelbagai hasil seni bahasa yang digubah oleh insan-insan Melayu secara lisan ataupun bertulis. Dengan ini timbullah seni tutur, seni kata, seni penulisan , seni drama, senidalam penceritaan , seni

Sastera, seni persuratan, peribahasa dan sebagainya.

Bahasa Melayu sebagai Pengucapan Seni

Bahasa Melayu sebagai pengucapan seni telah mencapai mercu keindahan dan keberkesanan di tangan sasterawan sufi yang menyerlahkan seninya dalam karya-karya agung sufistik Melalui seni bahasa Melayu sasterawan sufi atau ulama sasterawan berjaya mengungkap puncak keasyikan rohaniah, sesuatu yang diakui sukar ditempuh tanpa memiliki alat bahasa yang canggih dalam kitab-kitab’ kuning’ mereka.

Aliran sufi menggunakan lambang kata-kata atau teks dalam arti kata secara langsung bagi konsep alam jagat raya dan manusia . Kedua-duanya jagat raya dan manusia yang dirupakan sebagai kata atau teks itu diberi urutan tanda-tanda fonetik atau grafik bermakna yang disusun menurut peraturan tertentu.

Bahkan menurut Aziz Nasafi seorang tokoh Sufi termasyhor abad ke – 8 hingga awal abad ke-19, manusia (iaitu mikrokosmos) adalah merupakan “naskah dan alamat” dari kedua-dua alam, iaitu makrokomos dan mikrokosmos. Beliau ditukil sebagai berkata,

Ketahuilah olehmu, bahawa setelah mencipta segala yang ada, Tuhan yang Maha Tinggi menamakannya sebagai alam, kerana alam ialah alamat wujudNya. Di dalam wujud alam ada Ilmu, Iradah dan KodratNya yang berupa alamat dan yang berupa naskah; maka kerana ia adalah alamat, dinamakannyalah sebagai alam; dan oleh kerana iapun adalah naskah, dinamakannyalah sebagai kitab.

Menurut tradisi tasawuf kitab suci Al-Quran dipersamakan dengan kitab-makrokosmos dan kitab mikrokosmos. Kerana makro dan mikrokosmos ialah teks yang menampung ilmu yang tersusun mengikut hieraki tertentu , maka pengenalan ilmu ini sewajarnya dipandang sebagai semacam pembacaan kreatif yang boleh dibandingkan dengan “penulisan kreatif”, iaitu “Penciptaan Ilahi” itu sendiri.

Bahasa Sufistik

Kemahiran ahli-ahli sufi dalam bermain dengan kata-kata yang puitis belaka diteliti oleh Braginsky 1993 dalam penelitiannya tentang Keindahan dalam puisi Tasawuf. . Mereka sengaja menggunakann kemampuan-kemampuan semantik kata bersangkutan sedemikian rupa, agar supaya dalam konteks yang sama kata tersebut dapat sekali gus dapat diartikan baik sebagai Kata Ilahi maupun sebagai kata puisi.

Kecantikan bahasa dan kemampuan bahasa Melayu dalam perlambangan dipergunakan oleh ahli Sufi agung Hamzah Fansuri. Nikmatlah apa yang digubahnya untuk memperkatakan ilmu yang dipetik dari Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam.

Yogia kaupandang kapas dan kain,

Keduanya wahid asmanya lain,

Wahidkan hendak zahir dan batin,

Itulah ilmu kesudahannya main.

Anggamu itu asalnya tahir,

Batinnya arak zahirnya takir,

Lagi kau saqi lagi kau sakir,

Itulah Mansyur menjadi nazir.

Hunuskan mata tunukan sarung,

Isbatkan Allah nafikan patung,

Laut tauhid yogia kauharung,

Itulah ilmu tempat bernaung.

(sumber: Sheikh Syamsudin Ibn Abdullah Sumatrani. Kitab Syarah Rubai Hamzah Fansuri , hal 21 – 8)

Seorang ahli sufi, Atar (dipetik dalam Braginsky 93) pula menulis:

Jangan pandang hina pada kata-kata,

Sebab dua alam penuh dengan satu kata belaka: “Kun!”

Asas kedua alam itu pun tiada lain kecuali kata,

Sebab keduanya diciptakan dengan kata “Kun!, dan dapat

Dimusnahkan dengan kata “La Yakun!”

Kata diturunkan oleh Tuhan yang Mahakuasa,

Kata ialah kemasyuran nabi-nabi…

Muhammad, yang padanya diajukan kata “Kun!”

(iaitu Nur Muhammad, yang padanya dunia diciptakan dengan kata itu).

Seterusnya dijelas bahawa “menjadi raja di malam Isra’” boleh berlaku kerana kekuatan kata. Semuanya terbatas selama belum diucapkan dalam kata,

Lauh al-Mahfuz (yang mengandung prototipe segala yang ada;)

Menampung segalanya kerana kekuatan kata…

Ilmu dan Bahasa Sufistik

Demikianlah bahasa sebagai seni halus telah mencapai puncak keindahan di tangan ahli-ahli sufi agung dalam menanggapi Ilmu .

Kemudian berfirmanlah Dia: Barang siapa yang akan membaca kitab ini akan mengenal Kami, serta Ilmu dan Iradah dan Kodrat Kami. Kita, manusia , terlalu kecil; sedangkan kitabNya terlalu besar. Maka gagallah pandangan kita untuk melihat tepinya dan seluruh permukaannya. Maka, Ustadz (Terala) yang melihat kelemahan kita , lalu membuat salinan dari alam itu serta menjadikan kitab tersebut lebih kecil. Kitab yang pertama dinamakan alam alam kabir (besar), dan kitab yang kedua dinamakanNya alam saghir (kecil); kitab yang pertama disebutNya kitab besar, dan kitab yang keduanya disebutnya kitab kecil. ……

Dalam Perbendaharaan rahsia-rahsia karya Nizami (abad ke 12) menggambarkan bahawa kata ialah hasil ciptaan yang paling awal.

Sesaat Kalam bergerak pertama kali,

Ditulisnya huruf kata yang pertama.

Ketika tirai penutup tempat rahsia terbuka

Penampilan sulung diberi pada kata.

Pencipta membukakan mata digambarkan begini pula:

Waktu kalam mulai bergerak ulang-alik,

Ia membukakan mata dunia dengan kata.

Kiranya tak ada kata tentang dunia, maka barang siapa pun tak

mendengar tentangnya…..

Kata juga ditampilkan sebagai intipati pencipta mikrokosmos-manusia yang paling dalam:

Selagi kata belum merayu (jiwa) dengan sepenuh hati,

Jiwa pun belum lagi menyerahkan tubuhnya yang bebas pada tanah

Liat…

Di dalam kamus ‘isyq kata ialah jiwa kita,

Kita ialah kata, adapun reruntuh ini kediaman kita.

(Nizami Ganjawi, 1983: 43-44)

Demikian kata dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna yang berlapis-lapis dan amat dalam disenyawakan dalam segala bentuk ilmu jagat raya. Keindahan, kemanisan dalam kata itu juga dipercayai memberi kuasa dan keberdayaan yang amat kuat apabila ia digunakan dalam penciptaan tingkat tertinggi kesenian bahasa.

Khazanah ilmu dilambangkan sebagai hasil dari proses penciptaan - ilmu di cipta oleh Yang maha kuasa hanya dengan Kata. Bahasa pula menjadi kunci untuk manusia mendapat semula atau mencipta semula ilmu tentang alam jagat raya yang dilambangkan sebagai teks atau ‘kitab’.

Oleh sebab kata mendasari segala, lakukan segala dengan kata: tuntutlah ilmu dengan kata. Persebatian antara ilmu dan bahasa tersimpul amat erat . Matlamat terakhir yang harus dicapai oleh manusia dalam proses ‘pencarian’ di dunia ialah ilmu yang tertanam dalam dan dibungkus dengan lapisan-lapisan bahasa. Sebagai sebuah lukisan abstrak keupayaan memahami dan menghayati ilmu bergantung kepada tahap ilmu dan kemahiran orang yang melihat (di sini orang yang membuka bungkusan ilmu itu)


Ilmu dalam Pandangan Islam

Ilmu ialah suatu hakikat kebenaran dari Allah s.w.t tentang segala makhluk dan ciptaanNya di dunia ini - di bumi langit dan angkasa dan cakrawala. Ilmu yang merupakan hak dan milik Allah s.w.t.diamanahkan oleh Tuhan yang dikurniakan kepada manusia yang diberi akal untuk berfikir dan mencarinya. Ilmu yang hakiki ialah ilmu yang dapat menemukan manusia kepada Penciptanya.

Oleh yang demikian, ilmu adalah sesuatu yang sangat mustahak dan perlu dikuasai oleh manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Ilmu pengetahuan atau ‘ilm’ dalam bahasa Arab itu hendaklah digunakan ke jalan yang membawa manfaat kepada manusia. Ia tidak harus digunakan untuk membawa bencana kepada alam dan manusia.

Tradisi Pendidikan Islam

Pendidikan disebut “tarbiah’ dalam bahasa Arab, iaitu nama terbitan yang berasal dari kata dasar “rabba” yang bererti “mengasuh, memelihara atau memimpin” , juga boleh diertikan sebagai “memiliki, mentadbir, menguasai, memperbaiki selain erti memimpin dan mendidik “. Kata dasar “rabba” itu juga mempunyai pengertian yang sama dengan kalimah “addaba” iaitu kata dasar yang membentuk nama terbitan “ta’dib”. Addaba juga bererti ‘ mendidik atau mengajar adab atau membentuk akhlak’.

Istilah takdib dari segi terminologinya, memberi makna bahawa dalam proses mendidik atau membentuk, seseorang individu yang terdidik mempunyai kemampuan dalam mengembangkan segala potensinya. Peribadi, sikap, watak atau sahsiah harus selaras dengan sibghah atau acuan pembentukan yang ditentukan atau diredhai Allah s.w.t.

Pakar-pakar pendidikan Islam meyakini bahawa pendidikan yang sebenar dan bersifat ideal ialah pendidikan rabbani iaitu berpunca dari Allah s.w.t. Dengan kata lain, pendidikan manusia dalam semua aspek pembentukan sama ada dari segi jasmani, rohani, akal mahupun dari segi sosial, hendaklah bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Justeru itu falsafah, konsep serta matlamat pendidikan Islam berkait rapat dan mempunyai sebatian dengan roh al-Quran serta perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. (Hj Abdullah Ishak 1995).

Matlamat pendidikan Islam ialah untuk melahirkan individu yang serba lengkap, sama ada dari segi rohani dan jasmani, mahupun dari segi material ataupun sosial, bagi mencapai kebahagiaan hidup keredhaan Allah s.w.t. Insan kamil dan mukmin yang bertaqwa untuk mengabadikan diri kepada Allah s.w.t menjadi matlamat terakhir.

Menurut Islam, pendidikan manusia bermula sejak kejadian nabi Adam a.s. manusia pertama dan bapa kepada semua manusia. Allah s.w.t. bukan sahaja membentuk dan menyempurnakan fizikalnya supaya sesuai menghadapi struktur penghidupan dan masalah di dunia bahkan membentuk dan membimbing aspek-aspek spiritualnya supaya bersesuaian dengan kehidupan sosial yang merangkumi kedua-dua aspek tersebut bagi melayakkan diri sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Muktamar Pendidikan Islam Sedunia Kali Kedua, 1980 yang diadakan di Islamabad, Pakistan, merumuskan pendidikan Islam seperti berikut:

“Education should aim at the balanced growth of the total personality of man through the training of man’s spirit, intellect, the rational self feeling and body senses. Education should therefore cater for intellectual, imaginative, physical, scientific, linguistic both individually and collectively and motivate all these aspects toward goodness and attainment of perfection. The ultimate aim of Muslim education lies in the realization of the complete submission to Allah on the level of individual, the community and humanity at large.”


Pendekatan Memperkukuh Peradaban Melayu

Untuk mengukuh peradaban Melayu seharusnya diutamakan pembentukan dan perkembangan ilmu menurut landasan falsafah pendidikan Islam . Aspek tersebut tidak dapat dijayakan melainkan menerusi kurikulum pendidikan jagatraya (universal) yang berkesan dan relevan. Alat untuk mencapai wawasan pendidikan ilmu berlandaskan Islam ini pastilah melalui bahasa yang sesuai untuk menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi tersebut.

Telah dibuktikan bahawa perkembangan dan ledakan ilmu setelah kedatangan Islam telah dapat meningkatkan peradapab bangsa Arab . Semasa Islam baru diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kebanyakan orang-orang Arab buta huruf ; ketika itu, didapati orang-orang Quraisy yang pandai membaca dan menulis hanya baru berjumlah 17 orang sahaja.

Kelahiran agama Islam di Semenanjung Arab telah merubah struktur kemasyarakatan dan kebudayaan penduduknya. Antara perubahan besar yang jelas kelihatan selain dari kepercayaan agama dan tatacara hidup ialah pandangan dan perlakuan terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan.

Rasulullah memerintahkan umatnya supaya membaca iaitu, mempelajari ilmu pengetahuan.

Ayat pertama, Iqra’ bermaksud

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan mu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

(Surah al-‘Alaq 96: 1-2)

Konsep belajar dan menuntut ilmu sepanjang hayat diperkenalkan kepada seluruh masyarakat walaupun Rasulullah sendiri tidak literat (buta huruf). Sabda baginda:

Menuntut ilmu ialah satu kewajipan ke atas setiap Muslim.

Tuntutan ini adalah untuk semua insani, tidak kira perempuan atau lelaki, tidak kira kaum bangsawan atau orang biasa, tidak kira apa-apa bangsa, atau warna kulit. Pendidikan ialah hak individu. Lama setelah seruan Islam ini di buat, barulah Dunia Barat sedar tentang kepentingan pendidikan sebegini. Kesedaran tentang pentingnya ilmu dalam ekonomi moden diaplikasi dalam wawasan pendidikan Singapura di mana “Thinking Schools, Learning Nation menjadi slogan yang mendapat kepedulian tinggi di kalangan para cendekiawan dan masyarakat umum.

Ilmu yang dimaksudkan bukanlah ilmu agama sahaja, tetapi segala macam ilmu yang memberi manfaat kepada manusia. Dalam zaman moden, dunia ilmu dalam istilah sains dan teknologi telah dipelopori oleh Barat yang dapat memanfaatkan sumber-sumber ilmu dari cendekiawan Islam khususnya pada zaman Islam berkembang di Sepanyol.

Ilmu sains yang ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan penyataan atau fakta-fakta dengan cara yang sistematik dan serasi dengan hukum-hukum umum melandasi peradaban dunia moden. Sains merupakan satu proses untuk mencari dan menemui sesuatu kebenaran melalui pengetahuan (ilmu) dengan memahami tabii makhlok, untuk menerangkan hukum-hukum alam, dan undang-undang atau peraturan tabii semula jadi.

Sains memberi penekanan kepada sumbangan pemikiran manusia dalam menguasai ilmu pengetahuan itu, dan ini terdapat dalam seluruh alam semesta. Proses mencari kebenaran secara mencari jawapan kepada soalan-soalan secara yang sistematik dinamakan pendekatan saintifik dan ia menjadi landasan perkembangan teknologi yang menjadi salah satu unsur terpenting peradaban manusia. Ilmu sains sangat-sangat digalakkan untuk perkembangan dan kemajuan kemanusiaan, begitu juga dengan teknologi.

Teknologi berasal dari perkataan ‘tekne’ yang bermakna kecekapan atau kemahiran (skill) atau pertukangan (kraf) iaitu sebagai “cara-cara yang digunakan oleh manusia dalam mengaplikasi ilmu pengetahuan dan kemahiran atau kraf untuk mencapai tujuan tertentu.

Kemahiran pula boleh dicapai (accomplish) melalui ilmu pengetahuan dan kebolehan atau kemampuan sedangkan kraf yang bererti kekuatan atau tenaga (strength, power atau force) diperolehi dengan kemahiran dan pelaziman. Teknologi disimpulkan sebagai penggunaan ilmu pengetahuan secara yang bersistem untuk tujuan yang praktikal , amali yang memudahkan urusan kerja manusia.

Sains dan teknologi kedua-duanya berpusat kepada kemampuan akal dan pembangunan akal untuk pembentukan teori dan konsep, penyelidikan dan penciptaan dan penghasilan barangan dan lain-lain. Dan oleh kerana akal adalah anugerah Ilahi kepada manusia, maka ilmu pada asalnya berpunca dari Yang Maha Kuasa. Sains dan teknologi adalah sejajar dengan semangat rationalisme dan intelektualisme yang di bawa peradaban Islam.

Bahasa adalah Senjata Mencari Ilmu

Bahasa merupakan alat utama untuk menyampaikan dan menerima segala ilmu yang terkandung dalam khazanah dunia ini termasuk menyebarkan dan menurunkannya.

Mengkomunikasikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tersebut kepada manusia lain atau supaya ia disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain, biasa dilakukan dalam bahasa yang menguasai ilmu pengetahuan tersebut. Walau bagaimanapun, sudah menjadi tabii alam bahawa ilmu atau pengetahuan pertama atau paling awal bagi seseorang kanak-kanak disampaikan oleh ibu bapa dan kemudian dikuasai olehnya melalui bahasa ibunda masing-masing.

Maksud di sini ialah bahasalah yang menjadi alat utama pengluasan dan penyebaran ilmu, punca segala kemajuan moden kepada seberapa banyak individu dalam dunia ini. Buktinya dapat dilihat semasa sejarah sebelum dan sesudah kemunculan agama Islam . Sebelum kedatangan Islam pada kurun ke-7, ilmu hanyalah milik kaum intelek dan bangsawan dalam peradaban-peradan besar dunia, sama ada di kerajaan Byzantine, Roma, Mesir Tua, China, India dan lainnya. Setelah kedatangan Islam ilmu bukan milik kaum atasan sahaja tetapi adalah hak setiap insan.

Bahasa sebagai Senjata Kekuasaan

Bahasa tidak dapat dipisahkan dengan ilmu. Para cendekiawan dan pemikir tertentu dalam masyarakat bangsanya termasuk mereka yang berdarah bangsawan ataupun yang mempunyai kekuasaan agama dan menguasai ilmu. Misalnya dalam ilmu agama Hindu, bahasa Sanskrit yang suci hanya dikuasai oleh golongan atasan kasta Hindu, iaitu kaum Bramin. Ilmu-ilmu tentang agama Kristian yang tersebar melalui bahasa Latin dan Perancis adalah milik kaum intelektual dan paderi-paderi yang istimewa. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Hanya golongan atasan dan intelektual dalam sesebuah masyarakat yang ‘menguasai’ bidang ilmu. Akan rakyat jelata mereka tidak berdaya untuk mendapatkan ilmu kerana beberapa factor politik, sosial dan kadang-kadang berupa kultural. Misalnya kaum-kaum berkasta rendah dalam agama Hindu tidak dibenarkan memegang kitab suci Veda apalagi belajar membaca ‘surah-surah’ suci dari kitab tersebut.

Dalam konteks begini, bahasa seperti bahasa Sanskrit yang suci itu menjadi sebagai senjata kaum atasan untuk terus memegang kuasa ke atas orang-orang berkasta rendah, hanya dengan menghalang mereka daripada mempelajari bahasa suci tersebut.

Dalam sosiolinguistik ada konsep “ bahasa untuk diskriminasi”, jarak bahasa , language for exclusion dan yang bersamaan dengannya. Jelasnya, tanpa mengetahui sesuatu bahasa seseorang atau sesuatu golongan seperti ‘tidak bersenjata’ kerana tidak mempunyai alat untuk membaca apa lagi memahami golongan yang menggunakan bahasa yang tidak diketahui. Maka dengan mengetahui bahasa yang memonopoli ilmu pengetahuan apapun juga, ia seolah-olah menjadi senjata mempertahankan kekuasaan sesuatu golongan meraih faedah dan kuasa ke atas golongan lain. Bayangkan betapa frustatednya kita apabila termasuk dalam sesuatu kumpulan yang bercakap sesama mereka, tanpa memperdulikan kita yang tak faham bahasanya.

Bahasa sebagai alat atau senjata untuk menguasai ilmu telah disedari sejak seruan awal peradaban dunia terutama sejak seruan Islam. Setiap orang, lelaki atau wanita diwajibkan menuntut ilmu tidak kira apakah bahasa yang digunakan untuk mempelajari ilmu tersebut. Bahkan untuk mempelajari ilmu tentang musuh kadang-kadang senjata yang terbaik ialah mengetahui bahasa dan adat resam musuh itu.

Bahasa adalah Alat Perpaduan Ummah

Bahasa juga menjadi alat perpaduan ummah. Umum mengetahui bahawa perpaduan umat Islam amat rapat terhadap saudara-saudara seagamanya. Ini dilakukan melalui bahasa Arab yang menjadi lambang perpaduan Islam bukan sahaja dari segi sejarahnya tetapi juga secara praktis. Melalui surah-surah khas dalam ritual sembahyang seluruh umat Islam, tidak kira bangsa, jantina atau warna kulit dan tingkat sosial - bersatu dalam satu bahasa apabila menghadapi Tuhan yang Maha Kuasa.

Bahasa Melayu sebagai Senjata

Senjata mempunyai dwifungsi. Ia biasa difahamkan sebagai suatu alat yang tajam dan merbahaya yang boleh digunakan untuk melukakan, membunuh atau mengalahkan musuh dalam sesuatu pertempuran atau peperangan. Senjata juga boleh menjadi alat pelindung atau penahan dari serangan. Dengan adanya senjata sesuatu negara akan lebih berhati-hati, dan dalam masa yang sama, ia akan digeruni oleh pihak musuh yang berfikir dua tiga kali jika hendak menyerang.

Kedua-duanya fungsi ‘senjata’ dalam disimpulkan sebagai suatu alat untuk mencapai matlamat atau tujuan. (Kamsiah, 1998). Sealiran dengan pemikiran tentang fungsi bahasa - terdapat berbagai genre bahasa yang khusus berfungsi untuk mencapai atau memperlihatkan tujuan atau matlamat genre bahasa tersebut. Dalam pada itu senjata yang tajam pun boleh mempamerkan keindahan seninya seperti keris yang magis dalam zaman silam.

Ada bahasa yang kuat fungsi seni kurang fungsi senjata dan sebaliknya ada yang memperlihatkan fungsi senjata lebih kuat dari seninya. Misalnya genre dalam bahasa Melayu seperti pantun memperlihat kekuatan seni indahnya dari tajam senjatanya.

Contoh:

Yang kurik kurik kundi,

Yang merah saga,

Yang baik Budi;

Yang indah bahasa.

Suatu perkara yang unik dalam bahasa Melayu ialah wujudnya beberapa jenis kata seperti mantera yang dipercayai mempunyai kuasa ghaib atau magis. Hanya dengan mengucapkan kata-kata tersebut sahaja perkara yang dihajati boleh terkabul.Mantera yang dimaksudkan memang jelas menunjukkan fungsi kuat ‘senjata’ dari seninya. Ini ternyata dalam ilmu kekebalan para pendekar Melayu yang banyak diamalkan pada zaman dahulu:

Bismillahir Rahmanir Rahim paying aku

Malaikat Jibril kota aku

Malaikat empat puluh empat pagar aku

Aku berjalan dengan lenggang Muhammad

Aku berkata dengan kata Allah

Berkat doa Lailahaillah.

Bahkan, huruf-huruf Jawi kerap digunakan sebagai azimat atau senjata mempertahan diri ataupun untuk kekuatan psikologikal dalam menentang musuh. Contohnya, azimat tahan api dan terjauh dari senjata lawan yang diperturunkan di bawah ini.


Azimat Supaya Tahan Api

Sumber: Abdul Hamid Zahwan, 2000

Azimat Terjauh Dari Senjata Lawan

Azimat atau tangkal dirajah di bawah ini pula gunanya ialah supaya terjauh dari senjata lawan. Caranya membuatnya tulis di sekeping kertas putih bersih, dan bawa ke mana-mana. InsyaAllah ia akan menjadikan seorang itu terhindar dari sasaran senjata musuh.

ﺪ ﻭ

ﺍﻞ

ﺍﻞ

ﺪ ﻭ

ﺪ ﻭ

ﺍﻞ

ﺪ ﻭ

ﺍﻞ

Sumber: Abdul Hamid Zahwan, 2000

Bahasa Melayu sebagai Seni dan Senjata Perkembangan Ilmu di Nusantara.

Bangsa Melayu sebelum memeluk agama Islam beragama Hindu Budha dan animisme. Salah satu sebab mengapa kedua agama yang disebut terdahulu itu tidak berkembang hingga kepada golongan rakyat jelata ialah kerana penggunaan bahasa asing yang eksklusif di kalangan Brahmana dan Kesatria Hindu yang menjauhkan diri dari orang-orang di luar istana.

Agama Islam membawa bersama intelektualisme, rasionalisme, penguasaan dan perkembangan ilmu dalam peradaban Melayu. Dalam memperkembangkan Islam, para pendakwah ulama dan sufi dan saudagar Islam menggunakan bahasa Melayu. Kitab-kitab, hikayat ditulis dalam bahasa Melayu (bukan bahasa Arab) dan literasi tersebar di seluruh dunia Melayu. Kadar literasi orang-orang Islam adalah lebih tinggi dari negeri-negeri bukan Islam. Hanya literasi yang dimaksudkan ialah “tahu mengaji” (Kamsiah 2002).

Seni dan Senjata Bahasa dalam Memperkukuh Perabadaban Melayu

Fungsi bahasa sebagai alat komunikasi memang telah diterima secara tuntas oleh pakar-pakar bahasa dan juga masyarakat umum. Manusia dapat berkomunikasi secara yang paling berkesan melalui bahasa, bahkan kewujudan bahasa dianggap sebagai satu prasyarat bagi ukhuwah pergaulan dan interaksi dalam sesebuah masyarakat walaupun tidak dapat dinafikan bahawa isyarat atau bahasa isyarat juga boleh meningkatkan pemahaman atau boleh mengkomplemen atau melengkapkan apa yang tidak dapat dibicarakan melalui bahasa.

Bahasa diucapkan sebagai tunjang jati diri atau identiti sesuatu masyarakat. Dalam masyarakat Melayu hubungkait antara bahasa dan bangsa amat rapat. Dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu atau Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan, isu-isu politik bahasa tidak dapat dipisahkan dengan soal marwah bangsa, penakatan, kuasa politik, ekonomi dan jatidiri Melayu. Sebagaimana dikata, Bahasa menunjukkan bangsa dan kata-kata ini mempunyai maksud yang begitu dalam.

Dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut. Umpamanya dalam kata alu-aluan , kata silaan , ketika berundur diri dan sebagainya seharusnya menggunakan bahasa beradab dan berperaturan yang tetap, tidak boleh diubah sesuka hati. Kemahiran dalam peringkat tertinggi seperti begini boleh menghasilkan “pertukangan yang bermutu” boleh mencapai tahap “seni” , “budi” yang diidamkan. Oleh itu budi bahasa pun adalah suatu seni.

Dalam perbincangan kami, “senjata” dikaitkan dengan kekuatan, kekuasaan (power) – oleh itu bahasa adalah senjata. Keris melambangan persenjataan Melayu yang paling mengkagumkan. Dalam budaya Melayu silam, keris merupakan senjata yang begitu unik – pembuatannya adalah satu sintesis antara seni, praktis dan efisiensi. Tikaman keris amat menyakitkan sehingga roh bercerai dari badan. Lelaki Melayu yang tidak berkeris di anggap tidak lengkap dalam berpakaian dan hilang wibawanya.Tetapi dalam zaman moden ini keris tidak digunakan lagi dan hanya dapat dikagumi di dalam museum dan perhiasan yang tak mempunyai kuasa.

Dalam memperkukuh peradaban Melayu dan supaya peradaban Melayu berkuasa di dunia kini, berbagai macam ‘senjata moden’ perlu dibuat dan dicipta selain berkeris.

Untuk mencapai tahap ketinggian, keindahan seni, memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni itu atau perasaan cinta terhadap seni tersebut. Ini boleh ditaabirkan sebagai perasaan cinta terhadap bahasa Melayu itu. Untuk memiliki senjata bahasa yang paling tajam, paling berkesan seseorang perlu bekerja keras, berjuang bermati-matian memperlengkap senjata dalam menghadapi perjuangan hidup.

Oleh yang demikian dalam menghadapi persaingan dunia global kini bahasa Melayu seharusnya menjadi senjata kita mempertahankan kewujudan dan jati diri kita sebagai insan yang berperadaban tinggi. Namun untuk sampai ke tahap kemajuan impian amat perlu bagi kita mencipta khazanah ilmu dan untuk ini kita juga harus bersedia menguasai bahasa-bahasa lain yang menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.

Sikap bahasa dan usaha begini yang diperlukan dalam memperkukuh peradaban Melayu . Kita tidak harus hanya setakat memperlengkap korpus bahasa itu sendiri, mempertahankan kewujudan dan jati diri kita untuk menjadi insan yang berperadaban tinggi. Tetapi yang paling penting sekali ialah menyedari bahawa inti atau sari yang hendak dicari ialah ilmu. Kita seharusnya bersenjatakan ilmu.

Kalau senjata dan seni bahasa kita tidak dapat mencungkil ilmu – sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi ke tahap yang dapat memberi kesan dan menyumbang kepada peradaban, kita harus mempunyai bersedia untuk menggunakan senjata lain untuk sampai kepada kemuncak seni ilmu tersebut. Sejajar dengan wawasan ini, kita harus bersedia menguasai seni dan senjata bahasa-bahasa lain yang menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.


Bibliografi

Abdullah Ishak, 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ali Ahmad dan Siti Hajar Che’ Man, 1996. Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Braginsky, V.B. (1993). Puisi-puisi Tasawuf: Satu Kajian Teks. Jakarta: Universiti Leiden danPusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Indonesia.

Darlan Zaini Alhaj, (2002). Aksara dan Angka Jawi dalam Tradisi Melayu. Dlm Teori Pemikiran Tamadun Melayu Editor, Mana Sikana, Paitoon Chaiyanara, Zubaidi Abas. Johor Baru: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Kamsiah Abdullah . Bahasa Melayu sebagai Seni dan Senjata . Buku Cenderamata Bulan Bahasa 1998: Bahasa Cemerlang, Bangsa Gemilang, Malay Language Council, Singapore, July 1998. hal 46-51).

Kamsiah Abdullah. Kita Seharusnya Mencari Kaedah yang Lebih Bermakna Dalam ‘Mengaji’ Al-Quran. Titian Bil 36 Jun 2002, p 19 – 21.

_________________________________


Masa Sedang Berjalan


Signifikannya mengawal nafsu, sehari dua ini saya kelihatan defensif. Betapa 'celik akal' yang saya alami baru-baru ini membuatkan saya bernafas dengan lebih segar menggunakan hati yang cedera.

Saya kelesuan. Betapa masa mengejar kesempatan bagaikan dunia ini mereka yang punya. Akibatnya, saya tidak punya masa mengomel sebarang dua pertikaian yang remeh temeh. Perkiraan saya mudah, saya punya hak meneliti kausaliti di atas setiap perilaku saya.

Oleh yang demikian, kesan yang terkemudian seharusnya juga menjadi hak saya untuk menerimanya. Saya tidak menolak hak orang lain untuk 'bercakap'.

Tetapi, atas dasar kapasiti masa yang semakin suntuk ini, saya menjadi teruja untuk meneliti dunia lebih dari saya mengomen dan terkomen. Olmert sudah bersetuju menjalankan idea-idea menjatuhkan Hamas menerusi Abbas. Semacam ada suatu ikatan dimana-mana. Ada yang lebih menarik untuk diperbincangkan.

Bukan untuk mengomen dan terkomen atas beberapa dasar yang rendah tahap ilmunya.

Saya adalah saya.

Mereka adalah mereka.

Mereka akan gagal dalam setiap percubaan mereka, kerana menurut pertaruhan Piaget, Skema, Asimilasi, Akomodasi dan Keseimbangan sangat subjektif untuk dikesani.

Oleh sebab apa yang saya pertahankan sedikit berbeza dengan perspektif lokal mereka, saya terus dihenyak.

Perkembangan yang berstruktur secara mekanikal akan berlaku menerusi masa, dan hanya mereka yang benar-benar berfikir, mampu menginterpretasi saya.

Bukan untuk orang yang malas berfikir.

Sedikit defensif, tetapi mengujakan.



Saturday, October 07, 2006

TAHNIAH!!

Andai Yang Maha Kuasa membenarkan,
Menapak satu langkah ke hadapan,

Menjejak sisa-sisa tinggalan si pengaut,

Andai Yang Maha Kuasa membenarkan,

Memanipulasikan mekanisme baru,
Mengadaptasi dengan dunia baru,

Andai Yang Maha Kuasa membenarkan,

Cahaya akan tetap bersinar,
Andai jerebu menyelubungi suasana,

Andai Yang Maha Kuasa membenarkan,

Percayalah masih ada kesempatan,
Saluran Alternatif mengimbang keadaan.

Klik Sini!!



Friday, October 06, 2006

Penggunaan ISTILAH yang BETUL dan TEPAT penting bagi mengelakkan SALAH TAFSIR

GLOBALISASI berbeza dengan nilai universal. GLOBALISASI memusnahkan budaya, menghilangkan identiti dan jatidiri. GLOBALISASI akan memberi kebaikan kepada budaya dan kehidupan jika diguna dengan baik; tetapi trend hari ini sangat sukar melihat GLOBALISASI yang mengharmonikan negara.

Yang ada hanyalah memusnahkan budaya, menghilangkan identiti dan tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat. GLOBALISASI menyerang melalui banyak aspek bagi mengantarabangsakan semua negara.

Sumber : Oleh Dr Farid dari Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura (KOSMO! 5 Oktober 2006)

*GLOBALISASI hanyalah sebagai kambing hitam. Maksud tersirat boleh didapati dengan berfikir. Tajuk mungkin sesuai, mungkin sebagai peransang. Sedikit rigid tetapi masih konvensional.


Analogi vs Ideologi, Suatu Estakologi Ramai?

Saya diserang lagi. Tak pernah untuk memahami erti muhasabah dan yang paling geli usus besar saya, cepat melatah. Kelakar, dan gelaklah. Haha.

Seperti yang saya cakap sebelum ini, kondisi apa yang mereka inginkan dalam kontinum masa perubahan ala mi segera ini. Analoginya mudah. Mee Maggie misalnya, masukkan air panas, rendam selama 5 minit dan siap sedia untuk dimakan. Pengguna yang malas untuk memasak akan pergi ke KFC atau Mc Donald misalnya, beratur kurang daripada 5 minit dan siap sedia untuk kenyang. Selesai, cari pula makanan rapu seperti Pringles dan lain-lain, sedap, siap sedia untuk dimakan dengan menggunakan tenaga yang paling minima, tetapi sama seperti kesemua makanan diatas, pantas, memenuhi kehendak nafsu tetapi tidak berzat. Dalam ayat yang paling mudah, tidak berkualiti untuk keperluan asas badan, malah tidak memberi apa faedah sekalipun pada masa yang sama memudaratkan diri.

Kita bandingkan keperluan diatas dengan kehendak sosial kita. Keperluan asas seperti pemakanan ini, jika diurus dengan tatacara yang lebih baik, memilih makanan yang memenuhi kehendak badan, memasak biarpun lambat sedikit, lebih berguna dan lebih baik dari segi kepentingannya. Pemahaman seperti inilah yang perlu dicernakan oleh mereka-mereka si pemerhati yang gemar memerhati sambil mengkritik.

Tidak salah untuk mengkritik, tetapi elakkan kritikan berbaur dan berunsur nafsu tahap rendah. Kritikan tidak mampu mengenyangkan emosi. Saya sedar akan kekurangan ilmu dan kerendahan tahap pemikiran saya, sehinggakan saya selalu mengingatkan diri agar terus meneroka, terus mencuba di samping memperbaiki amalan diri. Berdoa kepada Allah agar menetapkan Iman, dan melorongkan saya ke jalan yang betul-betul diredhainya.

Cukup sukar untuk memenuhi impian dan ketetapan semua orang. Kesempurnaan, bukanlah milik saya. Perubahan diselang seli dengan beberapa kesilapan nampaknya terlalu mudah untuk dimanipulasi ramai. Pengertian muhasabah bagi saya amat berbeza dengan mereka. Adakah keperluannya untuk menunjukkan kesemua usaha yang dihasilkan agar pada estetika bentuknya nampak cantik, menarik dan mempunyai ciri kesempurnaan?

Saya bukanlah yang terbaik. Oleh yang demikian saya menetapkan hati untuk terus berusaha. Tidak semua yang kita harapkan akan berlaku seperti yang direncanakan. Allah merencanakan sesuatu yang lebih baik untuk kita agar kita berfikir ke arah memahami sudut-sudut yang terlindung. Disinilah peri pentingnya berfikir atas kapasiti ilmu dan logik akal Islami. Usaha yang sedikit itu lebih baik daripada saya duduk mendiamkan diri membiarkan manusia disekeliling buta dan tuli. Kecacatan tersebut boleh saya ubati, dengan kehendak Allah. Selain daripada itu, seperti yang saya tulis diatas, adalah kehendak Allah jua.

Perubahan yang lebih berkualiti memerlukan masa, melainkan dengan kehendak Allah, perubahan ala mi segera juga boleh membuahkan hasil. Keperluan masa mengisi lompangan pemikiran dengan ilmu dan logik akal pada saya amat penting. Agar jasad dan roh seiringan dalam menetukan apa yang terbaik. Apa yang lebih bermakna, sesungguhnya datang dari diri sendiri. Kualiti jarang terhasil dari paksaan.

Harap saya terus berusaha. Ibrah dari setiap kejadian ghaflah ini, agar saya menetapkan tekad, memusatkan pemikiran dan mesti mampu untuk terus berdoa kepada Allah agar melorongkan saya di jalan yang benar.

Melatah dan muhasabah.

Kan itu lebih baik?


Tuesday, October 03, 2006

WASIAT KE-4 HASSAN AL-BANNA

Janganlah Saudara Banyakkan Perdebatan

Wasiat Keempat :

“Janganlah saudara banyakkan (al-jadal) perdebatan dalam semua urusan, walaubagaimanapun keadaanya, kerana pertengkaran itu tidak mendatangkan kebaikan..”

Dalam wasiat ini Imam Syahid Hassan al-Banna menegah perbuatan sengaja mengada-adakan perdebatan dan memperbanyakkkannya. Beliau menyeru Muslim agar membataskan perdebatan kepada perkara yang membuahkan hasil, kiranya perlu, kerana perdebatan tidak mendatangkan kebaikan dalam apa pun.

Terdapat satu perumpamaan dikalangan orang Rom pada zama dahulu;

Seorang guru dari golongan Sufastaiyun telah bersetuju untuk mengajarkan muridnya ilmu perdebatan dalam masa dua tahun, di mana kelak guru tersebut akan dapat menjadikan murid berkenaan mampu menewaskan pihak lawannya dan dapat menolong murid itu untuk mensabitkan teorinya baik dengan cara yang hak atau dengan cara batil dan dalam semua keadaan. Sebagai balasannya, apabila tempoh belajar itu tamat pelajar berkenaan hendaklah membayar upah yang telah mereka persetujui.

Apabila tempoh belajar tamat, guru tersebut telah meminta agar muridnya menjelaskan bayaran yang telah mereka persetujui, murid berkenaan pun berkata kepada gurunya;

“Saya tidak akan memberikan bayaran tersebut, malah saya akan memperdebatkan perkara ini. Sekiranya saya dapat mensabitkan bahawa engkau tidak punya hak dalam perkara ini, maka engkau tidak lagi berhak menuntutnya. Tetapi jika saya tidak dapat mensabitkan bahawa engkau tidak punya hak, engkau tidak berhak untuk mendapat upah, kerana engkau tidak berjaya mengajar saya mengemukakan hujah yang mensabitkan kebenaran dakwaan saya..”

Jawapan yang diberikan oleh guru tersebut juga adalah dalam bentuk bidasan, yang mana beliau menjawab dengan katanya;

“Saya menerima perdebatan itu, tetapi keputusannya bukanlah seperti yang engkau buat, malah keputusannya mestilah begini: Kalau saya dapat mensabitkan yang saya berhak mendapat upah itu engkau mestilah membayar apa yang telah dipersetujui sahaja, tetapi jika saya tidak dapat mensabitkan bahawa saya tidak berhak mendapat upah itu, engkau mestilah membayar dua kali ganda, sebab saya telah mengajarkan kepada seorang murid sesuatu yang membolehkan beliau mampu menewaskan gurunya dalam medan perdebatan..”

Sumber : Sepuluh Wasiat Hassan Al-Banna terjemahan Alias Osman (1987) terbitan Pustaka Salam


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]